Showing posts with label MOMOGUNSIA. Show all posts
Showing posts with label MOMOGUNSIA. Show all posts

Thursday, 6 December 2018

MOMOGUNSIA: Gerakan Sastera Etnik Sabah


Persatuan Penulis Momogun Malaysia 

Monunurat Momogun Malaysia

(MOMOGUNSIA)


Oleh Henry Bating

Pengenalan

MOMOGUNSIA tercetus kewujudannya hasil Seminar Sastera Pelbagai Kaum Malaysia 2011. Seminar anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Akademi Seni Warisan Negara di Kuala Lumpur itu disertai para pembentang yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia.

Semua kaum pada ketika itu sudah memiliki badan penulis masing-masing. Bermula daripada badan penulis Melayu yang sudah mapan kemudian badan penulis Cina, Tamil, Iban dan keturunan Siam. Badan penulis etnik Sabah sahaja yang belum wujud pada ketika itu.

Dalam satu perbualan ringkas, SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan membayangkan adanya keperluan mewujudkan badan penulis etnik Sabah. Sekembali ke Kota Kinabalu, inspirasi itu telah disampaikan kepada pihak DBP Cawangan Sabah.

Henry Bating (kiri) bersama SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan (tengah)
di Dewan Orkestra ASWARA Kuala Lumpur
Hasilnya, sekumpulan penulis etnik Sabah yang telah lama berkecimpung dalam penulisan bertemu di Sudut Penulis DBP Sabah. Maka badan penulis etnik Sabah ini ditubuhkan dan akhirnya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Malayisa pada tahun 2014.

Badan penulis ini kemudian beroperasi bernaung di bawah DBP Sabah dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti yang diperoleh badan-badan penulis lain di Bumi Bawah Bayu ini.

Pelopor Kelab Penulis KDM yang kemudian menjadi 
Persatuan Penulis Momogun Malaysia  (MOMOGUNSIA)
 - Henry Bating (duduk dua kiri)
Aktiviti pengkaryaan Momogunsia berpaksikan nilai untuk melestarikan dan mengarusperdanakan sastera etnik di bawah jenama Momogunsia. Aktiviti pengkaryaan ini berteraskan dua nilai utama iaitu mengangkat jati diri etnik dan mengubah naratif etnik ini dari perspektif kurang tepat penulis luar.

Dua teras nilai itu diambil agar kalangan penulis etnik Sabah dapat membina citra etnik yang bermartabat, bertamadun dan progresif. Sastera etnik bukan terletak pada ‘medium’ bahasa karyanya atau wadah. Melainkan sastera etnik terletak pada ‘substance’ atau intipati karya yang dihasilkan.

‘Core Ethnic’ itu diterjemahkan dalam karya-karya bernilai positif, yang berlatarkan fakta yang betul (tradisi, budaya, adat, legenda, kearifan lokal dan seumpamanya) serta memperkasakan nilai etnik yang dapat diteladani.

Gerakan Awal

Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2011 di Kuala Lumpur dihadiri oleh Henry Bating sebagai pembentang mewakili etnik Sabah. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sastera Kadazandusun Dalam Perspektif Integrasi Nasional: Tinjauan Karya Puisi Cosmas Abah’.

Henry Bating membuat pembentangan
Cetusan inspirasi mewujudkan badan penulis etnik Sabah dibincangkan bersama Clif Kamijan di pejabat DBP Sabah. Clif telah memanggil beberapa penulis kalangan berbilang etnik bertemu di Sudut Penulis DBP Sabah. Hasilnya satu badan diberi nama ‘Kelab Penulis Kadazandusun Murut (KDM)’ dibentuk.

Jawatankuasanya terdiri daripada Daniel Jebon Janaun (Pengerusi), Henry Bating (Timbalan), Rita Robert Rawantas (Setiausaha) dan Angela Engkuan (Bendahari). Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Clif, Witer Gunik, Welin Ebal, Anthonia Kunia Gilung, Kathirina Tati Sitaim dan Ony Latifah. Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin menjadi penasihat.

Kewujudan badan penulis itu kemudian dimaklumkan secara rasmi kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas (Allayarham). Dalam satu pertemuan selepas itu, Pak Zubaidi dalam ucapannya menegaskan bahawa Kelab Penulis KDM akan diberi kemudahan sama seperti kemudahan yang dinikmati badan-badan penulis lain di Sabah.

Pertemuan Penulis KDM di Kota Marudu September 2011 telah memperlihatkan komitmen DBP kepada badan penulis ini. Pak Zubaidi sendiri hadir dalam majlis perasmian itu yang disempurnakan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili. DBP sendiri telah menghulur sumbangan ribuan ringgit yang telah disampaikan dalam bentuk cek. Turut menghulur sumbangan kewangan, Dr Max dan kalangan usahawan Kimaragang.

Pertemuan Penulis Kadazandusun Murut di Kota Marudu. 
Dirasmikan Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili

Perjalanan yang kelabu

Badan penulis ini telah menghadapi masa hadapan suram dan perjalanan yang kelabu oleh ketibaan pilihan raya umum ke-13. Penasihat dan pengerusi badan penulis ini bertanding dalam pilihan raya. Mereka menjadi calon pembangkang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Meski meraih ribuan undi dan tidak hilang deposit pencalonan, kedua-dua pemimpin tertinggi badan penulis ini tidak berjaya mengatasi jumlah undi yang diperoleh calon parti pemerintah.

Sekitar dua tahun selepas pilihan raya, badan penulis ini menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Pengerusi menghadap Ilahi dalam satu pemergian mengejut. Timbalan pengerusi bertukar tugas dari Kota Kinabalu ke Labuan. Yang tinggal hanya Welin dan Anthonia sering menghantar mesej kepadan timbalan.

Perjumpaan di Gaya Street

Suatu masa, timbalan menerima mesej dari Welin menyatakan satu cadangan. Cadangan itu rupanya telah dibincangkan bersama Anthonia. “Tuan, kita jumpalah di KK, saya sudah kasih tau Kath (Kathirina) dan Raymond (Majumah), mereka datang juga itu,” katanya.

Ketika sampai masa temu janji, timbalan menyeberang dari Labuan ke Kota Kinabalu. Perjumpaan santai berlaku di Restoran McDonald, Gaya Street. Lima orang itu bertemu dan seakan kerinduan amat mendalam kerana tanpa sedar sudah hampir dua jam berborak.

Perbincangan dirumuskan dan bersetuju badan penulis itu didaftarkan di bawah RoS. Nama badan ditambah terjemahan ‘Monunurat Momogun Malaysia’ (MOMOGUNSIA). Nama jawatankuasa penaja disusun.

Henry jadi pengerusi, Raymond Majumah (timbalan), Kathirina Susana Tati Sitaim (Setiausaha), Anthonia (Penolong Setiausaha), Welin (Bendahari) dan dua ahli jawatankuasa, Yatim Ahmad dan Sofie Clara.

Datuk Dr Janathan Kandok menjadi Penasihat dan Prof Madya Dr Ramzah Dambul menjadi Pembimbing Akademik.

Hasil usaha setiausaha, badan penulis berjaya didaftarkan. Akaun bank badan penulis berjaya dibuka di Bank Islam. Senarai kepimpinan baharu dimaklumkan kepada DBP Sabah.

Pertemuan di Gaya Street. Dari kiri Raymond Majumah, Henry Bating, Welin Ebal,
Anthonia Gilung dan Kathirina Susana Tati
Momogunsia mengorak langkah

Nama badan penulis ini mulai mekar. Kumpulan dalam Facebook, Whatsapp dan Telegram dibuka. Kolum-kolum mingguan Yatim Ahmad di New Sabah Times hampir setiap minggu mengangkat konsep pergerakan Momogunsia. Dalam setiap tulisannya, Yatim tidak pernah lupa menonjolkan nama-nama peneraju Momogunsia.

Menambah hangatkan lagi, karya-karya dari keluarga Momogunsia mulai memadati ruang-ruang sastera dalam akhbar tempatan di Kota Kinabalu. Diskusi sastera mulai menghangat melalui pos-pos dalam kumpulan Whatsapp. Banyak karya muncul melalui diskusi santai itu. Penulis yang telah menyepi, aktif kembali. Penulis baharu membuat kemunculan.

Diskusi hangat itu telah dimungkinkan oleh komitmen Yatim Ahmad untuk menjadi ‘Pengetua’ Diskusi. Yang malas berkarya ‘dirotan’. Yang kurang serius berkarya juga ‘dirotan’. Deadline memperbaiki karya juga diberikan, jika tidak siap pasti ‘dirotan’.

Hasilnya setiap hari ada saja karya yang tuntas didiskusikan. Kemudian karya-karya itu tersiar di akhbar. Hari Minggu menjadi harinya bagi Keluarga Momogunsia bergembira meraikan karya-karya yang tersiar.

Gerakan Ekstensif

Momogunsia bergerak menggunakan pendekatan ‘adventurous’. Setiap kembaranya menghasilkan karya. Bermula daripada kunjungan hormat kepada penasihat. Melalui kunjungan itu, penasihat memberikan tiga tema penting pengkaryaan yang dapat mendukung penyempurnaan dasar-dasar kerajaan. Pelancongan, kebudayaan dan keselamatan. Turut diberi penekanan ialah penyusunan lirik lagu.

Kembara Simpang Mengayau dilaksanakan. Di situ, penasihat mengajak kalangan penulis mendalami teknik penulisan biografi. Penggubah lagu penyanyi-penyanyi terkenal, Datu Bad memberikan perkongsian mengenai penciptaan lagu dan penyusunan lirik. Karya mengenai asal mula sejarah Simpang Mengayau didiskusikan.

Beberapa pertemuan diadakan di Rumah Pangi Tuaran, pusat diskusi wacana milik Dr Ramzah. Di rumah itu tercetus inspirasi penerbitan Antologi Cerpen Pugai Balabak dan Antologi Puisi Nafas Bumi. Di samping itu, DBP menawarkan penerbitan dua buah buku karya penulis Momogunsia. DBP turut menawarkan kepada pengerusi untuk menyusun buku mengenai ‘Sastera Etnik’.

Pertemuan Momogunsia di Rumah Pangi Tuaran 
milik Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Persidangan Dayak SeIndonesia Julai 2015 telah membawa langkah rombongan Momogunsia hadir sebagai delegasi ke Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Kehadiran rombongan ini diterima baik dan mesra serta mendapat liputan meluas dalam media cetak dan elektronik negara republik itu.

Rombongan Momogunsia diidentifikasikan dengan nama ‘Dayak Sabah’. Hasil perantaraan Dr Kusni Sulang, rombongan memperoleh layanan istimewa pihak penganjur. Disediakan protokol sambutan di airport, hotel, pengangkutan, pengiring yang terdiri dari mahasiswa akhir jurusan bahasa Inggeris Universitas Palangka Raya (UNPAR), temu tokoh Dusun Witu, pembentangan dalam forum, dialog budaya serantau selama sejam di TVRI yang dipancarkan secara langsung ke seluruh Indonesia, pertemuan dengan ilmuan UNPAR dan penandatanganan MoU dengan Lembaga Kebudayaan Kalteng menerusi sekretarisnya, Dra Andriani.

Rombongan Momogunsia di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia.
Dari kanan Gazali Suhaili, Raymond Majumah, Henry Bating,
Rosliah Kiting, Sofie Clara dan Kathirina Tati
Sekembali ke Kota Kinabalu, rombongan ini terus ke Seminar Sastera Pelbagai Kaum di DBP Sabah. Ahli-ahli badan penulis ini menjadi pembentang dan moderator dalam seminar dua hari peringkat kebangsaan itu.

Penghujung Ogos 2015, rombongan ini bertolak menghadiri Minggu Linguistik di University of The Philippines, Diliman, Quezon City. Universiti itu terletak kira-kira 20km dari Manila Metro.

Selepas pembentangan, diskusi dengan Ketua Jabatan Linguistik, Prof Dr Aldrin Lee diadakan. Dr Aldrin sempat menyebutkan tentang masyarakat ‘Mohlbog/ Balabak’ seperti yang terdapat di Pulau Banggi, Sabah. Di Filipina, masyarakat itu dapat ditemui di utara Palawan.

Rombongan Momogunsia menghadiri Seminar Bulan Linguistik, 
University of The Philippines dengan membentang kertas kerja. 
Kelihatan Prof Dr Aldrin Lee (berdiri empat kanan)
Cerpen Witer Gunik ‘Pugai Balabak’ yang menjadi judul antologi pertama Momogunsia mengambil latar masyarakat dan bumi Banggi yang memiliki kaitan asal-usul Filipina. Justeru, Kembara Momogunsia ke Banggi 2-3 April 2016 mempertautkan perjalanan dan pengkaryaan Momogunsia. - bersambung

Antologi Pugai Balabak




Monday, 18 December 2017

Henry kosongkan jawatan Presiden Momogunsia

Mulakan tugas baharu sebagai CEO Momogun Creative Consultancy

Henry bersama Asmiah dan Rem dalam satu program Momogunsia di Rumah Pangi, Tuaran
HENRY BATING secara rasmi mengosongkan jawatan Presiden Pertubuhan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) berkuatkuasa 01 Januari 2018 setelah menerajui pertubuhan itu seawal pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) Julai 2014.

Surat notis pengosongan jawatan 1-31 Disember 2017 telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung Momogunsia, Kathirina Tati Sitaim dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Asmiah Haji Ajamain selaku penaung.

Bagaimanapun, sebagai pengasas pertubuhan bersama Daniel Jebon Janaun (mendiang) pada 2011, Henry akan tetap bersama pertubuhan itu sebagai ahli seumur hidup di samping memegang tugas baharu.

Henry akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik Momogunsia, Momogun Creative Consultancy (MCC) untuk menjalankan pelbagai aktiviti perundingan berbayar. Syarikat itu akan menjana kewangan untuk Momogunsia.

Pertemuan 2014 di Gaya Street untuk menghidupkan Kelab Penulis KDM
Sentiasa bersama ketika proses pendaftaran Momogunsia di RoS
Sehingga kini, pertubuhan yang bernaung di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah itu telah menerbitkan beberapa antologi karya kreatif di samping telah melaksanakan pelbagai program berasaskan pengembangan kreativiti.

Pertubuhan itu juga telah menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Suria yang dikendalikan Datuk Raya Erom di bawah program Suria-Momogunsia.

Momogunsia dalam kunjungan hormat kepada Datuk Raya Erom
Manakala, pertubuhan itu turut terlibat aktif dalam pelaksanaan program DBP dan telah menerima sumbangan kewangan DBP bagi melaksanakan pelbagai program berbentuk pemekaran kreativiti.

Bersama DBP, Momogunsia telah merintis penganjuran Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES) 2016 yang turut disertai pembentang dari beberapa penjuru BIMP-EAGA seperti University of The Philippines (UP), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Sekretariat Kebudayaan Kalimantan Tengah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran.

Dr Maximus hadiri Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES) 2016
SPES turut mendapat dukungan kewangan dan sokongan moral dari Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Ahli Parlimen Kota Marudu.

Menyusul kejayaan pelaksanaan SPES 2016, Momogunsia kemudian mengikat kerjasama dengan akhbar New Sabah Times (NST) untuk melaksanakan sayembara Hadiah Cerpen Momogunsia (HCM) yang disiarkan setiap Ahad di akhbar itu. 

Penilaian dan penyampaian hadiah dilaksanakan di bawah program HCM-NST 2016/2017 yang akan disempurnakan menjelang Kaamatan 2018.

MoU HCM-NST 2016/2017 antara Momogunsia dengan Ketua Editor BM NST, Amin Muin
Di samping itu, Momogunsia turut mengunjungi Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah untuk membincangkan pelbagai peranan yang boleh dimainkan bagi memperkaya khazanah buku di negeri ini dan seterusnya membuka pasaran buku-buku penulis tempatan.

Selain Sudut Penulis DBP, Momogunsia sering menggunakan Rumah Pangi, Tuaran, milik Pembimbing Akademik pertubuhan ini, Prof. Madya Dr Ramzah Dambul (Rem) sebagai venue pertemuan. 

Melalui Rem, asas penulisan etnik dilandaskan serta dialurkan demi menyuluh pengkaryaan etnik.

Dalam melaksanakan program, Momogunsia seawalnya telah mengunjungi Penasihat pertubuhan ini, Datuk Dr Janathan Kandok untuk mendapat panduan mengorak langkah mengemban fungsi sebagai penggerak minda penulisan etnik.

Sebagai pertubuhan yang memfokuskan penyegaran kreativiti, Momogunsia telah mengadakan beberapa kembara.

Antara kembara yang pernah diadakan ialah jelajah ke Pulau Banggi, delegasi tamu Kongres Pemuda Dayak SeIndonesia di Palangka Raya, Kalimantan Tengah dan Bulan Linguistik di University of the Philippines (UP) Diliman, Quezon City.

Kembara Momogunsia di Pulau Banggi
Selepas program Momogunsia di Rumah Pangi, Tuaran
Kunjungan hormat Momogunsia kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah
Bersama Penasihat Momogunsia, Datuk Dr Janathan Kandok
Kunjungan hormat Momogunsia kepada Penasihat, Datuk Dr Janathan Kandok
Momogunsia di Bangunan Palma Jabatan Linguistik, University of The Philippines, Diliman, Quezon City
Jalinan kerjasama antara Momogunsia dengan Jabatan Linguistik, University of The Philippines, Diliman, Quezon City
MoU Momogunsia dengan Sekretariat Kebudayaan Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia
Pertemuan Momogunsia dengan ketua masyarakat Dusun Dayak Kalimantan Tengah
Momogunsia dalam temuramah di studio sayangsabah.com Kota Kinabalu
Momogunsia di Seminar Etnik Kebangsaan anjuran DBP
Mesyuarat Tahunan Momogunsia di Rumah Pangi, Tuaran
Pertemuan Momogunsia dengan Universitas Palangka Raya, Kalimantan Tengah
Momogunsia di Airport Tjilik Riwut, Kalimantan Tengah
Momogunsia dalam kebersamaan
Momogunsia dalam keakraban
Momogunsia dalam keceriaan
Momogunsia ketika transit penerbangan
Santai Momogunsia di Bukit Banggi
Momogunsia bersama pahlawan Dayak Kalimantan

Friday, 10 February 2017

Pelajar UPSI selami warisan tradisi Rungus

Bakal guru pelajari hidangan sinamu, manik vinusak

JIWA dan minda pendidik menyatu bersama murid-murid.

Oleh HENRY BATING
KHIDMAT Masyarakat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak di Matunggong, Kudat baru-baru ini memberi ruang kepada kalangan pelajar mempelajari tradisi etnik Rungus menyedia hidangan ‘sinamu’ dan membuat manik ‘vinusak’.
Pengarah Program, Telmah Tahmeh menyifatkan setiap minit dalam program tiga hari itu merupakan pengalaman berharga mengenali warisan etnik di tengah-tengah penduduk kampung yang masih meneruskan warisan budaya nenek-moyang mereka.
“Walaupun terasa agak singkat namun banyak elemen kemasyarakatan sempat dipelajari dan sangat bermanfaat untuk melengkapkan pelbagai teori pendidikan bahasa etnik yang dipelajari di ruang kuliah,” kata Telmah.
BERSAMA ibubapa dan murid-murid Tadika Aura Didik Kg Inukiran, Matunggong.
Turut menjadi golongan sasar dalam khidmat masyarakat itu ialah 19 murid Tadika Tadika Aura Didik di Muzium Mini Etnik Rungus dan Galeri Raymond Majumah Kg Inukiran, Matunggong.
Atas pengalaman yang ditimba rombongan pelajar, penasihat program, Dr Rosliah Kiting amat berterima kasih di atas kesudian penduduk kampung khususnya penyelenggara Tadika Aura Didik menampung kehadiran mereka selama pelaksanaan program itu.
Dr Rosliah yang juga pensyarah kanan UPSI turut mengucapkan terima kasih atas kesudian penduduk Kampung terutamanya Tadika Aura Didik menerima kehadiran rombongan pelajar itu.
Khidmat masyarakat yang diadakan sepanjang 29 Januari hingg 1 Februari itu merupakan sebahagian daripada aktiviti program pengajian minor bahasa Kadazandusun di universiti berkenaan.
PELAJAR UPSI belajar membuat manik dari penduduk kampung.
Kalangan pelajar dalam rombongan itu amat menghargai peluang yang mereka nikmati selama program itu terutamanya sambutan ramah mesra pemilik muzium dan tadika, Raymond Majumah yang mereka sifatkan sebagai amat berbekas di hati.
Ketua publisiti program, Heidya John memberitahu program itu bertujuan berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat dan juga murid-murid pra-sekolah.
“Kami berkesempatan mendalami budaya dan sastera lisan masyarakat Matunggong melalui interaksi dengan penduduk setempat sekali gus memantapkan kemahiran insaniah pelajar dalam kerja berpasukan,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, kalangan pelajar turut menabur bakti melakukan kerja amal menceriakan persekitaran belajar dan halaman tadika dengan melukis mural dan membersihkan mini muzium dan galeri.
RAYMOND menerima cenderahati dari Dr Rosliah diiringi jawatankuasa pelajar.
Khidmat masyarakat itu telah meletakkan kalangan pelajar dalam situasi realiti pengajaran dan pembelajaran bahasa dengan mengidentifikasi kemahiran berbahasa murid-murid pra-sekolah.
“Memandangkan belum semua murid mampu membaca dan menulis dengan baik maka aktiviti diubahsuai kepada aspek yang lebih kepada pertuturan lisan dan merangsang keaktifan murid-murid berinteraksi,” kata Heidya.
Dalam aktiviti bersama ibu bapa murid, Puan Rosnah selaku wakil ibu bapa mengungkapkan rasa kesyukuran dan terima kasih di atas kesudian pihak UPSI memilih Matunggong sebagai lokasi program.
INTERAKSI dalam kelas antara pelajar UPSI dan murid-murid Tadika Aura Didik Kg Inukiran, Matunggong.
“Kami amat bersyukur kerana Tadika Aura Didik yang terletak di Kg Inukiran ini dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan menabur bakti,” katanya.
Kg Inukiran di Pekan Lama Matunggong yang terletak di puncak sebuah bukit terpencil, tenang dan mendamaikan dapat dijangkau dengan semua jenis kenderaan dengan menempuh perjalanan kira-kira tiga kilometer dari jalan besar.

MELUKIS mural di dinding Tadika Aura Didik.
BELAJAR membuat hidangan ‘sinamu’.
LUKISAN mural yang dihasilkan dalam khidmat masyarakat pelajar UPSI.




Thursday, 26 January 2017

Festival Budaya Dayak Borneo 2015 serlah kelibat Momogunsia

Pertemuan budaya etnik Sabah dan tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan perkukuh kearifan lokal
 
MEMORANDUN persefahaman antara Momogunsia dengan Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah diwakili Ibu Andriani dan Pak Kusni.
Oleh HENRY BATING
Foto Gazali Suhaili
Siri II (Akhir)

LAWATAN pertama Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) ke luar negara 5-8 Ogos 2015 telah membuahkan hasil di luar jangkaan. Pemilihan negara tetangga sedaratan sepulau Borneo (Kalimantan) itu telah mempertemukan dua budaya berakar sama yang terpisah.
Jika Momogunsia mahu mendalami kearifan warisan tradisinya, maka badan penulis itu boleh belajar banyak di Kalimantan khususnya di Palangka Raya, ibukota Kalimantan Tengah, Republik Indonesia. Jika Momogunsia mahu memperkasakan realiti warisan tradisinya dalam karya-karya yang dihasilkan, maka anggota-anggota badan penulis itu boleh merujuk banyak penerbitan di Kalimantan Tengah itu.
Di Palangka Raya terbit buku ‘Budaya Dayak: Permasalahan dan Alternatifnya’ karya Dr Kusni Sulang dan rakan-rakan. Pak Kusni yang sekarang menjadi Ketua Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah merupakan kolumnis Koran ‘Radar Sampit’ dan baru balik beberapa tahun yang lalu daripada berkelana di Kota Paris, Perancis.
Selain pendidikan formal di Universitas Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, New South Wales, Sydney dan Akademi Militer di Vietnam, Pak Kusni juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Paris. Di Paris, Pak Kusni bukan sekadar menjadi pensyarah di beberapa buah universiti tetapi juga telah mengusahakan Sekolah Bahasa dan Budaya Indonesia.
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo 2015 di Palangka Raya.
Mantan Gubernur Kalimantan Tengah, Agustin Teras Nerang, S.H. dalam pengenalannya pada buku Budaya Dayak itu menyatakan slogan yang hampir sama dengan slogan yang selalu digunakan pelbagai etnik yang ada di Sabah. Slogannya ialah ‘Mari kita bersepakat untuk bersama-sama menyejahterakan dan mengangkat harkat serta martabat masyarakat adat Dayak. Kalau bukan sekarang, kapan lagi, dan kalau bukan kita, siapa lagi?’.
Di Palangka Raya itu juga terdapat ahli akademik yang begitu tekun menebarkan ilmu mengenai budaya Dayak dan pemecahan terhadap beberapa permasalahan yang dihadapi etnik itu dalam menghadapi arus perdana bangsa Indonesia dan pelaburan dari luar.
“Di Kalimantan Tengah ini arus investasi (pelaburan) sangat tinggi tapi juga kadar kerosakan alamnya sangat tinggi,” tegas Dr Sidik Usop dari Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
PEMUDA Dayak Kalimantan.
Menurut Pak Sidik, kehadiran pelaburan yang begitu besar khususnya dalam sektor perladangan dan perlombongan arang batu tidak bisa ditolak, namun upaya menjaga lingkungan harus ditangani mengikut kaedah-kaedah yang diterima masyarakat berdasarkan nilai-nilai tradisi mereka.
Pak Sidik seterusnya menghuraikan pelbagai elemen tradisi masyarakat Dayak antaranya ‘Petak Danum’ yang boleh diguna pakai untuk menjaga persekitaran agar tidak merugikan kehidupan warga masyarakat di sesuatu tempat.
AKSI kepahlawanan Dayak Kalimantan dalam upacara sambut tamu.
Teori itu amat berkesan mengisi minda rombongan Momogunsia yang terdiri daripada Henry Bating, Raymond Majumah, Kathirina Susanna Tati, Sofie Clara, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Pelaburan sektor perladangan dan perlombongan di Kalimantan Tengah agak rancak membangun sehingga wujudnya pelaburan berkaitan Malaysia. Sebuah perlombongan arang batu di kawasan Kabupaten Barito, dapat ditemui orang berasal dari Tuaran, Sabah bernama Sumin Bagou yang menjadi pengurus syarikat berkenaan. Lokasi perlombongan di Barito itu agak lumayan jauhnya sehingga menjangkau perjalanan kenderaan pacuan empat roda hampir 10 jam.
BERTUKAR informasi dengan pengerusi pengajur, Pak Yansen (tengah) dan Ibu Erika Siluq, ketua delegasi Kalimantan Timur.
Bapak Marthin Ludjen, timbalan pengerusi Dewan Adat Dayak yang berasal dari kabupaten Barito juga ada menyatakan bahawa kawasan tanah di Kalimantan Tengah itu masih banyak ruang untuk pelaburan bagi perladangan sawit. Pak Marthin yang berketurunan Dusun Manyan itu juga mengalu-alukan syarikat yang berminat untuk mengadakan usahasama.
Memperincikan wadah masa hadapan perkongsian ilmu antara Momogunsia dan Palangka Raya, Lambaga Kebudayaan Kalimantan Tengah dan Universitas Palangka Raya menyatakan sambutan yang saling mendukung.
DIALOG bahasa, sastera dan budaya Dayak Kalimantan bersama pemudah cara Sony K Mahat dalam siaran langsung dua jam Televisi Radio Republik Indonesia.
Dari pihak lembaga kebudayaan, sekretaris jenderalnya Dra Andriani S Kusni menyatakan bahawa langkah pertama yang boleh dibuat ialah menerbitkan antologi cerpen bersama yang boleh digunakan oleh khalayak pembaca di Sabah, Malaysia dan juga Kalimantan, Indonesia.
Manakala pertemuan dengan pimpinan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar menyatakan bahawa universitas itu bersedia memberikan ruang untuk persidangan pertukaran hasil penelitian dua budaya. Di samping itu, pihak universitas juga bersedia mengadakan kerjasama menghasilkan kajian bersama mengenai bahasa dan budaya antara Sabah, Malaysia dan Kalimantan Tengah, Indonesia.
KEARIFAN lokal dalam tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan
Ketua Jurusan Bahasa Inggeris, Dr Arnusianto Mage yang mengendalikan jalinan kerjasama antarabangsa fakultas itu menyatakan secara kebetulan pihak Unpar mempunyai MoU dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Katanya, melalui MoU itu akan dapat memungkin kalangan penulis dari Sabah dan Palangka Raya memanfaatkan memorandum persefahaman berkenaan.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Timbalan Dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi.
 
ROMBONGAN Momogunsia berangkat dari airport Kota Kinabalu.
GAZALI bersama sekumpulan gadis Dayak Kalimantan.


Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...