Showing posts with label Dayak. Show all posts
Showing posts with label Dayak. Show all posts

Tuesday, 4 August 2020

Dr. Henry Bating Biodata

Wartawan, penterjemah, jurufoto dan ahli akademik


Dr Henry Bating

DR. HENRY BATING, ASDK, AMN, BSK merupakan penulis, penyunting, penterjemah dan jurufoto sejak 1997. Bekerja sebagai wartawan sepenuh masa sebelum menyertai Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2007. 

Selaku ahli akademik, Dr. Henry yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melengkapkan kesarjanaan dalam bidang Pendidikan Bahasa dan Sastera Kadazandusun dari peringkat Ijazah Sarjana Muda B.A. (Hons.) Ed., Sarjana (M.Ed) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Dalam kerjaya kewartawanan, beliau menjadi editor, wartawan dan jurufoto ehwal semasa dan ulasan sastera dalam bahasa Melayu, bahasa Kadazandusun dan bahasa Inggeris di akhbar Borneo Mail (1997-2001), Berita Sabah (2001-2003), The Borneo Post (2003-2004) dan Utusan Borneo (2008-2020). 

Dalam bidang akademik, beliau aktif menghasilkan kertas kajian dalam bidang Pendidikan Bahasa dan Sastera (Melayu, Kadazandusun dan Inggeris) untuk pembentangan persidangan akademik tahunan peringkat kebangsaan, antarabangsa dan penerbitan prosiding, jurnal serta buku.

Dr Henry Bating

Beberapa buku yang telah beliau hasilkan ialah ‘Ejaan Bahasa Kadazandusun’ (2001), ‘Nunuk Ragang: Legenda Asal-Usul Kadazandusun’ (2002), penyunting antologi cerpen ‘Pugai Balabak’ (2015) dan menulis buku ‘Ambrose Mudi: Pelopor Seni Muzik dan Seni Suara Etnik Sabah (2017). 

Hasil penulisan di akhbar telah membawa beliau terpilih menerima ‘Hadiah Tinta Sastera Sabah’ DBP Cawangan Sabah (1999) dan pemenang Anugerah Kewartawanan Kinabalu-Shell kategori Bahasa Kadazandusun (2007) dan Bahasa Melayu (2013).

Ketika mula bertugas di UMS, beliau ditempatkan di PPIB UMS KK (2008-2013) lalu dihantar bertugas ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (2013-2022) dan dipanggil balik bertugas ke UMS Kota Kinabalu Oktober 2022. Beliau memberi kuliah kursus Pengajian Malaysia dan Bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa serta kursus Bahasa Kadazandusun untuk pelajar bukan berketurunan Kadazandusun. 

Dr Henry Bating

Sebelum berkhidmat dengan UMS, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (2004-2007).

Dr Henry menempuh pengajian Ph.D di UMS (2013-2020), M.Ed (UMS) 2008-2012 dan Sarjana Pendidikan (S1) Bahasa dan Sastera Indonesia (1994-1997) di Universitas Negeri Jakarta (UN Jakarta). Sebelum berpindah ke UN Jakarta, beliau kuliah setahun bidang yang sama di UN Manado Sulawesi Utara (1993).

Dr Henry menghasilkan tesis B.A. (Hons) Ed. bagi kajian 'Fonologi Bahasa Kadazandusun', M.Ed 'Kurikulum dan Pengajaran Bahasa Kadazandusun' serta Ph.D 'Kurikulum dan Pengajaran Sastera Kadazandusun'.

Bagi memperkembangkan perkongsian ilmu kearifan etnik, Dr Henry bersama rakan-rakan mengasaskan Kelab Penulis KDM (2011) yang kemudian menjadi Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) 2014. Beliau menjadi presiden badan penulis itu yang bernaung di bawah DBP (2014-2016).

Dr Henry Bating

Beliau memperoleh sijil penuh STPM sebagai calon persendirian di Tenom (1992). Menempuh persekolahan di SM St Anthony Tenom (1977-81) dan SRK St Pius Pamilaan, Tenom (1971-76). 

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pembantu Kerani di Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat Tenom (1984-87) setelah lulus Sijil Perkeranian (1983) di Sabah Bumiputera Business Training Centre (SBTC) Likas, Kota Kinabalu. Beliau kemudian menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM Chung Hwa, Tenom (1988-93).

Dr Henry Bating diberi penghormatan dalam tradisi Dayak Kalimantan di Palangkaraya

Dr Henry Bating diwawancara dalam siaran langsung TVRI dari Palangkaraya Kalimantan Tengah

Dr Henry lahir di Kg Pamilaan, Tenom pada Feb 1965 oleh ibu bapa yang berasal dari Kirokot (Kidalamas, Bundusan) Tambunan. Beliau membesar dan berkeluarga di kampung kelahirannya. Dr Henry merupakan anak ketiga dari 10 adik-beradik. Atas penglibatan beliau dalam penulisan, kemasyarakatan dan akademik, beliau dianugerahkan bintang kebesaran Negeri Sabah 'Ahli Setia Darjah Kinabalu' (ASDK) 2023, darjah kebesaran Malaysia ‘Ahli Mangku Negara’ (AMN) dari DYMM Yang Dipertuan Agong (2016) dan ‘Bintang Setia Kinabalu’ (BSK) dari TYT Yang Dipertua Negeri Sabah (2007). 

Dr Henry mendirikan keluarga dengan isteri Kasiah Kasupin beserta anak-anak Reo Rickie, Iera Michelle, Alva Avila dan cucu Lara Giselle, Mason, Jude, Tristan, Gareth Chad dan Preston.

Thursday, 26 January 2017

Festival Budaya Dayak Borneo 2015 serlah kelibat Momogunsia

Pertemuan budaya etnik Sabah dan tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan perkukuh kearifan lokal
 
MEMORANDUN persefahaman antara Momogunsia dengan Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah diwakili Ibu Andriani dan Pak Kusni.
Oleh HENRY BATING
Foto Gazali Suhaili
Siri II (Akhir)

LAWATAN pertama Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) ke luar negara 5-8 Ogos 2015 telah membuahkan hasil di luar jangkaan. Pemilihan negara tetangga sedaratan sepulau Borneo (Kalimantan) itu telah mempertemukan dua budaya berakar sama yang terpisah.
Jika Momogunsia mahu mendalami kearifan warisan tradisinya, maka badan penulis itu boleh belajar banyak di Kalimantan khususnya di Palangka Raya, ibukota Kalimantan Tengah, Republik Indonesia. Jika Momogunsia mahu memperkasakan realiti warisan tradisinya dalam karya-karya yang dihasilkan, maka anggota-anggota badan penulis itu boleh merujuk banyak penerbitan di Kalimantan Tengah itu.
Di Palangka Raya terbit buku ‘Budaya Dayak: Permasalahan dan Alternatifnya’ karya Dr Kusni Sulang dan rakan-rakan. Pak Kusni yang sekarang menjadi Ketua Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah merupakan kolumnis Koran ‘Radar Sampit’ dan baru balik beberapa tahun yang lalu daripada berkelana di Kota Paris, Perancis.
Selain pendidikan formal di Universitas Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, New South Wales, Sydney dan Akademi Militer di Vietnam, Pak Kusni juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Paris. Di Paris, Pak Kusni bukan sekadar menjadi pensyarah di beberapa buah universiti tetapi juga telah mengusahakan Sekolah Bahasa dan Budaya Indonesia.
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo 2015 di Palangka Raya.
Mantan Gubernur Kalimantan Tengah, Agustin Teras Nerang, S.H. dalam pengenalannya pada buku Budaya Dayak itu menyatakan slogan yang hampir sama dengan slogan yang selalu digunakan pelbagai etnik yang ada di Sabah. Slogannya ialah ‘Mari kita bersepakat untuk bersama-sama menyejahterakan dan mengangkat harkat serta martabat masyarakat adat Dayak. Kalau bukan sekarang, kapan lagi, dan kalau bukan kita, siapa lagi?’.
Di Palangka Raya itu juga terdapat ahli akademik yang begitu tekun menebarkan ilmu mengenai budaya Dayak dan pemecahan terhadap beberapa permasalahan yang dihadapi etnik itu dalam menghadapi arus perdana bangsa Indonesia dan pelaburan dari luar.
“Di Kalimantan Tengah ini arus investasi (pelaburan) sangat tinggi tapi juga kadar kerosakan alamnya sangat tinggi,” tegas Dr Sidik Usop dari Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
PEMUDA Dayak Kalimantan.
Menurut Pak Sidik, kehadiran pelaburan yang begitu besar khususnya dalam sektor perladangan dan perlombongan arang batu tidak bisa ditolak, namun upaya menjaga lingkungan harus ditangani mengikut kaedah-kaedah yang diterima masyarakat berdasarkan nilai-nilai tradisi mereka.
Pak Sidik seterusnya menghuraikan pelbagai elemen tradisi masyarakat Dayak antaranya ‘Petak Danum’ yang boleh diguna pakai untuk menjaga persekitaran agar tidak merugikan kehidupan warga masyarakat di sesuatu tempat.
AKSI kepahlawanan Dayak Kalimantan dalam upacara sambut tamu.
Teori itu amat berkesan mengisi minda rombongan Momogunsia yang terdiri daripada Henry Bating, Raymond Majumah, Kathirina Susanna Tati, Sofie Clara, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Pelaburan sektor perladangan dan perlombongan di Kalimantan Tengah agak rancak membangun sehingga wujudnya pelaburan berkaitan Malaysia. Sebuah perlombongan arang batu di kawasan Kabupaten Barito, dapat ditemui orang berasal dari Tuaran, Sabah bernama Sumin Bagou yang menjadi pengurus syarikat berkenaan. Lokasi perlombongan di Barito itu agak lumayan jauhnya sehingga menjangkau perjalanan kenderaan pacuan empat roda hampir 10 jam.
BERTUKAR informasi dengan pengerusi pengajur, Pak Yansen (tengah) dan Ibu Erika Siluq, ketua delegasi Kalimantan Timur.
Bapak Marthin Ludjen, timbalan pengerusi Dewan Adat Dayak yang berasal dari kabupaten Barito juga ada menyatakan bahawa kawasan tanah di Kalimantan Tengah itu masih banyak ruang untuk pelaburan bagi perladangan sawit. Pak Marthin yang berketurunan Dusun Manyan itu juga mengalu-alukan syarikat yang berminat untuk mengadakan usahasama.
Memperincikan wadah masa hadapan perkongsian ilmu antara Momogunsia dan Palangka Raya, Lambaga Kebudayaan Kalimantan Tengah dan Universitas Palangka Raya menyatakan sambutan yang saling mendukung.
DIALOG bahasa, sastera dan budaya Dayak Kalimantan bersama pemudah cara Sony K Mahat dalam siaran langsung dua jam Televisi Radio Republik Indonesia.
Dari pihak lembaga kebudayaan, sekretaris jenderalnya Dra Andriani S Kusni menyatakan bahawa langkah pertama yang boleh dibuat ialah menerbitkan antologi cerpen bersama yang boleh digunakan oleh khalayak pembaca di Sabah, Malaysia dan juga Kalimantan, Indonesia.
Manakala pertemuan dengan pimpinan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar menyatakan bahawa universitas itu bersedia memberikan ruang untuk persidangan pertukaran hasil penelitian dua budaya. Di samping itu, pihak universitas juga bersedia mengadakan kerjasama menghasilkan kajian bersama mengenai bahasa dan budaya antara Sabah, Malaysia dan Kalimantan Tengah, Indonesia.
KEARIFAN lokal dalam tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan
Ketua Jurusan Bahasa Inggeris, Dr Arnusianto Mage yang mengendalikan jalinan kerjasama antarabangsa fakultas itu menyatakan secara kebetulan pihak Unpar mempunyai MoU dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Katanya, melalui MoU itu akan dapat memungkin kalangan penulis dari Sabah dan Palangka Raya memanfaatkan memorandum persefahaman berkenaan.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Timbalan Dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi.
 
ROMBONGAN Momogunsia berangkat dari airport Kota Kinabalu.
GAZALI bersama sekumpulan gadis Dayak Kalimantan.


Momogunsia delegasi luar negara Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia 2015

Momogunsia hadiri Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia di Palangka Raya Kalimantan Tengah
 
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo di Palangka Raya.

Oleh HENRY BATING 

Foto Gazali Suhaili
Siri l

PALANGKA RAYA ibukota provinsi Kalimantan Tengah, Republik Indonesia dari segi geografi tidaklah berjauhan dengan tanah Sabah, Malaysia. Malahan Sarawak, Malaysia lagi dekat kerana hanya terletak bersebelahan.
Tapi kerana jalur penerbangan yang telah ditentukan di antara negara dengan negara serta antara provinsi dengan provinsi maka perjalanan menjadi jauh. Dekat dalam peta geografi tapi jauh untuk sampai, baik melalui penerbangan mahupun jalan darat.
Di kota Palangka Raya yang terletak di tengah-tengah bumi Kalimantan, rombongan Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) bertandang. Rombongan diketuai Pengerusi, Henry Bating dengan disertai Raymond Majumah (Timbalan), Kathirina Susanna Tati (Setiausaha), Sofie Clara (Bendahari) dan ahli jawatankuasa, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Badan penulis etnik Sabah itu memenuhi undangan yang telah disampaikan panitia untuk menghadiri Festival Budaya Dayak Borneo yang bersempena dengan Kongres Nasional Pemuda Dayak Pertama 2-5 Ogos 2015. Rombongan Momogunsia disambut sebagai salah satu delegasi festival dan kongres sekali gus hadir sebagai satu-satunya delegasi dari luar negara.
ROMBONGAN Momogunsia melawat kampus Unpar.
Sebelum keberangkatan ke festival dan kongres itu, badan penulis etnik Sabah ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau. Dalam kunjungan itu Madius melahirkan harapan agar Momogunsia dapat membantu usaha kerajaan menjalin kerjasama budaya serantau dengan pelbagai pihak di samping terlibat aktif membantu memperkasakan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Turut memberi sokongan terhadap keberangkatan rombongan Momogunsia ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), OKK William Majimbun dan Datuk Peter Mak yang juga Ahli Lembaga Penasihat Perbadanan Labuan.
Momogunsia memilih Kalimantan Tengah sebagai destinasi kunjungan bilateral budaya kerana di provinsi itu wujud beberapa etnik Dusun yang berkongsi sebahagian perbendaharaan kata dengan bahasa Kadazandusun.
Penerbangan pertama bermula dari Kota Kinabalu ke Jakarta dengan mengambil masa kira-kira tiga jam. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki penerbangan lain dari Jakarta ke Palangka Raya kira-kira sejam 30 minit. Perjalanan tidak dapat bersambung terus lantaran jurang waktu yang panjang sehingga melebihi 12 jam antara penerbangan pertama dengan penerbangan kedua.
BERKUNJUNG ke rumah Pak Marthin Ludjen (kanan) berketurunan Dusun Manyan Witu.
Keberadaan rombongan Momogunsia di Palangka Raya 2-4 Ogos dikendalikan secara berprotokol oleh Ketua Lembaga Kebudayaan Kalimantan Tengah, Dr Kusni Sulang dan Sektretaris Jenderal lembaga itu, Dra Andriani S. Kusni. Ketibaan di lapangan terbang Palangka Raya telah disambut dua buah kenderaan pacuan empat roda oleh panitia kongres dan festival. Rombongan terus dibawa ke Hotel Barito Sweet Shinta, penginapan yang telah disediakan pihak penganjur.
Rombongan yang tiba kira-kira jam 15.00 Waktu Indonesia Barat (WIB) mulai berhadapan jadual padat sebaik memasuki bilik hotel. Kesempatan yang sedikit petang itu telah dimanfaatkan untuk mengunjungi beberapa kedai di sekitar ibukota, dipandu oleh Roy Marthin untuk membeli keperluan penting. Sebelum balik ke hotel, rombongan sempat singgah di kediaman Bapak Marthin Ludjen, seorang pengusaha berjaya berketurunan Dusun Manyan.
HOTEL Barito Sweet Shinta Palangka Raya milik Pak Marthin tempat menginap rombongan Momogunsia
Petangnya, mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Pak Kusni. Menyusul kemudian ialah diskusi ilmiah tentang teori-teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan Tengah. Perkongsia ilmu itu telah disampaikan oleh Dr Sidik Usop, pensyarah sains sosial di Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
Menjelang tengah malam, rombongan saling mohon izin untuk masuk ke bilik hotel masing-masing dengan penegasan Pak Kusni, keesokannya semua harus sudah siap 6.30 pagi WIB. Rombongan Momogunsia bersama rombongan-rombongan lain dari pelbagai provinsi di Kalimantan bergerak menaiki bas yang disediakan.
Turut disediakan untuk rombongan Momogunsia ialah dua pengiring mahasiswa tahun akhir iaitu Elvin dan Nevi. Kedua-dua mereka adalah mahasiswa jurusan bahasa Inggeris tahun akhir di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar yang ternyata amat fasih berbahasa Inggeris.
SALAH satu lorong di Kota Palangka Raya.
Pagi itu kira-kira 1500 anggota delegasi sudah berkumpul di Palampang Tarung dengan persiapan sambutan penuh istiadat kepahlawanan, tari penuh tradisi sambut tamu dan istiadat masuk ke dalam dewan. Kira-kira jam 9.30 pagi WIB tetamu utama, Direktorat Jenderal Politik dan Pemerintahan Umum, Soedomo yang mewakili Menteri Dalam Negeri sampai.
Turut menunggu ialah Wakil Gubernur Achmad Diran, Sekretaris Daerah, Siun Jarias, Wakil Wali Kota Palangka Raya, Mofit Saptomo dan Gubernur, Sugianto Sabran yang juga Ketua Dewan Adat Kota Waringin.
Selesai upacara perasmian lewat tengahari, rombongan bergerak ke studio Televesi Radio Republik Indonesia (TVRI) Palangka Raya untuk sesi dialog bahasa, sastera dan budaya Kalimantan bagi siaran langsung selama sejam bersama pewawancara Sony K Mahat. Tamu undangan wawancara diisi oleh Henry selaku Pengerusi Momogunsia.
DR SIDIK memberi perkongsian tentang teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan.
Ketika siaran langsung ke udara, rombongan diberitahu bahawa giliran untuk sesi penyampaian pembentangan sudah sampai untuk rombongan Momogunsia. Raymond, Rosliah dan Kathirina berangkat ke dewan persidangan untuk menyempurnakan pembentangan itu.
Menjelang petang kira-kira jam 17.00 WIB, majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dijalankan antara Momogunsia dan Lembaga Kembudayaan Kalimantan Tengah. Malamnya dijadual untuk bertemu badan penulis Kota Palangka Raya tapi kerana kekangan tertentu, pertemuan tidak dapat dijalankan lalu memberi laluan kepada rombongan untuk berehat.
Hari terakhir di Palangka Raya, jam 9.00 WIB keesokan harinya, pertemuan diadakan antara Momogunsia dan dua ahli akademik FKIP Unpar. Seorang ialah timbalan dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi dan Dr Arnusianto Mage, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Bersambung Siri ll (akhir).
 
PERTEMUAN dengan ahli akademik FKIP Unpar, Prof Poerwadi dan Dr Arnus dipengerusikan Dr Kusni.




Saturday, 8 October 2016

Dayak Kalimantan Tengah di Seminar Etnik BIMP-EAGA Matunggong 22 Okt 2016 Sabah, Malaysia

Dayak Kalimantan Tengah di tengah arus modernisasi




Oleh 
Dr Kusni Sulang
Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah, Indonesia

Ikhtisar (Abtract)
Saya memaknai modernisasi  sebagai cara berpikir, bertindak, tindakan-tindakan dan kemampuan suatu generasi untuk menjawab tantangan zamannya. Tiap-tiap generasi mempunyai tantangan berbeda. Jawaban inilah yang melahirkan budaya suatu generasi.
Budaya generasi terdahulu  yang mengasuh generasi berikut, merupakan warisan dan khazanah budaya bagi  generasi berikut. Belum tentu semua khazanah ini zamani. Dengan menggunakan kepentingan menjawab tuntutan zamannya, suatu generasi niscaya bisa menyaring khazanah warisan tersebut sepertinya keniscayaan menapis budaya luar yang diterima dalam pergaulan antar budaya. Modernisasi sama sekali bukanlah Baratisasi, Koreanisasi, Jepunisasi , Arabisasi, dan sebagainya. Budaya Barat, Korea, Jepang, Tiongkok, Arab adalah bahan-bahan mentah belaka. Adalah acuan perbandingan untuk membangun dan mengembangkan budaya sendiri yang zamani, tidak lepas akar. Yang modern. Memperlihatkan arti penting kemajemukan.
Sikap begini saya namakan “memadukan tradisi baik dan kekinian” untuk melahirkan budaya zamani kekinian.  Konsekwensi logis dari sikap begini adalah menolak tutup-pintuisme, yang antara lain mengungkapkan diri dalam bentuk sektarisme,  kepongahan tak berdasar ”über alles”yang menjadi tanah subur bagi etnosentrisme. Kemudian menempatkan diri entah sebagai etnik ataupun bangsa sebagai bagian dari anak manusia di planet kecil kita bernamabumi . Etnik atau bangsa hanyalah perbatasan semu bagi kemanusiaan yang tunggal,  dilahirkan oleh kondisi sejarah pada zaman tertentu dan meminta kita mengindahkannya. Karena itu  Dayak niscayanya, bukanlah sentris melainkan Dayak Nasional dan Internasional, apalagi nilai-nilai sebagai inti kebudayaan Dayak jika disimak mengandung makna universal. Sehingga menjadi Dayak tidak bertentangan dengan menjadi anak bangsa dan anak manusia.  .
Dayak Kalimantan Tengah, Indonesia belum berhasil  mewujudkan budaya dan manusia Dayak Modern bahkan menampakkan gejala bunuh diri budaya secara kolektif, petunjuk lemahnya pertahanan budaya – produk dari perjalanan sejarah Dayak.


BIODATA SINGKAT KUSNI SULANG

Lahir di Kasongan, Katingan, Kalimantan Tengah pada 25 Sepotember 1940. Lulus Ijazah Pertama - S1(Strata Satu) di Jurusan Publisistik, FISIPOL Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta; Ekonomi Pembangunan, l’EHESS (pecahan Sorbonne), Paris, Perancis; Fakultas Hukum, New South Wales University, Sydney, Australia.
Ijazah Master S 2 (Strata Dua):  Antropologi-Sosiologi, l’EHESS, Paris, Perancis dan Ph.D S 3 (Strata Tiga): Sejarah, l’EHESS, Paris, Perancis.
Beberapa Pengalaman Kerja: Tenaga ahli pada Hsinhua News Agency, Beijing, Repbulik Rakyat Tiongkok; Koresponden luar negeri untuk beberapa Harian Nasional dan Lokal Indonesia; Mengajar di beberapa universitas dalam dan luar negeri;
Beberapa Pengalaman Organisasi: Mendirikan Lembaga Swadaya Masyarakat di berbagai pulau Indonesia; Mendirikan berbagai organisasi kebudayaan di Kalimantan Tengah, termasuk Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah. Mendirikan Koperasi dan Pusat Kebudayaan Indonesia: Restoran Indonesia di Paris,Perancis. Masih berfungsi sampai sekarang; Mendirikan Kursus Bahasa dan Budaya Indonesia di Paris,Perancis.
Sekarang menetap di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia.

MoU Momogunsia dengan Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah 2015


Pertemuan dan Diskusi







Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...