Saturday 24 December 2016

Karnival UPSI perkenal hidangan etnik Sabah

Karnival UPSI berjaya perkenal hidangan tradisi etnik Sabah
JUALAN makanan tradisi Sabah sedang berlangsung.
Oleh HENRY BATING
KARNIVAL Budaya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak 20 Disember lalu berjaya memperkenalkan hidangan tradisi etnik Sabah di samping mengimplementasi pembelajaran mahasiswa berasaskan projek di luar bilik kuliah.
Kira-kira 200 warga kampus mengunjungi karnival itu untuk mengikuti sesi penyampaian informasi, menyaksikan persembahan tradisi etnik Sabah dan membeli pelbagai jenis hidangan tradisi berbilang etnik Sabah.
Antara hidangan yang berjaya menggamit belian di kalangan pengunjung ialah Lada tuhau, Lada Putih  campur Tuhau, Jantung Pisang campur Ikan masin, Pucuk ubi campur Ikan masin, Hinava, Jeruk Bambangan, Nasi linopot, Bosou dan Perisa minuman bercampur gula.
ANTARA hidangan yang dijual di karnival makanan tradisi UPSI Tg Malim, Perak.

Pensyarah Kanan Pengajian Minor Bahasa Kadazandusun UPSI, Dr Rosliah Kiting memberitahu, program itu dijalankan untuk membolehkan pelajar mempelopori ilmu melalui penerokaan yang berorientasikan dunia sebenar.
“Program ini menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi dengan menerapkan komunikasi interpersonal dan intrapersonal dalam semangat berpasukan bagi melaksanakan program,” kata Rosliah.
Turut hadir pensyarah pengajian minor bahasa Iban, Dr Patricia Ganing yang menyifatkan program itu amat berjaya dalam memperkenalkan warisan tradisi kepada generasi muda termasuk masyarakat umum di negara ini.
“Hidangan yang disajikan amat mengagumkan di mana kalangan pelajar secara berpasukan menghimpunkan pelbagai elemen hidangan tradisi sehingga mampu dipersembahkan dalam bentuk karnival,” katanya.

PESERTA karnival makanan tradisi etnik Sabah sedang merekodkan kehadiran.

Karnival yang telah diadakan di Bitarasiswa itu dianjurkan pelajar kursus minor sejarah perkembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Kadazandusun dengan kerjasama exco kesenian dan kebudayaan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (Iksas) serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Pengarah program, Fendila Lazarus memaklumkan bahawa program itu dijalankan bertujuan untuk mewujudkan suasana ala Sabah di rantau Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting bagi kami selaku pelajar ialah pengalaman mengendalikan karnival itu di bawah bimbingan pensyarah dengan harapan lebih banyak karnival seperti ini dapat kami kendalikan pada masa hadapan,” katanya.

DARI kanan Dr Patricia dan Dr Rosliah ketika menikmati hidangan tradisi Sabah.

Sementara itu, Chornnel George yang menduduki kerusi Majlis Perwakilan Perlajar Etnik Sabah menyifatkan karnival itu berjaya menjadi medium untuk kalangan pelajar lebih memahami, menerima dan menghargai makanan tradisi suku kaum pelbagai etnik di negara ini.
Ahli jawatankuasa hidangan karnival, Erna Zuryena memberi perkongsian bahawa program itu berjaya merangsang keinginan mereka untuk mempelajari cara memasak hidangan tradisi di samping mencungkil bakat pelajar yang memang sudah sedia memiliki kebolehan memasak.

SEBAHAGIAN hadirin sedang mengikuti perkongsian informasi makanan tradisi etnik Sabah.

Turut serta dalam karnival itu ialah Pensyarah Bahasa Kadazandusun, Minah Sintian dan Yang Dipertua Iksas, Liew Tsun Hiung.
Suatu yang agak menggembirakan penganjur ialah kemampuan karnival itu menghasilkan impak yang maksimum di kalangan pelajar UPSI dengan modal biaya kewangan yang minimum.
KUMPULAN penari tarian tradisi Rungus.



Thursday 22 December 2016

Kongsi pendekatan ajar bahasa Kadazandusun Tadika

Tadika Hasanah, Tadika Ceria Tiong Monggis jalin pendekatan pengajaran bahasa Kadazandusun

LINAH (bertopi) menyampaikan cenderamata kepada Crispaniella di Tadika Ceria Tiong Monggis, Tenghilan. 
Oleh HENRY BATING
TENGHILAN: Kelab Bahasa Dusun Tadika Hasanah Ranau mengadakan kunjungan ke atas Tadika Ceria Tiong Monggis di sini baru-baru ini untuk membuat jalinan muhibah mengenai pengembangan pengajaran bahasa Kadazandusun peringkat pra-sekolah berumur 4-6 tahun.
Pengerusi Kelab Bahasa Dusun Tadika Hasanah, Linah Bagu berkata kunjungan itu penting ke arah perkongsian pengalam dan pendekatan pengajaran dalam dua daerah berbeza tetapi memiliki tujuan yang sama dalam memperkembangkan bahasa ibunda.
“Kedua-dua tadika di Ranau dan Tenghilan ini memiliki persamaan dalam usaha memekarkan pewarisan bahasa ibunda berasaskan dialek Bundu dan Liwan yang menjadi asas pemiawaian bahasa Kadazandusun di sekolah rendah dan menengah di Malaysia,” kata Linah.
Linah yang juga Pensyarah Kanan Pengajian Pendidikan Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran diiringi ahli jawatankuasa tertinggi kelab itu seperti Sitiamah Sahat, Witer Gunik, Lily Bogu dan Sherly Bagu.
Rombongan dari Ranau itu disambut Guru Besar Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, Zandi Crispaniella dengan memberikan taklimat mengenai kewujudan tadika itu bermula 2008 diusahakan badan bukan kerajaan dengan dukungan dana dari Korea Selatan.
Tadika itu kemudian diserahkan pengurusannya kepada Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan sehingga kini pusat pendidikan pra-sekolah berbahasa pengantar Kadazandusun itu sudah mengasuh lebih 100 kanak-kanak sebelum memasuki sekolah rendah.
Crispaniella menyatakan rasa haru dan terima kasih di atas kunjungan itu dan berharap pihaknya dapat melakukan lawatan balas ke Tadika Hasanah Ranau pada masa akan datang.
Sementara itu Linah memaklumkan pembelajaran bahasa Dusun di Tadika Hasanah Ranau siap dimulakan 2017 setelah program itu dilancarkan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam 13 November lalu.


Wednesday 14 December 2016

Ke Arah Festival Penyair Etnik Sabah Antarabangsa

Pulara 7 rangsang anjur Festival Penyair Etnik Sabah Antarabangsa

PELAJAR pengajian minor Kadazandusun UPSI dalam satu kembara laut.

Siri II
Oleh HENRY BATING

FESTIVAL Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Ke-7 (Pulara Pangkor 7) di Pulau Pangkor, Perak 8-11 Disember lalu telah memperkenalkan Pulau Pangkor sebagai pulau seni, sastera dan budaya.
Namun bagi delegasi 22 peserta Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), pertemuan seni, sastera dan budaya itu telah memberikan pengalaman dan pengetahuan untuk menawarkan program seumpama itu di Negeri di Bawah Bayu.
“Sabah memiliki pakej lengkap untuk menjadi tuan rumah kepada program seumpama itu untuk ditawarkan kepada para peserta yang datang dari pelbagai negara”.
Demikian antara lain rangkuman pengalaman delegasi Momogunsia terdiri daripada Dr Rosliah Kiting (Naib Presiden), Kathirina Susana Tati (Setiausaha Agung), Haini Karno (Ketua Biro Pedalaman) dan Ony Latifah dengan membayangkan Festival Penyair Etnik Antarabangsa boleh dijalankan dengan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah.

ALOYINDRA penyair Momogunsia yang tinggal di Puchong, Selangor bertemu Haini dan Kathirina.

Setelah memasuki tahun ketujuh penganjuran, Pulara 2016 mendapat pengiktirafan Kongres Penyair Sedunia sebagai pertemuan antarabangsa yang penting dengan kehadiran kira-kira 400 penyair, sasterawan dan budayawan dari 25 buah negara.
Delegasi Momogunsia berkongsi keyakinan dengan penganjur Pulara 7 bahawa berpuisi mampu mengharmonikan masyarakat yang pada masa kini memandang remeh tentang nilai silaturahim dan hormat-menghormati.
Manakala 18 pelajar program pengajian minor bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak memberikan kesan positif yang pelbagai tentang keindahan dan keunikan Pulara 7.
Florina Jumil, pelajar Master Pendidikan Bahasa Kadazandusun menyifatkan penyertaannya ke Pulara 7 telah mendorong azam untuk lebih mengetengahkan puisi dan lagu rakyat etnik Sabah seperti kiaton, tudodoi, sudawil, tarian dan bahasa.

DR ROSLIAH (tengah) bersama rombongan pelajar UPSI di jeti Pangkor.

“Saya terpegun dengan kesungguhan para peserta pelbagai negara mempersembahkan puisi dan lagu rakyat etnik masing-masing seperti dari Thailand, Mongolia, Jepun, China, Palestin, Eropah dan Amerika Latin,” kata Florina.
Florina menambah, setiap pembentangan dan persembahan sungguh memukau mata dan menggamit hati serta memperluas pengalaman untuk menjadi penggiat kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan warisan.
Ellysia Richard mengakui Pulara 7 telah memberi kesedaran tentang pentingnya mendahulukan bahasa sendiri dalam komunikasi sesama dan iltijam itu boleh direalisasikan dengan memasyarakatkan kesusasteraan di kalangan masyarakat tutur.
Alexander Joanes menyifatkan penyertaan di Pulara 7 telah memberikan mereka sudut pandang pertama mengenai kedudukan bahasa dan sastera di negara ini dalam konteks ketamadunan karya pelbagai negara termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
PENYAIR Momogunsia bersama penyair dari India.

“Paling penting adalah kesempatan bertemu kalangan penyair tersohor dan memetik pengetahuan mencipta puisi. Saya ingin melihat wujudnya festival seumpama Pulara 7 untuk kalangan etnik di Sabah,” kata Alexander.
Tracy Valerian teruja berkesempatan duduk semeja dengan kalangan sasterawan Malaysia dan Singapura.
“Kami sempat bercerita mengenai pengalaman mereka dalam bidang sastera yang memberi kami kesedaran tentang kepentingan menjaga dan mengekalkan bahasa sendiri. Ini juga mendorong saya untuk mengambil peranan aktif melestarikan serta memekarkan bahasa dan warisan bangsa sendiri,” katanya.

REKREASI pantai Pulau Pangkor sebahagian pelajar UPSI.

Feria Sulip Felix amat terkesan dengan festival makanan warisan yang mana di Sabah sendiri memiliki kekayaan variasi yang wajar diketengahkan sepanjang masa.
“Festival makanan bukan sekadar dapat mempromosi tradisi warisan tetapi juga dapat mengumpulkan masyarakat dalam suasana harmoni,” kata Feria.
Ana Fiuna Dansun menyatakan penampilan peserta dari pelbagai negara telah memberikan kesan di mata dan rasa di hati betapa para penyair dari China, Indonesia, Jepun dan lain-lain memiliki kebolehan tersendiri mendeklamasikan puisi mereka.
“Keunikan mereka merangsang kami menghayati persembahan yang kami bawa seperti tarian kontemporari dan hiis (Sonsomido) sesama rakan pelajar di UPSI, pensyarah dan guru-guru dari Sabah,” kata Ana.

SEMINAR turut diadakan kepada para delegasi dari pelbagai negara.

Menurut Ana, kunjungan mereka ke Pulara 7 memberi kesempatan melawat pelbagai tarikan di Pulau Pangkor yang juga memiliki ciri-ciri keindahan alam semulajadi di Sabah.
“Jika boleh saya mahu melihat dan menyertai lebih kerap pelbagai program berkaitan puisi dan lagu rakyat Kadazandusun,” kata Ana.
Gilbert Pilus memberi perkongsian bahawa Pulara 7 telah memberi kesedaran tentang letaknya tahap yang dimiliki warisan etnik Sabah seperti bahasa, sastera dan kesenian Kadazandusun.
“Kesedaran itu perlu agar lebih banyak elemen dapat diolah dalam pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Melida Simon menyatakan Pulara 7 telah memberi kesedaran mengenai kepentingan memekarkan puisi tradisonal dan lagu rakyat.
“Puisi dan lagu rakyat tradisional dapat mencerminkan identiti sesuatu budaya. Selain itu, ilmu yang diperoleh adalah penting untuk mempelajari dan menghayati keindahan bahasa dan sastera,” katanya.
Melida menyatakan Pulara 7 berjaya merangsang tekad mereka untuk lebih mendalami bahasa ibunda dan memperkenalkannya kepada masyarakat luar.
“Saya berharap program seperti Pulara 7 dapat diadakan di Sabah untuk memberi ruang kepada generasi muda mengenali warisan etnik sendiri di samping memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah berjasa memartabatkan bahasa Kadazandusun,” katanya.

PELAJAR UPSI dalam suasana santai di satu sudut Pulau Pangkor.




Tuesday 13 December 2016

Momogunsia sasar anjur Festival Penyair Etnik Antarabangsa

Momogunsia pelajari pelaksanaan festival antarabangsa Pulara Pangkor 7

SRIKANDI Momogunsia dari kanan, Haini, Kathirina, Ony dan Dr Rosliah.
MENGUNJUNGI Karnival Makanan Warisan.


Siri I
Oleh HENRY BATING

DUA pertemuan penyair antarabangsa yang disertai Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) hujung 2016 ini telah memberi keyakinan betapa penonjolan warna dan kearifan etnik dalam pengkaryaan memiliki sifat universal untuk memperluas khalayak seni sastera dan budaya di Sabah.
Pertemuan Sasterawan dan Budayawan Asean di Yogyakarta 20 November lalu dan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-7 (Pulara Pangkor 7) di Pulau Pangkor 8-11 Disember telah mengangkat nilai-nilai etnik sejagat sebagai tema.
Pertemuan di Yogyakarta yang mengambil tema ‘Warna Lokal dan Kearifan Setempat’ serta tema Pulara ‘Puisi Mengharmoni’ secara kebetulan memiliki ciri yang mirip dengan Semarak Puisi Etnik dan Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES16) di Matunggong 22 Oktober lalu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Momogunsia.
Rombongan Momogunsia yang menyertai dua pertemuan tersebut tidak syak lagi telah menerima suntikan khusus dari interaksi mereka dengan penyair pelbagai negara dan pelbagai etnik.
Hasil interaksi dengan pengalaman memerhatikan corak pelaksanaan festival bertaraf Asean dan antarabangsa itu telah menggerakkan cetusan hati nurani untuk menjawab satu kemungkinan, ‘akankah suatu hari nanti pertemuan penyair etnik antarabangsa dapat diadakan di Sabah?’

MENTERI Besar, Dr Zambry (tengah) bersama rombongan Momogunsia dan pelajar UPSI.

Rombongan Momogunsia ke Pulara Pangkor 7 terdiri daripada Kathirina Susana Tati, Dr Rosliah Kiting, Ony Latifah, Haini Karno dan 18 pelajar pengajian minor bahasa Kadazandusun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Turut mengalu-alukan rombongan Momogunsia ialah Aloy Indra, penulis produktif Momogunsia yang berpusat di Puchong, Selangor.
Pulara Pangkor 7 dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor. Sementara acara malam kemuncak dihadiri DYMM Sultan Dr Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan Ke-35.

SRIKANDI Momogunsia dari kanan, Haini, Kathirina, Ony dan Dr Rosliah.

Pulara Pangkor 7 yang dianjurkan Yayasan Kampung Karyawan Malim dimulakan 2010 dan terbaru disertai penyair, sasterawan dan budayawan dari 25 negara antara lain Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Argentina, Turki, China, Mongolia, India dan negara-negara Eropah.
Pulara Pangkor 7 yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Pelancongan negeri turut sama mengadakan 13 segmen meliputi Hadiah Karya Darul Ridzuan, pameran, pementasan, seminar, bicara karya dan pesta buku.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Pulara, Mohd. Ghazali Abdul Rashid yang juga penerima SEA Write Award.
Kathirina yang juga Setiausaha Agung Momogunsia berkongsi cerita, perjalanan mereka menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Jeti Lumut, Perak mengambil masa kira-kira empat jam. Manakala pelayaran menaiki feri Lumut – Sungai Pinang – Pangkor mengambil masa kira-kira 45 minit.
ROMBONGAN pelajar UPSI dalam satu rekreasi di pantai.

“Kalangan delegasi mendaftarkan diri di Jeti Lumut dan memulakan sesi dengan minum petang di kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Begitupun, ramai juga kalangan delegasi yang tidak sabar untuk terus ke Pangkor dengan melewati sesi pertama yang disediakan,” kata Kathirina.
Acara malam dimulakan dengan Penyampaian Hadiah Karya Darul Ridzuan Ke-5 di dewan SMK Pangkor, Pasir Bogak. Dewan ketika itu dipenuhi lebih 300 Delegasi dari pelbagai negara.
Menurut Kathirina, festival itu mempopularkan seni sastera dan budaya para sasterawan, aktivis seni, remaja di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, para peminat seni dan masyarakat umum.
TAMPIL untuk mempersembah lagu rakyat etnik Sabah di Pulara Pangkor 7.

Festival itu menjadi salah satu produk pelancongan kerana rombongan delegasi dibawa mengelilingi dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan pusat peranginan yang ada di Pulau Pangkor.
“Impak Pulara Pangkor 7 sangat jelas di mana pusat-pusat penginapan, hotel dan resort dipenuhi pelancong dari luar melebihi pengunjung dalam negara, malahan ramai delegasi merungut tidak mendapat hotel yang lebih baik,” kata Kathirina yang juga pengurus eksekutif perhotelan.
Kathirina menambah, bagi pihak Momogunsia, festival itu telah memberi pengetahuan tentang penyelenggaraan program bertaraf antarabangsa dengan menjadikan kekuatan dan kelemahan yang berlaku sebagai pengetahuan.
Sempena festival itu, Dr Rosliah yang juga Naib Presiden Momogunsia turut diwawancara pemberita tv selepas bersama rombongan membuat persembahan tarian dan lagu etnik Kadazandusun.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pencinta dan penggiat puisi untuk mempelajari puisi merentasi benua melalui pembentangan kertas kerja, pementasan puisi serta penjualan buku daripada penulis-penulis terkenal dengan diskaun yang sangat menarik,” kata Dr Rosliah yang juga Pensyarah Kanan, UPSI.
Menurut Dr Rosliah, festival itu memberi ruang untuk menjalin hubungan dengan para delegasi pelbagai negara untuk mengantarabangsakan sastera etnik yang diperjuangkan Momogunsia.
“Pengalaman menyertai aktiviti yang begitu padat dapat dijadikan panduan untuk melaksanakan program bertaraf dunia. Pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak terhadap buah pena pengkarya wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia untuk mendorong para penulis menghasilkan karya bermutu, berideologi dan bernilai pendidikan sesuai dengan zaman terkini,” katanya lagi.
Siri berikut akan memaparkan tentang perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan pelajar UPSI di Pulara 7 Pangkor.

MENTERI Besar Dr Zambry (kiri) memerhati tag nama Kathirina.




Monday 5 December 2016

Guna wang sendiri baiki jalan Kukuton - Wasai


Penduduk baiki jalan Kukuton – Wasai guna kutipan wang sendiri

FEDELIS JUSOP

Oleh HENRY BATING
TENOM: Penduduk di Kampung Pamilaan kira-kira 25km dari sini kelmarin mengambil inisiatif sendiri mengutip wang untuk membayar khidmat jengkaut memperbaiki Jalan Kukuton – Wasai yang terbiar tanpa penyelenggaraan sejak kira-kira dua tahun lalu.
Seorang penduduk, Fedelis Jusop Kongor ketika menghubungi akhbar ini memberitahu jalan di Ulu Pamilaan yang menghala sempadan hutan simpan Taman-Taman Sabah itu penting untuk mereka berulang-alik ke kebun getah setiap hari di samping mengeluarkan hasil tanaman lain.
“Mulanya kami mengharapkan tindakan jabatan tertentu untuk menyelenggara jalan ini tapi setelah menerima persetujuan dari penduduk berkaitan, kami mengambil langkah mengumpulkan wang untuk membayar khidmat jengkaut memperbaiki jalan itu,” kata Fedelis yang juga Rakan Keningau FM.
Jalan tersebut berjarak kira-kira dua kilometer yang turut menjadi laluan ke tempat rekreasi air terjun wasai yang selama ini telah menjadi destinasi kepada penduduk setempat dan ramai pengunjung dari luar.

JENGKAUT sedang menyelenggara Jalan Kukuton – Wasai.


Langkah penduduk memperbaiki jalan itu turut diketahui Pengerusi JKKK Kg Pamilaan Ulu, Clarence Elip dan pihaknya mengucapkan tahniah atas kesedaran penduduk terlibat untuk mengambil inisiatif.
Dalam siara akhbar ini 6 Julai lalu, Fedelis menyatakan tempat berkenaan memerlukan akses jalan yang terselenggara untuk memenuhi keperluan pekebuan di samping menjadikan lokasi air terjuan di sana sebagai destinasi kembara dan rekreasi yang selesa.
Jalan Kukuton – Wasai mula dibina kerajaan sejak kira-kira 20 tahun lalu dan pada 2014 jabatan berkaitan telah menaik taraf jalan itu dengan melaksanakan penurapan simen hampir sekilometer.
"Namun jarak jalan yang sudah disimen itupun kini dilitupi rumput-rumpai di sebelah-menyebelah jalan," katanya.
Fedelis menjelaskan terdapat usaha penduduk khususnya kalangan belia bergotong-royong menyelenggara laluan itu setiap kali ada rombongan pelawat datang, namun usaha sedemikian tetap memerlukan perhatian kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang baik.
Tinjauan akhbar ini menunjukkan alam semulajadi kawasan itu yang agak terpelihara mampu menarik kedatangan ramai pengunjung jika jalan masuk terselenggara dengan baik kerana turut berada dalam liputan jaringan internet.

 JALAN Kukuton – Wasai hanya mampu dilalui pejalan kaki.

Keratan akhbar Utusan Borneo 7 Julai 2016 mengenai Jalan Kukuton - Wasai
FEDELIS JUSOP




Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...