Sunday 2 February 2020

Sr. Dora Obod, FSIC


Saya lahir dalam keluarga tidak beragama, tinggal bersama keluarga bukan Kristian, kata Sr. Dora Obod, FSIC



Saya Dora Obod, lahir di Kg. Lumadan Beaufort awal 1970-an. Tetapi kemudian
Sr Dora
keluarga kami berhijrah ke Tenom pada awal 1980-an, tinggal di Batu 15 Kg Pamilaan dan kemudian menetap di Kg Pangalat sehingga ke hari ini. Berketurunan suku kaum Dusun Liwan, kedua ibu bapa saya berasal dari Tambunan.


Saya mendapat Pendidikan awal di SRK St.Pius Pamilaan Tenom dari Tahap 1 hingga ke Tahap 6. Kemudian saya melanjutkan pendidikan ke SM St. Anthony Tenom dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5. Jadi semua Pendidikan saya berawal dari sekolah ‘mission’.

Ketika di sekolah rendah, saya tinggal bersama saudara-mara yang beragama Islam. Ini kerana rumah kami jauh dari sekolah. Semasa di sekolah menengah, saya tinggal di asrama yang dikendalikan Gereja, di mana setiap hari saya melihat para sister dan paderi. Saya juga mengikuti misa kudus harian meskipun waktu itu saya tidak faham tentang perayaan misa.

Bermula di sini saya belajar banyak perkara tentang iman seorang Katolik sehinggalah saya dibaptis ketika berumur 15 tahun. Maka bermula di sini saya tertarik untuk lebih mendalami kehidupan sebagai seorang sister.

Ketika saya mendengar para sister berdoa samada pagi atau petang, itu seperti satu ‘echo’ yang menyenangkan hati. Meski saya tahu selama lima tahun tinggal di asrama, saya cukup melihat bagaimana kehidupan seorang paderi dan sister. Kehidupan yang boleh saya katakan ‘kudus dalam ketidaksempurnaan’. Sekarang setelah bertahun hidup sebagai seorang sister, saya lebih memahami maksud ketidaksempurnaan itu.

Sr Dora bersama sebahagian ahli keluarga

Saya merupakan anak ke-10 dari 14 adik beradik yang terdiri dari 5 lelaki dan 9 perempuan. Tetapi Tuhan memanggil lebih awal dua kakak dan seorang adik lelaki kami. Maka kini kami ada 11 orang sahaja.

Saya bersyukur kepada Tuhan untuk kedua ibu bapa yang sangat tabah membesarkan dan mendidik kami. Keadaan keluarga yang besar mengajar saya untuk hidup dalam kesederhanaan.

Saya sangat memahami erti kehidupan saat tidak mempunyai apa-apa. Apapun saya tetap bersyukur kerana kekurangan ini adalah satu cara untuk saya selalu menghargai kehidupan ini.

Saya lahir dalam kelurga yang tidak beragama tetapi penuh dengan peraturan tradisi yang mengamalkan kepercayaan yang saya kenal sebagai ‘komburongoh’.

Saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya erti dan peranan ‘komburongoh’ dalam kelaurga saya. Setahu saya, bila saja ada anggota keluarga yang sakit, ayah dan datuk pasti menggunakannya untuk menyembuhkan kami.

Waktu itu, ‘komburongoh’ merupakan ‘benda’ yang harus dipercayai dan merupakan ‘kawan’ dalam kesusahan kami.

Maka tidak hairanlah, YESUS tidak pernah ada dalam keluarga kami kerana keluarga kami langsung tidak mengenali-Nya. Malah hidup saya sendiri dikelilingi oleh saudara-mara yang beragama Islam. Saya juga pernah diajar tentang agama Islam ketika masih tinggal bersama dengan saudara-mara saya.

Semua pengalaman hidup ini bagi saya merupakan sesuatu yang tidak terduga di mana suatu hari nanti saya akan menjadi seorang pelayan Tuhan sebagai ‘sister’.

Sr Dora jadi penggerak Sabah Youth Day

Semasa kecil, saya berfikir bahwa hidup ini cuma makan, tidur, bekerja, jadi dewasa, kahwin dan mati. Itu sahaja lalu hidup ini akan berlalu. Saya masih ingat ketika berusia enam tahun, adik lelaki kami meninggal secara tiba-tiba.

Saya melihat ibu dan adik-beradik saya menangis sedih tetapi saya langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan tentang kehilangan itu. Malahan saya mengajak kawan-kawan sebaya bermain.

Dua minggu selepas penguburan adik, tiba-tiba saya merasa amat rindu dengannya dan saat itu barulah saya merasakan suatu kehilangan yang amat menyedihkan. Saya menangis kepedihan dan tidak mengerti apa yang saya rasakan saat itu.

Yang pasti perasaan kehilangan itu selalu hadir pada 2 Nov dan peritiwa itu sepertinya menghantui saya sehinggalah 2012. Akhirnya saya dapat menerima dan melepaskannya pergi kerana percaya adik kami sudah berada di syurga. 

Kematian adik kami telah membawa keluarga saya mulai mendalami iman Katolik melalui katekis yang juga ayah kepada Sr. Julie Bating, FSIC. Bermula saat itu keluarga kami seorang demi seorang menerima Yesus dalam hidup mereka.

Saya berusia enam tahun ketika  pertama kali mendengar doa Bapa kami dan doa Salam Maria didoakan. 

Merenung semua ini saya berfikir bagaimana Tuhan memanggil seseorang yang lahir tanpa mengenal-Nya dan hidup sebagai orang muda yang ‘suka bersosial’. 

Jika dibandingkan dengan adik-beradik saya yang lain, saya akui saya bukan anak yang baik apa lagi kalau dikatakan sebagai orang yang kudus. Malah saya sangat tidak layak untuk menjadi pelayan-Nya.

Orang-orang sering mengaitkan bahwa yang dipanggil untuk menjadi Sister, Brother atau Paderi adalah orang-orang yang baik-baik belaka. Segelintir orang mungkin mengatakan ‘ya’ tapi saya secara peribadi percaya Tuhan memanggil seseorang kerana Dia memanggil orang itu tanpa syarat.

Saya sendiri percaya Tuhan memanggil saya bukan kerana saya mampu, berbakat atau apa yang ada pada saya. Namun demikian saya yakin dengan apa yang dikatakan St.Francis de’ Assisi, “Tuhan tidak dapat mencari orang yang lebih berdosa, penuh kelemahan dan kekurangan selain saya.”

Saya percaya Tuhan melihat apa yang ada dalam hati seseorang. Maka ia bergantung kepada seseorang itu untuk memilih sesuai dengan kemampuannya. 

Secara peribadi, saya sedar penilaian manusia memang tidak melayakkan saya tapi Tuhan tahu saya masih boleh melakukan sesuatu yang bererti bagi-Nya dan sesama.

Saya percaya dan yakin “batang paip yang buruk dan berkarat masih boleh menyalurkan air yang bersih dan memberikan kehidupan kepada yang memerlukan air”.   


Menyahut panggilan Tuhan memerlukan DOA dan RENUNGAN. Ini akan membantu seseorang untuk mendengar suara Tuhan dalam dirinya, tetapi juga memerlukan keterbukaan hati dan keberanian untuk menerima diri seadanya.

Panggilan Tuhan adalah ‘karya Tuhan’ dalam hidup seseorang. Seseorang yang dipanggil akan berkarya bagi Tuhan seumur hidupnya. Justru itu panggilan bukan suatu pekerjaan semata-mata melainkan suatu bentuk kehidupan yang dialami, dirasai, dihayati dan dihidupi dalam diri seseorang yang menerima panggilan Tuhan.

Ketika saya mula memikirkan apa yang Tuhan mahu saya lakukan dalam hidup ini dan bagaimana saya menghabiskan seluruh hidup saya di dunia ini, saya bertanya ‘apa erti hidup ini sebenarnya’?

Apa erti hidup saya di dunia? Sebagai manusia, saya berfikir untuk menjadi seorang ibu yang baik bagi anak-anak, menjadi isteri yang baik bagi suami dan membahagiakan keluarga.

Saya sempat berkongsi impian dengan seseorang yang saya cintai, yang saya anggap sebagai ‘boyfriend’. Namun Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan untuknya.

Rencana Tuhan memerlukan pengorbanan dan menyakitkan bila tidak difahami tetapi membahagiakan bila kita faham bahawa Tuhan lebih mengetahui tentang hidup ini dari diri saya sendiri.

Perpisahan dengan orang yang saya kasihi sebenarnya adalah pintu kepada kebahagiaan kami kerana Tuhan memanggil saya untuk menjadi seorang ‘sister’ dan bukan memanggil kea lam perkahwinan.

Dia dipanggil untuk perkahwinan dengan seseorang yang dia cintai. Dia bahagia bersamanya sama seperti apa yang saya rasakan. Saya gembira dengan hidup yang saya pilih meskipun dunia tidak memahami sepenuhnya kehidupan seperti ini.

Tentu sekali menyahut panggilan Tuhan bukan sesuatu yang mudah kerana saya harus berdepan dengan keluarga saya, terutamanya ayah. Bila mengetahui pilihan saya, ayah berdiam diri selama tiga hari dan langsung tidak bertegur sapa dengan saya.

Baginya pilihan saya ‘ganjil’ dan ‘tidak masuk akal’. Saya hanya berdoa untuknya dan yakin dengan keputusan yang saya ambil meskipun saya harus mengorbankan banyak perkara dalam hidup saya.

Seorang kakak saya mengatakan “fikirlah masak-masak, menjadi sister bukan mudah dan ia sangat mencabar,” katanya.

Waktu itu saya berfikir, berdoa dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan kerana saya percaya tidak ada hidup yang tidak mencabar kalau seseorang itu benar-benar mahu hidup.

Akhirnya Tuhan menjawab doa saya. Ayah saya mengatakan “moi nopo, nung iti noh imanon nu id koposion, miagal nogi manansawo, haro hak nu memilih isai oh kouhangan nu” (pergilah kalau inilah yang kau inginkan dalam hidup kau. Sama juga kalo kau berkahwin, kau berhak memilih siapa yang kau suka).

Saya percaya Tuhan selalu memberikan jalan kepada kita jika kita benar-benar menyerahkan diri ke dalam rencana Tuhan. Halangan utama dan yang pertama dalam menyahut panggilan Tuhan bukanlah keluarga atau apapun, tetapi diri-sendiri.

Dalam Kitab Ayub 1: 21 mengatakan, “Tuhan berhak memberi,maka dia juga berhak mengambil apapun yang ada pada kita”.

Justeru, saya berserah kepada-Nya untuk seluruh perjalanan hidup saya. Ini kerana membuat keputusan tentang arah hidup itu tidak mudah. Melalui doa dan penyerahan kepadaNya, maka jalan itu mejadi lebih jelas.

Rencana Tuhan memang tidak mudah ditelusuri tetapi jika diikuti ia membawa seribu makna yang membahagiakan.  

Setelah 19 tahun menjadi sebagai pelayanNya, saya bersyukur kepada Tuhan sebab Dia memanggil saya dalam kongregasi Franciscan (Franciscan Sisters of the Immaculate Conception) untuk mengabdi kepada-Nya.

Panggilan Tuhan mengubah hidup saya menjadi lebih bererti seakan-akan saya menerokai sebuah kehidupan yang penuh dengan warna-warni dan mencabar tetapi bererti.

Perjalanan ini membuatkan hidup saya terpenuhi. Bagaimana dengan anda? Apa yang akan anda lakukan dengan hidup anda?
      
Sr.Dora Obod @ Ignatius
Write to me: tenang_ja@yahoo.com

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...