Showing posts with label Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times 2016/2017. Show all posts
Showing posts with label Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times 2016/2017. Show all posts

Saturday, 17 March 2018

Majlis Penyampaian HCM-NST 27 Oktober 2018


HCM-NST 2016/2017 sampaikan 15 hadiah kepada pemenang


ASMIAH
Pengarah DBP Sabah
Sebanyak 50 karya tersiar sepanjang peraduan Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times (HCM-NST) September 2016 - Ogos 2017. Dari jumlah itu, 15 hadiah disampaikan kepada para pemenang meliputi tiga hadiah utama (pertama, kedua dan ketiga) dan 12 hadiah karya terbaik bulanan.

Penilaian semua karya selesai Disember 2017 dengan skema penilaian meliputi tiga bidang utama iaitu merit sastera, merit etnik dan keaslian/ketulenan karya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Momogun Creative Consultancy (MCC), Henry Bating berkata pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah dijadual akan disempurnakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Hajah Asmiah Hj Ajmain 27 Oktober 2018.

“Majlis penyampaian hadiah dijadual dilangsungkan di Gaya Centre Hotel Kota Kinabalu,” kata Henry selepas pertemuan dengan beberapa rakan eksekutif MCC yang menjadi urus setia majlis penyampaian hadiah.


PROF. MADYA DR RAMZAH DAMBUL
Pembimbing Akademik Momogunsia
Mengawali majlis penyampaian hadiah itu nanti ialah sesi perkongsian ilmu bertajuk 'Sastera Etnik dan Penilaian' yang akan disampaikan oleh Pembimbing Akademik Momogunsia, Prof. Madya Dr Ramzah Dambul. Ramzah yang dikenali dengan nama pena Rem, baru-baru ini dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

MCC merupakan syarikat milik penuh Pertubuhan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia).

Urus setia HCM-NST 2016/2017
Menurut Henry, seperti dalam syarat yang tercatat dalam penyertaan HADIAH HCM-NST 2016/2017, sebuah karya dipilih menjadi pemenang bulanan dari September 2016 hingga Ogos 2017 dengan hadiah wang tunai RM100 (Ringgit Malaysia Seratus Sahaja).

“Hadiah utama dipilih dari kalangan pemenang bulanan,” kata Henry.

Hadiah-hadiah utama ialah Pertama RM500 (Ringgi Malaysia Lima Ratus Sahaja) + Buku + Sijil, Kedua RM400 (Ringgit Malaysia Empat Ratus Sahaja) + Buku + Sijil dan Ketiga RM300 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Sahaja) + Buku + Sijil.

Berikut adalah karya-karya tersiar setiap minggu yang dinilai untuk memenangi Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times (HCM-NST) September 2016 - Ogos 2017.

Sept 2016
4/9 – Gong – Sofie Clara @ Sofiah Talib
18/9 – Antara Dua Budaya – Jemmy Markus
25/9 – Cerita Sebuah Perjuangan – Ramlee Jalimin Jainin

Okt 2016
2/10 – Pagandadan – Velter Jailih
9/10 – Kembali Padanya – Pasha Isnin
16/10 – Muslihatnya Yang Nyata – Ismail Hashim
23/10 - Hatinya Abadi di Majlis Tinauh - Ramlee Jalimin Jainin
30/10 – Pukau – Rozeline Vitalis

Nov 2016
6/11 – Cemburu - Pasha Isnin
13/11 – Sira Lambung dan Sira Dambia – Angela Engkuan
20/11 – Pemimpin Lima Watak – Siti Rahmah G. Ibrahim
27/11 - Kugalas Rindu Ini - Aizamin Abd. Aziz

Dis 2016
4/12 – Tandaa Berbulu Merah – Jamail Masador
11/12 – Tagai – Mas Siti Esah
18/12 – Sepohon Pisang Sabah – Sunita Sahidin
25/12 – Amanat Aki Si-Gunting – Flora Majamin

Jan 2017
1/1 - Rang Dungo - Rita Martin
8/1 - Menolak Bala - Noraini Booh @ Abdullah
15/1 – Semangat Tajau – Haini Karno
22/1 – Sumayang Galura – Nelson Dino

Feb 2017
5/2 - Sumonong-sonong mamanau, Danish - Smahadzir
12/2 - Perumah - Edris Hj Bijin
19/2 - Harga Seekor Ikan - Hanafiah MZ
26/2 - Rambu Solo - Jalumie Mujit

Mac 2017
5/3 - Haruman Tuhau - Nur Fatihah LB Abdullah
12/3 - Kempunan - Angela Engkuan
19/3 – Jendela Hayat – Noor Aisyah Maidin
26/3 – Pelabuhan Hati – Martinah Obod

April 2017
2/4 – Ngugi – Amina Ali
9/4 – Rambu Solo – Jalumie Mujit
16/4 – Harga Seekor Ikan – Hanafiah MZ
23/4 – Demi Sarjana – Pasha Isnin
30/4 – Tampin – Aman Shah Syed Ali

Mei 2017
7/5 – Tidak Mungkin Pisang Berbuah Dua Kali – Junaidah Omarali
14/5 – Huminodun – Rozeline Vitalis
21/5 – Syarikat Haloba - Saifuddin Tahir
28/5 - Harta di Bawah Sumbiling - Dhuha Steffa

Jun 2017
4/6 - Sininggazanak Usang - Jemmy Markus
11/6 - Piala Untuk Mu - Steven @ Hanafiah Zulkifly
18/6 - Bukit Jembalang - Ismail Hashim
25/6 - Binunsuton - Aloyindra

Julai 2017
2/7 - Insaf - Rita Martin
9/7 - Meniti Kehidupan - Amini Gawis
16/7 - Demi Waktu - Alexander Bungkak
23/7 - Sayang Aki - Freica James
30/7 - Tinompuka - Jalumi Mujit

Ogos 2017
6/8 - Buluntung - Linah Nurlina Bagu Abdullah
13/8 - Pedang Dari Kalaha - Rafiqah Dahali
20/8 - Seorang Lelaki Yang Datang Dari Pohon Duka - Noraini Othman
27/8 - Lembaian Terakhir Bonda - Nurul Haliza Siuh

Urus Setia
MOMOGUN CREATIVE CONSULTANCY

Thursday, 13 October 2016

Tangon: Antologi Cerpen Kedua Momogunsia 2016

TANGON
Manifestasi Integrasi Kebangsaan


Oleh
YATIM AHMAD
Ketua Penerangan
Persatuan Penulis Momogun Malaysia
(MOMOGUNSIA)

APABILA Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) mengadakan kerjasama dengan New Sabah Times mengajurkan hadiah cerpen, maka terfikir oleh kami bagaimana memberi kefahaman tentang penciptaan karya entik kepada penulis.

Walaupun sebelum ini ramai yang menulis cerpen berunsurkan kearifan tempatan, namun ia tak begitu meluas dan kurang menjadi pilihan oleh kalangan penulis dan sastrawan. Lama sebelum ini, sastera etnik sebenarnya  sudah dumulai oleh tokoh-tokoh sastera kami seperti Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya, Allahyaram) dengan novel Bagaton, tokoh sasterawan negara Jasni Matlani menerusi novel dan apresiasinya mengenai masyarakat Brunai, Bisaya dan etnik tempatan, Hasyuda Abadi turut memuisikan etnik. Dan sastera etnik Sabah juga sudah pernah naik ke pentas kebangsaan menerusi Azmah Nordin untuk Hadiah Sastera Perdana.

Siti Rahmah G Ibrahim dengan novel dan cerpen etniknya (Bajau), tokoh penulis etnik Kathrina Tati yang prolifik menghasilkan karya etnik, Witer Gunik dengan ‘Pugai Balabak’nya dan yang terbaharu menarik perhatian masyarakat pembaca, Noor Asiah Maidin dengan syair peribuminya, Faridah Abdul Hamid, Dk Mastura, Monsu Godon dengan cerpennya yang menang hadiah Lembaga Kebudayan Negeri Sabah (LKNS) 2014, dan tokoh wartawan dan sasterawan, Emin Madi.

Namun selepas Momogunsia menggandakan usahanya dua atau tiga tahun lalu, sastera etnik menjadi satu jenama yang kuat dan ia mula mengeluarkan kefahaman penulisnya (juga penulis lain) daripada tanggapan bahawa menggunakan kosa kata etnik itu adalah sastera etnik, kepada suatu yang lebih khusus iaitu sastera etnik adalah dibentuk daripada falsafah suatu bangsa yang pernah memajukan kaum masing-masing. Inti sastera etnik termasuk bagaimana bangsa yang berbeza adat dan budaya dapat menyatu dalam satu kampung, daerah dan wilayah untuk membentuk persefahaman, harmoni dan bersatu padu.

Satu sisi lain, ‘Tangon’ menjadi pelengkap kepada antologi cerpen ‘Pugai Balabak’ sebagai rujukan kepada penulis menghasilkan karya etnik.

Kepada mereka yang mahu menyahut cabaran Hadiah Cerpen Momongunsia -New Sabah Times atau HCM-NST, anda dialu-alukan menghantar karya ke emel acm-nst@gmail.com.  

Pada penghujung Ogos lalu, Presiden Momogunsia, Drs Henry Bating mengetuai kunjungan hormat kepada Ketua Editor Bahasa Melayu NST, Mohd Amin Haji Muin untuk menjalin kerjasama menganjur hadiah cerpen berunsurkan etnik bagi sesi Sept 2016 - Ogos 2017.  Dan hadiah bulanan untuk September 2016 diraih oleh Sofie Clara.

Mungkin ramai yang menganggap bahawa sastera etnik itu milik Momogunsia dan Sabah sahaja, manakala penulis dari semenanjung dan Sarawak tidak boleh menyertainya. Sebenarnya boleh. Semenanjung dan Sarawak juga memiliki etnik masing-masing, bahasa kesukuan dan adat budaya, maka itu adalah sumber kepada sastera etnik.

Itulah sebabnya mengapa Momogunsia sebagai sandaran untuk menerajui sastera etnik, mempelawa penulis dari semenanjung dan Sarawak untk menyertainya kerana etnik ini harus difahami mencakupi keseluruhan jagat bangsa Malaysia.

Dan untuk menyediakan karya etnik, maka Momogunsia dalam tempoh setahun ini menerbitkan dua antologi cerpen sebagai panduan kalangan penulis. Konsep sebenar sastera etnik ialah memperkukuhkan pemahaman adat-istiadat, budaya, pantang-larang di kalangan rakyat negara ini agar saling memahami, menghormati dan menjaga batas-batas dan had berhubung soal agama, bangsa, adat, budaya dan pantang-larang mereka.
Menguatkan integrasi amat penting sekarang sesuai dengan budaya bangsa Malaysia yang kini dimomokkan oleh orang-orang politik berpartian sama ada dari pihak pemerintah atau pembangkang. Kelompok itu tidak lagi segan silu memaki-hamun, menghina agama dan bangsa orang lain serta sanggup memukul saudara seagama dan sebangsanya hanya kerana memakai baju merah, kuning dan biru.

Mereka ini benar-benar tidak ada lagi ada rasa hormat kepada Rukun Negara, mereka lebih suka berbiadab dan mencetuskan huru-hara.

Maka Momogunsia sama seperti persatuan lain, membukukan karya penulis tak semata atas komersial, tetapi memupuk minat membaca dan mengambil suri tauladan, sekurang-kurangnya membentuk kesedaran semangat kebangsaan yang tulen. Walaupun kita sedih kerana hasil sastera tidak lagi menjadi minat dan tumpuan rakyat, sekurang-kurangnya kita ada usaha memberikan kefahaman, menjaga bahasa ibunda agar tidak pupus, menjaga kehormatan orang lain, menjaga negeri dan negara jangan sampai kita hilang bahasa dan budaya.

Kepada yang berminat, Tangon menambah nilai anda memahami aspirasi bangsa untuk mengekalkan perpaduan dan integrasi.

Harga sama rata Sabah/Sarawak/ Semenanjung RM25 senaskhah (RM30 termasuk pos jika dikirim ke mana-mana distinasi). Untuk permulaan, anda boleh hubungi  Angela Engkuan untuk tempahan.

Terima kasih kami kepada Presiden Bahasa Jasni Matlani, Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah Hasyuda Abadi, Presiden Jom Sastera Haji Nizam Abdul Jalil, tokoh wartawan Abd Naddin Shaiddin II, tokoh penulis Singapura Bunda Anie Din dan tokoh penyair Indonesia Topan Kejora atas kata sambutan dalam indorse buku ini.

 Antologi Cerpen 
TANGON

SATU LAGI KELUARAN TERKINI!

Penulis-penulis dari Persatuan MOMOGUNSIA mempersembahkan anda ANTOLOGI CERPEN TANGON.

Buku ini menghidangkan anda 20 cerpen yang bernuansakan etnik Sabah dari 12 penulis Negeri Di Bawah Bayu.

1. Angela Engkuan 
- Andauu
- Cinta Umpuvan
2. Dhuha Steffa
- Dayang Soromin
3. Flora Majamin
- Sinsidut
- Cinta Puteri Kalabintang
4. Haini Karno
- Pengganti Ibu
- Anugerah Kesabaran
5. Jemmy Markus
- Sogindai Di Bukit Padang
- Linompuka Untuk Ina
6. Jessy Mojuru
- Mondou
7. Kathirina Tati Sitaim
- Dunsai
- Pangazou
8. Monsu Godon
- Sesat Di Salinatan
- Pemikat
9. Noorfadzillah Omar
- Amarah Roh Bumi
10. Nurul Omar
- Mistik Ngadau
11. Witzer Unique
- Cisca Dari Nuca Nepa Lale
- Apung
12. Yatim Ahmad
- Tetamu Di Bilik Pameran
- Tiada Lagi Tudung Duangmu, Eyang

Kepada penggemar buku dan fiksyen etnik, bolehlah tempah sekarang. Buku ini terhad dijual dan tidak terdapat di mana-mana toko buku. Beli secara langsung daripada penulis-penulis.


Tuesday, 4 October 2016

Mengapa 'Gong' jadi cerpen terbaik HCM-NST Sept 2016?

Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times untuk September 2016 diumumkan



Oleh YATIM AHMAD
Ketua Penerangan Penulis Momogun Malaysia

Dalam tempoh empat minggu pada September, empat buah cerpen yang telah dipilih untuk disiarkan di New Sabah Times bagi Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA ialah ‘Gong’ (Sofie Clara @ Sofia Talib), ‘Legenda Teluk Mengkabong’ (Jakaria Dasan), ‘Antara Dua Budaya’ (Jemmy Markus) dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ (Ramlee Jalimin Jainin).
            Menurut panel hakim HCM-NST, cerpen ‘Gong’ menggunakan ilmu bantu sosiologi bagi membina latar belakang kisah. Dari awal, pengarang telah menonjolkan konflik yang wujud antara  watak Antong dan Ayyas. Ayyas, pemuda kaya dari kota  telah memilih Andas, gadis desa anak Orang Tua Taran sebagai bakal isteri. Elemen cinta tiga segi ditenun rapi dalam kemelut yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu Antong terhadap Ayyas. Ayyas telah menghantar hantaran perkahwinannya termasuk gong yang diletakkan di beranda rumah Andas.
Malangnya, menjelang perkahwinan gong itu hilang. Ayyas bersetuju untuk mencari pengganti gong. Apabila gong itu muncul semula, gong itu menimbulkan kekecohan kerana tidak dihantar secara beradat oleh Ayyas. Ini menghina resam masyarakat. Penduduk kampung juga tertanya-tanya sebab Ayyas telah menghilangkan diri.
Kehilangan Ayyas bertambah misteri apatah lagi apabila didapati ada darah pada gong yang tiba-tiba muncul semula di beranda rumah Orang Tua Taran itu.  Akhirnya, majlis perkahwinan dibatalkan. Gong digantung di beranda rumah, isyarat Andas kini bebas.  Takdir Andas terbuka semula, bebas dimiliki kepada yang ingin berbuat demikian.
            Cerpen ‘Legenda Teluk Mengkabong’, ‘Antara Dua Budaya’ dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ pula memanfaatkan ilmu bantu sejarah dalam mengembangkan plot cerita.
            Cerpen ‘Legenda Teluk Mengkabong’,  cuba menonjolkan sejarah persaudaraan penduduk nelayan di Teluk Mengkabong dengan para pembesar Brunei. Penduduk nelayan di situ telah menjadi tentera yang telah membantu Tok Sakam yang mewakili kerabat kesultanan Brunei menumpaskan ancaman Bengingi yang cuba memberontak terhadap Sultan Brunei di Sungai Limbang.

Muka Akhbar New Sabah Times  Isnin 3 Okt 2016

Persaudaraan itu dipegang kukuh oleh keturunanTok Sakam iaitu Tok Mirul yang telah menggantikannya sebagai pemimpin masyarakat di Teluk Mengkabong. Dalam cerpen ini, pengarang menonjolkan unsur magis sebagai kearifan tempatan dalam masyarakat Brunei-Bajau. Ini dapat dilihat pada watak Tok Mirul yang digambarkan mempunyai gimbaran. Peristiwa magis juga jelas dalam peristiwa Untong menggunakan ilmu batin berbantukan beras untk menukar kawasan rumah menjadi kawasan paya bakau.
Peristiwa lain termasuklah penggunaan ilmu batin bagi dalam peperangan misalnya dalam membantu angkatan Tok ‘kelihatan seperti tiga buah bahtera besar, dan jumlah pahlawan yang 100 orang itu meningkat jumlahnya kepada 10 kali ganda’. Turut ditonjolkan ialah penggunaan racun damar semasa perang. Tali-tali bersalut damar beracun telah menyebabkan kekalahan angkatan Bengingi.
Cerpen ini telah ditamatkan oleh pengarang dengan imbas kembali oleh Tok Mirul terhadap pesanan Tok Sakam terhadap Tok Mirul tentang harapan munculnya pemimpin sejati yang merupakan kacukan keturunan orang Brunei dan masyarakat Bajau yang menjadi nelayan di Teluk Mengkabong itu.
Berbantukan sejarah Perang Dunia II, Jemmy dalam cerpen “Antara Dua Budaya” menonjolkan tema kasih sayang seorang anak terhadap ibunya sebagai fokus penceritaan. Melalui watak Francis,  pembaca dibawa menyelami konflik diri Francis yang kehilangan ibu yang sangat disayanginya. Perasaan kehilangan itu mendatangkan nostalgia terhadap ibunya semasa hayat. Ibunya adalah seorang karayuki-san pada zaman perang, dan telah berhijrah ke Sandakan sejak berusia 12 tahun ketika perang sedang berlaku antara China dan Jepun.
Kematian ibunya itu adalah satu tamparan kepada kehidupannya yang juga telah kematian bapa. Bapa Francis yang merupakan bekas anggota polis North Borneo Armed Constabulary dan pernah bertugas di Sandakan pada zaman sebelum merdeka telah lama meninggal dunia.
Cerpen ini menggabungkan banyak maklumat budaya tempatan yang ditambah indah dengan penyelitan maklumat tentang masyarkat Jepun. Cerpen ini, kalau diperhalusi mungkin menjadi lebih menarik. Jika suatu masa nanti, Jemmy mencari-cari cerpennya untuk dikompilasikan dalam kumpulan cerpennya sendiri, ini adalah satu pilihan yang baik. Dari segi yang lain, pada tahun-tahun akan datang, jika Jemmy tekal dalam usahanya menukangi dunia penulisan cerpen, dia boleh membuat kejutan dalam dunia penulisan cerpen di Sabah.
            Ramlee Jalimin Jainin dalam “Cerita Sebuah Perjuangan” menonjolkan kisah Mat Salleh melalui dialog antara Azli dan Hisyam, dua orang guru,  ketika di ruang legar Arkib Negeri Sabah bagi tujuan mengkaji seorang tokoh pejuang Sabah bagi memenuhi tugasan mereka tentang perjuangan Paduka Mat Salleh. Sekali lagi, ilmu bantu Sejarah menjadi latar belakang masyarakat dalam cerpen. Pengarang mempersembahkan cerpen ini dalam bentuk cerita berbingkai.
Kisah yang menjadi bingkai itu ialah perbualan antara watak Azli dan Hisyam. Sementara kisah sebenar yang ingin disampaikan ialah kisah Mat Salleh, tokoh tempatan Sabah pada zaman sebelum Perang Dunia II dahulu. Cerpen ini banyak bermain dengan fakta sejarah tentang Mat Salleh, dan terutama konfliknya dengan pihak Syarikat Borneo Utara. Mungkin dari segi kreativiti penceritaan, masih banyak yang perlu dibaiki dalam cerpen ini namun dari segi usaha untuk memartabatkan tokoh sejarah tempatan, ini dapat dianggap berjaya. 
Keempat-empat cerpen ada keistimewaan tersendiri. Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan dengan saksama dari semua aspek yang dinilai terutama dari segi perbezaan kejelasan muatan etnik dan struktur penukangan, panel  sebulat suara memilih cerpen “Gong” karya Sofie Clara @ Sofia Talib sebagai cerpen terbaik bagi bulan September.
Cerpen “Gong” yang dipilih sebagai cerpen terbaik bulan September ini, dilihat lebih berjaya dalam semua aspek yang dinilai. Pengalaman mungkin telah memberikan kelebihan kepada Sofie Clara untuk lebih berjaya menonjolkan gejolak isu dalam masyarakat etnik Murut.
Sofie Clara, dengan cermat, bermain dengan sudut ‘kuasa’.   Contohnya,  kuasa memilih jodoh bagi golongan wanita. Nasib Andas jelas ditentukan oleh ibu bapanya.  Dapat dilihat juga kuasa adat dan budaya. Adat dan budaya ini melingkari kehidupan masyarakat. Watak Ayyas, sebagai orang luar yang ingin berkahwin dengan Andas, perlu juga menghormati adat itu bermula daripada peringkat merisik, sehinggalah kepada meminang tanpa banyak kerenah. Dia juga nekad menyanggupi syarat perkahwinan yang perlu dipenuhi seperti gong,  sumpitan, mas kahwin RM10000, dua ekor kerbau, tajau tilauan, tajau minukul, tajau belaying dan tajau manila.
Maklumat budaya dari segi adat peminangan masyarakat Murut telah dicerna dgn kreatif oleh Sofie Clara bagi mempermantap cerpen ini. Kelebihan peribadi penulis  berasal dari Keningau yang intim dengan masyarakat Murut juga mungkin memberi kelebihan maklumat sosiologi kepada pengarang.
Antong pula telah menggunakan kuasa pengetahuannya terhadap adat apabila gong yang menjadi kemestian semasa hari langsung perkahwinan itu hilang. Orang Tua Taran yang enggan membenarkan perkahwinan itu berlangsung sebelum gong itu ditemui pula jelas menonjolkan kuasanya sebagai ketua etnik masyarakat Murut yang ‘mempertahankan adat dan budaya’. Hilang bermakna tidak akan berlaku perkahwinan.
 Apabila Ayyas turut menghilang, itu hanya memperkukuh kuasa cengkaman Antong terhadap Andas yang memang dicintainya. Dalam usaha memburukkan Ayyas, Antong juga memanipulasi kedudukan Ayyas sebagai orang kota. Menurut Antong, kuasa kekayaan itu menjadikan pemuda kota seperti Ayyas sebagai pemuda yang kejam dan hanya mendekati wanita seperti Andas dengan kepentingan. Dengan licik, Antong mengaitkan hal itu dengan kononnya niat Ayyas ingin mengeksploitasi kayu balak di kampung mereka.
Watak Antong inilah juga yang telah bercakap tentang adat dan budaya seolah-olah dia ini wira tentang adat dan budaya sedangkan sebenarnya dia sendiri ada agenda tersirat  yakni untuk menjadi pemenang ke atas perebutan cinta terhadap Ayyas. Dia masih gagal memiliki cinta Ayyas namun kelicikannya menyebabkan orang menganggap Ayyas jahat, menghina adat dan budaya masyarakat di situ.
Pengarang tidak pernah mengatakan Antonglah pelaku kepada kekecohan itu namun kemahiran Sofie Clara membuat pembaca dapat menyimpulkan sendiri bahawa dia sebenarnya si jahat itu. Antong muncul sebagai ‘watak hitam’ yang mengambil kesempatan dengan menonjolkan dirinya sebagai hero gadungan yang meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Ayyas. Di hujung cerita, daripada gerak gerik Antong, dengan kreativiti pengarang, pembaca dibantu membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kekecohan itu adalah atas kelicikan Antong yang ada hati untuk memperisteri Andas.
            Cerpen ini berbeza daripada gaya penulis yang lebih berpengalaman, misalnya Azmah Nordin. Azmah memang terkenal dengan kecenderungannya menjadikan budaya peribumi Sabah sebagai bahan pengkaryaan. Hanya dalam karya Azmah, gambaran watak wanitanya selalu ‘lebih dominan’ dalam menentukan nasibnya berbanding watak lelaki. Dalam cerpen ini, hal yang berbeza dapat kita lihat. Sofie Clara masih menggambarkan betapa lelaki adalah pihak yang lebih berperanan dalam mempengaruhi hidup wanita dalam masyarakat Murut.
Barangkali yang jarang kita nampak ialah unsur misteri dalam cerpen ini. Ini jarang dalam cerpen kita. Unsur ini memberikan unsur saspens dan tegangan kepada pembaca.  Tiba di titik akhir cerpen ini, pembaca tertanya-tanya masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas Ayyas sehingga dia tidak muncul-muncul. Siapa empunya darah pada gong? Mengapa ada senyuman jahat di bibir Antong?  Tanpa campur tangan sebagai pengarang, Sofie Clara tidak memberikan kepada kita jawapan. Pembaca sendirilah yang perlu mentafsir dan membuat andaian dengan pertimbangan masing-masing.  Konflik jelas ditonjolkan dan Sofie Clara mengawal mood cerita itu sehinggalah ke titik akhir cerpen.
Empat cerpen yang tersiar dari segi kosa kata etnik, semuanya berjaya menyelitkan kosa kata etnik. Hal ini memberikan citra tempatan kepada cerpen-cerpen yang telah disiarkan. Bagaimanapun, memenuhi syarat ini seharusnya dilakukan dengan sangat berhati-hati.  Kita mahukan karya sastera etnik yang tidak sekadar bermain dengan bahasa namun juga menonjolkan kekuatan isu dan budaya masyarakat  etnik itu sendiri sebagai muatan karya.
Penulis perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan sewenang-wenangnya menggunakan kosa kata itu hanya untuk mahu ‘dianggap sebagai sastera etnik’.
Satu kelemahan terutama dalam cerpen
“Legenda Teluk Mengkabong” dan “Cerita Sebuah Perjuangan” ialah dari segi teknik naratifnya. Kedua-dua cerpen ini masih sangat jelas campur tangan pengarang. Contoh dalam “Legenda Teluk Mengkabong” dituliskan ‘(Mungkin itulah sebabnya mengapa sehingga kini tidak ada ancaman dari orang-orang sulu di pantai barat Sabah)’. Hal yang sama juga dikesan dalam “Cerita Sebuah Perjuangan”. Contohnya dalam petikan berikut: ‘Kehadiran kuasa Inggeris ke Borneo Utara untuk mengaut keuntungan dari hasil mashyul di Borneo Utara ketika itu selain dari penjajahan sebagai matlamat  kedua mereka yang menyebabkan peribumi Borneo Utara yang di ketuai oleh Paduka Mat Salleh bangkit memberontak.
Pegawai-pegawai Chartered Company, menganggapnya tidak bertamadun, ganas dan tidak bertanggungjawab, namun keadaan sebenarnya yang wujud dalam diri Mat Salleh adalah disebaliknya, seorang yang luhur, bertimbang rasa dan ada prinsip dalam kehidupannya.’
Dalam dua contoh yang diberi di atas, kalaulah ayat-ayat itu timbul dalam fikiran watak atau dialog watak itu tidak menjadi masalah. Dengan menuliskan ayat-ayat itu di luar watak, hal itu jelas menjadi suara pengarang sendiri.
Akhir sekali, usaha semua pengarang untuk menggunakan ilmu bantu harus dipuji. Mereka berjaya membuktikan bahawa ilmu bantu ternyata ladang yang subur bagi menyemai kreativiti. Pengarang mesti bijaksana memanfaatkan ilmu bantu dalam karyanya. Bagaimanapun, selain ilmu bantu, pengarang tidak boleh lupa bahawa kejayaan sesebuah karya itu juga ditunjangi oleh kemahiran seseorang pengarang menyatukan ilmu bantu itu dengan cerita dalam cerpen.
Semoga karya-karya untuk Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA bagi bulan Oktober lebih baik dan mencabar supaya hasrat kita untuk mengarusperdanakan cerpen-cerpen bernuansakan etnik menjadi kenyataan.
Sebagai tambahan, menurut Sheldon Norman Grebstein, “The literary work can’t be fully or truly understood apart from the milieu or culture or civilization in which it was produced. It must be studied in the widest possible context rather than by itself. Every literary work is the result of a complex interaction of social and cultural factors and is itself a complex cultural object.”
Kata-kata Grebstein itu jelas menonjolkan kepentingan peranan ilmu bantu dalam penghasilan karya kreatif.  Hal ini tampaknya disedari oleh penulis cerpen yang bertuah dipilih karyanya bagi Sayembara Hadiah Cerpen New Sabah Times-MOMOGUNSIA bagi September 2016.


Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...