Monday 5 December 2022

Kelemahan Budaya Masyarakat Dalam Sastera Kadazandusun SPM

DR HENRY BATING

KOTA KINABALU: Tinjauan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati elemen budaya masyarakat dalam pemilihan karya sastera buku teks bahasa Kadazandusun Tingkatan Empat dan Lima kurang diperhatikan.

Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun PPIB UMS Dr Henry Bating berkata, elemen budaya masyarakat dalam karya sastera merupakan antara komponen pengetahuan yang harus diperoleh pelajar dalam pembelajaran Bidang Estetika (BE) bahasa Kadazandusun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kelalaian mengambil kira elemen budaya masyarakat dalam karya menyebabkan pelajar kekurangan sumber tentang cerminan budaya masyarakat ketika belajar berkomunikasi menggunakan bahasa Kadazandusun yang indah dan bersopan santun," katanya.

Memetik pelbagai sumber kepustakaan dan temu bual, Henry menyatakan, antara elemen indikator budaya masyarakat Kadazandusun ialah ritual padi, mistik Kinabalu, legenda Nunuk Ragang, adat, Sogit Anak Negeri Sabah dan Bobolian.

Turut mendukung elemen budaya masyarakat ialah pandangan dunia, kearifan etnik, cara hidup, persekitaran setempat, pribumi Sabah, flora dan fauna, landskap fizikal dan petempatan.

Manakala elemen geografi turut merangkumi biogeografi perubatan, gastronomi (kekayaan sumber dan bahan hidangan tradisi), geomorfologi (sains tanah dan bumi), orografi (bentuk muka bumi) dan ilmu cuaca dan iklim.

Elemen kesenian dalam budaya masyarakat turut melibatkan  seni tradisi nyanyian, tarian, alat muzik, gong, kraftangan, kehidupan kuno, cara hidup positif dan Kadazandusun dalam konteks global.

Menurut Henry, himpunan pengetahuan dalam elemen tersebut seharusnya dimiliki pelajar untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa Kadazandusun yang indah, sopan dan berestetika.

Henry menyatakan demikian ketika membentangkan rangkuman kajian penggunaan sastera dalam pembelajaran BE bahasa Kadazandusun sekolah peringkat menengah atas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Menurut Henry, kekurangan elemen budaya masyarakat dalam karya-karya buku teks diperoleh hasil dapatan analisis Tipologi Protokol Pemilihan Karya (TPPK) sastera dalam sebuah buku teks bahasa Kadazandusun SPM.

Topik tersebut merupakan sebahagian kesarjanaan Henry yang telah memfokuskan kajian dalam bidang pendidikan bahasa dan sastera Kadazandusun bermula dari peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan sehingga Ph.D.

No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...