Wednesday, 20 March 2019

KMG hulur simpati mendiang Eddie


Badan seni muzik KMG hulur simpati kepada keluarga mendiang Eddie


Oleh HENRY BATING
KENINGAU (20/3/19) - Demi menghargai legasi seni muzik tempatan yang ditinggalkan mendiang Junaidie @ Eddie Sumil, Keningau Music Group (KMG) turut menghulurkan simpati kepada keluarga yang ditinggalkan.

Timbalan Pengerusi KMG Aldrin Linus berkata program ziarah kasih merupakan salah satu aktiviti kumpulan berkenaan sejak ditubuhkan lima tahun lepas.

“Huluran simpati menjadi sebahagian kewajiban dalam misi KMG mengumpulkan kalangan penggiat muzik dan hiburan di kawasan pedalaman,” kata Aldrin sambil menambah badan itu dianggotai ahli-ahli dari Keningau, Tambunan, Tenom dan Sook.

ALDRIN (tengah) dan kru ketika mengunjungi keluarga mendiang Eddie.

Kru KMG mengunjungi keluarga mendiang di Kg Sungoi Apin-Apin pada Selasa.

Eddie, 53, mengidap darah tinggi dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Keningau pada Ahad merupakan pemuzik, penyanyi dan pencipta lagu Dusun Murut yang gah di persada era 1990-an.

“Bakat dan pengabdian Eddie dalam bidang muzik telah menginspirasikan ramai bakat baru yang berkemahiran dan berjaya dalam dunia hiburan di kawasan Keningau,” kata Aldrin.

KMG pimpinan Gerald Able merupakan antara kumpulan yang sempat memperoleh inspirasi Eddie dan kini menjadi badan aktif di kawasan pedalaman dengan kejayaan terindah menganjurkan Sabah Bass Camp peringkat negeri 2016.

Selama hayat seninya, buah karya Eddie seperti ‘Pangkiat Ku Noro’, ‘Nangkubayawaan’, ‘Sumandak Lesung Pipit’ dan ‘Joget Milang-Bilang’ menjadi dendangan para pendengar ramai.

Selaku pemain gitar dan pemimpin band era 1986-96, Eddie pernah mewakili Sabah dalam pertandingan akhir Gema Warisan anjuran RTM peringkat kebangsaan.

Di samping itu, Eddie yang memiliki sijil muzik kelas pertama pernah terikat dengan kontrak band pengiring ‘fun fair’ yang bergerak di seluruh Sabah pada ketika itu.




No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...