Showing posts with label keperluan asas. Show all posts
Showing posts with label keperluan asas. Show all posts

Saturday, 11 February 2017

Pelajar UPSI selami kehidupan serba kekurangan di Banggi

Banggi perkenal realiti kehidupan kepada pelajar UPSI

INTERAKSI antara pelajar UPSI dan warga SMK Banggi.

Oleh HENRY BATING
PEMANTAPAN Kemahiran Insaniah melalui perkongsian ilmu dengan murid-murid SMK Banggi, Kudat telah memberi pengetahuan dan pengalaman serampang dua mata kepada sekumpulan 11 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Program 1-4 Februari itu telah memberi pengetahuan tentang penduduk berbilang etnik di pulau Banggi di samping pengalaman nyata pelajar mengharungi kehidupan dalam keadaan serba kekurangan bekalan air.
Program yang diselenggarakan Program Pengajian Minor Bahasa Kadazandusun UPSI itu telah melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan murid-murid sekolah dan penduduk kampung.
BERGAMBAR kenangan antara rombongan pelajar UPSI dan murid-murid SMK Banggi.
Pengetua SMK Banggi, Mohd Khuraini Khuzaimah dalam ucapannya amat berbesar hati menerima kehadiran kali kedua rombongan UPSI yang mana kalangan pelajar yang menyertai rombongan itu berasal dari pelbagai daerah di Sabah.
“Kami berharap program yang dikhususkan untuk para pelajar Tingkatan Tiga yang akan menduduki PT3 ini mampu merangsang lonjakan pencapaian pelajar untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya.
Mohd Khuraini berpesan kepada para peserta dari SMK Banggi agar mengambil peluang daripada program itu untuk menimba seberapa banyak ilmu yang mana menurutnya, kejayaan dicapai hasil usaha, komitmen, doa dan tawakal.
Rombongan pelajar itu diiringi pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Minah Sintian. Kali pertama rombongan dari UPSI melaksanakan program di SMK Banggi pada 2015.
ROMBONGAN pelajar UPSI di jeti Karakit, Banggi.
Dalam program tahun ini, rombongan berkenaan melaksanakan beberapa sesi melibatkan motivasi, pemantapan kemahiran insaniah, slot pembelajaran abad ke-21, memupuk semangat belajar berkumpulan dalam kalangan murid dan memberi pendedahan awal kepada kalangan mahasiswa mengenai pola hidup bertugas di luar bandar.
Jurucakap rombongan pelajar UPSI, Ellysia Richard memaklumkan bahawa kalangan anggota rombongan berasal dari beberapa daerah seperti Papar, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau dan Kudat.
Sesampai di Kudat, rombongan menempuh perjalanan kira-kira sejam setengah ke jeti Karakit, Banggi menaiki bot ekspress dengan tiket berharga RM20 seorang. Setiba di Karakit pada jam 4.30 petang, rombongan disambut Penolong Kanan (Pentadbiran) SMK Banggi, Killy Otahlaid.
MENIKMATI perjalanan menaiki bot ekspress antara Kudat-Banggi.
“Program yang dijalankan mendapat sambutan baik dari semua bukan sahaja dari kalangan murid tetapi juga dari kalangan guru-guru yang bersedia memberi kerjasama yang sangat baik,” kata Ellysia.
Hari ketiga di Banggi, rombongan pelajar UPSI melawat perkampungan di Limbuak Darat di mana pelajar berkesempatan menatap dan memerhati di depan mata rumah warisan Dusun Bonggi.
“Interaksi dengan masyarakat telah memperkenalkan rombongan kepada pelbagai etnik melibatkan Dusun Bonggi, Bajau, Molbog dan Kagayan,” kata Minah.
Menyentuh pengalaman tinggal di Banggi, Siti Wadinih Saili melahirkan rasa syukur kerana meskipun kekurangan air bersih dengan terputusnya bekalan air namun setiap aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar tanpa masalah.
SEBAHAGIAN pelajar SMK Banggi sedang mengikuti salah satu slot motivasi.
“Hidup di Banggi memberi pengalaman hidup kepada mahasiswa untuk lebih menghargai sumber air dengan lebih beringat dan berjimat melalui amalan hidup seorang sebuah baldi,” katanya.
Jenne Maradius menyifatkan pengalamannya melaksanakan program di SMK Banggi telah memberi keyakinan untuk mengghadapi kehidupan yang lebih nyata sebagai seorang guru.
KHAIRUNI menyampaikan cenderamata kepada Minah (kanan).
“Meski berada di kawasan jauh terpencil di pulau namun keseronokan hidup tetap dirasai,” katanya.
Kelly Robert menyatakan pengalaman di Banggi telah memberi kesempatan kepadanya untuk melihat keadaan sebenar kehidupan pelajar asrama yang tetap sabar dan bersemangat untuk berusaha meski kekurangan kemudahan asas.
 
MENGABADI kenangan di hadapan bangunan SMK Banggi.





Wednesday, 8 February 2017

Bekalan minyak masak paket di pedalaman masih kritikal

Pengguna di pedalaman masih hadapi kekurangan bekalan minyak masak paket
JAMRI MOHD HASSIM

Oleh HENRY BATING
8/2/17

KENINGAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta meneliti punca berlakunya kekurangan bekalan minyak masak paket agar kepentingan pengguna terjaga dan tidak menjadi mangsa ekspoitasi sistem pasaran.
Seorang pengguna, Jamri Mohd Hassim memberitahu pihaknya mendapati bekalan minyak masak paket bukan sahaja tidak konsisten tetapi membebankan pengguna kurang berkemampuan apabila terpaksa membeli minyak masak dalam botol besar yang harganya lebih tinggi.
“Kita maklum terdapat usaha yang dilakukan kementerian berkaitan untuk menstabilkan bekalan minyak masak di pasaran namun kita juga dihadapkan tanda tanya mengapa bekalan tidak juga konsisten, adakah kekurangan itu disebabkan eksploitasi pengedaran dalam pasaran,” ujar Jamri.
Jamri dari Kg Pamilaan, Tenom turut merasa musykil mengenai kenaikan harga minyak masak yang mendadak melambung jauh daripada harga biasa.
Menurut Jamri, terdapat pembeli yang datang dari perkampungan jauh turun ke bandar untuk membeli minyak masak paket namun hanya kecewa apabila mendapati barangan yang merek cari kehabisan stok.
“Ini mnyebabkan ramai pembeli berpendapatan rendah atau golongan petani sangat kecewa dengan situasi bekalan minyak masak yang tidak mencukupi,” katanya.
Menurut Jamri, disebabkan bekalan yang kurang, minyak masak botol 2kg yang berharga RM6.25 melambung sehingga ke harga RM10.70 dan jenis keperluan ini yang diproduksi untuk membantu orang ramai selalunya tidak mencukupi.
Jamri menambah, terdapat juga segelintir peniaga membuat peraturan kepada pembeli di mana untuk membeli minyak paket, pembeli diminta membeli barangan lain dengan kuantiti yang banyak bagi membolehkan pembeli berkenaan memperoleh belian minyak masak paket.

Jamri berharap masalah kekurangan bekalan dan harga minyak masak paket yang melambung tinggi dapat diperjelaskan.
MINYAK makan paket yang sering putus bekalan dalam pasaran




Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...