Saturday 5 January 2019

Penduduk Pamilaan sambut khidmat masyarakat pelajar UPSI


Khidmat Masyarakat UPSI tingkat tanggungjawab sosial masyarakat kampung

 
BALASIUS melakukan gimik perasmian menanam benih langsat 
diperhatikan dari kanan KK Johnny, WKAN Aloysius, 
Sukim, Minah dan Caronica.

Siri II (Akhir)
Oleh HENRY BATING
1 Ogos 2014

KHIDMAT Masyarakat di Kampung Pamilaan, Tenom 23-27 Julai 2014 telah memberi impak signifikan kepada 17 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, kalangan murid SRK St Pius dan penduduk kampung.

Kalangan pelajar UPSI melewati pengalaman praktikal pengamalan bahasa Kadazandusun dalam konteks masyarakat tutur, pengetahuan bahasa dalam aspek pragmatik, etimologi perkataan, unit perlambangan (sign, signified and signifier), sosiolinguistik, rujukan perbendaharaan kata pada alam fauna dan flora serta pedagogi.

PELAJAR UPSI menyampaikan puisi berkumpulan mengenai 
pengalaman khidmat masyarakat.

Kalangan murid SRK St Pius memperoleh kesempatan berinteraksi dalam suasana pembelajaran tidak formal di luar persekitaran sekolah yang menyeronokkan. Kalangan murid ternyata asyik dengan keadaan belajar tanpa pakaian seragam, dalam rumah-rumah tradisi dan pada halaman perkampungan yang menjadi dunia kehidupan semulajadi mereka. 

Kemampuan pelajar UPSI yang sememangnya dalam pengajian pendidikan menerapkan ilmu mendidik berjaya menarik perhatian murid-murid. Tambahan pulu topik-topik yang disediakan adalah berkaitan dengan ilmu pengetahuan mengenai budaya, tradisi dan identiti masyarakat yang disesuaiakan dengan Kurikulum Bahasa Kadazandusun.

HADIAH sempena Malam Pelajar UPSI-SRK St Pius Pamilaan.

Penduduk kampung meliputi ibu bapa, kanak-kanak dan belia mengalami satu anjakan paradigma hasil komitmen mereka menjadi tuan rumah khidmat masyarakat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu. Jadual mitatabang (gotong royong) dari keluarga ke keluarga dibatalkan sama sekali untuk menampung masa menyediakan ruang kondusif pelajar UPSI menjalankan khidmat masyarakat.

Kalangan ibu bapa mengikuti sepenuhnya program-program khidmat masyarakat yang dijalankan untuk menaungi, mengiringi dan menemani pelajar. Anak-anak turut serta pelajar dalam kebanyakan interaksi dalam rumah dan pergerakan di tempat-tempat ramai. 

Malahan penduduk kampung menyedari sepenuhnya tanggungjawab sosial mereka untuk memastikan perjalanan program dapat berjalan lancar.

KELUARGA angkat ketika majlis penutupan.

Kalangan pemimpin masyarakat Kampung Pamilaan memberi sokongan penuh dengan melibatkan diri dalam pelaksanaan program itu. Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kawasan Melalap, Balasius Masuning menjadi tetamu kehormat merasmikan Majlis Penutupan Khidmat Masyarakat itu. 

Ketua Kampung, KK Johnny Borok menyambut kedatangan rombongan pelajar dan seterusnya menyerahkan kepada keluarga angkat yang telah ditentukan. Turut hadir sepanjang program ialah WKAN Aloysius Duringgon dan Pengerusi JKKK, Clarence Elip.

Sumber kewangan dan tenaga yang diperlukan sepanjang pelaksanaan program ditaja sepenuhnya oleh penduduk kampung. Augustine Linus Pawi menaja Majlis Suai Kenal dan sesi belajar Sompoton serta memalu gong di rumahnya. 

BERSAMA keluarga angkat berekreasi di Wasai Pamilaan.

KUK St Peter meminjamkan ruang dewan dan rumah-rumah tradisi sebagai tempat interaksi belajar dan mengajar tanpa bayaran. Cikgu Stephen Malujin menaja sepenuhnya Malam Pelajar UPSI-SRK St Pius beserta penduduk yang melibatkan pelbagai aktiviti kanak-kanak.

Beberapa keluarga terdiri daripada Marinus Batik, Frederick Kintang dan Julian Kayug mengizinkan sawah padi dan kebun mereka dijadikan tapak mempraktik kemahiran bersawah dan mencari sumber sayur-sayuran. 

Dan yang lebih penting adalah kesatuan kalangan Belia Pamilaan Villa menjadi pemandu kepada rombongan pelajar ke setiap lokasi khidmat masyarakat.

Golongan Belia kira-kira 20 orang diketuai Ignatius Elip turut menunjukkan kerja keras mempersiapkan perjalanan Ekspedisi Wasai (Air Terjun). 

BELIA PV bersama pelajar UPSI selepas sesi menyabit padi.

Kalangan Belia sekurang-kurangnya mengambil masa tiga kali mempersiapkan jalan lasak menuju ke wasai dan membersihkan persekitaran riadah, rekreasi dan mandi-manda di wasai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari perkampungan.

Tenaga Belia telah menjadi faktor penting pelaksanaan ekspedisi lantaran kemudahan infrastruktur untuk mengangkat lokasi berkenaan menjadi destinasi pelancongan belum tersedia. 

Selepas ekspedisi itu, kalangan Belia turut memprakarsai perlawanan bola tampar persahabatan bersama rombongan pelajar UPSI.

Keesokannya, Valentine Kongor menjadi penaja kepada program makan tengahari selepas rekreasi Piolungan (pertemuan dua batang sungai). 

Valentine juga menjadi tuan rumah kepada kalangan pelajar menjalankan latihan lagu-lagu nostalgia Kadazan 60-an. Malam itu adalah kemuncak program Khidmat Masyarakat.

BERSAMA penduduk mandi-manda di Wasai Pamilaan.

Ahli korporat kampung itu, Sukim Sarat telah menjadi penaja kepada Majlis Penutupan Khidmat Masyarakat. Tajaan meliputi penggunaan Dewan Pisompuruan milik peribadi, penyediaan makan malam, persediaan pentas dengan segala peralatan sistem bunyi dan hiburan. 

Acara utama majlis dikendalikan pelajar dengan membentangkan laporan aktiviti selama mengadakan Khidmat Masyarakat.

Keseluruhan tajaan penduduk kampung bagi membiayai pelaksanaan Khidmat Masyarakat 17 pelajar UPSI 23-27 Julai itu dianggarkan RM5,000. 

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Minah Sintian dalam ucapannya telah menyampaikan rasa penghargaan bagi pihak universiti atas sambutan dan pengorbanan penduduk kampung memastikan program Khidmat Masyarakat itu berjaya.

MENIKMATI kedinginan semulajadi sungai belum tercemar.

Selaku penduduk kampung ketika merasmikan majlis penutupan program itu, Balasius berharap apa yang ada di kampung itu telah dapat membantu pelajar mencapai objektif program mereka. 

Balasius juga berharap, UPSI pada masa-masa akan datang dapat menghantar rombongan pelajar angkatan yang seterusnya untuk menjalankan khidmat masyarakat di kampung itu. End

PELAJAR St Pius turut serta dalam ekspedisi wasai.
SINURAMBI pondok menghalau burung pipit di sawah padi.
INTERAKSI belajar pelajar UPSI-St Pius Pamilaan.
KEMAHIRAN menghempas padi menanggalkan butir padi dari tangkai.
INTERAKSI belajar pelajar UPSI-St Pius Pamilaan.
Kelas di rumah-rumah tradisi St Peter

Pelajar UPSI, murid St Pius perkukuh bahasa ibunda


Khidmat Masyarakat Pelajar UPSI tingkat keberkesanan pedagogi


BELAJAR membunyikan sompoton
Siri I (dari 2 siri)
Oleh HENRY BATING
29 Julai 2014


PERIBAHASA China yang menyebutkan, “saya mendengar dan saya lupa, saya melihat dan saya ingat, saya berbuat dan saya mengerti” telah menjadi inspirasi kepada sekumpulan 17 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak menjalankan program Khidmat Masyarakat di Kampung Pamilaan, Tenom 23-27 Julai 2014.

Kelompok pelajar pelbagai jurusan yang baru menghabiskan tahun pertama pengajian dengan mengambil Minor Bahasa Kadazandusun itu berharap, pengalaman tinggal di kampung dapat membantu mereka memperkaya sumber perbendaharaan kata. 

Kalangan pelajar itu juga berharap, pengalaman berinteraksi dengan kira-kira 50 murid tahap dua SRK St Pius Pamilaan dapat membantu mereka meningkatkan keberkesanan pedagogi bahasa.

MENINGKATKAN kemahiran memalu gong

Harapan tersebut dinyatakan Pengarah Program, Caronica Dominic (pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi) ketika menyampaikan ucapan pengenalan majlis suai kenal di rumah kediaman Augustine Linus Pawi. 

Ketua Kampung Kg Pamilaan, KK Johnny Borok yang menyambut kehadiran rombongan itu amat mengalu-alukan pelaksanaan program berkenaan di kampung itu.

“Kami sama seperti kampung-kampung lain dalam konteks penerimaan agihan pembangunan kerajaan. Namun suasana di kampung ini diharap dapat membantu mencapai matlamat pelaksanaan program khidmat masyarakat pelajar universiti. Apa yang saya pasti, penduduk di kampung ini bersedia membantu pelajar UPSI menyediakan ruang yang sesuai untuk melaksanakan program. Di samping itu, kami juga berharap suasana persekitaran alam yang ada di kampung ini memiliki kesesuaian dengan program pelajar,” kata Johnny.

BELIA Pamilaan Villa bersama 17 pelajar UPSI

Kesemua 17 pelajar yang mengadakan Program Khidmat Masyarakat bertema ‘Bangsaku, Kesayanganku’ itu berasal dari pelbagai daerah di Sabah. 

Caronica dan Alleysia Bitol berasal dari Tambunan, Sairey Biterlis (Keningau), Soccia Hanial, Clayviona Thomas, Juni Dikul, Cyrus Shaftang dan Janura Jahan (Ranau), Nurjilah Tialus, Edrena Rainal, Era De Sunrise Simon, Wendie Victoria, Kelly Robert dan Velnnye John (Kota Belud), Marwenia Mikin (Kota Marudu), Elizabeth Gohun (Tamparuli) dan Sylvia Olga (Telipok).

Kalangan pelajar itu dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan tinggal bersama keluara angkat. 

Caronica, soccia, Nurjilah dan Sairey tinggal bersama keluarga Puan Beatrius Saitim Ajiloh. Clayviona, Juni, Edrena dan Marwenia menjadi anak angkat kepada keluarga Valentine Kongor. Sylvia, Era, Elizabeth, Cyrus dan Wendie menjadi anak angkat kepada keluarga Paulus Elip Masuning. Manakala Kelly, Alleysia, Velnnye dan Janura menjadi anak angkat kepada keluarga Augustine Linus Pawi.

MENGHALAU burung di sawah padi

Hari pertama diisi dengan majlis suai kenal, penyerahan pelajar kepada keluarga angkat, latihan memalu gong, membunyikan sompoton dan seruling. Hari kedua melibatkan tiga segmen akitiviti.

Sebelah pagi, momuhau (menghalau burung di sawah padi), manantab (menyabit padi), palapos parai (menghempas tangkai padi), mokisoko (mencari rebung bambu), mokibogung (memetik tandan buah salak) dan mokituntumundok (memetik pucuk ubi). Lewat tengahari adalah interaksi dengan sekumpulan kira-kira 50 pelajar tahap dua SRK St Pius Pamilaan di enam buah venue rumah tradisi Pamilaan Villa.

MENYABIT padi sawah

Interaksi melibatkan enam slot di setiap venue. Sebelum slot pertama, mukidamah perkenalan dijalankan dengan meminta setiap pelajar membuat lukisan imej yang mereka pilih untuk kemudian ditafsirkan bersama. 

Dalam slot pertama, diberikan teori asal-usul bahasa, etnik dan subetnik Kadazandusun. Slot kedua, berkaitan berkaitan definisi dan fungsi Bobolian, slot ketiga, mitos mengenai Huminodun, Kinorohingan dan Suminundu, slot keempat, menyanyi, slot kelima definisi, fungsi dan signifikan Kaamatan. Slot keenam ialah tarian. Semua slot diperkukuhkan aktiviti kuiz.

Pada malam hari kedua itu ialah Malam Pelajar UPSI bersama murid-murid St Pius dan masyarakat kampung Pamilaan. Majlis itu diadakan di rumah kediaman Cikgu Stephen Malujin. 

Malam itu diserikan dengan pelbagai kesenian seperti Sugandoi Kanak-kanak (pertandingan menyanyi), sundait (teka-teki), sisindiron (puisi) dan cabutan tiket bertuah.

MENCARI rebung pada rimbunan bambu

Hari ketiga diisi dengan Ekspedisi Wasai (Air Terjun) yang melibatkan kembara merentas jalan lasak menaiki kenderaan pacuan empat roda, berjalan kaki meredah denai hutan dan berkelah. 

Dalam perkelahan yang sejuk dan teduh, pelbagai kegiatan dijalankan. Antaranya mandi-manda, meluncur, membuat terjunan, memanjat tebing, menuruni tembok batu, memasang unggun api, memasak dan menjamu selera.

Selepas dua jam di perkelahan, rombongan lebih 100 orang kembali ke perkampungan dan belia beserta kalangan pelajar UPSI mengadakan perlawanan persahabatan bola tampar. 

Penyediaan venue perkelahan dan perjalanan ke lokasi merupakan inisiatif dan sumbangan tenaga sepenuhnya oleh kalangan Belia Pamilaan Villa diketuai Ignatius Elip.

MEMETIK pucuk ubi

Hari keempat diisi dengan rekreasi pelajar di Piolungan (pertemuan dua batang sungai) Pamilaan dan Tailaan. Dalam rekreasi itu pelajar menyiapkan sebuah puisi setiap seorang dan satu rencana setiap kumpulan. 

Puisi dan rencana memaparkan pengalaman pelajar selama tinggal bersama penduduk Kg Pamilaan. Lewat tengahari, pelajar dijamu makan tengahari oleh keluarga Valentine Kongor dan menyusul selepas itu adalah latihan koir lagu-lagu nostalgia Kadazan 1960-an.

Pada malam itu merupakan kemuncak program iaitu Majlis Penutupan rasmi Program Khidmat Masyarakat Pelajar UPSI di Dewan Pisompuruan Sarat yang ditaja sepenuhnya oleh ahli korporat kampung itu, Sukim Sarat. 

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) kawasan Melalap, Balasius Masuning. Turut hadir Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Puan Minah Sintian, WKAN Aloysius Duringgon, KK Johnny Borok dan Pengerusi JKKK Kg Pamilaan Ulu, Clarence Elip. Bersambung Siri II (akhir).

PELAJAR UPSI bersama sebahagian murid tahap dua SRK St Pius Pamilaan

DARI kanan Sukim, Minah, Balasius (tetamu kehormat), KK Johnny dan WKAN Aloysius

BELIA PV jadi tulang belakang ekspedisi wasai (air terjun)

CARONICA (pengarah program) bersama anak sebuah keluarga angkat

MALAM perpisahan pelajar UPSI di Pamilaan








Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...