Tuesday 23 August 2016

KDCA, Usda kunjungi Pengarah Pendidikan Labuan

Raisin menerima kunjungan hormat Joe Ragan (kiri), Peter Pikul (kanan) dan Henry

KDCA, Usda adakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Labuan


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 23/8/2016 - Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) kelmarin mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin untuk memberikan taklimat mengenai profil umum masyarakat berkenaan di Labuan.
Pengerusi Usda Labuan, Joe Ragan berkata masyarakat Kadazandusun di Labuan mempunyai jumlah yang signifikan dalam komposisi keseluruhan penduduk pulau itu di mana anak-anak mereka tersebar belajar di beberapa buah sekolah rendah.
“Berdasarkan bilangan anak-anak masyarakat Kadazandusun yang agak ramai juga di beberapa buah sekolah maka masyarakat itu mempunyai hasrat untuk melihat langkah memperkenalkan pengajaran bahasa Kadazandusun di beberapa buah sekolah rendah dapat dilaksanakan,” kata Joe.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pengerusi KDCA Labuan, Peter Pikul dan Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), Drs Henry Bating.
Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili ketika merasmikan Pesta Kaamatan Labuan 2015 ada menyatakan bahawa pihaknya memandang positif hasrat masyarakat Kadazandusun di Labuan untuk menikmati pelaksanaan pengajaran bahasa ibunda mereka di sekolah-sekolah.

Raisin menyampaikan cenderakenangan kepada Drs Henry diiringi Joe Ragan dan Peter Pikul

Maximus menyatakan demikian sebagai reaksi Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun yang memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan kelas tidak formal bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan kanak-kanak dalam rangka merintis jalan ke arah pelaksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Dalam kunjungan itu, Raisin berharap pihak KDCA dan Usda dapat menyalurkan butiran yang diperlukan bagi membolehkan pihak Jabatan Pendidikan meneliti keperluan dan keboleh-laksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.

Pengajaran bahasa Kadazandusun perlu diperluaskan di Labuan: Maximus


Oleh HENRY BATING
LABUAN: 12/5/2015 - Pengajaran bahasa Kadazandusun yang sudah dilaksanakan dalam kurikulum sekolah sejak 1997 perlu diperluaskan lagi bukan sekadar dalam tutorial secara sambilan kepada generasi masyarakat itu tetapi juga di sekolah-sekolah di mana terdapat murid berketurunan Kadazandusun.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata usaha permulaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan mengadakan tutorial sambilan kepada generasi masyarakat itu perlu diperluaskan dengan memanfaatkan sumbangan tenaga pengajar sukarela yang ada.

MAXIMUS ketika berucap bersama Ipoh (kiri) dan Clement (kanan)

“Seperti yang disentuh dalam awal ucapan, usaha bersama dengan tenaga sukarela dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sudah dimulakan untuk menjalankan tutorial perlu diperluaskan lagi,” kata Maximus ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Penganjur, Clement Tiansun memaklumkan bahawa pihak KDCA di pulau itu telah melaksanakan pelbagai program berbentuk warisan, tradisi dan budaya termasuk kelas bahasa Kadazandusun kepada sekumpulan murid di Kg Tambunan Baru, Rancha-Rancha Darat dengan sumbangan tenaga pengajar sukarela dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
Pernyataan Clement itu diperkukuhkan lagi dalam ucapan Pengerusi KDCA Labuan, Paul Ipoh Leokin yang melahirkan sokongan penuh ke atas perancangan pihak Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk membuka suatu tapak khusus sebagai perkampungan budaya untuk memusatkan pelaksanaan aktiviti, perayaan dan pameran yang boleh memberi nilai tambah kepada kepentingan Labuan sebagai satu destinasi penting kepada para pelawat.
Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Naib Presiden KDCA, Datuk Ir John Anthony.

DARI kanan Clement, Maximus, Ipoh, Rozman dan John ketika upacara mengetam padi.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mistrine Radin ketika dihubungi  mengenai pengajaran bahasa Kadazandusun di Labuan memberitahu pihaknya pernah mengambil langkah memulakan pengajaran bahasa itu di sebuah sekolah rendah suatu ketika dahulu tetapi tertangguh ekoran kesukaran memperoleh guru terlatih.
Tinjauan yang dilakukan ke atas pendapat di Kg Tambunan Baru Rancha-Rancha Darat memberitahu, terdapat tiga buah sekolah rendah di Labuan yang berpotensi memulakan pengajaran bahasa Kadazandusun berdasarkan bilangan murid etnik itu di sekolah berkenaan iaitu di SRK St. Anne, SK Pekan Dua dan SK Rancha-Rancha.



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...