Hadiah
Cerpen Momogunsia - New Sabah Times untuk September 2016 diumumkan
Oleh
YATIM AHMAD
Ketua
Penerangan Penulis Momogun Malaysia
Dalam
tempoh empat minggu pada September, empat buah cerpen yang telah dipilih untuk
disiarkan di New Sabah Times bagi Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA ialah ‘Gong’
(Sofie Clara @ Sofia Talib), ‘Legenda Teluk Mengkabong’ (Jakaria Dasan), ‘Antara
Dua Budaya’ (Jemmy Markus) dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ (Ramlee Jalimin
Jainin).
Menurut panel hakim HCM-NST, cerpen ‘Gong’
menggunakan ilmu bantu sosiologi bagi membina latar belakang kisah. Dari awal,
pengarang telah menonjolkan konflik yang wujud antara watak Antong dan Ayyas. Ayyas, pemuda kaya
dari kota telah memilih Andas, gadis
desa anak Orang Tua Taran sebagai bakal isteri. Elemen cinta tiga segi ditenun
rapi dalam kemelut yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu Antong terhadap
Ayyas. Ayyas telah menghantar hantaran perkahwinannya termasuk gong yang
diletakkan di beranda rumah Andas.
Malangnya,
menjelang perkahwinan gong itu hilang. Ayyas bersetuju untuk mencari pengganti
gong. Apabila gong itu muncul semula, gong itu menimbulkan kekecohan kerana
tidak dihantar secara beradat oleh Ayyas. Ini menghina resam masyarakat.
Penduduk kampung juga tertanya-tanya sebab Ayyas telah menghilangkan diri.
Kehilangan
Ayyas bertambah misteri apatah lagi apabila didapati ada darah pada gong yang
tiba-tiba muncul semula di beranda rumah Orang Tua Taran itu. Akhirnya, majlis perkahwinan dibatalkan. Gong
digantung di beranda rumah, isyarat Andas kini bebas. Takdir Andas terbuka semula, bebas dimiliki
kepada yang ingin berbuat demikian.
Cerpen ‘Legenda Teluk Mengkabong’, ‘Antara
Dua Budaya’ dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ pula memanfaatkan ilmu bantu sejarah
dalam mengembangkan plot cerita.
Cerpen
‘Legenda Teluk Mengkabong’, cuba menonjolkan
sejarah persaudaraan penduduk nelayan di Teluk Mengkabong dengan para pembesar
Brunei. Penduduk nelayan di situ telah menjadi tentera yang telah membantu Tok
Sakam yang mewakili kerabat kesultanan Brunei menumpaskan ancaman Bengingi yang
cuba memberontak terhadap Sultan Brunei di Sungai Limbang.
Muka Akhbar New Sabah Times Isnin 3 Okt 2016
Persaudaraan
itu dipegang kukuh oleh keturunanTok Sakam iaitu Tok Mirul yang telah
menggantikannya sebagai pemimpin masyarakat di Teluk Mengkabong. Dalam cerpen
ini, pengarang menonjolkan unsur magis sebagai kearifan tempatan dalam
masyarakat Brunei-Bajau. Ini dapat dilihat pada watak Tok Mirul yang
digambarkan mempunyai gimbaran. Peristiwa magis juga jelas dalam peristiwa
Untong menggunakan ilmu batin berbantukan beras untk menukar kawasan rumah
menjadi kawasan paya bakau.
Peristiwa
lain termasuklah penggunaan ilmu batin bagi dalam peperangan misalnya dalam
membantu angkatan Tok ‘kelihatan seperti tiga buah bahtera besar, dan jumlah
pahlawan yang 100 orang itu meningkat jumlahnya kepada 10 kali ganda’. Turut
ditonjolkan ialah penggunaan racun damar semasa perang. Tali-tali bersalut
damar beracun telah menyebabkan kekalahan angkatan Bengingi.
Cerpen
ini telah ditamatkan oleh pengarang dengan imbas kembali oleh Tok Mirul
terhadap pesanan Tok Sakam terhadap Tok Mirul tentang harapan munculnya
pemimpin sejati yang merupakan kacukan keturunan orang Brunei dan masyarakat
Bajau yang menjadi nelayan di Teluk Mengkabong itu.
Berbantukan
sejarah Perang Dunia II, Jemmy dalam cerpen “Antara Dua Budaya” menonjolkan tema
kasih sayang seorang anak terhadap ibunya sebagai fokus penceritaan. Melalui
watak Francis, pembaca dibawa menyelami
konflik diri Francis yang kehilangan ibu yang sangat disayanginya. Perasaan
kehilangan itu mendatangkan nostalgia terhadap ibunya semasa hayat. Ibunya
adalah seorang karayuki-san pada zaman perang, dan telah berhijrah ke Sandakan
sejak berusia 12 tahun ketika perang sedang berlaku antara China dan Jepun.
Kematian
ibunya itu adalah satu tamparan kepada kehidupannya yang juga telah kematian
bapa. Bapa Francis yang merupakan bekas anggota polis North Borneo Armed
Constabulary dan pernah bertugas di Sandakan pada zaman sebelum merdeka telah
lama meninggal dunia.
Cerpen
ini menggabungkan banyak maklumat budaya tempatan yang ditambah indah dengan
penyelitan maklumat tentang masyarkat Jepun. Cerpen ini, kalau diperhalusi
mungkin menjadi lebih menarik. Jika suatu masa nanti, Jemmy mencari-cari
cerpennya untuk dikompilasikan dalam kumpulan cerpennya sendiri, ini adalah
satu pilihan yang baik. Dari segi yang lain, pada tahun-tahun akan datang, jika
Jemmy tekal dalam usahanya menukangi dunia penulisan cerpen, dia boleh membuat
kejutan dalam dunia penulisan cerpen di Sabah.
Ramlee Jalimin Jainin dalam “Cerita
Sebuah Perjuangan” menonjolkan kisah Mat Salleh melalui dialog antara Azli dan
Hisyam, dua orang guru, ketika di ruang
legar Arkib Negeri Sabah bagi tujuan mengkaji seorang tokoh pejuang Sabah bagi
memenuhi tugasan mereka tentang perjuangan Paduka Mat Salleh. Sekali lagi, ilmu
bantu Sejarah menjadi latar belakang masyarakat dalam cerpen. Pengarang
mempersembahkan cerpen ini dalam bentuk cerita berbingkai.
Kisah
yang menjadi bingkai itu ialah perbualan antara watak Azli dan Hisyam.
Sementara kisah sebenar yang ingin disampaikan ialah kisah Mat Salleh, tokoh
tempatan Sabah pada zaman sebelum Perang Dunia II dahulu. Cerpen ini banyak
bermain dengan fakta sejarah tentang Mat Salleh, dan terutama konfliknya dengan
pihak Syarikat Borneo Utara. Mungkin dari segi kreativiti penceritaan, masih
banyak yang perlu dibaiki dalam cerpen ini namun dari segi usaha untuk
memartabatkan tokoh sejarah tempatan, ini dapat dianggap berjaya.
Keempat-empat
cerpen ada keistimewaan tersendiri. Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan
dengan saksama dari semua aspek yang dinilai terutama dari segi perbezaan
kejelasan muatan etnik dan struktur penukangan, panel sebulat suara memilih cerpen “Gong” karya
Sofie Clara @ Sofia Talib sebagai cerpen terbaik bagi bulan September.
Cerpen
“Gong” yang dipilih sebagai cerpen terbaik bulan September ini, dilihat lebih
berjaya dalam semua aspek yang dinilai. Pengalaman mungkin telah memberikan
kelebihan kepada Sofie Clara untuk lebih berjaya menonjolkan gejolak isu dalam
masyarakat etnik Murut.
Sofie
Clara, dengan cermat, bermain dengan sudut ‘kuasa’. Contohnya,
kuasa memilih jodoh bagi golongan wanita. Nasib Andas jelas ditentukan
oleh ibu bapanya. Dapat dilihat juga kuasa
adat dan budaya. Adat dan budaya ini melingkari kehidupan masyarakat. Watak
Ayyas, sebagai orang luar yang ingin berkahwin dengan Andas, perlu juga
menghormati adat itu bermula daripada peringkat merisik, sehinggalah kepada
meminang tanpa banyak kerenah. Dia juga nekad menyanggupi syarat perkahwinan
yang perlu dipenuhi seperti gong,
sumpitan, mas kahwin RM10000, dua ekor kerbau, tajau tilauan, tajau
minukul, tajau belaying dan tajau manila.
Maklumat
budaya dari segi adat peminangan masyarakat Murut telah dicerna dgn kreatif
oleh Sofie Clara bagi mempermantap cerpen ini. Kelebihan peribadi penulis berasal dari Keningau yang intim dengan
masyarakat Murut juga mungkin memberi kelebihan maklumat sosiologi kepada
pengarang.
Antong
pula telah menggunakan kuasa pengetahuannya terhadap adat apabila gong yang
menjadi kemestian semasa hari langsung perkahwinan itu hilang. Orang Tua Taran
yang enggan membenarkan perkahwinan itu berlangsung sebelum gong itu ditemui
pula jelas menonjolkan kuasanya sebagai ketua etnik masyarakat Murut yang
‘mempertahankan adat dan budaya’. Hilang bermakna tidak akan berlaku
perkahwinan.
Apabila Ayyas turut menghilang, itu hanya
memperkukuh kuasa cengkaman Antong terhadap Andas yang memang dicintainya.
Dalam usaha memburukkan Ayyas, Antong juga memanipulasi kedudukan Ayyas sebagai
orang kota. Menurut Antong, kuasa kekayaan itu menjadikan pemuda kota seperti
Ayyas sebagai pemuda yang kejam dan hanya mendekati wanita seperti Andas dengan
kepentingan. Dengan licik, Antong mengaitkan hal itu dengan kononnya niat Ayyas
ingin mengeksploitasi kayu balak di kampung mereka.
Watak
Antong inilah juga yang telah bercakap tentang adat dan budaya seolah-olah dia
ini wira tentang adat dan budaya sedangkan sebenarnya dia sendiri ada agenda
tersirat yakni untuk menjadi pemenang ke
atas perebutan cinta terhadap Ayyas. Dia masih gagal memiliki cinta Ayyas namun
kelicikannya menyebabkan orang menganggap Ayyas jahat, menghina adat dan budaya
masyarakat di situ.
Pengarang
tidak pernah mengatakan Antonglah pelaku kepada kekecohan itu namun kemahiran
Sofie Clara membuat pembaca dapat menyimpulkan sendiri bahawa dia sebenarnya si
jahat itu. Antong muncul sebagai ‘watak hitam’ yang mengambil kesempatan dengan
menonjolkan dirinya sebagai hero gadungan yang meletakkan kesalahan sepenuhnya
ke atas Ayyas. Di hujung cerita, daripada gerak gerik Antong, dengan kreativiti
pengarang, pembaca dibantu membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kekecohan itu
adalah atas kelicikan Antong yang ada hati untuk memperisteri Andas.
Cerpen ini berbeza daripada gaya
penulis yang lebih berpengalaman, misalnya Azmah Nordin. Azmah memang terkenal
dengan kecenderungannya menjadikan budaya peribumi Sabah sebagai bahan
pengkaryaan. Hanya dalam karya Azmah, gambaran watak wanitanya selalu ‘lebih
dominan’ dalam menentukan nasibnya berbanding watak lelaki. Dalam cerpen ini,
hal yang berbeza dapat kita lihat. Sofie Clara masih menggambarkan betapa
lelaki adalah pihak yang lebih berperanan dalam mempengaruhi hidup wanita dalam
masyarakat Murut.
Barangkali
yang jarang kita nampak ialah unsur misteri dalam cerpen ini. Ini jarang dalam
cerpen kita. Unsur ini memberikan unsur saspens dan tegangan kepada
pembaca. Tiba di titik akhir cerpen ini,
pembaca tertanya-tanya masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku
ke atas Ayyas sehingga dia tidak muncul-muncul. Siapa empunya darah pada gong?
Mengapa ada senyuman jahat di bibir Antong?
Tanpa campur tangan sebagai pengarang, Sofie Clara tidak memberikan
kepada kita jawapan. Pembaca sendirilah yang perlu mentafsir dan membuat
andaian dengan pertimbangan masing-masing.
Konflik jelas ditonjolkan dan Sofie Clara mengawal mood cerita itu
sehinggalah ke titik akhir cerpen.
Empat
cerpen yang tersiar dari segi kosa kata etnik, semuanya berjaya menyelitkan
kosa kata etnik. Hal ini memberikan citra tempatan kepada cerpen-cerpen yang
telah disiarkan. Bagaimanapun, memenuhi syarat ini seharusnya dilakukan dengan
sangat berhati-hati. Kita mahukan karya
sastera etnik yang tidak sekadar bermain dengan bahasa namun juga menonjolkan
kekuatan isu dan budaya masyarakat etnik
itu sendiri sebagai muatan karya.
Penulis
perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan sewenang-wenangnya
menggunakan kosa kata itu hanya untuk mahu ‘dianggap sebagai sastera etnik’.
Satu
kelemahan terutama dalam cerpen
“Legenda
Teluk Mengkabong” dan “Cerita Sebuah Perjuangan” ialah dari segi teknik
naratifnya. Kedua-dua cerpen ini masih sangat jelas campur tangan pengarang.
Contoh dalam “Legenda Teluk Mengkabong” dituliskan ‘(Mungkin itulah sebabnya
mengapa sehingga kini tidak ada ancaman dari orang-orang sulu di pantai barat
Sabah)’. Hal yang sama juga dikesan dalam “Cerita Sebuah Perjuangan”. Contohnya
dalam petikan berikut: ‘Kehadiran kuasa Inggeris ke Borneo Utara untuk mengaut
keuntungan dari hasil mashyul di Borneo Utara ketika itu selain dari penjajahan
sebagai matlamat kedua mereka yang menyebabkan
peribumi Borneo Utara yang di ketuai oleh Paduka Mat Salleh bangkit
memberontak.
Pegawai-pegawai
Chartered Company, menganggapnya tidak bertamadun, ganas dan tidak
bertanggungjawab, namun keadaan sebenarnya yang wujud dalam diri Mat Salleh
adalah disebaliknya, seorang yang luhur, bertimbang rasa dan ada prinsip dalam
kehidupannya.’
Dalam
dua contoh yang diberi di atas, kalaulah ayat-ayat itu timbul dalam fikiran
watak atau dialog watak itu tidak menjadi masalah. Dengan menuliskan ayat-ayat
itu di luar watak, hal itu jelas menjadi suara pengarang sendiri.
Akhir
sekali, usaha semua pengarang untuk menggunakan ilmu bantu harus dipuji. Mereka
berjaya membuktikan bahawa ilmu bantu ternyata ladang yang subur bagi menyemai
kreativiti. Pengarang mesti bijaksana memanfaatkan ilmu bantu dalam karyanya.
Bagaimanapun, selain ilmu bantu, pengarang tidak boleh lupa bahawa kejayaan
sesebuah karya itu juga ditunjangi oleh kemahiran seseorang pengarang
menyatukan ilmu bantu itu dengan cerita dalam cerpen.
Semoga
karya-karya untuk Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA bagi bulan Oktober
lebih baik dan mencabar supaya hasrat kita untuk mengarusperdanakan
cerpen-cerpen bernuansakan etnik menjadi kenyataan.
Sebagai
tambahan, menurut Sheldon Norman Grebstein, “The literary work can’t be fully
or truly understood apart from the milieu or culture or civilization in which
it was produced. It must be studied in the widest possible context rather than
by itself. Every literary work is the result of a complex interaction of social
and cultural factors and is itself a complex cultural object.”
Kata-kata
Grebstein itu jelas menonjolkan kepentingan peranan ilmu bantu dalam
penghasilan karya kreatif. Hal ini
tampaknya disedari oleh penulis cerpen yang bertuah dipilih karyanya bagi
Sayembara Hadiah Cerpen New Sabah Times-MOMOGUNSIA bagi September 2016.
No comments:
Post a Comment