Banggi perkenal realiti kehidupan kepada pelajar UPSI
INTERAKSI antara pelajar UPSI dan warga SMK Banggi. |
Oleh
HENRY BATING
PEMANTAPAN
Kemahiran Insaniah melalui perkongsian ilmu dengan murid-murid SMK Banggi,
Kudat telah memberi pengetahuan dan pengalaman serampang dua mata kepada sekumpulan
11 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Program
1-4 Februari itu telah memberi pengetahuan tentang penduduk berbilang etnik di
pulau Banggi di samping pengalaman nyata pelajar mengharungi kehidupan dalam
keadaan serba kekurangan bekalan air.
Program
yang diselenggarakan Program Pengajian Minor Bahasa Kadazandusun UPSI itu telah
melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan murid-murid sekolah dan penduduk
kampung.
BERGAMBAR kenangan antara rombongan pelajar UPSI dan murid-murid SMK Banggi. |
Pengetua
SMK Banggi, Mohd Khuraini Khuzaimah dalam ucapannya amat berbesar hati menerima
kehadiran kali kedua rombongan UPSI yang mana kalangan pelajar yang menyertai rombongan
itu berasal dari pelbagai daerah di Sabah.
“Kami
berharap program yang dikhususkan untuk para pelajar Tingkatan Tiga yang akan
menduduki PT3 ini mampu merangsang lonjakan pencapaian pelajar untuk terus
memperbaiki prestasi,” katanya.
Mohd
Khuraini berpesan kepada para peserta dari SMK Banggi agar mengambil peluang
daripada program itu untuk menimba seberapa banyak ilmu yang mana menurutnya,
kejayaan dicapai hasil usaha, komitmen, doa dan tawakal.
Rombongan
pelajar itu diiringi pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Minah
Sintian. Kali pertama rombongan dari UPSI melaksanakan program di SMK Banggi pada
2015.
ROMBONGAN pelajar UPSI di jeti Karakit, Banggi. |
Dalam
program tahun ini, rombongan berkenaan melaksanakan beberapa sesi melibatkan
motivasi, pemantapan kemahiran insaniah, slot pembelajaran abad ke-21, memupuk
semangat belajar berkumpulan dalam kalangan murid dan memberi pendedahan awal
kepada kalangan mahasiswa mengenai pola hidup bertugas di luar bandar.
Jurucakap
rombongan pelajar UPSI, Ellysia Richard memaklumkan bahawa kalangan anggota
rombongan berasal dari beberapa daerah seperti Papar, Ranau, Kota Belud, Kota
Marudu, Keningau dan Kudat.
Sesampai
di Kudat, rombongan menempuh perjalanan kira-kira sejam setengah ke jeti
Karakit, Banggi menaiki bot ekspress dengan tiket berharga RM20 seorang. Setiba
di Karakit pada jam 4.30 petang, rombongan disambut Penolong Kanan
(Pentadbiran) SMK Banggi, Killy Otahlaid.
MENIKMATI perjalanan menaiki bot ekspress antara Kudat-Banggi. |
“Program
yang dijalankan mendapat sambutan baik dari semua bukan sahaja dari kalangan
murid tetapi juga dari kalangan guru-guru yang bersedia memberi kerjasama yang
sangat baik,” kata Ellysia.
Hari
ketiga di Banggi, rombongan pelajar UPSI melawat perkampungan di Limbuak Darat
di mana pelajar berkesempatan menatap dan memerhati di depan mata rumah warisan
Dusun Bonggi.
“Interaksi
dengan masyarakat telah memperkenalkan rombongan kepada pelbagai etnik
melibatkan Dusun Bonggi, Bajau, Molbog dan Kagayan,” kata Minah.
Menyentuh
pengalaman tinggal di Banggi, Siti Wadinih Saili melahirkan rasa syukur kerana
meskipun kekurangan air bersih dengan terputusnya bekalan air namun setiap
aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar tanpa masalah.
SEBAHAGIAN pelajar SMK Banggi sedang mengikuti salah satu slot motivasi. |
“Hidup
di Banggi memberi pengalaman hidup kepada mahasiswa untuk lebih menghargai
sumber air dengan lebih beringat dan berjimat melalui amalan hidup seorang
sebuah baldi,” katanya.
Jenne
Maradius menyifatkan pengalamannya melaksanakan program di SMK Banggi telah
memberi keyakinan untuk mengghadapi kehidupan yang lebih nyata sebagai seorang
guru.
KHAIRUNI menyampaikan cenderamata kepada Minah (kanan). |
“Meski
berada di kawasan jauh terpencil di pulau namun keseronokan hidup tetap
dirasai,” katanya.
Kelly
Robert menyatakan pengalaman di Banggi telah memberi kesempatan kepadanya untuk
melihat keadaan sebenar kehidupan pelajar asrama yang tetap sabar dan
bersemangat untuk berusaha meski kekurangan kemudahan asas.
No comments:
Post a Comment