Sunday, 21 August 2016

Jalan Wasai Kukuton Pamilaan, Tenom

Kukuton perlu akses jalan tampung kehadiran pelancong


Wasai (air terjun) Kukuton, Pamilaan, Tenom, Sabah

Oleh HENRY BATING
5/7/16

KUKUTON Pamilaan kira-kira 25km dari Pekan Tenom hanya memerlukan jalan terselenggara untuk menjadikan lokasi berair terjun itu destinasi kembara dan rekreasi.
Selain mendukung menjadikannya tumpuan kembara hutan dan rekreasi sungai, penyelenggaraan jalan Kukuton juga mampu melonjak pengeluaran hasil pertanian di kawasan rentas kira-kira dua kilometer dari penghujung jalan terselenggara Kg Pamilaan itu.



SEBAHAGIAN rombongan ketika mengadakan kembara dan rekreasi Wasai melalui Jalan Kukuton.

"Setiap hari jalan itu digunakan penduduk untuk mengusahakan perkebunan getah dan tanaman lain," kata seorang penduduk, Fedelis Jusop.
Menurut Fedelis, air terjun di tempat itu yang dikenali penduduk sebagai Wasai, telah menjadi destinasi kalangan rombongan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan penduduk bersempena Kaamatan Piolungan Wasai.
Bagaimanapun kata Fedelis, jalan yang sudah dibina sejak kira-kira 20 tahun lalu itu tidak terselenggara secara teratur.



Laluan berlumpur dan semak

"Kami melihat penyelenggaraan yang dijalankan oleh pihak berkaitan melalui khidmat kontraktor hanya sekali-sekala dilaksanakan," kata Fedelis.
Fedelis seterusnya memberitahu, penduduk amat berterima kasih kerana terdapat usaha kerajaan menaik taraf jalan itu dengan melaksanakan penurapan simen hampir sekilometer.
"Namun jarak jalan yang sudah disimen itupun kini dilitupi rumput-rumpai di sebelah-menyebelah jalan," katanya.
Fedelis menjelaskan terdapat usaha penduduk khususnya kalangan belia bergotong-royong menyelenggara laluan itu setiap kali ada rombongan pelawat datang, namun usaha sedemikian tetap memerlukan perhatian kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang baik.



Jalan berturap simen yang kian dilitupi semak sebelah-menyebelah

Tinjauan akhbar ini menunjukkan alam semulajadi kawasan itu yang agak terpelihara mampu menarik kedatangan ramai pengunjung kerana turut berada dalam liputan jaringan internet.
Penduduk di tempat itu juga memiliki amalan meraikan rombongan tetamu dengan sajian hidangan dan persembahan tradisional yang boleh menambah daya tarik pelawat untuk datang.



Homestay Piolungan Wasai Kg Pamilaan, Tenom, Sabah

Amalan itu turut memberi limpahan sumber pendapatan kepada penduduk di mana wujud rumah persinggahan di tempat itu yang dikenali sebagai Piolungan Homestay untuk meraikan tetamu.
Fedelis berharap pihak kerajaan dapat mengambil langkah menyelenggara jalan di Kukuton kerana inisiatif itu mampu melonjak pendapatan penduduk hasil dari pertanian dan pelancongan.

JALAN Kukuton dirimbuni tumbuhan rebah.







No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...