Thursday 25 August 2016

Syarat dan Borang Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times 2016/2017


Ruangan ini menawarkan hadiah cerpen terbaik setiap bulan dan tiga hadiah utama. Hantar cerpen ke emel acm.nst17@gmail.com dan aminmuin@gmail.comKarya hendaklah tidak lebih 8 halaman A4, ditaip langkau dua baris, fon 12 Arial.


Memorandum of Understanding
(MoU)

di antara

Persatuan Penulis Momogun Malaysia
(MOMOGUNSIA)

dan

NEW SABAH TIMES
(NST)

Untuk Menganjurkan

HADIAH CERPEN

MOMOGUNSIA - NEW SABAH TIMES
2016 / 2017

(HCM – NST 2016/2017)


SYARAT DAN KETERANGAN PERADUAN

1. NAMA PERADUAN

Hadiah Cerpen MOMOGUNSIA-NEW SABAH TIMES 2016 / 2017

2. PENGANJUR

Anjuran bersama di antara MOMOGUNSIA dan NEW SABAH TIMES (NST). Momogunsia menjadi pihak penyedia hadiah-hadiah, mengendalikan urus setia penerimaan karya, juri dan penyampaian hadiah. NST menjadi penerima bersama penyertaan karya dan pemegang hak mutlak menyiarkan semua karya yang dikemukakan untuk penyertaan HCM-NST 2016/2017.

3. OBJEKTIF

3.1 Menerbitkan cerpen bermutu khususnya yang berkaitan dengan sejarah, sosiobudaya dan citra komuniti etnik lokal Malaysia di Sabah;
3.2 Melatih dan memperkembang kepekaan penulis terhadap isu sosial dan kehidupan di sekitarnya;
3.3 Mendorong penulis supaya berlatih dan mengasah minat, bakat, dan kemampuan kreativiti dalam menulis cerpen;
3.4 Menggalakkan sikap positif dan rasa cinta penulis terhadap sastera Malaysia;

4. SYARAT-SYARAT PENYERTAAN

4.1 Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia;
4.2 Penyertaan hendaklah disampaikan melalui emel rasmi acm.nst17@gmail.com dan aminmuin@gmail.com setelah membaca syarat-syarat penyertaan dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari Facebook MOMOGUNSIA atau mediaoscar.blogspot.my,
4.3 Cerpen hendaklah ditulis dalam Bahasa Melayu,
4.4 Penulis wajib menggunakan sekurang-kurangnya 5 kata bahasa etnik yang perlu dinyatakan maksudnya di bahagian glosari;  
4.5 Tema cerpen adalah bebas namun penulis digalakkan memasukkan unsur-unsur sejarah, sosiobudaya dan citra komuniti etnik lokal Malaysia di Sabah.
4.6 Cerpen mesti sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana individu, kaum, agama, kepercayaan dan budaya negara ini;
4.7 Cerpen harus asli (bukan saduran atau terjemahan), belum pernah diterbitkan, bukan sedang diikutsertakan dalam sayembara lain dan cerpen tidak pernah menjadi pemenang dalam mana-mana sayembara penulisan sebelum ini;
4.8 Panjang karya 8-9 halaman kertas ukuran A4; ditaip rapi dengan langkau 2 menggunakan fon Arial dan margin 1” (atas/bawah/kiri/kanan).
4.9 Peserta dibenarkan mengirim tidak lebih daripada dua cerpen. Jika kedua-dua disiarkan hanya satu cerpen yang akan diambil kira semasa penghakiman;
4.10 Cerpen yang dihantar tidak akan dikembalikan. Oleh itu, peserta dinasihati supaya menyimpan salinan karya tersebut.
4.11  Setiap penyertaan mesti diiringi dengan surat iringan dan membuat perakuan bahawa cerpen yang dihantar untuk sayembara adalah karya asli penulis;
4.12 Cerpen yang telah dihantar untuk sayembara ini, tidak boleh dihantar kepada penerbit atau pihak lain tanpa mendapat persetujuan rasmi penganjur peraduan terlebih dahulu;
4.13 Sekiranya cerpen yang dihantar dan disiarkan itu ternyata diciplak, penyertaan akan terbatal dengan serta-merta.  Jika cerpen itu memenangi hadiah, hadiah tersebut perlu dipulangkan semula kepada urus setia penganjur.


5. PENGHAKIMAN

5.1 Semua karya yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh Panel Hakim yang akan dilantik oleh penganjur. Penghakiman akan berdasarkan penelitian terhadap keaslian, kekuatan tema dan persoalan, kearifan etnik Sabah, estetika, tatabahasa, struktur penukangan dan kekuatan kesatuan organik karya.
5.2   Sebuah cerpen terbaik per bulan;
5.3 Pada penilaian akhir, tiga pemenang hadiah utama akan dipilih lagi dalam kalangan cerpen terbaik bulanan;
5.4  Sebanyak 12 karya daripada cerpen-cerpen yang tidak menang dalam 5.2 & 5.3 namun mempunyai mutu karya yang baik dipilih untuk penjilidan/penerbitan karya terbaik;
5.5 Keputusan panel hakim adalah muktamad.

6. HAK PENERBITAN

Sekiranya ada dana, penganjur berhak untuk menerbitkan / menyiarkan penyertaan (karya-karya) yang dipilih dan dalam berbuat demikian, penganjur berhak membuat penyuntingan atau pindaan yang difikirkan perlu ke atas karya-karya berkenaan. Karya yang menang dalam sayembara  ini tidak boleh dihantar kepada penerbit atau pihak lain tanpa mendapat persetujuan penganjur ini terlebih dahulu.

7. TEMPOH SAYEMBARA

Cerpen yang layak dihakimi bagi Sayembara Menulis Hadiah Cerpen MOMOGUNSIA-NEW SABAH TIMES 2016/2017 ini ialah cerpen-cerpen yang disiarkan di akhbar New Sabah Times dalam tempoh SEPTEMBER 2016 hingga OKTOBER 2017.  Pemilihan cerpen untuk siaran ditentukan oleh Urus setia MOMOGUNSIA. Penganjur juga tidak akan bertanggungjawab terhadap karya yang hilang semasa pengiriman.

7. HADIAH

Hadiah Cerpen Bulanan: RM100 (Ringgit Malaysia Seratus Sahaja)
September 2016 hingga Ogos 2017

Hadiah Cerpen Utama:

Pertama  – RM500 (Ringgi Malaysia Lima Ratus Sahaja) + Buku + Sijil
Kedua     – RM400 (Ringgit Malaysia Empat Ratus Sahaja) + Buku + Sijil
Ketiga     - RM300 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Sahaja) + Buku + Sijil





8. ALAMAT URUS SETIA

Semua cerpen yang menepati syarat-syarat sayembara ini hendaklah dihantar melalui emel acm.nst17@gmail.com dan aminmuin@gmail.com


Nota: Syarat peraduan WAJIB DIBACA bersama dengan Borang   Borang Penyertaan & Perakuan Hakcipta.





Ditandatangani di Ibu Pejabat New Sabah Times, Kota Kinabalu
29 Ogos 2016







DRS HENRY BATING, AMN, BSK
Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia
(MOMOGUNSIA)
MOHD. AMIN BIN MUIN
Editor Bahasa Melayu
New Sabah Times



Saksi

Nama & tandatangan



Saksi

Nama & tandatangan





Borang Penyertaan & Perakuan Hakcipta
Hadiah Cerpen MOMOGUNSIA-NEW SABAH TIMES 2016 / 2017


Nama:  ...............................................................................
.............................................................................................
No. Kad Pengenalan:  ..........................................................
Umur:  ................................................................................
Alamat:  ..............................................................................
.............................................................................................
..............................................................................................
No. Telefon (R/P/TB): ..........................................................
..............................................................................................
E-mel: ..................................................................................
Faksimile:  ............................................................................
Judul Cerpen:

1............................................................................................
2............................................................................................

Saya mengesahkan bahawa karya ini ialah karya asli saya dan saya mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur Sayembara Menulis Hadiah Cerpen MOMOGUNSIA-NEW SABAH TIMES  2016 / 2017

NAMA:      ........................................................                                                        
Tarikh:      ........................................................

SAYEMBARA MENULIS
HADIAH CERPEN MOMOGUNSIA-NEW SABAH TIMES 2016 / 2017


Cerpen Terbaik  Bulanan: RM100
Cerpen Terbaik Keseluruhan: RM500 + Buku + Sijil
Kedua Terbaik: RM400 + Buku + Sijil
Ketiga Terbaik: RM300 + Buku + Sijil



UNTUK KEGUNAAN URUS SETIA
Tarikh terima:..............................................................
No. Pendaftaran:.........................................................



Hadiah Cerpen Momogunsia – New Sabah Times 2017

Perbincangan antara Amin Muin, Henry Bating dan Witer Gunik

Peraduan tawar hadiah bulanan, tiga hadiah utama pemenang keseluruhan 

HCM-NST merupakan kerjasama di antara Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) dengan akhbar New Sabah Times untuk menghasilkan karya cerpen bermutu khususnya yang memuatkan elemen sejarah, sosiobudaya dan citra komuniti etnik lokal Malaysia di Sabah.

Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia,  Drs Henry Bating, AMN, BSK berkata, peraduan setahun bermula September 2016 hingga Ogos 2017 yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia. 

"Cerpen hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu dan karya terpilih akan dimuatkan dalam ruangan sastera New Sabah Times setiap Ahad," katanya selepas majlis menandatangan MoU HCM-NST pada Jumaat 26/8/16.


Majlis menandatangan MoU di pejabat urusan New Sabah Times

Dalam menghasilkan karya, penulis wajib menggunakan sekurang-kurangnya lima (5) patah perkataan bahasa etnik Sabah yang perlu dinyatakan maksudnya di bahagian glosari hujung cerpen. Penulis diberi kebebasan memilih tema namun harus sesuai untuk bacaan umum tanpa menyentuh perkara-perkara yang dianggap sensitif yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Penyertaan hendaklah disampaikan melalui emel rasmi acm.nst17@gmail.com dan aminmuin@gmail.com setelah membaca syarat-syarat penyertaan dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari Facebook MOMOGUNSIA atau mediaoscar.blogspot.my.

Semua karya yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh Panel Hakim yang akan dilantik oleh penganjur. Penghakiman akan berdasarkan penelitian terhadap keaslian, kekuatan tema dan persoalan, kearifan etnik Sabah, estetika, tatabahasa, struktur penukangan dan kekuatan kesatuan organik karya.

Pertukaran dokumen antara Amin dan Henry disaksikan Raphiel Pinus (kiri) dan Witer Gunik (kanan)

Hadiah bulanan ditawarkan kepada cerpen terbaik bulan berkenaan manakala tiga lagi hadiah utama keseluruhan ditawarkan pada penghujung peraduan. Cerpen terbaik bulanan menerima hadiah wang tunai RM100.

Semua cerpen terbaik bakal bersaing menerima hadiah utama. Pemenang pertama hadiah utama menerima wang tunai RM500, kedua RM400 dan ketiga RM300. Ketiga-tiga pemenang utama masing-masing akan menerima hadiah iringan dalam bentuk buku dan sijil.

Peraduan ini adalah berkonsepkan akademi di mana seemua peserta diandaikan sebagai peserta dalam sebuah ruang tutorial.  Pengumuman cerpen terbaik akan diiringi dengan ulasan beberapa sidang akademik juri yang akan disiarkan dalam kolum sastera New Sabah Times. Kalangan pembaca boleh mengemukakan perspektif penilaian mereka untuk diambil perhatian. Namun keputusan panel hakim adalah muktamad.

Peserta diingatkan agar membuat suntingan teliti ke atas karya yang mereka hantar kerana penilaian dibuat berdasarkan persembahan hasil tulisan peserta pada waktu karya mereka diterima.
Penyampaian cenderamata kepada Amin



Tuesday 23 August 2016

KDCA, Usda kunjungi Pengarah Pendidikan Labuan

Raisin menerima kunjungan hormat Joe Ragan (kiri), Peter Pikul (kanan) dan Henry

KDCA, Usda adakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Labuan


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 23/8/2016 - Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) kelmarin mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin untuk memberikan taklimat mengenai profil umum masyarakat berkenaan di Labuan.
Pengerusi Usda Labuan, Joe Ragan berkata masyarakat Kadazandusun di Labuan mempunyai jumlah yang signifikan dalam komposisi keseluruhan penduduk pulau itu di mana anak-anak mereka tersebar belajar di beberapa buah sekolah rendah.
“Berdasarkan bilangan anak-anak masyarakat Kadazandusun yang agak ramai juga di beberapa buah sekolah maka masyarakat itu mempunyai hasrat untuk melihat langkah memperkenalkan pengajaran bahasa Kadazandusun di beberapa buah sekolah rendah dapat dilaksanakan,” kata Joe.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pengerusi KDCA Labuan, Peter Pikul dan Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), Drs Henry Bating.
Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili ketika merasmikan Pesta Kaamatan Labuan 2015 ada menyatakan bahawa pihaknya memandang positif hasrat masyarakat Kadazandusun di Labuan untuk menikmati pelaksanaan pengajaran bahasa ibunda mereka di sekolah-sekolah.

Raisin menyampaikan cenderakenangan kepada Drs Henry diiringi Joe Ragan dan Peter Pikul

Maximus menyatakan demikian sebagai reaksi Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun yang memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan kelas tidak formal bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan kanak-kanak dalam rangka merintis jalan ke arah pelaksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Dalam kunjungan itu, Raisin berharap pihak KDCA dan Usda dapat menyalurkan butiran yang diperlukan bagi membolehkan pihak Jabatan Pendidikan meneliti keperluan dan keboleh-laksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Pengajaran bahasa Kadazandusun perlu diperluaskan di Labuan: Maximus


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 12/5/2015 - Pengajaran bahasa Kadazandusun yang sudah dilaksanakan dalam kurikulum sekolah sejak 1997 perlu diperluaskan lagi bukan sekadar dalam tutorial secara sambilan kepada generasi masyarakat itu tetapi juga di sekolah-sekolah di mana terdapat murid berketurunan Kadazandusun.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata usaha permulaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan mengadakan tutorial sambilan kepada generasi masyarakat itu perlu diperluaskan dengan memanfaatkan sumbangan tenaga pengajar sukarela yang ada.

MAXIMUS ketika berucap bersama Ipoh (kiri) dan Clement (kanan)

“Seperti yang disentuh dalam awal ucapan, usaha bersama dengan tenaga sukarela dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sudah dimulakan untuk menjalankan tutorial perlu diperluaskan lagi,” kata Maximus ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun memaklumkan bahawa pihak KDCA di pulau itu telah melaksanakan pelbagai program berbentuk warisan, tradisi dan budaya termasuk kelas bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan murid di Kg Tambunan Baru, Rancha-Rancha Darat dengan sumbangan tenaga pengajar sukarela dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
Pernyataan Clement itu diperkukuhkan lagi dalam ucapan Pengerusi KDCA Labuan, Paul Ipoh Leokin yang melahirkan sokongan penuh ke atas perancangan pihak Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk membuka suatu tapak khusus sebagai perkampungan budaya untuk memusatkan pelaksanaan aktiviti, perayaan dan pameran yang boleh memberi nilai tambah kepada kepentingan Labuan sebagai satu destinasi penting kepada para pelawat.
Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Naib Presiden KDCA, Datuk Ir John Anthony.

DARI kanan Clement, Maximus, Ipoh, Rozman dan John ketika upacara mengetam padi.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mistrine Radin ketika dihubungi  mengenai pengajaran bahasa Kadazandusun di Labuan memberitahu pihaknya pernah mengambil langkah memulakan pengajaran bahasa itu di sebuah sekolah rendah suatu ketika dahulu tetapi tertangguh ekoran kesukaran memperoleh guru terlatih.
Tinjauan yang dilakukan ke atas pendapat di Kg Tambunan Baru Rancha-Rancha Darat memberitahu, terdapat tiga buah sekolah rendah di Labuan yang berpotensi memulakan pengajaran bahasa Kadazandusun berdasarkan bilangan murid etnik itu di sekolah berkenaan iaitu di SRK St. Anne, SK Pekan Dua dan SK Rancha-Rancha.



Sunday 21 August 2016

Jalan Wasai Kukuton Pamilaan, Tenom

Kukuton perlu akses jalan tampung kehadiran pelancong


Wasai (air terjun) Kukuton, Pamilaan, Tenom, Sabah

Oleh HENRY BATING
5/7/16

KUKUTON Pamilaan kira-kira 25km dari Pekan Tenom hanya memerlukan jalan terselenggara untuk menjadikan lokasi berair terjun itu destinasi kembara dan rekreasi.
Selain mendukung menjadikannya tumpuan kembara hutan dan rekreasi sungai, penyelenggaraan jalan Kukuton juga mampu melonjak pengeluaran hasil pertanian di kawasan rentas kira-kira dua kilometer dari penghujung jalan terselenggara Kg Pamilaan itu.



SEBAHAGIAN rombongan ketika mengadakan kembara dan rekreasi Wasai melalui Jalan Kukuton.

"Setiap hari jalan itu digunakan penduduk untuk mengusahakan perkebunan getah dan tanaman lain," kata seorang penduduk, Fedelis Jusop.
Menurut Fedelis, air terjun di tempat itu yang dikenali penduduk sebagai Wasai, telah menjadi destinasi kalangan rombongan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan penduduk bersempena Kaamatan Piolungan Wasai.
Bagaimanapun kata Fedelis, jalan yang sudah dibina sejak kira-kira 20 tahun lalu itu tidak terselenggara secara teratur.



Laluan berlumpur dan semak

"Kami melihat penyelenggaraan yang dijalankan oleh pihak berkaitan melalui khidmat kontraktor hanya sekali-sekala dilaksanakan," kata Fedelis.
Fedelis seterusnya memberitahu, penduduk amat berterima kasih kerana terdapat usaha kerajaan menaik taraf jalan itu dengan melaksanakan penurapan simen hampir sekilometer.
"Namun jarak jalan yang sudah disimen itupun kini dilitupi rumput-rumpai di sebelah-menyebelah jalan," katanya.
Fedelis menjelaskan terdapat usaha penduduk khususnya kalangan belia bergotong-royong menyelenggara laluan itu setiap kali ada rombongan pelawat datang, namun usaha sedemikian tetap memerlukan perhatian kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang baik.



Jalan berturap simen yang kian dilitupi semak sebelah-menyebelah

Tinjauan akhbar ini menunjukkan alam semulajadi kawasan itu yang agak terpelihara mampu menarik kedatangan ramai pengunjung kerana turut berada dalam liputan jaringan internet.
Penduduk di tempat itu juga memiliki amalan meraikan rombongan tetamu dengan sajian hidangan dan persembahan tradisional yang boleh menambah daya tarik pelawat untuk datang.



Homestay Piolungan Wasai Kg Pamilaan, Tenom, Sabah

Amalan itu turut memberi limpahan sumber pendapatan kepada penduduk di mana wujud rumah persinggahan di tempat itu yang dikenali sebagai Piolungan Homestay untuk meraikan tetamu.
Fedelis berharap pihak kerajaan dapat mengambil langkah menyelenggara jalan di Kukuton kerana inisiatif itu mampu melonjak pendapatan penduduk hasil dari pertanian dan pelancongan.

JALAN Kukuton dirimbuni tumbuhan rebah.







Akhir 2017 Labuan Pulau Pelancongan - Zahid

Labuan jadi pulau pelancongan menjelang akhir 2017, kata Zahid

Padang Golf Antarabangsa Labuan

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 21/8/16 - Labuan bakal menjadi pulau pelancongan utama menjelang akhir 2017 dengan wujudnya penerbangan terus dari serata dunia sekali gus mengubah lanskap perekonomian pulau bebas cukai itu yang sebelum ini banyak bergantung kepada industri minyak dan gas.
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan perubahan lanskap ekonomi Labuan, kita berharap unjuran kita untuk mengoptimumkan penawaran bilik-bilik hotel dan homestay mencapai tahap puncak permintaan.


Zahid Hamidi
“Kita juga berusaha untuk meminda peraturan berkaitan bagi membolehkan lapangan terbang Labuan boleh menerima penerbangan terus dari pelbagai negara,” kata Zahid sambil menjelaskan pada ketika ini penerbangan perlu melalui Kota Kinabalu atau negara jiran.
Zahid yang juga Pengerusi ‘Task Force’ Peringkat Kabinet Persekutuan bagi pembangunan Labuan menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Labuan di Palm Beach Resort.
Sementara itu Zahid menyatakan bahawa Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bakal dilantik menganggotai task force yang bakal diumumkan termasuk timbalan ketua bahagian, wakil pemuda, wanita, puteri dan dua mantan Ahli Parlimen Labuan.
Turut hadir ketua-ketua komponen Barisan Nasional (BN) Labuan seperti Datuk Peter Mak (PBS), Ronald James Majaing (Upko), Ramasamy Rengasamy (MIC) serta ketua bahagian MCA dan Gerakan.
Pengumuman Zahid disambut kalangan perwakilan dan pemerhati  yang hadir meski tanpa menyebut penyertaan wakil-wakil parti komponen BN ke dalam jawatankuasa kerja task force berkenaan.
Labuan bandar pelabuhan


HUT RI Ke-71 Labuan


WANITA dengan pakaian tradisi Tana Toraja Sulawesi Selatan.
Warga Republik Indonesia Labuan rai kesyukuran kemerdekaan ke-71

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 21/8/16 - Lebih seribu warga Republik Indonesia meraikan kesyukuran ulang tahun kemerdekaan ke-71 negara itu di sini pada Ahad dengan mengadakan Misa Kudus di Gereja Blessed Sacrament, pementasan budaya dan hidangan tradisi pelbagai propinsi.
Rev Fr Stefanus Mawan dalam khotbahnya menyatakan kemerdekaan merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri dengan segenap hati kerana berkat kemerdekaan yang telah diperjuangkan kalangan pendahulu generasi bangsa memiliki negara sebagai tempat tinggal dan segala isi bumi dalam negara yang telah dikurniakan Tuhan.
“Jika kemerdekaan kita anggap sebagai sesuatu yang biasa-biasa saja maka saat kita kehilangan apa yang kita miliki sekarang baru akan terasa rupanya kita pernah memiliki sesuatu yang sangat luar biasa,” kata Stefanus dari Diosis Selor, Kalimantan Utara.

FR RAJU (kedua kanan), Fr Wempi dan Fr Stefanus.

Stefanus bersama rakan pastorannya, Rev Fr Wempi Mandagie yang dalam rangka menemui umat warga Republik Indonesia sempena kemerdekaan negara itu telah berada di negeri ini bermula di Tawau, Kota Kinabalu dan terakhir di Labuan.
Turut meraikan misa kesyukuran ialah Rev Fr Johnny Raju dari Kota Kinabalu.
Pementasan pelbagai identiti tradisi etnik pelbagai propinsi diawali dengan koir ‘Indonesia Raya’ yang kemudian disusuli persembahan nyanyian, kesenian, pertunjukan tradisi dan budaya.
KOIR menyanyikan lagi Indonesia Raya.

Manakala pementasan dijalankan hadirin yang memenuhi Dewan Serbaguna Blessed Sacrament dihidangkan makanan tradisi pelbagai etnik Indonesia yang turut dihadiri kalangan warga Indonesia pelbagai agama.

PAKAIAN tradisi dari Flores Nusa Tenggara Timur.

SEBAHAGIAN hadirin kesyukuran kemerdekaan RI di Labuan.

Saturday 20 August 2016

Banggi

Banggi: Pulau indah, tenang dan kaya tradisi


PEKAN Karakit dari arah pelabuhan Banggi.

Oleh HENRY BATING
Siri 1- 5/4/16

BANGGI tiada apa-apanya dalam cerita kalangan orang-orang kaki melancong. Bagi yang pernah sekali dua menyeberang lautan Kudat – Banggi, cerita mereka juga tiada yang lengkap. Gambar-gambar yang mereka ambil hanya berligar di sekitar ruang penumpang kapal ekspress yang mereka naiki.
Sebaik mendarat, pandangan mereka hanya berligar di sekitar Karakit, pekan utama di Pulau Banggi. Meski pekannya kecil, Karakit menjadi nadi gugusan pulau-pulau bersebelahan. Pulau Banggi secara keseluruhannya lebih besar daripada Wilayah Persekutuan Labuan. Jika dibandingkan dengan pulau bebas cukai Langkawi pun, Banggi masih lebih besar. Juga masih jauh lebih besar berbanding Negeri Pulau Pinang. Malahan masih luas berbanding Negara Republik Singapura.
Bagi kalangan pencinta alam dan penggemar warisan tradisi berbilang etnik, Banggi adalah tempat yang istimewa. Pulau utama Banggi yang berpusat di Karakit tidak akan habis dijelajahi sehari suntuk. Pengunjung memerlukan beberapa malam lagi untuk menginap di pusat-pusat homestay atas air, atas tanah atau rumah rehat. Itu belum termasuk aturcara menjelajah pulau-pulau penting lain seperti Balambangan.
Kunjungan semalaman rombongan Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) ke Pulau Banggi 2 April lalu hanya sempat menyentuh sebahagian kecil luaran alam dan manusia Banggi.
PANDANGAN pelabuhan Banggi dari atas bukit Klinik Kesihatan.

Rombongan itu melibatkan penulis selaku presiden, Raymond Majumah (Timbalan Presiden), Kathirina Susana Tati (Setiausaha Agung), Sofie Clara (Bendahari Agung), Monsu Godon (Penolong Ketua Penerangan), Almiey Ali (Pegawai  Dewan Bahasa dan Pustaka - DBP) dan Alexander Bungkak (ahli).
Di Banggi, aturcara kunjungan dikendalikan Ketua Urusetia Perhubungan Momogunsia Banggi, Arra Larra Qristine dengan rakanya Rose Hastiah. Rombongan menginap di Homestay Maliangin, suatu penginapan atas air di Karakit yang mesra pengunjung.
Di Karakit, panorama indah jeti dengan lalu-lalang pengangkutan air pelbagai jenis dapat dilihat dengan indah dari perkarangan Klinik Kesihatan yang bertapak di tanah tinggi. Di bawah klinik itu tersergam indah rumah kedai Perkasa Realty empat pintu yang menempatkan bilik-bilik hotel di tingkat atas.
JETI Karakit yang menjadi laluan sibuk di Banggi.

Di hadapan rumah kedai yang tinggal menunggu waktu pembukaan itu adalah jeti Karakit, tempat yang paling sibuk dengan lalu-lalang manusia di kepulauan itu. Di jeti itu juga bersusun deretan gerai makan dan minum yang hanya dibuka pada siang hari. Di sisi kedai berdiri kukuh balai polis yang dioperasikan para pegawai yang ramah kepada masyarakat. Di pesisiran tebingan laut Karakit berdiri megah masjid, perkampungan atas air, homestay dan SK Karakit.
Namun kunjungan ke Banggi dalam rangka menyusun karya Antologi Puisi ‘Bayu Banggi’ tidak sekadar berligar di Karakit. Rombongan itu juga mahu mengaitkan realiti kehidupan tradisi suatu masyarakat Banggi dengan karya cerpen ‘Pugai Balabak’ yang menjadi tajuk antologi yang sedang diterbitkan.


HOMESTAY Maliangin penginapan di atas air.

Arra dan Ros telah menempah pengangkutan model Unser untuk rombongan bergerak lebih ke pedalaman. Pergerakan untuk menguak rahsia alam dan manusia Banggi dipermudahkan lagi oleh pengalaman Raymond yang pernah berkhidmat hampir 10 tahun di pulau itu.
Pergerakan rombongan pada awal pagi keesokannya telah diunjurkan sampai ke Kapitangan. Lokasi menghampiri Pulau Balambangan itu disasarkan sebagai destinasi penghujung sebelum balik menyeberang 2.00 petang mengikut jadual kapal ekspress. Namun perjalanan tidak sempat sampai ke Kapitangan. Rombongan hanya mampu sampai ke Nusa Nusa di mana sebuah resort tradisi sudah dibangunkan dan hanya menunggu masa untuk dibuka kepada pengunjung.


PENYAMPAIAN hadiah buku kepada Arra Larra Qristine oleh Almiey.

Begitupun, perjalanan yang tidak sampai ke destinasi sasaran itu sempat melewati tempat-tempat yang sarat dengan keindahan, ketenangan dan keaslian tradisi. Bermula dari Karakit, perjalanan melewati Kobong, kemudian Limbuak, Padang, Maliyu, Damaran, Kalangkama dan berakhir di Nusa Nusa.
Pada laluan ini, Air Terjun Bungga di Kalangkama dan Bukit Sinambung tidak sempat didatangi lantaran setiap satunya menuntut seharian untuk berkunjung. Rombongan juga sempat singgah di projek agropolitan sawit Felcra.
Rombongan menyusuri laluan itu dengan melewati perkampungan dan penduduk yang amat terbuka menerima kehadiran pengunjung. Malahan rata-rata penduduk amat sudi melambaikan tangan setiap kali rombongan melewati mereka.


SAWIT Agropolitan Banggi.

Amat banyak fakta alam, sejarah dan tradisi yang belum dipetik dari setiap satu persinggahan pada laluan itu. Namun setiap satu fakta itu wujud bukan dengan tanpa konflik. Sungguh mendalam konflik yang terkuak. Konflik itulah yang merisaukan dan melemaskan hati menurut sudut pandangan pencinta alam dan warisan tradisi.
Ikuti konflik antara pemodenan dan pelestarian warisan hidup Banggi dalam bahagian akhir dari dua siri tulisan ini yang menyusul kemudian. Dua siri tulisan ini merupakan paparan pengamatan penulis yang berasal dari luar lingkungan masyarakat Pulau Banggi.

BANGUNAN kedai menempatkan hotel di Pekan Kerakit, Banggi.







Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...