Showing posts with label Labuan. Show all posts
Showing posts with label Labuan. Show all posts

Monday, 5 September 2016

PBS Labuan Usul ADUN Sabah Dilantik

PBS Labuan lulus usul memberlaku semula keanggotaan DUN Sabah dilantik

 MARVIN (kedua kiri) selepas membentang usul keanggotaan Adun Sabah dilantik.

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 5/9/16 - Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan dalam mesyuarat agung tahunan ke-31 bahagian itu pada Ahad meluluskan sebulat suara usul memberlakukan semula keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dilantik dan salah satunya hendaklah diisi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) berpusat di Kota Kinabalu yang bermestautin di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketika membentangkan usul itu, Setiausaha Bahagian, Marvin Chong memaklumi bahawa Pulau Labuan secara perundangan dan pentadbiran sudah diletakkan dalam Wilayah Persekutuan di mana sekali pandang, Labuan tidak lagi terkait dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Bagaimanapun, bila dipandang secara teliti, Negeri Sabah kekal memiliki kepentingan awam di Pulau Labuan,” kata Marvin.

Menurut Marvin yang juga lulusan bidang undang-undang, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Sabah masih wujud di Labuan. Perkhidmatan feri, bot dan perkapalan antara tanah besar Sabah dan Pulau Labuan masih berkait rapat.

“Sebahagian daripada perkhidmatan pengangkutan laut antara daratan Sabah dan Labuan masih berkaitan dengan Sabah. Jambatan antara daratan Sabah dan Labuan yang sering diuar-uarkan tetap berkaitan dengan kepentingan Negeri Sabah,” jelas Marvin.

Seterusnya Marvin menegaskan bahawa penjawat awam khususnya dalam Mahkamah Anak Negeri di Labuan tetap berpaut dengan penyelarasan perundangan adat-istiadat Kerajaan Negeri Sabah. Malahan, sebahagian daripada penduduk Labuan, masih terdaftar sebagai pengundi di pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Menurut Marvin, demi mewakili kepentingan Kerajaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan pengurusan Wilayah Persekutuan Labuan, maka wajar sekali seorang pemimpin dari Wilayah Persekutuan Labuan dilantik menduduki salah satu slot Ahli Yang Berhormat (dilantik) dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Senario seperti ini bukanlah perkara baru kerana pelantikan seumpama itu pernah berlaku suatu masa dahulu,” tegas Marvin.

Keratan Akhbar Utusan Borneo 6 Sept 2016

Mesyuarat agung yang dipengerusikan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Ali Zaman menerima sebulat suara usul tersebut untuk dibawa ke mesyuarat agung tahunan PBS pusat tahun ini untuk dibahas dan diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri Sabah.

Mesyuarat agung tersebut dirasmikan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Bahagian PBS Labuan, Datuk Peter Mak.

Dua lagi usul dibentangkan Ketua Pemuda, Sheiron Chang di terima sebulat suara. Satu dari usul itu ditujukan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengutamakan pemimpin bermestautin di Labuan menduduki jawatan pengurusan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Sabah yang beroperasi di Labuan.

Usul yang satu lagi ditujukan kepada pengurusan BN Labuan untuk memperkenalkan mekanisme mengutamakan kontraktor berdaftar di Labuan melaksanakan kerja kontrak awam atau swasta di Labuan.

MAXIMUS, Rosman, Peter, Sheiron (kiri) ketika perasmian mesyuarat agung tahunan PBS Labuan.



Thursday, 1 September 2016

Koperasi KDM Labuan sedia beroperasi

PETER (duduk tengah) bersama sebahagian hadirin mesyuarat Koperasi KDM Labuan.

Koperasi Komuniti KDM Labuan sedia beroperasi sebaik memperoleh sijil

Oleh HENRY BATING
LABUAN: Koperasi Komuniti Kadazan Dusun Berhad Labuan sedang dalam proses pendaftaran dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membolehkan koperasi berkenaan meneroka pelbagai peluang perniagaan demi kepentingan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di wilayah persekutuan itu.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan, Peter Pikul yang mempengerusikan penubuhan koperasi itu memberitahu pihaknya telah memperoleh kebenaran dari SKM untuk menubuhkan koperasi berkenaan dan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama ahli-ahli penaja.
“Kita juga telah mengadakan mesyuarat terbaru yang dihadiri Pegawai SKM, Mintin Liun sebagai proses terakhir mengemukakan butiran kepada SKM untuk memperoleh sijil pendaftaran,” kata Peter.
Menurut Peter, pada masa ini koperasi berkenaan beroperasi di sebuah pejabat rumah kedai dari Jalan Merdeka, Bandar Labuan dan sedang mengenal pasti bidang-bidang perniagaan yang boleh dilaksanakan sebaik memperoleh sijil pendaftaran.
Dalam taklimatnya, Mintin memberikan contoh gerakan koperasi berjaya yang boleh dijadikan panduan menggerakkan usaha niaga koperasi demi manfaat bekalan barangan dan perkhidmatan serta peluang pekerjaan kepada ahli-ahli.
“Gerakan koperasi yang teratur dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab dapat membantu kerajaan mencapai guna tenaga penuh dan mewujudkan pengangguran sifar di kalangan ahli-ahli,” kata Mintin.
Peter menambah, setakat ini pihaknya menerima keahlian dan pelaburan daripada 50 orang anggota sebagai butiran asas persijilan koperasi berkenaan.
Peter turut memberitahu bahawa penubuhan koperasi itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rosman Datuk Isli, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan, Datuk Peter Mak dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Labuan, Paul Ipoh Leokin.

MINTIN (kanan) bersama Peter dan Jerome Mijin.


Tuesday, 23 August 2016

KDCA, Usda kunjungi Pengarah Pendidikan Labuan

Raisin menerima kunjungan hormat Joe Ragan (kiri), Peter Pikul (kanan) dan Henry

KDCA, Usda adakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Labuan


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 23/8/2016 - Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) kelmarin mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin untuk memberikan taklimat mengenai profil umum masyarakat berkenaan di Labuan.
Pengerusi Usda Labuan, Joe Ragan berkata masyarakat Kadazandusun di Labuan mempunyai jumlah yang signifikan dalam komposisi keseluruhan penduduk pulau itu di mana anak-anak mereka tersebar belajar di beberapa buah sekolah rendah.
“Berdasarkan bilangan anak-anak masyarakat Kadazandusun yang agak ramai juga di beberapa buah sekolah maka masyarakat itu mempunyai hasrat untuk melihat langkah memperkenalkan pengajaran bahasa Kadazandusun di beberapa buah sekolah rendah dapat dilaksanakan,” kata Joe.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pengerusi KDCA Labuan, Peter Pikul dan Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), Drs Henry Bating.
Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili ketika merasmikan Pesta Kaamatan Labuan 2015 ada menyatakan bahawa pihaknya memandang positif hasrat masyarakat Kadazandusun di Labuan untuk menikmati pelaksanaan pengajaran bahasa ibunda mereka di sekolah-sekolah.

Raisin menyampaikan cenderakenangan kepada Drs Henry diiringi Joe Ragan dan Peter Pikul

Maximus menyatakan demikian sebagai reaksi Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun yang memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan kelas tidak formal bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan kanak-kanak dalam rangka merintis jalan ke arah pelaksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Dalam kunjungan itu, Raisin berharap pihak KDCA dan Usda dapat menyalurkan butiran yang diperlukan bagi membolehkan pihak Jabatan Pendidikan meneliti keperluan dan keboleh-laksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Pengajaran bahasa Kadazandusun perlu diperluaskan di Labuan: Maximus


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 12/5/2015 - Pengajaran bahasa Kadazandusun yang sudah dilaksanakan dalam kurikulum sekolah sejak 1997 perlu diperluaskan lagi bukan sekadar dalam tutorial secara sambilan kepada generasi masyarakat itu tetapi juga di sekolah-sekolah di mana terdapat murid berketurunan Kadazandusun.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata usaha permulaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan mengadakan tutorial sambilan kepada generasi masyarakat itu perlu diperluaskan dengan memanfaatkan sumbangan tenaga pengajar sukarela yang ada.

MAXIMUS ketika berucap bersama Ipoh (kiri) dan Clement (kanan)

“Seperti yang disentuh dalam awal ucapan, usaha bersama dengan tenaga sukarela dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sudah dimulakan untuk menjalankan tutorial perlu diperluaskan lagi,” kata Maximus ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun memaklumkan bahawa pihak KDCA di pulau itu telah melaksanakan pelbagai program berbentuk warisan, tradisi dan budaya termasuk kelas bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan murid di Kg Tambunan Baru, Rancha-Rancha Darat dengan sumbangan tenaga pengajar sukarela dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
Pernyataan Clement itu diperkukuhkan lagi dalam ucapan Pengerusi KDCA Labuan, Paul Ipoh Leokin yang melahirkan sokongan penuh ke atas perancangan pihak Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk membuka suatu tapak khusus sebagai perkampungan budaya untuk memusatkan pelaksanaan aktiviti, perayaan dan pameran yang boleh memberi nilai tambah kepada kepentingan Labuan sebagai satu destinasi penting kepada para pelawat.
Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Naib Presiden KDCA, Datuk Ir John Anthony.

DARI kanan Clement, Maximus, Ipoh, Rozman dan John ketika upacara mengetam padi.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mistrine Radin ketika dihubungi  mengenai pengajaran bahasa Kadazandusun di Labuan memberitahu pihaknya pernah mengambil langkah memulakan pengajaran bahasa itu di sebuah sekolah rendah suatu ketika dahulu tetapi tertangguh ekoran kesukaran memperoleh guru terlatih.
Tinjauan yang dilakukan ke atas pendapat di Kg Tambunan Baru Rancha-Rancha Darat memberitahu, terdapat tiga buah sekolah rendah di Labuan yang berpotensi memulakan pengajaran bahasa Kadazandusun berdasarkan bilangan murid etnik itu di sekolah berkenaan iaitu di SRK St. Anne, SK Pekan Dua dan SK Rancha-Rancha.



Sunday, 21 August 2016

Akhir 2017 Labuan Pulau Pelancongan - Zahid

Labuan jadi pulau pelancongan menjelang akhir 2017, kata Zahid

Padang Golf Antarabangsa Labuan

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 21/8/16 - Labuan bakal menjadi pulau pelancongan utama menjelang akhir 2017 dengan wujudnya penerbangan terus dari serata dunia sekali gus mengubah lanskap perekonomian pulau bebas cukai itu yang sebelum ini banyak bergantung kepada industri minyak dan gas.
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan perubahan lanskap ekonomi Labuan, kita berharap unjuran kita untuk mengoptimumkan penawaran bilik-bilik hotel dan homestay mencapai tahap puncak permintaan.


Zahid Hamidi
“Kita juga berusaha untuk meminda peraturan berkaitan bagi membolehkan lapangan terbang Labuan boleh menerima penerbangan terus dari pelbagai negara,” kata Zahid sambil menjelaskan pada ketika ini penerbangan perlu melalui Kota Kinabalu atau negara jiran.
Zahid yang juga Pengerusi ‘Task Force’ Peringkat Kabinet Persekutuan bagi pembangunan Labuan menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Labuan di Palm Beach Resort.
Sementara itu Zahid menyatakan bahawa Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bakal dilantik menganggotai task force yang bakal diumumkan termasuk timbalan ketua bahagian, wakil pemuda, wanita, puteri dan dua mantan Ahli Parlimen Labuan.
Turut hadir ketua-ketua komponen Barisan Nasional (BN) Labuan seperti Datuk Peter Mak (PBS), Ronald James Majaing (Upko), Ramasamy Rengasamy (MIC) serta ketua bahagian MCA dan Gerakan.
Pengumuman Zahid disambut kalangan perwakilan dan pemerhati  yang hadir meski tanpa menyebut penyertaan wakil-wakil parti komponen BN ke dalam jawatankuasa kerja task force berkenaan.
Labuan bandar pelabuhan


HUT RI Ke-71 Labuan


WANITA dengan pakaian tradisi Tana Toraja Sulawesi Selatan.
Warga Republik Indonesia Labuan rai kesyukuran kemerdekaan ke-71

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 21/8/16 - Lebih seribu warga Republik Indonesia meraikan kesyukuran ulang tahun kemerdekaan ke-71 negara itu di sini pada Ahad dengan mengadakan Misa Kudus di Gereja Blessed Sacrament, pementasan budaya dan hidangan tradisi pelbagai propinsi.
Rev Fr Stefanus Mawan dalam khotbahnya menyatakan kemerdekaan merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri dengan segenap hati kerana berkat kemerdekaan yang telah diperjuangkan kalangan pendahulu generasi bangsa memiliki negara sebagai tempat tinggal dan segala isi bumi dalam negara yang telah dikurniakan Tuhan.
“Jika kemerdekaan kita anggap sebagai sesuatu yang biasa-biasa saja maka saat kita kehilangan apa yang kita miliki sekarang baru akan terasa rupanya kita pernah memiliki sesuatu yang sangat luar biasa,” kata Stefanus dari Diosis Selor, Kalimantan Utara.

FR RAJU (kedua kanan), Fr Wempi dan Fr Stefanus.

Stefanus bersama rakan pastorannya, Rev Fr Wempi Mandagie yang dalam rangka menemui umat warga Republik Indonesia sempena kemerdekaan negara itu telah berada di negeri ini bermula di Tawau, Kota Kinabalu dan terakhir di Labuan.
Turut meraikan misa kesyukuran ialah Rev Fr Johnny Raju dari Kota Kinabalu.
Pementasan pelbagai identiti tradisi etnik pelbagai propinsi diawali dengan koir ‘Indonesia Raya’ yang kemudian disusuli persembahan nyanyian, kesenian, pertunjukan tradisi dan budaya.
KOIR menyanyikan lagi Indonesia Raya.

Manakala pementasan dijalankan hadirin yang memenuhi Dewan Serbaguna Blessed Sacrament dihidangkan makanan tradisi pelbagai etnik Indonesia yang turut dihadiri kalangan warga Indonesia pelbagai agama.

PAKAIAN tradisi dari Flores Nusa Tenggara Timur.

SEBAHAGIAN hadirin kesyukuran kemerdekaan RI di Labuan.

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...