Tuesday 26 March 2019

Rosok Bangkahak dikomersil sebagai pusat pelancongan


Musbah beri komitmen jadikan Rosok Bangkahak sebagai hub pelancongan


AIR bersih di zon merah Bombon Sungai Rantai Rosok.

Oleh GINDANAU SAKAT & HENRY BATING
KOTA BELUD - 26/3/2019: Mukim Rosok Bangkahak bakal dimajukan sebagai kawasan pelancongan inap desa kerana beberapa tempat di mukim itu memiliki pelbagai sumber untuk melengkapi status sebagai destinasi rekreasi dan peranginan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Haji Jamli berkata pelbagai lokasi yang berpotensi di mukim Rosok melibatkan Sungai Bombon Rantai, Kolam Ulod-Ulod Kg Rantai, Bunga Reflesia Tadahan Rosok Rantai, Air Terjun Babagon, Tasik Luas Minongol Kg Bangkahak Baru dan Bukit Manduri Kg Bugaron.

“Saya akan bersama-sama penduduk dan pemaju pelancongan untuk merancang dan melaksanakan pembangunan pelancongan pelbagai tempat berpotensi di Mukim Rosok Bangkahak ini,” katanya.

MUSBAH (tiga kiri) bersama penduduk menikmati hidangan 
hasil Bombon sungai.

Musbah berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Bombon Sungai Rantai di  Kampung Rosok, di sini pada Ahad. Bombon atau Tagal merupakan konsep pemuliharaan dan penjagaan hidupan sungai oleh penduduk untuk dituai hasilnya apabila genap tempoh.

Musbah menjelaskan mukim berkenaan memiliki hutan belukar tepi jalan utama, kawasan kebun getah dan kelapa sawit, pelbagai spesies burung, cabaran meredah hutan, sumber segar dari sungai, gerai-gerai menyaji makanan tempatan dan suasana yang tenang serta segar.

Menurut Musbah, pihaknya akan membantu penduduk dan pengusaha terlibat untuk mengkomersilkan pelbagai produk di mukim berkenaan melalui promosi pelancongan.

MUSBAH (tengah) bersama ahli-ahli Bombon menunjukkan 
hasil Sungai Rantai Rosok.

“Sungai di mukim ini terpelihara menjadikan sumber semulajadi itu bebas dari pencemaran sehingga merangsang pembiakan hidupan sungai sebagai bekalan para pengusaha gerai menyediakan hidangan segar,” katanya.

Musbah berharap kalangan pengusaha dan ejen pelancongan di mukim itu dapat bekerjasama di antara satu sama lain untuk menjadikan kawasan Mukim Rosok Bangkahak sebagai hub industri pelancongan menarik dan terkenal untuk dikunjungi ramai.

Hadir sama Pengerusi Bombon Abrani Kuatis, Pegawai Pembangunan Masyarakat Tempasuk Almieus Monduring Ammann Sirom, Pengerusi Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rantai Rosok, Marubin Ahai dan lebih 100 ahli Bombon Sungai Rantai.

MUSBAH (enam kanan) bersama ahli jawatankuasa Bombon memberi makan 
ikan di Sungai Rantai Rosok.

“Perkampungan di mukim ini juga boleh dimajukan dengan mendirikan rumah-rumah inap desa untuk kemudahan para pelancong,” katanya.

Musbah berharap mukim itu dapat dipromosi melalui media sosial dan laman web untuk menawarkan pelbagai pakej pelancongan.

Musbah seterusnya mengesyorkan agar semua pengusaha pelancongan di sini dapat berkongsi pengalaman dan menjalinkan usahasama dengan Persatuan Pelancongan Kadamaian Kota Belud (Kata) yang dipengerusikan Walter Kandayon.

Difahamkan persatuan berkenaan meski berhadapan pelbagai cabaran namun pada ketika ini menaungi 62 pusat pelancongan dan berjaya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

MUSBAH (kiri) membahagikan ikan Bombon kepada Siang Sibin 
diperhatikan Almieus dan Abrani.
AGIHAN lima kilogram ikan setiap ahli Bombon.
BOMBON hasilkan hidangan segar.


Wednesday 20 March 2019

KMG hulur simpati mendiang Eddie


Badan seni muzik KMG hulur simpati kepada keluarga mendiang Eddie


Oleh HENRY BATING
KENINGAU (20/3/19) - Demi menghargai legasi seni muzik tempatan yang ditinggalkan mendiang Junaidie @ Eddie Sumil, Keningau Music Group (KMG) turut menghulurkan simpati kepada keluarga yang ditinggalkan.

Timbalan Pengerusi KMG Aldrin Linus berkata program ziarah kasih merupakan salah satu aktiviti kumpulan berkenaan sejak ditubuhkan lima tahun lepas.

“Huluran simpati menjadi sebahagian kewajiban dalam misi KMG mengumpulkan kalangan penggiat muzik dan hiburan di kawasan pedalaman,” kata Aldrin sambil menambah badan itu dianggotai ahli-ahli dari Keningau, Tambunan, Tenom dan Sook.

ALDRIN (tengah) dan kru ketika mengunjungi keluarga mendiang Eddie.

Kru KMG mengunjungi keluarga mendiang di Kg Sungoi Apin-Apin pada Selasa.

Eddie, 53, mengidap darah tinggi dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Keningau pada Ahad merupakan pemuzik, penyanyi dan pencipta lagu Dusun Murut yang gah di persada era 1990-an.

“Bakat dan pengabdian Eddie dalam bidang muzik telah menginspirasikan ramai bakat baru yang berkemahiran dan berjaya dalam dunia hiburan di kawasan Keningau,” kata Aldrin.

KMG pimpinan Gerald Able merupakan antara kumpulan yang sempat memperoleh inspirasi Eddie dan kini menjadi badan aktif di kawasan pedalaman dengan kejayaan terindah menganjurkan Sabah Bass Camp peringkat negeri 2016.

Selama hayat seninya, buah karya Eddie seperti ‘Pangkiat Ku Noro’, ‘Nangkubayawaan’, ‘Sumandak Lesung Pipit’ dan ‘Joget Milang-Bilang’ menjadi dendangan para pendengar ramai.

Selaku pemain gitar dan pemimpin band era 1986-96, Eddie pernah mewakili Sabah dalam pertandingan akhir Gema Warisan anjuran RTM peringkat kebangsaan.

Di samping itu, Eddie yang memiliki sijil muzik kelas pertama pernah terikat dengan kontrak band pengiring ‘fun fair’ yang bergerak di seluruh Sabah pada ketika itu.




Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...