Monday 14 November 2016

Pelajar UPSI persiap jadi pengkarya sastera Kadazandusun

Pelajar UPSI persiap jadi pendidik, pengkarya pelbagai genre sastera
AHLI Jawatankuasa pelaksana program Bengkel Penulisan Kreatif.


Oleh HENRY BATING
TANJONG MALIM (Perak): Sekumpulan 40 pelajar pengajian minor bahasa Kadazandusun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengikuti Program Penulisan Kreatif untuk mempersiapkan diri menjadi pengkarya pelbagai genre kesusasteraan untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.
Pengarah program, Riuh Mendorig memberitahu program itu diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kalangan pelajar menjadi insan kreatif berdaya cipta tinggi untuk menghasilkan pelbagai genre karya yang diperlukan sebagai bahan pembelajaran bahasa dan sastera.
“Graduan apabila ditempatkan menjadi guru di pelbagai sekolah antara lain bertanggungjawab mengajar penulisan esei dan kreatif kepada para pelajar, maka terdapat keperluan untuk mempersiapkan bakal graduan agar terampil menulis dan kreatif menyusun keindahan bahasa,” kata Riuh.

SLOT Bengkel dan ceramah kurikulum baru KSSR dan KSSM yang disampaikan oleh DR. Rosliah.

Pelbagai aktiviti dijalankan bagi melengkapi bengkel itu seperti pertandingan menulis sisindiron (sajak), deklamasi sudawil (syair), pertandingan manangon (dongeng), bercerita kreatif dalam bahasa Kadazandusun, mini sugandoi (nyanyian) dan slot ceramah kurikulum KSSR dan KSSM.
Program yang telah diadakan di Dewan Kuliah UPSI pada Sabtu (12 Nov) itu dikendalikan oleh pensyarah kanan pengajian minor bahasa Kadazandusun, Dr Rosliah Kiting.
Program julung kali diadakan itu dianjurkan Pelajar Program Minor Bahasa Kadazandusun dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan Exco Bahasa Kadazandusun Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (Iksas).
Bengkel itu mendapat sambutan baik dari kalangan peserta sambil menyifatkan program itu telah memperkenalkan kepada mereka kewujudan pelbagai genre kesusasteraan Kadazandusun.
PENYAMPAIAN hadiah kepada pemenang pertandingan deklamasi puisi (sisindiron) dalam Bahasa Kadazandusun.

“Kami bersyukur kerana dapat mengikuti program ini dan ternyata masyarakat Kadazandusun juga memiliki kesusasteraan mereka sendiri seperti sudawil dan sisindiron,” kata Jenifer Michael.
Telmah Tahmeh pula melihat pelaksanaan program itu berjaya mengetengahkan nilai kepimpinan pelajar sebagai bakal pendidik kerana program itu dilaksanakan sepenuhnya oleh kalangan pelajar.
Lesa Kuangin bersyukur kerana melalui program itu kalangan pelajar berpeluang mengetengahkan bakat dalam menghasilkan karya sastera. Manakala bagi Melania Dingkim, tanggungjawab membuat liputan sepanjang pelaksanaan program telah memberikannya pengetahuan mengenai aspek komunikasi dan sebaran media.

PESERTA pertandingan mini sugandoi.




Sunday 13 November 2016

Bahasa Dusun Pra-sekolah Ranau dilancarkan

Dr Joachim lancar kelab bahasa Dusun Tadika Hasanah, Muhibah
LINAH menyampaikan kamus Dusun dan buku Tangon kepada Dr Joachim.

Oleh HENRY BATING
RANAU: Kelab Bahasa Dusun Tadika Hasanah di sini dilancarkan dengan rasminya bersempena dengan Majlis Mini Konvokesyen dan Anugerah Cemerlang Gabungan Tadika Hasanah dan Tadika Muhibah.
Ketika merasmikan kelab itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kewujudan kelab bahasa Dusun di peringkat pra-sekolah amat digalakkan demi melestarikan bahasa ibunda anak-anak.
“Kewujudan kelab bahasa Dusun memberikan kebanggaan yang tersendiri dan usaha seperti ini perlu disokong dan diberi bantuan untuk bergerak,” kata Dr Joachim.
Bagaimanapun, Dr Joachim meminta pengurusan kelab Tadika itu agar dapat bekerjasama dengan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang lebih tersusun dan berimpak kepada masyarakat penutur bahasa Dusun di Ranau.
Hadir sama di majlis itu Pengerusi Gabungan Tadika Hasanah dan Tadika Muhibbah, Annie Shu, Pengerusi Kelab Bahasa Dusun Ranau, Linah Bagu, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Enarty Mill, Pengurusan Tadika Hasanah, Dale Lee, Samsuddin Salamin, Lily Bogu, para ibu bapa dan 49 murid pra-sekolah.
Menurut Linah, Kelab Bahasa Dusun Tadika Hasanah ditubuhkan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak Tadika mempelajari asas kemahiran berbahasa Dusun dialek Bundu Liwan di samping memberi pendedahan tentang pelbagai elemen tradisi dan budaya warisan Dusun yang menjadi identity penduduk Ranau.
Linah menjelaskan kelab itu telah menyusun rancangan sepanjang 2017 termasuk mengadakan kelas asas bahasa Dusun bukan saja di gabungan pra-sekolah itu tetapi juga di tempat-tempat lain dalam daerah.
“Kelab ini juga berhasrat menjalankan kajian berkaitan pakaian, tarian, muzik tradisi dan makanan yang melambangkan identiti Dusun Ranau,” kata Linah yang juga Pensyarah Kanan Pengajian Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidik Guru (IPG), Kent, Tuaran.
Pelbagai aktiviti pentas dan pameran turut diadakan bersempena majlis konvokesyen gabungan pra-sekolah itu.

DR JOACHIM menandatangani carta organisasi Kelab Bahasa Dusun Tadika Hasanah, Ranau.

SALAH satu persembahan kanak-kanak pra-sekolah.


JOACHIM bersama sebahagian lembaga pengurusan pra-sekolah.




Tuesday 8 November 2016

Marylyn dimahkota Miss Senorita Pedalaman 2016

Marylyn ungguli mahkota Miss Senorita Keningau 2016

MARYLYN menangi mahkota Miss Senorita

Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Marylyn Bundoi, 18, dari Kg Nuntunan Apin-Apin muncul sebagai penerima mahkota Miss Senorita yang diadakan gilang-gemilang di sebuah hotel di sini disertai 23 jelitawan dari seluruh daerah bahagian pedalaman baru-baru ini.
Menyusul di tempat kedua ialah Rozelin John, 19, dari Kg Moloson, Tambunan dan ketiga, Flores Cuthbert, 19, dari Kg Papar, Tambunan. Debbie Cheryl Milyus, 22, dari Keningau dinobatkan sebagai Miss Photogenic untuk menyusul di tempat keempat, manakala Josantie Ani, 21, dari Kg 4 Murni, Nabawan menyusul di tempat kelima dan Marisah Joos Mangkil, 19, dari Kg Patikang Ulu, Keningau menang Miss Natural Beauty.
“Pertandingan ini dijalankan bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam dunia peragaan khususnya di kawasan pedalaman Keningau yang turut melibatkan daerah Tambunan, Sook, Nabawan dan Tenom,” kata Pengarah Urusan MG Photography & Bridal House, George Minsun Uradat yang menjadi pengerusi penganjur.
Menurut George, pertandingan itu juga mahu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kalangan artis make-up, pereka fesyen dan jurufoto di seluruh kawasan pedalaman Keningau melalui peserta yang mereka hantar.
Pertandingan itu dianjurkan bersama MG Photography & Bridal House, Make-up Artist (MUA) Keningau Pedalaman dan Janet Bridal Tambunan. Selain hadiah-hadiah utama, terdapat enam lagi gelaran sampingan iaitu Miss FB, Miss Photogenik, Miss Natural Beauty, Miss Friendly, Miss Popular dan Best Dress.
Anugerah khas pengerusi dimenangi Johana John, 19, dari Kg Kadalakan, Keningau dan Miss Friendly dimenangi Eleanora Pius, 18, dari Keningau.
Pemenang menerima hadiah wang tunai RM500, mahkota, sash, jambangan bunga, baucer spa RM200, barangan Mary Kay dan hamper. Pengadilan adalah berdasarkan kriteria kecantikan, kebijakan, catwalk dan disiplin.
Sebelum ini, beberapa aktiviti telah disusun untuk diikuti oleh 15 peserta peringkat akhir meliputi pendakian ke Bukit Tirig Apin-Apin, lawatan ke beberapa tempat seperti tamu Apin-Apin, Taman Bersatu Nuntunan, Tamu Ground Keningau dan Muzium Keningau.
Melalui rentetan aktiviti yang disusun, pihak penganjur meletakkan sasaran untuk memperkenalkan tempat-tempat berkaitan sebagai destinasi kunjungan para pelancong yang berkunjung ke kawasan Keningau.

MARYLYN diapit Rozelin (kiri) dan Flores



Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...