Saturday 24 December 2016

Karnival UPSI perkenal hidangan etnik Sabah

Karnival UPSI berjaya perkenal hidangan tradisi etnik Sabah
JUALAN makanan tradisi Sabah sedang berlangsung.
Oleh HENRY BATING
KARNIVAL Budaya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak 20 Disember lalu berjaya memperkenalkan hidangan tradisi etnik Sabah di samping mengimplementasi pembelajaran mahasiswa berasaskan projek di luar bilik kuliah.
Kira-kira 200 warga kampus mengunjungi karnival itu untuk mengikuti sesi penyampaian informasi, menyaksikan persembahan tradisi etnik Sabah dan membeli pelbagai jenis hidangan tradisi berbilang etnik Sabah.
Antara hidangan yang berjaya menggamit belian di kalangan pengunjung ialah Lada tuhau, Lada Putih  campur Tuhau, Jantung Pisang campur Ikan masin, Pucuk ubi campur Ikan masin, Hinava, Jeruk Bambangan, Nasi linopot, Bosou dan Perisa minuman bercampur gula.
ANTARA hidangan yang dijual di karnival makanan tradisi UPSI Tg Malim, Perak.

Pensyarah Kanan Pengajian Minor Bahasa Kadazandusun UPSI, Dr Rosliah Kiting memberitahu, program itu dijalankan untuk membolehkan pelajar mempelopori ilmu melalui penerokaan yang berorientasikan dunia sebenar.
“Program ini menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi dengan menerapkan komunikasi interpersonal dan intrapersonal dalam semangat berpasukan bagi melaksanakan program,” kata Rosliah.
Turut hadir pensyarah pengajian minor bahasa Iban, Dr Patricia Ganing yang menyifatkan program itu amat berjaya dalam memperkenalkan warisan tradisi kepada generasi muda termasuk masyarakat umum di negara ini.
“Hidangan yang disajikan amat mengagumkan di mana kalangan pelajar secara berpasukan menghimpunkan pelbagai elemen hidangan tradisi sehingga mampu dipersembahkan dalam bentuk karnival,” katanya.

PESERTA karnival makanan tradisi etnik Sabah sedang merekodkan kehadiran.

Karnival yang telah diadakan di Bitarasiswa itu dianjurkan pelajar kursus minor sejarah perkembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Kadazandusun dengan kerjasama exco kesenian dan kebudayaan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (Iksas) serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Pengarah program, Fendila Lazarus memaklumkan bahawa program itu dijalankan bertujuan untuk mewujudkan suasana ala Sabah di rantau Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting bagi kami selaku pelajar ialah pengalaman mengendalikan karnival itu di bawah bimbingan pensyarah dengan harapan lebih banyak karnival seperti ini dapat kami kendalikan pada masa hadapan,” katanya.

DARI kanan Dr Patricia dan Dr Rosliah ketika menikmati hidangan tradisi Sabah.

Sementara itu, Chornnel George yang menduduki kerusi Majlis Perwakilan Perlajar Etnik Sabah menyifatkan karnival itu berjaya menjadi medium untuk kalangan pelajar lebih memahami, menerima dan menghargai makanan tradisi suku kaum pelbagai etnik di negara ini.
Ahli jawatankuasa hidangan karnival, Erna Zuryena memberi perkongsian bahawa program itu berjaya merangsang keinginan mereka untuk mempelajari cara memasak hidangan tradisi di samping mencungkil bakat pelajar yang memang sudah sedia memiliki kebolehan memasak.

SEBAHAGIAN hadirin sedang mengikuti perkongsian informasi makanan tradisi etnik Sabah.

Turut serta dalam karnival itu ialah Pensyarah Bahasa Kadazandusun, Minah Sintian dan Yang Dipertua Iksas, Liew Tsun Hiung.
Suatu yang agak menggembirakan penganjur ialah kemampuan karnival itu menghasilkan impak yang maksimum di kalangan pelajar UPSI dengan modal biaya kewangan yang minimum.
KUMPULAN penari tarian tradisi Rungus.



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...