Showing posts with label Santai. Show all posts
Showing posts with label Santai. Show all posts

Wednesday, 14 December 2016

Ke Arah Festival Penyair Etnik Sabah Antarabangsa

Pulara 7 rangsang anjur Festival Penyair Etnik Sabah Antarabangsa

PELAJAR pengajian minor Kadazandusun UPSI dalam satu kembara laut.

Siri II
Oleh HENRY BATING

FESTIVAL Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Ke-7 (Pulara Pangkor 7) di Pulau Pangkor, Perak 8-11 Disember lalu telah memperkenalkan Pulau Pangkor sebagai pulau seni, sastera dan budaya.
Namun bagi delegasi 22 peserta Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), pertemuan seni, sastera dan budaya itu telah memberikan pengalaman dan pengetahuan untuk menawarkan program seumpama itu di Negeri di Bawah Bayu.
“Sabah memiliki pakej lengkap untuk menjadi tuan rumah kepada program seumpama itu untuk ditawarkan kepada para peserta yang datang dari pelbagai negara”.
Demikian antara lain rangkuman pengalaman delegasi Momogunsia terdiri daripada Dr Rosliah Kiting (Naib Presiden), Kathirina Susana Tati (Setiausaha Agung), Haini Karno (Ketua Biro Pedalaman) dan Ony Latifah dengan membayangkan Festival Penyair Etnik Antarabangsa boleh dijalankan dengan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah.

ALOYINDRA penyair Momogunsia yang tinggal di Puchong, Selangor bertemu Haini dan Kathirina.

Setelah memasuki tahun ketujuh penganjuran, Pulara 2016 mendapat pengiktirafan Kongres Penyair Sedunia sebagai pertemuan antarabangsa yang penting dengan kehadiran kira-kira 400 penyair, sasterawan dan budayawan dari 25 buah negara.
Delegasi Momogunsia berkongsi keyakinan dengan penganjur Pulara 7 bahawa berpuisi mampu mengharmonikan masyarakat yang pada masa kini memandang remeh tentang nilai silaturahim dan hormat-menghormati.
Manakala 18 pelajar program pengajian minor bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak memberikan kesan positif yang pelbagai tentang keindahan dan keunikan Pulara 7.
Florina Jumil, pelajar Master Pendidikan Bahasa Kadazandusun menyifatkan penyertaannya ke Pulara 7 telah mendorong azam untuk lebih mengetengahkan puisi dan lagu rakyat etnik Sabah seperti kiaton, tudodoi, sudawil, tarian dan bahasa.

DR ROSLIAH (tengah) bersama rombongan pelajar UPSI di jeti Pangkor.

“Saya terpegun dengan kesungguhan para peserta pelbagai negara mempersembahkan puisi dan lagu rakyat etnik masing-masing seperti dari Thailand, Mongolia, Jepun, China, Palestin, Eropah dan Amerika Latin,” kata Florina.
Florina menambah, setiap pembentangan dan persembahan sungguh memukau mata dan menggamit hati serta memperluas pengalaman untuk menjadi penggiat kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan warisan.
Ellysia Richard mengakui Pulara 7 telah memberi kesedaran tentang pentingnya mendahulukan bahasa sendiri dalam komunikasi sesama dan iltijam itu boleh direalisasikan dengan memasyarakatkan kesusasteraan di kalangan masyarakat tutur.
Alexander Joanes menyifatkan penyertaan di Pulara 7 telah memberikan mereka sudut pandang pertama mengenai kedudukan bahasa dan sastera di negara ini dalam konteks ketamadunan karya pelbagai negara termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
PENYAIR Momogunsia bersama penyair dari India.

“Paling penting adalah kesempatan bertemu kalangan penyair tersohor dan memetik pengetahuan mencipta puisi. Saya ingin melihat wujudnya festival seumpama Pulara 7 untuk kalangan etnik di Sabah,” kata Alexander.
Tracy Valerian teruja berkesempatan duduk semeja dengan kalangan sasterawan Malaysia dan Singapura.
“Kami sempat bercerita mengenai pengalaman mereka dalam bidang sastera yang memberi kami kesedaran tentang kepentingan menjaga dan mengekalkan bahasa sendiri. Ini juga mendorong saya untuk mengambil peranan aktif melestarikan serta memekarkan bahasa dan warisan bangsa sendiri,” katanya.

REKREASI pantai Pulau Pangkor sebahagian pelajar UPSI.

Feria Sulip Felix amat terkesan dengan festival makanan warisan yang mana di Sabah sendiri memiliki kekayaan variasi yang wajar diketengahkan sepanjang masa.
“Festival makanan bukan sekadar dapat mempromosi tradisi warisan tetapi juga dapat mengumpulkan masyarakat dalam suasana harmoni,” kata Feria.
Ana Fiuna Dansun menyatakan penampilan peserta dari pelbagai negara telah memberikan kesan di mata dan rasa di hati betapa para penyair dari China, Indonesia, Jepun dan lain-lain memiliki kebolehan tersendiri mendeklamasikan puisi mereka.
“Keunikan mereka merangsang kami menghayati persembahan yang kami bawa seperti tarian kontemporari dan hiis (Sonsomido) sesama rakan pelajar di UPSI, pensyarah dan guru-guru dari Sabah,” kata Ana.

SEMINAR turut diadakan kepada para delegasi dari pelbagai negara.

Menurut Ana, kunjungan mereka ke Pulara 7 memberi kesempatan melawat pelbagai tarikan di Pulau Pangkor yang juga memiliki ciri-ciri keindahan alam semulajadi di Sabah.
“Jika boleh saya mahu melihat dan menyertai lebih kerap pelbagai program berkaitan puisi dan lagu rakyat Kadazandusun,” kata Ana.
Gilbert Pilus memberi perkongsian bahawa Pulara 7 telah memberi kesedaran tentang letaknya tahap yang dimiliki warisan etnik Sabah seperti bahasa, sastera dan kesenian Kadazandusun.
“Kesedaran itu perlu agar lebih banyak elemen dapat diolah dalam pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Melida Simon menyatakan Pulara 7 telah memberi kesedaran mengenai kepentingan memekarkan puisi tradisonal dan lagu rakyat.
“Puisi dan lagu rakyat tradisional dapat mencerminkan identiti sesuatu budaya. Selain itu, ilmu yang diperoleh adalah penting untuk mempelajari dan menghayati keindahan bahasa dan sastera,” katanya.
Melida menyatakan Pulara 7 berjaya merangsang tekad mereka untuk lebih mendalami bahasa ibunda dan memperkenalkannya kepada masyarakat luar.
“Saya berharap program seperti Pulara 7 dapat diadakan di Sabah untuk memberi ruang kepada generasi muda mengenali warisan etnik sendiri di samping memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah berjasa memartabatkan bahasa Kadazandusun,” katanya.

PELAJAR UPSI dalam suasana santai di satu sudut Pulau Pangkor.




Friday, 30 September 2016

RTFM buka penyertaan Rombituon KDM

Radio Tambunan FM buka penyertaan Rombituon Lagu-lagu KDM
DJ Stanza

Oleh HENRY BATING
TAMBUNAN: Radio Tambunan FM (RTFM) menawarkan hadiah lebih RM1000 kepada pemenang Pertandingan Rombituon Tambunan FM yang akan diadakan di 29 Oktober 2016 di perkarangan studion radio online itu di sini yang terletak di Highway Sulap Kalangadan Cafe Tambunan.
Pengerusi penganjur, DJ Stanza @ Stanly Leo berkata pihaknya mempelawa bakat-bakat seni suara menyertai saringan suku akhir pada 8 Oktober jam 7.00 malam untuk menempah tempat ke separuh akhir 15 Oktober 2016.
“Pertandingan meletakkan pilihan bebas lagu-lagu Kadazan Dusun Murut sahaja secara solo untuk penyertaan berumur 16 tahun ke atas,” kata Stanly.
Bagaimanapun, penyertaan bagi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian peringkat negeri dan atau telah mempunyai lagu rakaman dalam album tidak akan diterima.
Tarikh tutup penyertaan adalah 5 Oktober 2016 iaitu pada Rabu depan manakala yuran penyertaan adalah RM100.
Hadiah-hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil disediakan kepada semua pemenang yang meliputi tiga pemenang utama dan tujuh penerima saguhati.
Di samping hadiah trofi dan sijil, johan bakal menerima RM1000, naib johan RM500, ketiga RM250 dan tujuh pemenang saguhati menerima RM100 setiap seorang.
Keterangan lanjut bakat seni suara RTFM yang menggunakan slogan ‘RTFM Memang OK Bah’ boleh ditanyakan kepada Dj Stanza 0198120553 atau 0168067383, Dj Maslee 0138745698 atau Wendy Rudolf 0198101411.




Tuesday, 27 September 2016

Miss Senorita ratu peragaan, pelancongan Keningau

Miss Senorita cungkil bakat peragaan, perkenal pelancongan Keningau

15 FINALIS berentap merebut gelaran Miss Senorita.

Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Buat pertama kali 23 jelitawan berentap merebut mahkota Miss Senorita dan enam gelaran sampingan lain yang dianjurkan bersama MG Photography & Bridal House, Make-up Artist (MUA) Keningau Pedalaman dan Janet Bridal Tambunan.
Pengarah Urusan MG Photography & Bridal House, George Minsun Uradat berkata enam lagi gelaran sampingan lain ialah Miss FB, Miss Photogenik, Miss Natural Beauty, Miss Friendly, Miss Popular dan Best Dress.
GEORGE MINSUN

“Dari 23 penyertaan yang diterima saringan telah dijalankan di mana 15 peserta bakal tampil di hadapan khalayak hadiran peringkat akhir yang diadakan di sebuah hotel terkenal di Keningau 29 Oktober depan,” kata George sambil menjelaskan acara itu bermula 7.00 petang.
Menurut George, Miss Senorita bakal menerima hadiah bernilai lebih daripada RM2,500 di mana pengadilan dilakukan berdasarkan kriteria kecantikan, kebijakan, catwalk dan disiplin.
George seterusnya menjelaskan bahawa pertandingan itu dijalankan bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam dunia peragaan khususnya di kawasan pedalaman Keningau yang turut melibatkan daerah Tambunan, Sook, Nabawan dan Tenom.

PARA peserta mendengar sesi taklimat.

“Kita juga mahu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kalangan artis make-up, pereka fesyen dan jurufoto di seluruh kawasan pedalaman Keningau melalui peserta yang mereka hantar,” kata George.
Beberapa aktiviti telah disusun untuk diikuti oleh 15 peserta peringkat akhir meliputi pendakian ke Bukit Tirig Apin-Apin, lawatan ke beberapa tempat seperti tamu Apin-Apin, Taman Bersatu Nuntunan, Tamu Ground Keningau dan Muzium Keningau.
Melalui rentetan aktiviti yang disusun, pihak penganjur berharap dapat memperkenalkan tempat-tempat berkaitan sebagai destinasi kunjungan kepada para pelancong yang melawat kawasan Keningau.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir sesi pemilihan.

Keratan akhbar Utusan Borneo 28 Sept 2016


Tuesday, 16 August 2016

Muzik

Island Busking beri hiburan santai di taman bunga bandar Labuan



Persembahan masih menyengat

KEMUNCULAN Island Busking membuat persembahan di tengah bandar lama Labuan kelmarin telah menjadikan petang cerah itu ceria oleh kenyamanan ramai duduk bersantai di taman itu.
Persembahan busking itu juga berjaya menggamit orang lalu-lalang untuk berhenti singgah mendengarkan dendangan lagu-lagu kumpulan itu sambil meletak wang ihsan pada kotak tersedia.
Kelihatan gambar 1 para pemuzik kumpulan Island Busking mempersembahkan lagu-lagu dan seni muzik pada suatu petang di sebuah taman di tengah-tengah bandar lama Labuan.
Gambar 2 memperlihatkan sebahagian penduduk bersantai di taman bunga sambil menghayati lagu-lagu dan muzik persembahan Island Busking. - Oleh HENRY BATING



Iringan Island Busking menghangat dinginnya petang di Labuan

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...