Sunday 16 June 2019

Imbasan sejarah Belia St Peter Pamilaan


Belia dalam perkembangan umat Katolik St Peter Pamilaan


Oleh HENRY BATING
GEREJA St Peter Pamilaan Tenom yang ada di Lologubon sekarang merupakan kelanjutan daripada dua gereja sebelumnya iaitu Gereja St Pius di Batu 14½ (1974-1983) dan Gereja St Peter di Toud Narantai (1983-2006). 

Umat Kristiani awal Kg Pamilaan, Kg Ulu Tepoh dan Kg Pangalat bermula penghujung 1950-an menggunakan bangunan sekolah St Pius sebagai tempat beribadat, misa kudus dan meraikan hari-hari kebesaran gereja. 

Kalangan umat itu sebelum berhijrah ke kawasan ini, telah menerima pendedahan dalam keimanan gereja Katolik di Mukim Kirokot, Tambunan.

Umat St Pius Pamilaan Tenom, Kg Ulu Tepoh dan Pangalat

Gereja St Pius yang mula dibangunkan di tanah sekolah St Pius pada tahun 1974 merupakan penanda perkembangan fasa pertama umat gereja di tiga buah kampung ini. Awalnya umat gereja ini menerima pelayanan Rev. Fr. Peter De’ Witt, paderi berketurunan Belanda yang kemudian ditukarkan ke Paroki Kudat. 

Di rektorat baru itu, Fr. De’ Witt menemui ajal dalam insiden perompak menceroboh kediaman paderi. Nama paderi itu kemudian diabadikan sebagai nama baharu gereja Kg Pamilaan di Toud.


Rev. Fr. Peter De' Witt (tengah) ketika menjadi Pengarah Puskat Keningau

Umat gereja St Pius seterusnya dilayani paderi paroki Rev. Fr. Simon Fung (yang kemudian ditahbis menjadi Bishop). Dalam tempoh ini, Bro. Cornelius Piong (sebelum ditahbis menjadi paderi dan bishop) berkesempatan membantu pelayanan umat gereja ini. 

Perkembangan seterusnya ialah pembangunan gereja di Kg Pangalat, Kg Ulu Tepoh dan pemindahan gereja Pamilaan ke lokasi yang lebih dekat dengan perkampungan ramai umat. Tambahan pula, pihak mission mahu memanfaatkan seluruh kawasan sekolah untuk pembangunan kemudahan pendidikan.

Umat St Pius Pamilaan bergambar di hadapan kereta Rev. Fr. Simon Fung

Perpindahan gereja dari St Pius ke St Peter berlangsung di bawah Rev. Fr. Francis Tsen. Perpindahan itu dibantu Katekis Jonas Bating Kilam, Katekis Joseph Galayun dan pengerusi Catholic Youth Association (CYA) George Sadangkat. 

Akan tetapi proses transisi itu tidak berjalan mulus. Wujud kekangan dari segi penempatan tapak. Keputusan awal ialah menempatkan gereja baharu di kawasan simpan padang ragut di Sawa (kini KKD St Anne Misompuru). Lokasi itu sekarang berada di tapak rumah Intang Sarat (mendiang).

Sedang tapak diratakan dan beberapa trip batu pasir sudah dihantar, timbul masalah yang memerlukan keputusan baharu. WKAN Haji Hassim Dagas (Allayarham) menimbulkan soal peraturan penggunaan tanah simpanan padang ragut (paun kerbau). 


George Sadangkat (kanan) bersama Belia St Peter

Maka umat Kg Pamilaan bergotong-royong memindahkah sebahagian batu pasir itu ke tapak baharu. Gereja St Peter dibangun di atas tanah milik Kayug Kilam (mendiang) dan Paulus Elip Masuning. Dua umat ini membenarkan pembinaan itu tanpa syarat sebagai satu amal ibadat kepada umat gereja. 


Pembinaan Gereja St Peter kemudian berlangsung lancar tanpa sebarang kekangan dana. Gereja dibangun menggunakan sumber ketukangan dua katekis dari Kemabong, Roby Tay dan James Miling Oyot. Gereja dirasmikan Fr Tsen bersempena Krismas 1983.

Umat Gereja St Peter Pamilaan di Toud Narantai dalam satu perayaan

Gereja St Peter di Toud Narantai


Di gereja baharu ini, aktiviti kegerejaan mulai berkembang seiring pergerakan semasa yang berlaku di peringkat paroki dan keuskupan. Perkembangan itu tertumpu kepada aktiviti kebeliaan. Meskipun aktiviti digerakkan golongan belia, namun banyak juga aktiviti yang melibatkan umat umum dan mendapat penyertaan menggalakkan. 

Perkembangan aktiviti belia dirangsang oleh golongan lepasan sekolah menengah St Anthony Tenom. Rata-rata lepasan sekolah itu pernah menjadi penghuni Asrama Gereja St. Anthony. Sebagai ‘boarder’ asrama, kalangan pelajar didedahkan kepada tugas-tugas kegerejaan, sekurang-kurang sebagai ahli koir. Paling tidak pun sebagai pekerja di kebun paderi atau sister. Bekerja di kebun mission melatih pelajar tentang disiplin bekerja untuk menyempurnakan tugas.


Belia St Peter di Toud digerak alumni Asrama Gereja St Anthony Tenom

Perkembangan itu turut didorong oleh usaha gereja memperbanyakkan lagu-lagu rohani berunsur tempatan. Usaha ini dipelopori Rev. Fr. Cornelius Piong (sebelum ditahbis menjadi bishop) dan Rev. Fr. Joseph Liansim. Pada masa itu, ada saja lagu-lagu baru dinyanyikan di mana-mana gereja dan chapel. Lagu-lagu itu dicipta kumpulan koir di tempat masing-masing.

Para pemimpin umat Gereja St Peter di Toud

Kepesatan produksi seni suara lagu-lagu tempatan pada masa itu turut merangsang keghairahan belia menjadi ahli koir. Maka kepimpinan belia gereja boleh digerakkan asal ada seseorang yang boleh bermain gitar (meski sekadar tahu bermain kod-kod major dengan pantingan rhythm), boleh menyanyi (termasuk menyusun suara kumpulan first, second dan third voice) serta berdisiplin untuk mengemukakan buah fikiran.


Gereja St Peter di Toud Narantai di atas tapak tanah
Kayug Kilam dan Paulus Elip Masuning

Ambang perasmian Gereja St Peter di Toud sempena Krismas 1983 telah menjadi permulaan kepada era baharu gerakan kegerejaan di Kg Pamilaan. Lagu-lagu baharu telah mula dinyanyikan secara berkumpulan khususnya belia di Sawa. Lagu-lagu baharu itu termasuk ‘Anak Allah’ yang dipelajari Jaubid Intang (mendiang) dan Albert Karang di daerah lain. 

Henry Bating turut memperkenalkan beberapa lagu Kadazan yang dipelajarinya di St Michael Penampang dan beberapa mazmur yang dipelajarinya di Stella Maris Tanjung Aru serta Good Sheperd Manggatal. Pendedahan itu dilaluinya selama sembilan bulan belajar di Kota Kinabalu.

Drama Kelahiran Yesus Belia St Peter Pamilaan di pentas Dewan Seri Antenom

Juanis Sadiang menyusun skrip ‘Kelahiran Yesus’ dan mengarahkan kumpulan drama itu di St Peter. Pementasan itu merupakan realisasi keilmuan beliau yang pada ketika itu sedang menuntut di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Drama itu telah menarik perhatian Gereja St Anthony Tenom. 

Drama ‘Kelahiran Yesus’ dipentaskan beberapa kali. Dua tahun kemudian, drama itu dipentaskan di Dewan Seri Antenom dalam perayaan Krismas antara gereja yang dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Kadoh Agundong. 

Seekor kambing biri-biri hidup dibawa khusus menaiki bas bersama para pelakon dari Kg Pamilaan ke pentas dewan itu. Kadoh turut terhibur menyaksikan kambing dalam lakonan itu yang tidak semena-mena membuang kotoran bertompok-tompok di atas pentas.



Drama Kelahiran Yesus sempena Krismas St Peter 1984 dengan 
watak Yusof dilakonkan oleh Peterus Hendrikus

Lanskap gereja diperindah di bawah koordinasi George Sadangkat selaku pengerusi Majlis Gereja St Peter. George ketika itu bertuugas sebagai kerani pentadbiran di Pejabat Daerah Kecil Sook. Penasihat Majlis Gereja, Raymond Emus Gintod turut memantau perkembangan. 

Seperti biasa umat menyumbang tenaga bergotong-royong di bawah seliaan Katekis Joseph Galayun (mendiang) dan dua Ketua Kampung, KK Linus Pawi Mantakag (mendiang) dan KK Jonas Bating Kilam (mendiang).


Rev. Fr. Francis Tsen merasmikan Gereja St Peter Pamilaan di Toud

Ketika majlis perasmian itu, lagu-lagu misa kudus dan persembahan pentas berjalan sempurna mengikut aturcara yang telah disusun oleh George, Henry dan John Sarat. Majlis perasmian itu turut dihadiri kumpulan koir dari St Francis Pangalat dan umat dari Kg Ulu Tepoh. 

Sesungguhnya, belia Kg Pangalat pada ketika itu (dengan gabungan belia Ulu Tepoh) di bawah koordinasi Katekis Robin Ubod sudah melangkah lebih ke hadapan dalam penyertaan pesta koir di luar kampung.  Ketika itu Gereja Salib Olidang Ulu Tepoh baru berada dalam fasa pertama pembinaan.

George Sadangkat dan Henry Bating


Umat Gereja St Peter di Toud


Meski gereja baharu sudah menempati tapak hampir tiga kilometer jauh dari lokasi asal Gereja St Pius, namun umat-umat asal St Pius dari luar kampung terus menghadiri kebaktian di St Peter. 

Antaranya umat dari Mosolog seperti Judith Satin dan anak-anak pasangan Samudin-Murin. Keluarga Utung - Ombud Batik dari Batu 19 juga kerap datang beribadat ke St Peter. Dari kawasan Batu 19 juga pernah Lo Kim Moi beserta anak-anak beribadat ke St Peter. Kim Moi yang berasal dari Lulua merupakan menantu kepada Gausi Lumpok.


Belia St Peter di Toud sedia melayani dalam apapun kapasiti. Kelihatan di kiri 
ialah Sr Julie (sebelum menjadi Sister FSIC)

Tahun 1984-1986 merupakan era koir St Peter bersemarak. Banyak pesta koir dianjurkan baik di peringkat paroki, pedalaman mahupun kampung. Kumpulan koir St Peter mula menyertai Pesta Koir di St Anthony dan pelbagai pesta koir lain pada tahun 1984. 

Kumpulan koir dikendalikan Henry Bating lantaran beliau mudah dihubungi pihak penganjur. Beliau ketika itu bertugas di Pejabat PKR Tenom sebagai pembantu kerani. Henry juga merupakan ahli koir St Anthony sebagai kelanjutan dari penglibatan koirnya sepanjang bersekolah di SM St Athony. Di samping itu, beliau menjadi anggota kumpulan Koir St Anthony dalam dua Pesta Koir Pedalaman, di St Francis Xavier Keningau (1982) dan di St Peter Clever Ranau (1986).


Henry dan Stephen Malujin menganggotai Koir St Anthony
di Pesta Koir Pedalaman di St Peter Clever Ranau


Kumpulan koir St Anthony yang dipimpin oleh Petros Gampok telah menghasilkan ramai pemimpin koir outstasi. Petros sebelum memulakan tugas di Tenom merupakan antara pemimpin koir St Theresa Tambunan.

Hasil pendedahan itu, koir St Peter pernah menjadi johan pesta koir peringkat paroki, naib johan dan pernah juga tidak memperoleh apa-apa nombor. Namun pada kebiasaannya Koir St Peter jarang jatuh dalam lingkungan tiga teratas. 

Selain anjuran di Gereja St Anthony, Koir St Peter turut menerima jemputan penyertaan pesta koir di tempat-tempat lain termasuk di Kalamatoi dan Mamaitom. Namun demikian, terdapat dua peristiwa penting perjalanan Koir St Peter yang agak menonjol.


Kumpulan Koir St Peter selepas suatu pertandingan

Pertama, kepercayaan yang diberikan pihak paroki kepada St Peter untuk menjadi penganjur dan tuan rumah Pesta Koir Krismas Peringkat Paroki Tenom 1984. Pelbagai kumpulan koir dari seluruh outstasi Tenom dan Kemabong datang ke Gereja St Peter. 

Kedua, penyertaan Koir St Peter sebagai satu dari tiga kumpulan mewakili Paroki Tenom ke Pesta Koir Peringkat Pedalaman pada tahun 1985. Dua kumpulan lagi ialah Koir St Anthony Tenom dan St Francis Pangalat.


St Peter tuan rumah Pesta Koir Krismasi 1984 Peringkat Paroki Tenom

Bagi Henry, penyertaan Pesta Koir Pedalaman adalah yang paling mencabar dan amat menyeksa motivasi sepanjang penglibatan 1983-86. Tekanan itu berlaku kerana St Theresa mempunyai Joane Jerome dan Petrus Onggou.

Toboh ada Wences Linus dan Evaristus Gungkit, Bundu Tuhan ada Maurice Awit sebagai pengiring dan Ranau turut diiringi John Kinsu. Koir St Peter mendapat bimbingan Petros Gampok namun ia sendiri sibuk mengendalikan kumpulan Koir St Anthony.

Petros Gampok (depan) pemimpin koir St Anthony Tenom

“Malam itu seluruh ahli kumpulan koir St Peter longlai, tidak terkata apa-apa, senyum sesama sendiri pun sukar, ahli-ahli kami amat tertekan. Penyampaian hadiah diadakan keesokannya. Namun pada pagi esoknya sukar sekali melihat kelibat ahli-ahli kumpulan St Peter,” katanya.

Menurutnya lagi, demi mengatasi rasa yang amat tertekan, beliau bersama Balasius Masuning dan beberapa rakan lain pergi ke kedai Keningau untuk membeli minuman dan sedikit makanan. 


Koir St Peter di Pesta Koir Peringkat Pedalaman SFX Keningau

Sebahagian makanan dihantar kepada rakan-rakan koir St Peter di penginapan perempuan. Ketika itu barulah mereka mula keluar seorang demi seorang dan bersiap sedia ke majlis di Dewan St Francis Xavier.

Bagi Balasius, mewakili paroki St. Anthony Tenom dalam pertandingan koir peringkat pedalaman setelah menjuarai pesta koir peringkat paroki Tenom 1984 bukan tugas yang ringan.

Johan Pesta Koir Peringkat Paroki Tenom

“Seluruh paroki Tenom telah mmberi kepercayaan dan pengharapan penuh kepada koir St Peter untuk membawa nama Paroki St Anthony Tenom. Apakan daya kumpulan dari paroki-paroki lain yang mengambil bahagian bukan calang-calang. Apapun kami bersyukur kerana sampai ke peringkat itu,” katanya.

Pesta Koir Pedalaman disertai wakil-wakil kumpulan koir dari paroki St Peter Bundu Kuala Penyu, St Valentine Beaufort dan D’ Canonian Beaufort (koir umat Filipina), St Anthony Tenom, St Francis Xavier Keningau, St Theresa Tambunan dan Toboh Tambunan, St Peter Claver Ranau, Bundu Tuhan dan Bongkud Ranau.

Ahli Koir St Peter Pamilaan diraikan umat seumpama VIP

Atas beberapa pencapaian itu, ahli-ahli Koir St Peter sepertinya telah mengalami lonjakan sosial dalam lingkungan umat di Kg Pamilaan. Ahli-ahli koir St Peter dipandang sebagai generasi berprestasi. Dalam majli-majlis keramaian di rumah-rumah umat, kumpulan koir dilayan istimewa. 

Ramai umat suka bertanya tentang pengalaman yang telah dilalui kumpulan koir. Ahli-ahli koir menerima layanan mesra dalam menghadap hidangan makanan dan minuman. Malahan ahli-ahli koir selalu juga mendapat laluan awal untuk ‘biris’. Macam VIP pula. Sempat perasan macam artis glamor.

Belia St Peter menjadi komponen penting dalam majlis keramaian umat

Sesuatu majlis seakan berseri tatkala kumpulan koir hadir. Ahli-ahli koir datang secara rombongan. Bila balik pun selalu juga dalam rombongan. Sebabnya ketika itu belum ada ‘street light’ seperti sekarang. Berjalan dalam gelap, seram pula membayangkan cerita-cerita hantu. 

Majlis akan serta-merta hidup dengan kehadiran ahli-ahli koir. Manakala majlis serta-merta sunyi sebaik ahli-ahli koir pulang. Maka ramailah juga generasi yang belum cukup umur ketika itu suka menyertai apa sahaja aktiviti yang dijalankan di gereja.


Karoling Belia St Peter

Perkara tersebut diakui oleh generasi pelapis ketika itu, Rossa John Ejah. Golongan berkenaan suka bersama kumpulan koir untuk karoling setiap menjelang Krismas. Dan yang baiknya, mereka juga selalu menjadi anggota rombongan koir untuk ke majlis keramaian. Sesampai di majlis keramaian, mereka turut sama mendapat layanan istimewa dari tuan rumah.

Dalam tempoh itu juga, Gereja St Peter pernah dipercayakan menjadi tuan rumah menganjurkan Seminar Hidup Baru Dalam Roh Kudus peringkat paroki Tenom. Ramai peserta datang, bukan setakat dari Tenom, malahan dari daerah-daerah luar. Manakala dalam musim doa jalan salib, sebuah salib besar pernah didirikan di puncak bukit Kukuton.

Fr Francis Tsen memimpin pemberkatan Salib di puncak Kukuton

Salib putih itu jelas kelihatan dari jalan raya menyusur jalan perkampungan. Dalam tempoh itu, Pesta Koir Peringkat St Peter pernah diadakan dengan penyertaan kumpulan dari semua kawasan perumahan (sekarang KKd). 

Di samping itu, pertandingan sepak takraw diadakan melibatkan pasukan semua kawasan. Turut diadakan ialah Sesi Motivasi Peperiksaan SRP SPM. Sesi ini menampilkan penceramah terdiri daripada George, Henry, Juanis dan John. 



Raymond Emus Gintod menyampaikan hadiah pemenang takraw
Sesi motivasi SRP SPM - dari kanan John Sarat, George Sadangkat,
 Juanis Sadiang dan Henry Bating
Para peserta sesi motivasi akademik sementara menunggu detik
 tukar tahun 1984. Paling manang masih guna lampung pom

Menggantikan George sebagai pengerusi majlis gereja kemudiannya ialah Julian Kayug dan disusuli Paulus Elip Masuning. Katekis juga bertambah dengan selesainya Aloysius Duringgon berkursus di Pusat Latihan Katekis (Puskat) St Francis Xavier Keningau. Beberapa tahun kemudian, Primus Kintang dihantar berkursus untuk menjadi katekis.

Memasuki tahun 1986, aktiviti belia dilanjutkan oleh Balasius Masuning. Ini kerana Henry mula menumpukan tugas-tugas di Gereja St Anthony Tenom. Henry memegang pelbagai jawatan, antaranya Setiausaha Majlis Paroki, Penolong Setiausaha Majlis Belia Paroki.

Terdapat juga tugas-tugas sosial lain sebagai Setiausaha Penyelaras KDCA Daerah Tenom serta Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda PBS Melalap. Tugas-tugas itu belum termasuk Setiausaha Majlis Gereja St Peter dan Setiausaha JKKK Kg Pamilaan. Dominan pula jadi setiausaha, lantaran berkemahiran menaip dengan sijil kecekapan mencatat kelajuan 60 patah perkataan seminit.

Balasius bersama Koir St Peter di Malam Cahaya Krismas

Balasius meneruskan aktiviti Belia St Peter dengan mencari dana mengambil upah gotong-royong di tanah umat yang membuat permintaan. Belia dengan penyertaan katekis turut mengendalikan doa rosari dari rumah ke rumah. Doa kelompok di gereja diadakan dan seterusnya melawat ke rumah umat untuk mendoakan ahli keluarga yang sakit.

Belia St Peter juga mengambil bahagian dalam perayaan Malam Cahaya Krismas  di Gereja St Anthony Tenom. Di samping itu belia turut menerima tanggungjawab menjadi koir pengiring misa kudus di Gereja St Anthony. Tugas itu dijalankan mengikut giliran setiap outstasi seluruh paroki Tenom. 


Belia St Peter menyertai Seminar Kepimpinan Belia di Kuala Tomani

Pada waktu yang lain, rombongan belia turut mengikuti seminar kepimpinan belia di Gereja Kuala Tomani. Dan yang paling adventurous ialah ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu pada tahun 1991. Kembara berkenaan dilanjutkan dengan mengadakan rekreasi di Pantai Tanjung Aru.

Mengumpul dana Belia melalui gotong-royong

Bagi menunjukkan identiti korporat Belia St Peter, cetakan t-shirt pernah dibuat dua kali. Pertama berwarna pink dan kedua berwarna putih. Pencetakan dijalankan secara manual dengan sokongan kemahiran Juanis Sadiang. 

Cetakan lagu-lagu rohani turut dijalankan bagi menutupi kekurangan buku-buku panduan ibadat sabda. ‘Typesetting’ dibuat dengan menaip manual dengan menggunakan mesin taip ke atas stensil lalu dicetak menggunakan mesin ‘roneo’ secara menggiling. 


Untuk tugas ini, Belia amat berterima kasih kepada Guru Besar St Pius, Aloysius Chiew kerana membenarkan pencetakan itu menggunakan mesin sekolah. Kira-kira pada tahun 1990, kepimpinan Belia St Peter diteruskan oleh Benedict Kongor.


Benedict Kongor ketika memimpin Belia St Peter

Benedict meneruskan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sebelumnya. Doa kelompok, doa rosari, karoling dan penyertaan ke pesta koir diteruskan. Sekadar menambah aktiviti lawatan ke chapel-chapel berdekatan, mengadakan doa kelompok gabungan dengan beberapa chapel berjiran dan memberikan hadiah kepada ahli koir yang melangsungkan perkahwinan.


Lawatan Belia St Peter ke Kg Gaulan, Keningau

Belia St Peter pernah mengadakan lawatan ke Chapel Santa Maria Goretti Gaulan, Keningau, Chapel Salib Olidang Ulu Tepoh dan Chapel St Francis Pangalat. Sementara itu, doa kelompok gabungan pernah diadakan bersama Belia Katolik Senagang. Menjelang 1990, Benedict melepaskan tugasnya untuk mengikuti kursus pertanian di Timbang Mengaris, Kota Belud.


Ekspedisi Belia St Peter Pamilaan mendaki Gunung Kinabalu

Helda Linus Pawi meneruskan tugas memimpin Belia St Peter (1990-92). Ketika tempoh inilah ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu dilaksanakan. Ekspedisi itu dikendalikan pengurusannya oleh Balasius Masuning.

Dalam tempoh ini juga Pesta Koir Krismas Peringkat St Peter dijalankan dengan penyertaan antara zon dalam kampung (sekarang antara KKD). Terdapat tiga kumpulan bertanding pada ketika itu yang melibatkan Lologubon, Tobobon dan Sawa.


Kumpulan Koir Junior St Peter 1984

Kumpulan Koir Sawa memenangi pertandingan itu dengan menyanyikan lagu yang diciptakan oleh Heldah. "Saya menciptakan lagu bertajuk 'Hari Ini KelahiranNya' yang turut mendapat sentuhan pemurnian oleh Albert Karang. Tempat kedua dimenangi Tobobon dan ketiga Lologubon," kata Helda.

Gotong-royong mencari dana diteruskan yang pada kebiasaannya ketika musim mengetam padi. Setiap seorang ahli dibayar tuan rumah RM3. Doa rosari dari rumah ke rumah diteruskan. Pada tempoh ini juga St Peter menghantar wakil ke pertandingan Kuiz Alkitab Paroki Tenom di St Anthony. Helda membawa amanah itu dan memperoleh pencapaian tempat pertama. 


Stephen Malujin memimpin karoling

Sekali lagi ketika Paska Gereja di Ulu Tepoh, kumpulan Belia St Peter menyertai Kuiz Alkitab yang diwakili oleh Helda, Bronica Hendrikus dan Juliana Karang. Sekali lagi kumpulan St Peter memperoleh pencapaian johan. Syukur kepada Tuhan. Manakala pernah sekali Belia St Peter menyertai Seminar Hidup Baru Dalam Roh Kudus di Gereja Mandalom, kampung asal Rev. Fr. David Mamat.

Stephen Malujin yang meneruskan kepimpinan Belia St Peter (1992-94) mengimbas semangat belia ketika itu sebagai amat membanggakan dalam menyertai apa juga aktiviti yang dijalankan. “Saya percaya semangat itu merupakan kesinambungan dan suntikan semangat gagasan belia yang terdahulu,” katanya.


Semangat Belia St Peter tetap membara

Namun begitu Stephen menyatakan pelayanan bukannya tidak ada cabaran. Ini kerana ketika bertugas sebagai guru di SK Jawa Sumbiling, cabaran utama beliau sebagai pengerusi ialah belum mempunyai kenderaan sendiri. “Ini menyebabkan banyak tugas tergendala namun ahli-ahli sentiasa memberi sokongan khususnya dalam aktiviti koir,” katanya.

Menurut Stephen, pada masa itu St Peter menyertai Pesta Koir dan memperoleh tempat ketiga dengan membawakan lagu ciptaannya.  


Persembahan pentas ahli-ahli koir junior St Peter

Dan yang paling memberangsangkan ialah penyertaan generasi awal belasan tahun ke dalam karoling Krismas walaupun tidak diberi t-shirt karoling, mereka ikut juga. Doa kelompok diadakan sebagai peneguhan iman. Aktiviti mencari dana melalui gotong-royong terus diadakan. 


Tapi pernah ketika gotong-royong sebahagian ahli tertidur di kebun kerana ‘kogutan’. Selepas bekerja, tuan rumah menyediakan makanan dan minuman berbentuk ‘linutau’. Masa itu tumpung belum ‘pemos’.

Karoling Krismas Belia St Peter Pamilaan merentas sawah bendang

Kepimpinan Belia St Peter disusun kemudian pada tahun 1995 dengan Spencer Linus menjadi pengerusi. Pada tahun itu, Spencer bersama Julinah Jonas Bating (sebelum menjadi Sister FSIC) memulakan Kelas Inisiasi Kanak-Kanak (IKK). 

Pengenalan kelas ini dibantu oleh Sr Calista Saliun melalui satu retreat pembimbing IKK yang dihadiri kalangan belia St Peter. Dalam kelas IKK yang diadakan, calon komuni pertama yang paling muda ialah John Francis, berumur tujuh tahun ketika itu. Kini John merupakan guru di SMK Banggi. 


Sr Julie (kanan) bersama Belia St Peter sebelum menjadi Sister FSIC

Bagaimanapun, kelas IKK itu terhenti setahun kemudian apabila Spencer memasuki Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu. Kepimpinan Belia diteruskan oleh timbalannya Irene Marius. Begitupun, tidak berapa lama Irene dihantar berkursus ke Puskat untuk menjadi pembantu katekis.

Kepimpinan Belia St Peter (2001-2002) diteruskan oleh James Jonas Bating. Menurutnya dalam tempoh itu tidak banyak pencapaian menonjol, sekadar meneruskan legasi kepimpinan sebelumnya. 

Bagaimanapun, bilangan belia yang menyertai aktiviti amat menggalakkan sehingga melebihi 50 orang. Antara aktiviti yang pernah dijalankan ialah lawatan ke Wasai Pamilaan dan ke TVRC Tambunan. Akan tetapi bilangan yang ikut serta ke TVRC terhad lantaran kapasiti pengangkutan yang terhad. 



Bas milik Thaddius Sukim Sarat pengangkutan utama Koir St Peter


Ketika itu bas yang digunakan dipandu oleh Charles Sukim Sarat (sebelum menjadi katekis). Belia juga sempat membeli dua buah gitar baharu. Peranan itu beliau tinggalkan selepas setahun untuk mengikuti latihan pergigian di Pulau Pinang.

Tugas pengerusi Belia St Peter diteruskan oleh Stanly Leo. Aktiviti karoling Krismas diteruskan dengan penyertaan menggalakkan dari kalangan belia. Pada tahun 2003, beberapa ahli Belia St Peter mengikuti Seminar Katekatikal di Holly Cross Toboh Tambunan. Selain itu, belia St Peter juga menyertai beberapa seminar kepimpinan belia di paroki St Anthony Tenom. 

Pada tahun 2004, Belia St Peter menghadiri upacara Kaul Kekal Sr Julie J. Bating di St Joseph Papar. Pada tahun ini juga Belia St Peter menganjurkan perayaan Krismas yang mana misanya dipimpin oleh Rev. Fr Francis Dakun.

Menjelang 2006, bangunan Gereja St Peter di Toud mula berpindah secara beransur-ansur ke Lologubon. Perpindahan itu disebabkan oleh tapak sedia ada tidak dapat menampung penambahan bangunan untuk keselesaan umat. 

Tambahan pula, pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak telah memberi kebenaran untuk mengeluarkan sebahagian kawasan simpan padang ragut untuk perumahan penduduk dan pembinaan bangunan awam. Maka sebuah dewan umat mula dibangunkan. 


Di bangunan baharu itu, pada 13 Mei 2006 diadakan Ulang Tahun Keuskupan Keningau Peringkat Paroki Tenom. Perayaan itu dihadiri Rt. Rev. Bishop Cornelius Piong. Ketika itu, Komiti Umat Katolik (KUK) dipengerusikan oleh Sukim Sarat.



Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...