Thursday 1 September 2016

Koperasi KDM Labuan sedia beroperasi

PETER (duduk tengah) bersama sebahagian hadirin mesyuarat Koperasi KDM Labuan.

Koperasi Komuniti KDM Labuan sedia beroperasi sebaik memperoleh sijil

Oleh HENRY BATING
LABUAN: Koperasi Komuniti Kadazan Dusun Berhad Labuan sedang dalam proses pendaftaran dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membolehkan koperasi berkenaan meneroka pelbagai peluang perniagaan demi kepentingan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di wilayah persekutuan itu.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan, Peter Pikul yang mempengerusikan penubuhan koperasi itu memberitahu pihaknya telah memperoleh kebenaran dari SKM untuk menubuhkan koperasi berkenaan dan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama ahli-ahli penaja.
“Kita juga telah mengadakan mesyuarat terbaru yang dihadiri Pegawai SKM, Mintin Liun sebagai proses terakhir mengemukakan butiran kepada SKM untuk memperoleh sijil pendaftaran,” kata Peter.
Menurut Peter, pada masa ini koperasi berkenaan beroperasi di sebuah pejabat rumah kedai dari Jalan Merdeka, Bandar Labuan dan sedang mengenal pasti bidang-bidang perniagaan yang boleh dilaksanakan sebaik memperoleh sijil pendaftaran.
Dalam taklimatnya, Mintin memberikan contoh gerakan koperasi berjaya yang boleh dijadikan panduan menggerakkan usaha niaga koperasi demi manfaat bekalan barangan dan perkhidmatan serta peluang pekerjaan kepada ahli-ahli.
“Gerakan koperasi yang teratur dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab dapat membantu kerajaan mencapai guna tenaga penuh dan mewujudkan pengangguran sifar di kalangan ahli-ahli,” kata Mintin.
Peter menambah, setakat ini pihaknya menerima keahlian dan pelaburan daripada 50 orang anggota sebagai butiran asas persijilan koperasi berkenaan.
Peter turut memberitahu bahawa penubuhan koperasi itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rosman Datuk Isli, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan, Datuk Peter Mak dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Labuan, Paul Ipoh Leokin.

MINTIN (kanan) bersama Peter dan Jerome Mijin.


No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...