Showing posts with label Kadazandusun. Show all posts
Showing posts with label Kadazandusun. Show all posts

Thursday, 8 December 2022

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

 

Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta
Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018.

Siri IV

KOTA KINABALU: Kalangan guru bahasa Kadazandusun berhadapan tugas berat menggunakan sastera dalam pembelajaran Bidang Estetika (BE) bahasa itu di sekolah peringkat menengah atas.

Pensyarah Kanan Bahasa Kadazandusun Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Henry Bating berkata, tugas berat itu memerlukan keterlibatan pihak perancang kurikulum, panel penyusun buku teks, ahli akademik institusi latihan guru dan kehendak umum masyarakat untuk mencapai keselarasan pendekatan yang dapat diterima bersama.

“Realiti guru bahasa Kadazandusun sekarang setelah mata pelajaran ini diperkenalkan di sekolah sejak 1997 menunjukkan pengajaran dilaksanakan kalangan guru yang belum terlatih sepenuhnya dalam opsyen berkenaan,” katanya.

Dengan menyebut hasil tinjauan Dr Minah Sintian dan Dr Nurjieta Taisin (Prof Madya), Henry berkongsi maklumat bahawa kalangan guru adalah terlatih dalam pelbagai opsyen lain seperti geografi, sejarah, matematik, bahasa Melayu, sains sukan dan bahasa Inggeris.

Kota Marudu 2019 - Dr Henry Bating, Dr Andreas Totu, Dr Jeannet
Stephen dan para penolong penyelidik dalam kajian lapangan UMS.

Sumber kepustakaan itu juga menyebutkan kalangan guru yang ditugaskan mengajar bahasa Kadazandusun sekadar memperoleh latihan jangka pendek kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan IPG Kent serta IPG Keningau.

Bilangan guru terlatih pengajian minor sekolah menengah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pengajian sekolah rendah dari IPG Kent dan IPG Keningau belum mampu mengisi sepenuhnya permintaan sekolah-sekolah.

Data JPNS 2018 menunjukkan bahasa Kadazandusun diajar di 374 sekolah rendah yang melibatkan 40,862 murid, sekolah menengah 45 dengan 5,868 pelajar, dikendalikan 1194 guru dengan pecahan 1100 guru di sekolah rendah dan 94 guru di sekolah menengah.

Kalangan murid yang mengambil bahasa Kadazandusun terdiri dari penutur dialek Bundu, Liwan, Tangaa’, Dusunik, Murutik, Paitanik dan bukan berketurunan Kadazandusun.

Dr Henry Bating (tengah) bersama panel penyusun buku teks
Kadazandusun DBP Kota Kinabalu. 

“Guru memerlukan perancangan kurikulum dan penyusunan buku teks yang memenuhi kesesuaian pelbagai etnik pelajar untuk menyampaikan serta berinteraksi secara kontekstual dengan golongan pelajar setempat,” katanya.

Henry menjelaskan, guru juga perlu memiliki kesediaan mengajar bahasa menggunakan karya sastera pelbagai genre termasuk tangon, sundait, Tudodoi, sudawil, kiaton, tukadan dan hiis.

Seterusnya Henry menegaskan, secara khusus guru perlu memiliki kemahiran menerapkan pelbagai elemen sastera dalam pembelajaran bahasa yang merangkumi unsur intrinsik – tema, amanat, watak dan perwatakan, persoalan, alur, latar, persekitaran dan sudut pandang.

Unsur ekstrinsik yang terdiri daripada biografi, psikologi, pandangan hidup, nilai-nilai murni dan pengajaran.

Struktur fizik yang merangkumi diksi seperti denotatif, konotatif, ambiguiti, homonim, asosiasi, pengimajian, perspektif, tifografi; verifikasi – rima (musikalisasi orkestra), ritma (pertentangan bunyi, tinggi rendah, panjang pendek, kuat senyap), metrum (perulangan kata: statis, irama tetap) dan majas – lambang, metafora.

Juga struktur batin yang terdiri dari tema, nada (suasana, perasaan) dan amanat.

Dr Henry Bating (berdiri tengah), Dr Ramzah Dambul, Dr Andreas
Totu,  Datin Dr Veronica P Atin, Dr Jeannet Stephen  selepas perbincangan UMS dengan USDA

Pengajaran bahasa Kadazandusun merangkumi permintaan kalangan penutur dialek Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Ida’an, Kadayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Nabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungai, Tatana, Tangaa, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon dan Tutung.

Isu perancangan kurikulum, penyusunan buku teks dan cabaran guru dinyatakan Henry ketika mempertahankan kajian bertajuk ‘Pemilihan Karya Sastera Untuk Pembelajaran Bidang Estetika Bahasa Kadazandusun Sekolah Peringkat Menengah Atas’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Henry sejak penghujung 1990-an merupakan penyelidik, penterjemah, editor dan wartawan bahasa Kadazandusun di radio dan surat khabar serta pengulas sastera Melayu di akhbar yang memiliki kesarjanaan bidang Pendidikan Bahasa Kadazandusun peringkat B.A. (Hons) Ed., M.Ed., dan Ph.D.


Wednesday, 7 December 2022

Kurikulum SPM diminta manfaat khazanah kesusasteraan Kadazandusun

 


Siri III

KOTA KINABALU: Pusat Pembangunan Kurikulum (PPK) diminta memanfaatkan khazanah kesusasteraan Kadazandusun dalam pembelajaran di sekolah sebagai persediaan pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pensyarah Kanan Bahasa Kadazandusun Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Henry Bating berkata, realiti itu dapat diperhatikan dalam buku teks KBSM dan sekarang KSSM dalam pembelajaran secara modular Bidang Estetika (BE) Tingkat Empat dan Lima.

“Karya-karya yang terdapat dalam buku teks diperoleh dari responden tertentu serta karya yang dihasilkan sendiri kalangan panel penyusun buku teks,” kata Henry.

Henry menyatakan demikian dalam perbincangan selepas mempertahankan kajian bertajuk ‘Pemilihan Karya Sastera Untuk Pembelajaran Bidang Estetika Bahasa Kadazandusun Sekolah Peringkat Menengah Atas’ di UMS di sini.

Menurut Henry, tinjauan dalam kurikulum bahasa Kadazandusun turut mendapati penggunaan karya sastera hanya dicatat secara umum tanpa menyatakan tajuk khusus karya yang sesuai digunakan untuk rujukan guru memilih bahan pembelajaran dalam kelas dan buku teks.

Tegasnya, analisis Tipologi Protokol Pemilihan Karya (TPPK) 11 karya sastera dari khazanah kesusasteraan Kadazandusun mendapati semuanya sesuai sebagai bahan pembelajaran BE bahasa Kadazandusun sekolah peringkat menengah atas.

DR HENRY BATING

“Sebelas karya yang dipilih secara rawak itu terdiri daripada sebuah novel, tangon (1), cerpen (3), puisi moden (4) dan puisi tradisional (2),” katanya menunjukkan tajuk-tajuk karya berikut:

 


Berbanding karya-karya pilihan panel penyusun buku teks, didapati tiga daripada tujuh karya yang dianalisis kurang sesuai sebagai bahan pembelajaran BE bahasa Kadazandusun SPM. Senarai karya yang sesuai dan tidak sesuai ditunjukkan seperti berikut:



“Perbandingan hasil analisis karya sastera di atas menunjukkan karya-karya dari khazanah kesusasteraan Kadazandusun memiliki skala kesesuaian yang tinggi sebagai bahan pembelajaran berbanding sebahagian karya yang dihasilkan khusus sebagai bahan pembelajaran dalam buku teks,” katanya.

Justeru, Henry mencadangkan PP Kurikulum di Kementerian Pelajaran Putrajaya dapat mengambil kira penggunaan karya-karya dari khazanah kesusasteraan Kadazandusun untuk dicatat dalam kurikulum sebagai rujukan kalangan guru memilih bahan untuk pembelajaran dalam kelas dan penyusunan buku teks.

Henry mengakui, langkah itu memerlukan perubahan dasar membabitkan kewangan, namun itulah halatuju yang perlu diambil dalam pengembangan pembelajaran selepas 20 tahun bahasa Kadazandusun dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

Seperkara lagi jelas Henry, penggunaan genre novel agak rumit, namun bukanlah sukar asalkan kementerian ada keinginan melaksanakannya dengan memilih sebuah novel untuk pembelajaran berkesinambungan dua tahun di Tingkatan Empat dan Lima.

Tinjauan Henry di lapangan mendapati khazanah kesusasteraan Kadazandusun yang sudah diterbitkan lebih dari mencukupi sebagai sumber pemilihan karya secara berkala sekali dalam tempoh beberapa tahun.

Rekomendasi itu turut didukung hasil observasi Henry sejak 1990-an sebagai penyelidik, editor, wartawan dan penterjemah bahasa Kadazandusun di radio dan akhbar, pengulas sastera Melayu di akhbar dan kini kesarjanaan dalam bidang Pendidikan Bahasa Kadazandusun di peringkat B.A. (Hons) Ed., M.Ed., dan Ph.D.


Tuesday, 6 December 2022

Penggiat seni sastera etnik Borneo hasilkan kaedah analisis karya

SPES I MATUNGGONG 2017: Dari kiri Timbalan Ketua Pengarah DBP Malaysia,
Dr Henry Bating dan Dr Kusni Sulang (dari Kalimantan Tengah, Indonesia)

Siri II

KOTA KINABALU: Kalangan penggiat seni sastera etnik Borneo (Sabah dan Sarawak) berjaya menghasilkan kaedah pemilihan karya sastera untuk pembelajaran Bidang Estetika (BE) bahasa Kadazandusun peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengasas Kelab Penulis KDM (kemudian Pertubuhan Penulis Momogun Malaysia – MOMOGUNSIA) Dr Henry Bating menyatakan kaedah beserta prosedur pemilihan karya itu disebut Tipologi Protokol Pemilihan Karya (TPPK).

“Gerakan kesenian dan kesusasteraan etnik dalam MOMOGUNSIA telah memberikan inspirasi dan dukungan secara langsung dalam penyusunan TPPK,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Bahasa Kadazandusun PPIB Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penggiat Media Labuan: Dr Henry (kiri) bersama rombongan 
jalinan media Langkawi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan

Henry, Penggiat Media Pendidikan Bahasa dan Sastera Kadazandusun menyatakan demikian selepas mempertahankan kajiannya bertajuk “Pemilihan Karya Sastera Untuk Pembelajaran Bidang Estetika Bahasa Kadazandusun Sekolah Peringkat Menengah Atas’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Dalam kajian itu, Henry membentangkan TPPK sebagai suatu kaedah yang mengandungi enam indikator beserta 133 sub indikator untuk menganalisis kesesuaian kandungan karya sastera sebagai bahan pembelajaran menerusi prosedur lapan langkah Conventional Content Analysis (CCA).

“Hasil analisis dikira mengikut frekuensi dan dirangkum berdasarkan peratusan untuk menentukan skala kesesuaian suatu karya sastera sebagai bahan pembelajaran,” katanya dengan menyebutkan enam indikator terdiri dari bahasa, sastera, guru, pelajar, kurikulum dan budaya masyarakat.

Menurut Henry, TPPK disusun berdasarkan data-data naratif 61 sumber kepustakaan umum, 28 sumber kepustakaan khusus Kadazandusun dan 35 informan guru bahasa Kadazandusun sekolah Tingkatan Empat dan Lima.

Validiti TPPK diperoleh menerusi semakan ahli sementara reliabiliti diperoleh berdasarkan analisis kandungan karya-karya dalam buku teks dan khazanah kesusasteraan Kadazandusun.

DR HENRY BATING

Henry menyebutkan, antara sumber kepustakaan khusus kajian ialah Dr Ramzah Dambul (Datuk Prof Madya), manakala semakan ahli dijalankan Dr Nurjieta Taisin (Prof Madya), Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing dan Dr Raymond Majumah @ Azlan.

Turut membantu memberi input tentang senarai karya cadangan pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) bahasa Melayu ialah Witer Gunik.

Analisis TPPK ke atas tujuh (7) karya dalam buku teks mendapati empat karya sesuai manakala tiga karya lagi tidak sesuai sebagai bahan pembelajaran BE bahasa Kadazandusun SPM.

Tiga karya dirumus tidak sesuai kerana elemen indikator budaya masyarakat sekadar mencapai skala kurang memuaskan, tidak memuaskan dan tidak berkaitan.

Hasil kajian dan pembentangan dinilai panel pakar pendidikan bahasa dan sastera dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan pembentangan tersebut, Henry melengkapkan kesarjanaan pendidikan bahasa Kadazandusun dengan kajian ‘Fonologi Bahasa Kadazandusun’ di peringkat Ijazah Sarjana Muda, ‘Pengajaran Bahasa Kadazandusun Elektif’ di peringkat Sarjana dan ‘Sastera dalam Pembelajaran Bahasa’ di peringkat Ph.D.


UNIVERSITAS NEGERI JAKARTA 1994-97: Dr Henry Bating (kanan)


Monday, 5 December 2022

Kelemahan Budaya Masyarakat Dalam Sastera Kadazandusun SPM

DR HENRY BATING

KOTA KINABALU: Tinjauan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati elemen budaya masyarakat dalam pemilihan karya sastera buku teks bahasa Kadazandusun Tingkatan Empat dan Lima kurang diperhatikan.

Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun PPIB UMS Dr Henry Bating berkata, elemen budaya masyarakat dalam karya sastera merupakan antara komponen pengetahuan yang harus diperoleh pelajar dalam pembelajaran Bidang Estetika (BE) bahasa Kadazandusun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kelalaian mengambil kira elemen budaya masyarakat dalam karya menyebabkan pelajar kekurangan sumber tentang cerminan budaya masyarakat ketika belajar berkomunikasi menggunakan bahasa Kadazandusun yang indah dan bersopan santun," katanya.

Memetik pelbagai sumber kepustakaan dan temu bual, Henry menyatakan, antara elemen indikator budaya masyarakat Kadazandusun ialah ritual padi, mistik Kinabalu, legenda Nunuk Ragang, adat, Sogit Anak Negeri Sabah dan Bobolian.

Turut mendukung elemen budaya masyarakat ialah pandangan dunia, kearifan etnik, cara hidup, persekitaran setempat, pribumi Sabah, flora dan fauna, landskap fizikal dan petempatan.

Manakala elemen geografi turut merangkumi biogeografi perubatan, gastronomi (kekayaan sumber dan bahan hidangan tradisi), geomorfologi (sains tanah dan bumi), orografi (bentuk muka bumi) dan ilmu cuaca dan iklim.

Elemen kesenian dalam budaya masyarakat turut melibatkan  seni tradisi nyanyian, tarian, alat muzik, gong, kraftangan, kehidupan kuno, cara hidup positif dan Kadazandusun dalam konteks global.

Menurut Henry, himpunan pengetahuan dalam elemen tersebut seharusnya dimiliki pelajar untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa Kadazandusun yang indah, sopan dan berestetika.

Henry menyatakan demikian ketika membentangkan rangkuman kajian penggunaan sastera dalam pembelajaran BE bahasa Kadazandusun sekolah peringkat menengah atas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Menurut Henry, kekurangan elemen budaya masyarakat dalam karya-karya buku teks diperoleh hasil dapatan analisis Tipologi Protokol Pemilihan Karya (TPPK) sastera dalam sebuah buku teks bahasa Kadazandusun SPM.

Topik tersebut merupakan sebahagian kesarjanaan Henry yang telah memfokuskan kajian dalam bidang pendidikan bahasa dan sastera Kadazandusun bermula dari peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan sehingga Ph.D.

Monday, 23 November 2020

PPBM sokong etnik KDM anggotai Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

JEROME MIJIN

LABUAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) WP Labuan menyokong penuh semakan semula ke atas komposisi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang dikatakan tidak menggambarkan perwakilan masyarakat niaga dan penduduk pulau ini.

Ahli Jawatankuasa Bahagian PPBM Labuan Jerome Mijin berkata pihaknya juga  telah menyuarakan tentang cadangan perkara ini kepada Ketua Bahagian PPBM Datuk Suhaili Abdul Rahman  untuk memberi ruang etnik KDM di Labuan menganggotai senarai Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.

“Kita perlu mengambil kira perwakilan semua parti sekutu Perikatan Nasional (PN) termasuk kepelbagaian etnik yang ada di Labuan,” kata Jerome yang juga Ketua Cawangan PPBM Victoria Selatan.

Jerome berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Peter Mak yang menyifatkan Ahli Majlis Penasihat Penasihat Labuan yang baru mengangkat sumpah tidak mencerminkan representasi etnik masyarakat niaga dan politik di sini.

Jerome menegaskan, tiada sebab mengapa wakil dari etnik Kadazan Dusun Murut (KDM) dipinggirkan dari menganggotai majlis tersebut kerana sebelum PRU14 etnik berkenaan mempunyai wakil selama tiga penggal berturut-turut.

Majlis Penasihat Perbadanan Labuan tidak mencerminkan
komposisi etnik niaga dan penduduk Labuan

Jelas Jerome lagi, seharusnya tiada parti politik sekutu PN di peringkat Persekutuan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat Negeri Sabah yang dipinggirkan menduduki majlis berkenaan.

Menurut Jerome, sebelum menyertai PPBM, pihaknya dengan kerjasama parti-parti komponen lain termasuk PBS telah menjadi sebahagian kekuatan calon Barisan Nasional (BN) – UMNO yang memenangi kerusi Parlimen Labuan.

“Kerjasama itu akan terus menjadi kekuatan kepada calon PN atau Muafakat Nasional (MN) pada PRU15 yang bakal diadakan kurang dua tahun dari sekarang,” katanya.

Justeru, jelas Jerome adalah penting semua sekutu parti politik dalam kerajaan sekarang diwakili dalam majlis pengambilan keputusan seperti Perbadanan Labuan yang menjadi pihak berkuasa tempatan di sini.

Etnik KDM dalam Majlis Penasihat Perbadanan Labuan sebelum ini diwakili Datuk Peter Mak dari PBS selama dua penggal dan seterusnya mantan Ketua Bahagian UPKO Datuk Ronald James Majaing selama satu penggal.

Dalam kenyataan Peter sebelum ini, beliau menegaskan, meskipun Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berhak membuat keputusan namun komposisi ahli majlis penasihat seharusnya mengambil kira kepelbagaian kaum yang menjadi entiti perniagaan dan politik di Labuan.

“Masyarakat KDM perlu mempunyai wakil kerana etnik itu membentuk kira-kira 15,000 penduduk Labuan yang terlibat dalam perniagaan, baik sebagai usahawan, peniaga, penjaja mahupun pekerja pelbagai sektor,” katanya.

Anggota majlis penasihat yang mengangkat sumpah ialah pengerusi Senator Datuk Bashir dari UMNO bersama enam anggota yang terdiri daripada Haji Hamid Zahri (PAS), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PPBM), Dayang Raynie Datuk Mohd. Din (NGO), Datuk Wong Kii Yii (Dewan Perniagaan Tionghua), Datuk Dhalif Singh (Dewan Perniagaan India) dan Ghani Yunos (Pegawai Khas Menteri Wilayah).

Tuesday, 12 February 2019

Miss Cultural Ambassador Utara Sabah


Miss Cultural Ambassador tampil 14 jelitawan tradisi etnik utara Sabah


Oleh HENRY BATING
dan BENJOHN SIMBAKU
12/2/2019

KOTA MARUDU: Grand Final Miss Cultural Ambassador 17 Feb ini bakal 
ALICE
menampilkan 14 finalis jelitawan merebut kejuaraan tiga daerah merangkumi Pitas, Kota Marudu dan Kudat untuk membawa cabaran ke peringkat negeri kelak.

Pengerusi penganjur Alice Bongol berkata pertandingan yang diadakan di Dewan Komuniti itu bertujuan mengetengahkan pakaian tradisional etnik tiga daerah berkenaan yang diadun dengan fesyen moden.

“Pertandingan ini juga bertujuan untuk membuka ruang kepada beliawanis untuk menguasai kemahiran tampil di hadapan ramai,” katanya.

Dari 14 finalis tiga daerah bahagian utara Sabah, Kota Marudu mengenakan lapoi Kimaragang, Matunggong sudah pasti mempertaruhkan sumuni yang sinonim dengan pakaian tradisi Rungus manakala Pitas dan Tandek bakal menggayakan lapoi Kimaragang dan pakaian tradisi Kadazan Penampang.

Menurut Alice, malam gala grand final yang menjadi medan memilih tiga pemenang akan mewakili tiga daerah utara Sabah, dijangka menarik kehadiran ramai beserta tetamu kenamaan, artis, para penggiat seni dan beberapa pemenang Unduk Ngadau tahun lalu.

“Pemilihan ratu budaya bertemakan ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian Budaya’ ini juga mahu memperkenalkan keunikan serta keharmonian budaya dan kesenian pelbagai etnik di utara Sabah,” kata Alice.

LIMA dari 14 finalis
Alice yang berpengalaman mengendalikan majlis serupa di samping menjadi juri dalam beberapa Unduk Ngadau anjuran KDCA berharap pertandingan itu dapat mengeratkan persefahaman dan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negeri ini.

Pada majlis itu, turut memperagakan kemahiran ialah kalangan penggiat fesyen, jurusolek, pendandan rambut, salon serta produk kecantikan bagi menjadikan bidang kesenian itu sebagai salah satu bidang usaha kalangan generasi muda demi menampilkan kreativiti yang lebih kompetitif dan inovatif.

Kalangan 14 peserta akhir itu ialah Rina Rescey Dizuan, Liezl Mapili, Steffi Ma Mei Ting, Nor Lindianawati Lumatun, Estessi Blasé Martin, Lucia Banggangon, Shonnia Buchai, Vianna Dennia, Crystal Chong, Stella Henry, Madelline Jetin, Charlie Khung Pau Tze, Alicether Ainie Grace Mobie dan Evanna Crystal Angki.

Presiden Pertubuhan Rungus Malaysia Datuk Wetrom Bahanda dijangka menjadi tetamu kehormat dan merasmikan pertandingan tersebut, seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

SEMBILAN dari 14 finalis




Saturday, 5 January 2019

Penduduk Pamilaan sambut khidmat masyarakat pelajar UPSI


Khidmat Masyarakat UPSI tingkat tanggungjawab sosial masyarakat kampung

 
BALASIUS melakukan gimik perasmian menanam benih langsat 
diperhatikan dari kanan KK Johnny, WKAN Aloysius, 
Sukim, Minah dan Caronica.

Siri II (Akhir)
Oleh HENRY BATING
1 Ogos 2014

KHIDMAT Masyarakat di Kampung Pamilaan, Tenom 23-27 Julai 2014 telah memberi impak signifikan kepada 17 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, kalangan murid SRK St Pius dan penduduk kampung.

Kalangan pelajar UPSI melewati pengalaman praktikal pengamalan bahasa Kadazandusun dalam konteks masyarakat tutur, pengetahuan bahasa dalam aspek pragmatik, etimologi perkataan, unit perlambangan (sign, signified and signifier), sosiolinguistik, rujukan perbendaharaan kata pada alam fauna dan flora serta pedagogi.

PELAJAR UPSI menyampaikan puisi berkumpulan mengenai 
pengalaman khidmat masyarakat.

Kalangan murid SRK St Pius memperoleh kesempatan berinteraksi dalam suasana pembelajaran tidak formal di luar persekitaran sekolah yang menyeronokkan. Kalangan murid ternyata asyik dengan keadaan belajar tanpa pakaian seragam, dalam rumah-rumah tradisi dan pada halaman perkampungan yang menjadi dunia kehidupan semulajadi mereka. 

Kemampuan pelajar UPSI yang sememangnya dalam pengajian pendidikan menerapkan ilmu mendidik berjaya menarik perhatian murid-murid. Tambahan pulu topik-topik yang disediakan adalah berkaitan dengan ilmu pengetahuan mengenai budaya, tradisi dan identiti masyarakat yang disesuaiakan dengan Kurikulum Bahasa Kadazandusun.

HADIAH sempena Malam Pelajar UPSI-SRK St Pius Pamilaan.

Penduduk kampung meliputi ibu bapa, kanak-kanak dan belia mengalami satu anjakan paradigma hasil komitmen mereka menjadi tuan rumah khidmat masyarakat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu. Jadual mitatabang (gotong royong) dari keluarga ke keluarga dibatalkan sama sekali untuk menampung masa menyediakan ruang kondusif pelajar UPSI menjalankan khidmat masyarakat.

Kalangan ibu bapa mengikuti sepenuhnya program-program khidmat masyarakat yang dijalankan untuk menaungi, mengiringi dan menemani pelajar. Anak-anak turut serta pelajar dalam kebanyakan interaksi dalam rumah dan pergerakan di tempat-tempat ramai. 

Malahan penduduk kampung menyedari sepenuhnya tanggungjawab sosial mereka untuk memastikan perjalanan program dapat berjalan lancar.

KELUARGA angkat ketika majlis penutupan.

Kalangan pemimpin masyarakat Kampung Pamilaan memberi sokongan penuh dengan melibatkan diri dalam pelaksanaan program itu. Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kawasan Melalap, Balasius Masuning menjadi tetamu kehormat merasmikan Majlis Penutupan Khidmat Masyarakat itu. 

Ketua Kampung, KK Johnny Borok menyambut kedatangan rombongan pelajar dan seterusnya menyerahkan kepada keluarga angkat yang telah ditentukan. Turut hadir sepanjang program ialah WKAN Aloysius Duringgon dan Pengerusi JKKK, Clarence Elip.

Sumber kewangan dan tenaga yang diperlukan sepanjang pelaksanaan program ditaja sepenuhnya oleh penduduk kampung. Augustine Linus Pawi menaja Majlis Suai Kenal dan sesi belajar Sompoton serta memalu gong di rumahnya. 

BERSAMA keluarga angkat berekreasi di Wasai Pamilaan.

KUK St Peter meminjamkan ruang dewan dan rumah-rumah tradisi sebagai tempat interaksi belajar dan mengajar tanpa bayaran. Cikgu Stephen Malujin menaja sepenuhnya Malam Pelajar UPSI-SRK St Pius beserta penduduk yang melibatkan pelbagai aktiviti kanak-kanak.

Beberapa keluarga terdiri daripada Marinus Batik, Frederick Kintang dan Julian Kayug mengizinkan sawah padi dan kebun mereka dijadikan tapak mempraktik kemahiran bersawah dan mencari sumber sayur-sayuran. 

Dan yang lebih penting adalah kesatuan kalangan Belia Pamilaan Villa menjadi pemandu kepada rombongan pelajar ke setiap lokasi khidmat masyarakat.

Golongan Belia kira-kira 20 orang diketuai Ignatius Elip turut menunjukkan kerja keras mempersiapkan perjalanan Ekspedisi Wasai (Air Terjun). 

BELIA PV bersama pelajar UPSI selepas sesi menyabit padi.

Kalangan Belia sekurang-kurangnya mengambil masa tiga kali mempersiapkan jalan lasak menuju ke wasai dan membersihkan persekitaran riadah, rekreasi dan mandi-manda di wasai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari perkampungan.

Tenaga Belia telah menjadi faktor penting pelaksanaan ekspedisi lantaran kemudahan infrastruktur untuk mengangkat lokasi berkenaan menjadi destinasi pelancongan belum tersedia. 

Selepas ekspedisi itu, kalangan Belia turut memprakarsai perlawanan bola tampar persahabatan bersama rombongan pelajar UPSI.

Keesokannya, Valentine Kongor menjadi penaja kepada program makan tengahari selepas rekreasi Piolungan (pertemuan dua batang sungai). 

Valentine juga menjadi tuan rumah kepada kalangan pelajar menjalankan latihan lagu-lagu nostalgia Kadazan 60-an. Malam itu adalah kemuncak program Khidmat Masyarakat.

BERSAMA penduduk mandi-manda di Wasai Pamilaan.

Ahli korporat kampung itu, Sukim Sarat telah menjadi penaja kepada Majlis Penutupan Khidmat Masyarakat. Tajaan meliputi penggunaan Dewan Pisompuruan milik peribadi, penyediaan makan malam, persediaan pentas dengan segala peralatan sistem bunyi dan hiburan. 

Acara utama majlis dikendalikan pelajar dengan membentangkan laporan aktiviti selama mengadakan Khidmat Masyarakat.

Keseluruhan tajaan penduduk kampung bagi membiayai pelaksanaan Khidmat Masyarakat 17 pelajar UPSI 23-27 Julai itu dianggarkan RM5,000. 

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Minah Sintian dalam ucapannya telah menyampaikan rasa penghargaan bagi pihak universiti atas sambutan dan pengorbanan penduduk kampung memastikan program Khidmat Masyarakat itu berjaya.

MENIKMATI kedinginan semulajadi sungai belum tercemar.

Selaku penduduk kampung ketika merasmikan majlis penutupan program itu, Balasius berharap apa yang ada di kampung itu telah dapat membantu pelajar mencapai objektif program mereka. 

Balasius juga berharap, UPSI pada masa-masa akan datang dapat menghantar rombongan pelajar angkatan yang seterusnya untuk menjalankan khidmat masyarakat di kampung itu. End

PELAJAR St Pius turut serta dalam ekspedisi wasai.
SINURAMBI pondok menghalau burung pipit di sawah padi.
INTERAKSI belajar pelajar UPSI-St Pius Pamilaan.
KEMAHIRAN menghempas padi menanggalkan butir padi dari tangkai.
INTERAKSI belajar pelajar UPSI-St Pius Pamilaan.
Kelas di rumah-rumah tradisi St Peter

Pelajar UPSI, murid St Pius perkukuh bahasa ibunda


Khidmat Masyarakat Pelajar UPSI tingkat keberkesanan pedagogi


BELAJAR membunyikan sompoton
Siri I (dari 2 siri)
Oleh HENRY BATING
29 Julai 2014


PERIBAHASA China yang menyebutkan, “saya mendengar dan saya lupa, saya melihat dan saya ingat, saya berbuat dan saya mengerti” telah menjadi inspirasi kepada sekumpulan 17 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak menjalankan program Khidmat Masyarakat di Kampung Pamilaan, Tenom 23-27 Julai 2014.

Kelompok pelajar pelbagai jurusan yang baru menghabiskan tahun pertama pengajian dengan mengambil Minor Bahasa Kadazandusun itu berharap, pengalaman tinggal di kampung dapat membantu mereka memperkaya sumber perbendaharaan kata. 

Kalangan pelajar itu juga berharap, pengalaman berinteraksi dengan kira-kira 50 murid tahap dua SRK St Pius Pamilaan dapat membantu mereka meningkatkan keberkesanan pedagogi bahasa.

MENINGKATKAN kemahiran memalu gong

Harapan tersebut dinyatakan Pengarah Program, Caronica Dominic (pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi) ketika menyampaikan ucapan pengenalan majlis suai kenal di rumah kediaman Augustine Linus Pawi. 

Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok yang menyambut kehadiran rombongan itu amat mengalu-alukan pelaksanaan program berkenaan di kampung itu.

“Kami sama seperti kampung-kampung lain dalam konteks penerimaan agihan pembangunan kerajaan. Namun suasana di kampung ini diharap dapat membantu mencapai matlamat pelaksanaan program khidmat masyarakat pelajar universiti. Apa yang saya pasti, penduduk di kampung ini bersedia membantu pelajar UPSI menyediakan ruang yang sesuai untuk melaksanakan program. Di samping itu, kami juga berharap suasana persekitaran alam yang ada di kampung ini memiliki kesesuaian dengan program pelajar,” kata Johnny.

BELIA Pamilaan Villa bersama 17 pelajar UPSI

Kesemua 17 pelajar yang mengadakan Program Khidmat Masyarakat bertema ‘Bangsaku, Kesayanganku’ itu berasal dari pelbagai daerah di Sabah. 

Caronica dan Alleysia Bitol berasal dari Tambunan, Sairey Biterlis (Keningau), Soccia Hanial, Clayviona Thomas, Juni Dikul, Cyrus Shaftang dan Janura Jahan (Ranau), Nurjilah Tialus, Edrena Rainal, Era De Sunrise Simon, Wendie Victoria, Kelly Robert dan Velnnye John (Kota Belud), Marwenia Mikin (Kota Marudu), Elizabeth Gohun (Tamparuli) dan Sylvia Olga (Telipok).

Kalangan pelajar itu dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan tinggal bersama keluara angkat. 

Caronica, soccia, Nurjilah dan Sairey tinggal bersama keluarga Puan Beatrius Saitim Ajiloh. Clayviona, Juni, Edrena dan Marwenia menjadi anak angkat kepada keluarga Valentine Kongor. Sylvia, Era, Elizabeth, Cyrus dan Wendie menjadi anak angkat kepada keluarga Paulus Elip Masuning. Manakala Kelly, Alleysia, Velnnye dan Janura menjadi anak angkat kepada keluarga Augustine Linus Pawi.

MENGHALAU burung di sawah padi

Hari pertama diisi dengan majlis suai kenal, penyerahan pelajar kepada keluarga angkat, latihan memalu gong, membunyikan sompoton dan seruling. Hari kedua melibatkan tiga segmen akitiviti.

Sebelah pagi, momuhau (menghalau burung di sawah padi), manantab (menyabit padi), palapos parai (menghempas tangkai padi), mokisoko (mencari rebung bambu), mokibogung (memetik tandan buah salak) dan mokituntumundok (memetik pucuk ubi). Lewat tengahari adalah interaksi dengan sekumpulan kira-kira 50 pelajar tahap dua SRK St Pius Pamilaan di enam buah venue rumah tradisi Pamilaan Villa.

MENYABIT padi sawah

Interaksi melibatkan enam slot di setiap venue. Sebelum slot pertama, mukidamah perkenalan dijalankan dengan meminta setiap pelajar membuat lukisan imej yang mereka pilih untuk kemudian ditafsirkan bersama. 

Dalam slot pertama, diberikan teori asal-usul bahasa, etnik dan subetnik Kadazandusun. Slot kedua, berkaitan berkaitan definisi dan fungsi Bobolian, slot ketiga, mitos mengenai Huminodun, Kinorohingan dan Suminundu, slot keempat, menyanyi, slot kelima definisi, fungsi dan signifikan Kaamatan. Slot keenam ialah tarian. Semua slot diperkukuhkan aktiviti kuiz.

Pada malam hari kedua itu ialah Malam Pelajar UPSI bersama murid-murid St Pius dan masyarakat kampung Pamilaan. Majlis itu diadakan di rumah kediaman Cikgu Stephen Malujin. 

Malam itu diserikan dengan pelbagai kesenian seperti Sugandoi Kanak-kanak (pertandingan menyanyi), sundait (teka-teki), sisindiron (puisi) dan cabutan tiket bertuah.

MENCARI rebung pada rimbunan bambu

Hari ketiga diisi dengan Ekspedisi Wasai (Air Terjun) yang melibatkan kembara merentas jalan lasak menaiki kenderaan pacuan empat roda, berjalan kaki meredah denai hutan dan berkelah. 

Dalam perkelahan yang sejuk dan teduh, pelbagai kegiatan dijalankan. Antaranya mandi-manda, meluncur, membuat terjunan, memanjat tebing, menuruni tembok batu, memasang unggun api, memasak dan menjamu selera.

Selepas dua jam di perkelahan, rombongan lebih 100 orang kembali ke perkampungan dan belia beserta kalangan pelajar UPSI mengadakan perlawanan persahabatan bola tampar. 

Penyediaan venue perkelahan dan perjalanan ke lokasi merupakan inisiatif dan sumbangan tenaga sepenuhnya oleh kalangan Belia Pamilaan Villa diketuai Ignatius Elip.

MEMETIK pucuk ubi

Hari keempat diisi dengan rekreasi pelajar di Piolungan (pertemuan dua batang sungai) Pamilaan dan Tailaan. Dalam rekreasi itu pelajar menyiapkan sebuah puisi setiap seorang dan satu rencana setiap kumpulan. 

Puisi dan rencana memaparkan pengalaman pelajar selama tinggal bersama penduduk Kg Pamilaan. Lewat tengahari, pelajar dijamu makan tengahari oleh keluarga Valentine Kongor dan menyusul selepas itu adalah latihan koir lagu-lagu nostalgia Kadazan 1960-an.

Pada malam itu merupakan kemuncak program iaitu Majlis Penutupan rasmi Program Khidmat Masyarakat Pelajar UPSI di Dewan Pisompuruan Sarat yang ditaja sepenuhnya oleh ahli korporat kampung itu, Sukim Sarat. 

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) kawasan Melalap, Balasius Masuning. Turut hadir Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Puan Minah Sintian, WKAN Aloysius Duringgon, KK Johnny Borok dan Pengerusi JKKK Kg Pamilaan Ulu, Clarence Elip. Bersambung Siri II (akhir).

PELAJAR UPSI bersama sebahagian murid tahap dua SRK St Pius Pamilaan

DARI kanan Sukim, Minah, Balasius (tetamu kehormat), KK Johnny dan WKAN Aloysius

BELIA PV jadi tulang belakang ekspedisi wasai (air terjun)

CARONICA (pengarah program) bersama anak sebuah keluarga angkat

MALAM perpisahan pelajar UPSI di Pamilaan








Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...