Penulis KDM sambut baik pendirian LKS dokumentasi ritual tradisi
HENRY BATING, AMN, BSK
28 Feb 2016
KOTA
KINABALU: Persatuan Penulis Kadazandusun Murut Malaysia menyambut baik
pendirian Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) untuk terus mendokumentasikan upacara
ritual tradisi pelbagai etnik Sabah sebagai satu warisan ilmu untuk keperluan
kajian masa hadapan.
Presiden
Persatuan Penulis KDM atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia), Drs Henry
Bating berkata persatuan itu wujud atas kesedaran menggembleng minda dan
kreativiti kalangan penulis etnik Sabah untuk mendukung usaha seperti yang
diamanahkan kepada LKS.
“Dalam
ritual tradisi terkandung madah-madah yang menggambarkan ketinggian pemikiran,
kehalusan budi dan corak kosmologi etnik yang dapat memperkayakan warisan
tradisi budaya bangsa Malaysia di samping dapat menonjolkan kepelbagaian corak
budaya negara ini di mata pencinta kesenian antarabangsa,” kata Henry.
Henry
berkata demikian sebagai menyokong pendirian LKS yang menghormati kepercayaan
suatu warisan tradisi di negeri ini yang sudah wujud lama sebelum kedatangan
pelbagai agama yang kini menjadi anutan masyarakat Sabah.
Dalam
berita mengenai upacara tolak bala Odou Bakanjar di Kuala Penyu pada Sabtu,
Pengurus Besar LKS, Datu Rusmadi Sulai dipetik sebagai berkata pihaknya
bertanggungjawab menyimpan maklumat, merekod upacara dan menghasilkan buku atau
dokumentasi (tolak bala Odou Bakanjar) untuk rujukan masa depan.
Rusmadi
berkata demikian sebagai menolak salah faham pihak tertentu yang membantah
pelaksanaan upacara seperti itu atas apa yang mereka sifatkan sebagai promosi
amalan pagan dalam kalangan generasi muda.
No comments:
Post a Comment