Thursday, 25 August 2016

Hadiah Cerpen Momogunsia – New Sabah Times 2017

Perbincangan antara Amin Muin, Henry Bating dan Witer Gunik

Peraduan tawar hadiah bulanan, tiga hadiah utama pemenang keseluruhan 

HCM-NST merupakan kerjasama di antara Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) dengan akhbar New Sabah Times untuk menghasilkan karya cerpen bermutu khususnya yang memuatkan elemen sejarah, sosiobudaya dan citra komuniti etnik lokal Malaysia di Sabah.

Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia,  Drs Henry Bating, AMN, BSK berkata, peraduan setahun bermula September 2016 hingga Ogos 2017 yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia. 

"Cerpen hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu dan karya terpilih akan dimuatkan dalam ruangan sastera New Sabah Times setiap Ahad," katanya selepas majlis menandatangan MoU HCM-NST pada Jumaat 26/8/16.


Majlis menandatangan MoU di pejabat urusan New Sabah Times

Dalam menghasilkan karya, penulis wajib menggunakan sekurang-kurangnya lima (5) patah perkataan bahasa etnik Sabah yang perlu dinyatakan maksudnya di bahagian glosari hujung cerpen. Penulis diberi kebebasan memilih tema namun harus sesuai untuk bacaan umum tanpa menyentuh perkara-perkara yang dianggap sensitif yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Penyertaan hendaklah disampaikan melalui emel rasmi acm.nst17@gmail.com dan aminmuin@gmail.com setelah membaca syarat-syarat penyertaan dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari Facebook MOMOGUNSIA atau mediaoscar.blogspot.my.

Semua karya yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh Panel Hakim yang akan dilantik oleh penganjur. Penghakiman akan berdasarkan penelitian terhadap keaslian, kekuatan tema dan persoalan, kearifan etnik Sabah, estetika, tatabahasa, struktur penukangan dan kekuatan kesatuan organik karya.

Pertukaran dokumen antara Amin dan Henry disaksikan Raphiel Pinus (kiri) dan Witer Gunik (kanan)

Hadiah bulanan ditawarkan kepada cerpen terbaik bulan berkenaan manakala tiga lagi hadiah utama keseluruhan ditawarkan pada penghujung peraduan. Cerpen terbaik bulanan menerima hadiah wang tunai RM100.

Semua cerpen terbaik bakal bersaing menerima hadiah utama. Pemenang pertama hadiah utama menerima wang tunai RM500, kedua RM400 dan ketiga RM300. Ketiga-tiga pemenang utama masing-masing akan menerima hadiah iringan dalam bentuk buku dan sijil.

Peraduan ini adalah berkonsepkan akademi di mana seemua peserta diandaikan sebagai peserta dalam sebuah ruang tutorial.  Pengumuman cerpen terbaik akan diiringi dengan ulasan beberapa sidang akademik juri yang akan disiarkan dalam kolum sastera New Sabah Times. Kalangan pembaca boleh mengemukakan perspektif penilaian mereka untuk diambil perhatian. Namun keputusan panel hakim adalah muktamad.

Peserta diingatkan agar membuat suntingan teliti ke atas karya yang mereka hantar kerana penilaian dibuat berdasarkan persembahan hasil tulisan peserta pada waktu karya mereka diterima.
Penyampaian cenderamata kepada Amin



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...