Keretapi Tenom - Melalap bakal melonjak perkembangan Pekan Melalap
PETER dan rombongan melawat runtuhan setesen Melalap zaman penjajah. |
Oleh
HENRY BATING
24/2/19
PENGUMUMAN
Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony pada Rabu (20/2) untuk
membuka semula perkhidmatan Keretapi Negeri Sabah Tenom – Melalap bakal
mengembalikan kepentingan Pekan Melalap zaman penjajahan dan awal kemerdekaan.
Dengan
meletakkan harapan positif, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Melalap menempati kapasiti strategik merintis kembali pemulihan perkhidmatan
keretapi itu yang terhenti total awal 1970-an.
Peter
selaku Adun Melalap dan menteri bertanggungjawab terhadap pembangunan infrastruktur
negeri Sabah adalah pemimpin tepat yang berwewenang merintis semula usaha
berkenaan.
Dengan
mengambil kira pendekatan baharu menyambung perkhidmatan keretapi Tanjung Aru –
Tenom kira-kira 15km lagi untuk jarak Tenom – Melalap, sudah pasti Melalap
bakal wujud sebagai pekan kedua terpenting selepas pekan Tenom. Malahan menjadi
alternatif kepada kampung-kampung berdekatan dalam daerah Keningau.
Dengan
menempatkan pelbagai kepentingan tambahan ke atas Pekan Melalap, sudah pasti
penduduk pelbagai kampung di Mukim Melalap Tenom dan Mukim Senagang Keningau
bakal menjadi pengunjung penting Pekan Melalap.
Perkhidmatan
keretapi hanya satu di antara banyak faktor yang bakal mempengaruhi lonjakan perkembangan
Pekan Melalap sebagai pusat kegiatan ramai untuk pelbagai urusan.
Kepentingan
pekan Melalap zaman penjajahan hanya bersandar kepada fungsi pusat itu sebagai perladangan
getah (kini kelapa sawit) untuk kemudahan logistik dan pengangkutan penumpang.
Gudang-gudang
getah terletak di Melalap. Terminal pemunggahan pelbagai hasil pertanian
terletak di Melalap. Manakala penduduk kawasan pedalaman memanfaatkan stesen
keretapi Melalap untuk perjalanan ke pelbagai daerah pesisiran pantai barat
selatan Sabah sehingga ke Kota Kinabalu (dahulu Jesselton).
Pembukaan
semula keretapi Tenom – Melalap boleh mengekalkan fungsi sebagai pusat logistik
dengan mengambil kira pelbagai produk pertanian dari Melalap dan Tenom yang pada umumnya masih kekal terbilang popular memenuhi pasaran di pelbagai daerah termasuk sehingga
ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Di
samping itu, keretapi Tenom – Melalap masih mampu diletakkan sebagai kemudahan pengangkuatan
penumpang untuk pelbagai rombongan termasuk pelancong demi menikmati keunikan
pengangkutan alternatif, satu-satunya perkhidmatan seumpamanya di Borneo.
Di
sekitar pekan Melalap terdapat Pusat Kebudayaan Murut, Taman Sabah Stesen Ulu
Sumbiling, pusat ternakan ikan Kg Jawa, lokasi kapal perang terhempas di Ulu
Lindopon dan pelbagai destinasi lasak dan rekreasi di Pamilaan.
Apabila
perbandaran Pekan Melalap yang sudah memulakan fasa pembangunannya ketika ini
dilengkapi pelbagai faktor lain, lonjakan perkembangan pekan Melalap sudah
pasti menampakkan sinar.
Ini
termasuk perancangan mengangkat status Melalap sebagai pusat pentadbiran daerah
penuh atau daerah kecil, pembinaan sekolah menengah dan pembinaan kampus
pengajian kolej atau universiti.
Atas
sokongan doa restu rakyat dan dukungan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie
Haji Apdal, adalah menjadi harapan semua pihak kiranya perancangan pembangunan
Melalap dapat direalisasikan.
PERBANDARAN Pekan Melalap warisan zaman penjajah. |
No comments:
Post a Comment