Showing posts with label Kesenian. Show all posts
Showing posts with label Kesenian. Show all posts

Wednesday, 20 March 2019

KMG hulur simpati mendiang Eddie


Badan seni muzik KMG hulur simpati kepada keluarga mendiang Eddie


Oleh HENRY BATING
KENINGAU (20/3/19) - Demi menghargai legasi seni muzik tempatan yang ditinggalkan mendiang Junaidie @ Eddie Sumil, Keningau Music Group (KMG) turut menghulurkan simpati kepada keluarga yang ditinggalkan.

Timbalan Pengerusi KMG Aldrin Linus berkata program ziarah kasih merupakan salah satu aktiviti kumpulan berkenaan sejak ditubuhkan lima tahun lepas.

“Huluran simpati menjadi sebahagian kewajiban dalam misi KMG mengumpulkan kalangan penggiat muzik dan hiburan di kawasan pedalaman,” kata Aldrin sambil menambah badan itu dianggotai ahli-ahli dari Keningau, Tambunan, Tenom dan Sook.

ALDRIN (tengah) dan kru ketika mengunjungi keluarga mendiang Eddie.

Kru KMG mengunjungi keluarga mendiang di Kg Sungoi Apin-Apin pada Selasa.

Eddie, 53, mengidap darah tinggi dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Keningau pada Ahad merupakan pemuzik, penyanyi dan pencipta lagu Dusun Murut yang gah di persada era 1990-an.

“Bakat dan pengabdian Eddie dalam bidang muzik telah menginspirasikan ramai bakat baru yang berkemahiran dan berjaya dalam dunia hiburan di kawasan Keningau,” kata Aldrin.

KMG pimpinan Gerald Able merupakan antara kumpulan yang sempat memperoleh inspirasi Eddie dan kini menjadi badan aktif di kawasan pedalaman dengan kejayaan terindah menganjurkan Sabah Bass Camp peringkat negeri 2016.

Selama hayat seninya, buah karya Eddie seperti ‘Pangkiat Ku Noro’, ‘Nangkubayawaan’, ‘Sumandak Lesung Pipit’ dan ‘Joget Milang-Bilang’ menjadi dendangan para pendengar ramai.

Selaku pemain gitar dan pemimpin band era 1986-96, Eddie pernah mewakili Sabah dalam pertandingan akhir Gema Warisan anjuran RTM peringkat kebangsaan.

Di samping itu, Eddie yang memiliki sijil muzik kelas pertama pernah terikat dengan kontrak band pengiring ‘fun fair’ yang bergerak di seluruh Sabah pada ketika itu.




Thursday, 26 January 2017

Festival Budaya Dayak Borneo 2015 serlah kelibat Momogunsia

Pertemuan budaya etnik Sabah dan tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan perkukuh kearifan lokal
 
MEMORANDUN persefahaman antara Momogunsia dengan Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah diwakili Ibu Andriani dan Pak Kusni.
Oleh HENRY BATING
Foto Gazali Suhaili
Siri II (Akhir)

LAWATAN pertama Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) ke luar negara 5-8 Ogos 2015 telah membuahkan hasil di luar jangkaan. Pemilihan negara tetangga sedaratan sepulau Borneo (Kalimantan) itu telah mempertemukan dua budaya berakar sama yang terpisah.
Jika Momogunsia mahu mendalami kearifan warisan tradisinya, maka badan penulis itu boleh belajar banyak di Kalimantan khususnya di Palangka Raya, ibukota Kalimantan Tengah, Republik Indonesia. Jika Momogunsia mahu memperkasakan realiti warisan tradisinya dalam karya-karya yang dihasilkan, maka anggota-anggota badan penulis itu boleh merujuk banyak penerbitan di Kalimantan Tengah itu.
Di Palangka Raya terbit buku ‘Budaya Dayak: Permasalahan dan Alternatifnya’ karya Dr Kusni Sulang dan rakan-rakan. Pak Kusni yang sekarang menjadi Ketua Lembaga Kebudayaan Dayak Kalimantan Tengah merupakan kolumnis Koran ‘Radar Sampit’ dan baru balik beberapa tahun yang lalu daripada berkelana di Kota Paris, Perancis.
Selain pendidikan formal di Universitas Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, New South Wales, Sydney dan Akademi Militer di Vietnam, Pak Kusni juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Paris. Di Paris, Pak Kusni bukan sekadar menjadi pensyarah di beberapa buah universiti tetapi juga telah mengusahakan Sekolah Bahasa dan Budaya Indonesia.
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo 2015 di Palangka Raya.
Mantan Gubernur Kalimantan Tengah, Agustin Teras Nerang, S.H. dalam pengenalannya pada buku Budaya Dayak itu menyatakan slogan yang hampir sama dengan slogan yang selalu digunakan pelbagai etnik yang ada di Sabah. Slogannya ialah ‘Mari kita bersepakat untuk bersama-sama menyejahterakan dan mengangkat harkat serta martabat masyarakat adat Dayak. Kalau bukan sekarang, kapan lagi, dan kalau bukan kita, siapa lagi?’.
Di Palangka Raya itu juga terdapat ahli akademik yang begitu tekun menebarkan ilmu mengenai budaya Dayak dan pemecahan terhadap beberapa permasalahan yang dihadapi etnik itu dalam menghadapi arus perdana bangsa Indonesia dan pelaburan dari luar.
“Di Kalimantan Tengah ini arus investasi (pelaburan) sangat tinggi tapi juga kadar kerosakan alamnya sangat tinggi,” tegas Dr Sidik Usop dari Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
PEMUDA Dayak Kalimantan.
Menurut Pak Sidik, kehadiran pelaburan yang begitu besar khususnya dalam sektor perladangan dan perlombongan arang batu tidak bisa ditolak, namun upaya menjaga lingkungan harus ditangani mengikut kaedah-kaedah yang diterima masyarakat berdasarkan nilai-nilai tradisi mereka.
Pak Sidik seterusnya menghuraikan pelbagai elemen tradisi masyarakat Dayak antaranya ‘Petak Danum’ yang boleh diguna pakai untuk menjaga persekitaran agar tidak merugikan kehidupan warga masyarakat di sesuatu tempat.
AKSI kepahlawanan Dayak Kalimantan dalam upacara sambut tamu.
Teori itu amat berkesan mengisi minda rombongan Momogunsia yang terdiri daripada Henry Bating, Raymond Majumah, Kathirina Susanna Tati, Sofie Clara, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Pelaburan sektor perladangan dan perlombongan di Kalimantan Tengah agak rancak membangun sehingga wujudnya pelaburan berkaitan Malaysia. Sebuah perlombongan arang batu di kawasan Kabupaten Barito, dapat ditemui orang berasal dari Tuaran, Sabah bernama Sumin Bagou yang menjadi pengurus syarikat berkenaan. Lokasi perlombongan di Barito itu agak lumayan jauhnya sehingga menjangkau perjalanan kenderaan pacuan empat roda hampir 10 jam.
BERTUKAR informasi dengan pengerusi pengajur, Pak Yansen (tengah) dan Ibu Erika Siluq, ketua delegasi Kalimantan Timur.
Bapak Marthin Ludjen, timbalan pengerusi Dewan Adat Dayak yang berasal dari kabupaten Barito juga ada menyatakan bahawa kawasan tanah di Kalimantan Tengah itu masih banyak ruang untuk pelaburan bagi perladangan sawit. Pak Marthin yang berketurunan Dusun Manyan itu juga mengalu-alukan syarikat yang berminat untuk mengadakan usahasama.
Memperincikan wadah masa hadapan perkongsian ilmu antara Momogunsia dan Palangka Raya, Lambaga Kebudayaan Kalimantan Tengah dan Universitas Palangka Raya menyatakan sambutan yang saling mendukung.
DIALOG bahasa, sastera dan budaya Dayak Kalimantan bersama pemudah cara Sony K Mahat dalam siaran langsung dua jam Televisi Radio Republik Indonesia.
Dari pihak lembaga kebudayaan, sekretaris jenderalnya Dra Andriani S Kusni menyatakan bahawa langkah pertama yang boleh dibuat ialah menerbitkan antologi cerpen bersama yang boleh digunakan oleh khalayak pembaca di Sabah, Malaysia dan juga Kalimantan, Indonesia.
Manakala pertemuan dengan pimpinan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar menyatakan bahawa universitas itu bersedia memberikan ruang untuk persidangan pertukaran hasil penelitian dua budaya. Di samping itu, pihak universitas juga bersedia mengadakan kerjasama menghasilkan kajian bersama mengenai bahasa dan budaya antara Sabah, Malaysia dan Kalimantan Tengah, Indonesia.
KEARIFAN lokal dalam tradisi kepahlawanan Dayak Kalimantan
Ketua Jurusan Bahasa Inggeris, Dr Arnusianto Mage yang mengendalikan jalinan kerjasama antarabangsa fakultas itu menyatakan secara kebetulan pihak Unpar mempunyai MoU dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Katanya, melalui MoU itu akan dapat memungkin kalangan penulis dari Sabah dan Palangka Raya memanfaatkan memorandum persefahaman berkenaan.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Timbalan Dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi.
 
ROMBONGAN Momogunsia berangkat dari airport Kota Kinabalu.
GAZALI bersama sekumpulan gadis Dayak Kalimantan.


Momogunsia delegasi luar negara Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia 2015

Momogunsia hadiri Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia di Palangka Raya Kalimantan Tengah
 
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo di Palangka Raya.

Oleh HENRY BATING 

Foto Gazali Suhaili
Siri l

PALANGKA RAYA ibukota provinsi Kalimantan Tengah, Republik Indonesia dari segi geografi tidaklah berjauhan dengan tanah Sabah, Malaysia. Malahan Sarawak, Malaysia lagi dekat kerana hanya terletak bersebelahan.
Tapi kerana jalur penerbangan yang telah ditentukan di antara negara dengan negara serta antara provinsi dengan provinsi maka perjalanan menjadi jauh. Dekat dalam peta geografi tapi jauh untuk sampai, baik melalui penerbangan mahupun jalan darat.
Di kota Palangka Raya yang terletak di tengah-tengah bumi Kalimantan, rombongan Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) bertandang. Rombongan diketuai Pengerusi, Henry Bating dengan disertai Raymond Majumah (Timbalan), Kathirina Susanna Tati (Setiausaha), Sofie Clara (Bendahari) dan ahli jawatankuasa, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Badan penulis etnik Sabah itu memenuhi undangan yang telah disampaikan panitia untuk menghadiri Festival Budaya Dayak Borneo yang bersempena dengan Kongres Nasional Pemuda Dayak Pertama 2-5 Ogos 2015. Rombongan Momogunsia disambut sebagai salah satu delegasi festival dan kongres sekali gus hadir sebagai satu-satunya delegasi dari luar negara.
ROMBONGAN Momogunsia melawat kampus Unpar.
Sebelum keberangkatan ke festival dan kongres itu, badan penulis etnik Sabah ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau. Dalam kunjungan itu Madius melahirkan harapan agar Momogunsia dapat membantu usaha kerajaan menjalin kerjasama budaya serantau dengan pelbagai pihak di samping terlibat aktif membantu memperkasakan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Turut memberi sokongan terhadap keberangkatan rombongan Momogunsia ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), OKK William Majimbun dan Datuk Peter Mak yang juga Ahli Lembaga Penasihat Perbadanan Labuan.
Momogunsia memilih Kalimantan Tengah sebagai destinasi kunjungan bilateral budaya kerana di provinsi itu wujud beberapa etnik Dusun yang berkongsi sebahagian perbendaharaan kata dengan bahasa Kadazandusun.
Penerbangan pertama bermula dari Kota Kinabalu ke Jakarta dengan mengambil masa kira-kira tiga jam. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki penerbangan lain dari Jakarta ke Palangka Raya kira-kira sejam 30 minit. Perjalanan tidak dapat bersambung terus lantaran jurang waktu yang panjang sehingga melebihi 12 jam antara penerbangan pertama dengan penerbangan kedua.
BERKUNJUNG ke rumah Pak Marthin Ludjen (kanan) berketurunan Dusun Manyan Witu.
Keberadaan rombongan Momogunsia di Palangka Raya 2-4 Ogos dikendalikan secara berprotokol oleh Ketua Lembaga Kebudayaan Kalimantan Tengah, Dr Kusni Sulang dan Sektretaris Jenderal lembaga itu, Dra Andriani S. Kusni. Ketibaan di lapangan terbang Palangka Raya telah disambut dua buah kenderaan pacuan empat roda oleh panitia kongres dan festival. Rombongan terus dibawa ke Hotel Barito Sweet Shinta, penginapan yang telah disediakan pihak penganjur.
Rombongan yang tiba kira-kira jam 15.00 Waktu Indonesia Barat (WIB) mulai berhadapan jadual padat sebaik memasuki bilik hotel. Kesempatan yang sedikit petang itu telah dimanfaatkan untuk mengunjungi beberapa kedai di sekitar ibukota, dipandu oleh Roy Marthin untuk membeli keperluan penting. Sebelum balik ke hotel, rombongan sempat singgah di kediaman Bapak Marthin Ludjen, seorang pengusaha berjaya berketurunan Dusun Manyan.
HOTEL Barito Sweet Shinta Palangka Raya milik Pak Marthin tempat menginap rombongan Momogunsia
Petangnya, mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Pak Kusni. Menyusul kemudian ialah diskusi ilmiah tentang teori-teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan Tengah. Perkongsia ilmu itu telah disampaikan oleh Dr Sidik Usop, pensyarah sains sosial di Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
Menjelang tengah malam, rombongan saling mohon izin untuk masuk ke bilik hotel masing-masing dengan penegasan Pak Kusni, keesokannya semua harus sudah siap 6.30 pagi WIB. Rombongan Momogunsia bersama rombongan-rombongan lain dari pelbagai provinsi di Kalimantan bergerak menaiki bas yang disediakan.
Turut disediakan untuk rombongan Momogunsia ialah dua pengiring mahasiswa tahun akhir iaitu Elvin dan Nevi. Kedua-dua mereka adalah mahasiswa jurusan bahasa Inggeris tahun akhir di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar yang ternyata amat fasih berbahasa Inggeris.
SALAH satu lorong di Kota Palangka Raya.
Pagi itu kira-kira 1500 anggota delegasi sudah berkumpul di Palampang Tarung dengan persiapan sambutan penuh istiadat kepahlawanan, tari penuh tradisi sambut tamu dan istiadat masuk ke dalam dewan. Kira-kira jam 9.30 pagi WIB tetamu utama, Direktorat Jenderal Politik dan Pemerintahan Umum, Soedomo yang mewakili Menteri Dalam Negeri sampai.
Turut menunggu ialah Wakil Gubernur Achmad Diran, Sekretaris Daerah, Siun Jarias, Wakil Wali Kota Palangka Raya, Mofit Saptomo dan Gubernur, Sugianto Sabran yang juga Ketua Dewan Adat Kota Waringin.
Selesai upacara perasmian lewat tengahari, rombongan bergerak ke studio Televesi Radio Republik Indonesia (TVRI) Palangka Raya untuk sesi dialog bahasa, sastera dan budaya Kalimantan bagi siaran langsung selama sejam bersama pewawancara Sony K Mahat. Tamu undangan wawancara diisi oleh Henry selaku Pengerusi Momogunsia.
DR SIDIK memberi perkongsian tentang teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan.
Ketika siaran langsung ke udara, rombongan diberitahu bahawa giliran untuk sesi penyampaian pembentangan sudah sampai untuk rombongan Momogunsia. Raymond, Rosliah dan Kathirina berangkat ke dewan persidangan untuk menyempurnakan pembentangan itu.
Menjelang petang kira-kira jam 17.00 WIB, majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dijalankan antara Momogunsia dan Lembaga Kembudayaan Kalimantan Tengah. Malamnya dijadual untuk bertemu badan penulis Kota Palangka Raya tapi kerana kekangan tertentu, pertemuan tidak dapat dijalankan lalu memberi laluan kepada rombongan untuk berehat.
Hari terakhir di Palangka Raya, jam 9.00 WIB keesokan harinya, pertemuan diadakan antara Momogunsia dan dua ahli akademik FKIP Unpar. Seorang ialah timbalan dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi dan Dr Arnusianto Mage, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Bersambung Siri ll (akhir).
 
PERTEMUAN dengan ahli akademik FKIP Unpar, Prof Poerwadi dan Dr Arnus dipengerusikan Dr Kusni.




Saturday, 24 December 2016

Karnival UPSI perkenal hidangan etnik Sabah

Karnival UPSI berjaya perkenal hidangan tradisi etnik Sabah
JUALAN makanan tradisi Sabah sedang berlangsung.
Oleh HENRY BATING
KARNIVAL Budaya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak 20 Disember lalu berjaya memperkenalkan hidangan tradisi etnik Sabah di samping mengimplementasi pembelajaran mahasiswa berasaskan projek di luar bilik kuliah.
Kira-kira 200 warga kampus mengunjungi karnival itu untuk mengikuti sesi penyampaian informasi, menyaksikan persembahan tradisi etnik Sabah dan membeli pelbagai jenis hidangan tradisi berbilang etnik Sabah.
Antara hidangan yang berjaya menggamit belian di kalangan pengunjung ialah Lada tuhau, Lada Putih  campur Tuhau, Jantung Pisang campur Ikan masin, Pucuk ubi campur Ikan masin, Hinava, Jeruk Bambangan, Nasi linopot, Bosou dan Perisa minuman bercampur gula.
ANTARA hidangan yang dijual di karnival makanan tradisi UPSI Tg Malim, Perak.

Pensyarah Kanan Pengajian Minor Bahasa Kadazandusun UPSI, Dr Rosliah Kiting memberitahu, program itu dijalankan untuk membolehkan pelajar mempelopori ilmu melalui penerokaan yang berorientasikan dunia sebenar.
“Program ini menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi dengan menerapkan komunikasi interpersonal dan intrapersonal dalam semangat berpasukan bagi melaksanakan program,” kata Rosliah.
Turut hadir pensyarah pengajian minor bahasa Iban, Dr Patricia Ganing yang menyifatkan program itu amat berjaya dalam memperkenalkan warisan tradisi kepada generasi muda termasuk masyarakat umum di negara ini.
“Hidangan yang disajikan amat mengagumkan di mana kalangan pelajar secara berpasukan menghimpunkan pelbagai elemen hidangan tradisi sehingga mampu dipersembahkan dalam bentuk karnival,” katanya.

PESERTA karnival makanan tradisi etnik Sabah sedang merekodkan kehadiran.

Karnival yang telah diadakan di Bitarasiswa itu dianjurkan pelajar kursus minor sejarah perkembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Kadazandusun dengan kerjasama exco kesenian dan kebudayaan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (Iksas) serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Pengarah program, Fendila Lazarus memaklumkan bahawa program itu dijalankan bertujuan untuk mewujudkan suasana ala Sabah di rantau Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting bagi kami selaku pelajar ialah pengalaman mengendalikan karnival itu di bawah bimbingan pensyarah dengan harapan lebih banyak karnival seperti ini dapat kami kendalikan pada masa hadapan,” katanya.

DARI kanan Dr Patricia dan Dr Rosliah ketika menikmati hidangan tradisi Sabah.

Sementara itu, Chornnel George yang menduduki kerusi Majlis Perwakilan Perlajar Etnik Sabah menyifatkan karnival itu berjaya menjadi medium untuk kalangan pelajar lebih memahami, menerima dan menghargai makanan tradisi suku kaum pelbagai etnik di negara ini.
Ahli jawatankuasa hidangan karnival, Erna Zuryena memberi perkongsian bahawa program itu berjaya merangsang keinginan mereka untuk mempelajari cara memasak hidangan tradisi di samping mencungkil bakat pelajar yang memang sudah sedia memiliki kebolehan memasak.

SEBAHAGIAN hadirin sedang mengikuti perkongsian informasi makanan tradisi etnik Sabah.

Turut serta dalam karnival itu ialah Pensyarah Bahasa Kadazandusun, Minah Sintian dan Yang Dipertua Iksas, Liew Tsun Hiung.
Suatu yang agak menggembirakan penganjur ialah kemampuan karnival itu menghasilkan impak yang maksimum di kalangan pelajar UPSI dengan modal biaya kewangan yang minimum.
KUMPULAN penari tarian tradisi Rungus.



Tuesday, 13 December 2016

Momogunsia sasar anjur Festival Penyair Etnik Antarabangsa

Momogunsia pelajari pelaksanaan festival antarabangsa Pulara Pangkor 7

SRIKANDI Momogunsia dari kanan, Haini, Kathirina, Ony dan Dr Rosliah.
MENGUNJUNGI Karnival Makanan Warisan.


Siri I
Oleh HENRY BATING

DUA pertemuan penyair antarabangsa yang disertai Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) hujung 2016 ini telah memberi keyakinan betapa penonjolan warna dan kearifan etnik dalam pengkaryaan memiliki sifat universal untuk memperluas khalayak seni sastera dan budaya di Sabah.
Pertemuan Sasterawan dan Budayawan Asean di Yogyakarta 20 November lalu dan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-7 (Pulara Pangkor 7) di Pulau Pangkor 8-11 Disember telah mengangkat nilai-nilai etnik sejagat sebagai tema.
Pertemuan di Yogyakarta yang mengambil tema ‘Warna Lokal dan Kearifan Setempat’ serta tema Pulara ‘Puisi Mengharmoni’ secara kebetulan memiliki ciri yang mirip dengan Semarak Puisi Etnik dan Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES16) di Matunggong 22 Oktober lalu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Momogunsia.
Rombongan Momogunsia yang menyertai dua pertemuan tersebut tidak syak lagi telah menerima suntikan khusus dari interaksi mereka dengan penyair pelbagai negara dan pelbagai etnik.
Hasil interaksi dengan pengalaman memerhatikan corak pelaksanaan festival bertaraf Asean dan antarabangsa itu telah menggerakkan cetusan hati nurani untuk menjawab satu kemungkinan, ‘akankah suatu hari nanti pertemuan penyair etnik antarabangsa dapat diadakan di Sabah?’

MENTERI Besar, Dr Zambry (tengah) bersama rombongan Momogunsia dan pelajar UPSI.

Rombongan Momogunsia ke Pulara Pangkor 7 terdiri daripada Kathirina Susana Tati, Dr Rosliah Kiting, Ony Latifah, Haini Karno dan 18 pelajar pengajian minor bahasa Kadazandusun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Turut mengalu-alukan rombongan Momogunsia ialah Aloy Indra, penulis produktif Momogunsia yang berpusat di Puchong, Selangor.
Pulara Pangkor 7 dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor. Sementara acara malam kemuncak dihadiri DYMM Sultan Dr Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan Ke-35.

SRIKANDI Momogunsia dari kanan, Haini, Kathirina, Ony dan Dr Rosliah.

Pulara Pangkor 7 yang dianjurkan Yayasan Kampung Karyawan Malim dimulakan 2010 dan terbaru disertai penyair, sasterawan dan budayawan dari 25 negara antara lain Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Argentina, Turki, China, Mongolia, India dan negara-negara Eropah.
Pulara Pangkor 7 yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Pelancongan negeri turut sama mengadakan 13 segmen meliputi Hadiah Karya Darul Ridzuan, pameran, pementasan, seminar, bicara karya dan pesta buku.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Pulara, Mohd. Ghazali Abdul Rashid yang juga penerima SEA Write Award.
Kathirina yang juga Setiausaha Agung Momogunsia berkongsi cerita, perjalanan mereka menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Jeti Lumut, Perak mengambil masa kira-kira empat jam. Manakala pelayaran menaiki feri Lumut – Sungai Pinang – Pangkor mengambil masa kira-kira 45 minit.
ROMBONGAN pelajar UPSI dalam satu rekreasi di pantai.

“Kalangan delegasi mendaftarkan diri di Jeti Lumut dan memulakan sesi dengan minum petang di kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Begitupun, ramai juga kalangan delegasi yang tidak sabar untuk terus ke Pangkor dengan melewati sesi pertama yang disediakan,” kata Kathirina.
Acara malam dimulakan dengan Penyampaian Hadiah Karya Darul Ridzuan Ke-5 di dewan SMK Pangkor, Pasir Bogak. Dewan ketika itu dipenuhi lebih 300 Delegasi dari pelbagai negara.
Menurut Kathirina, festival itu mempopularkan seni sastera dan budaya para sasterawan, aktivis seni, remaja di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, para peminat seni dan masyarakat umum.
TAMPIL untuk mempersembah lagu rakyat etnik Sabah di Pulara Pangkor 7.

Festival itu menjadi salah satu produk pelancongan kerana rombongan delegasi dibawa mengelilingi dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan pusat peranginan yang ada di Pulau Pangkor.
“Impak Pulara Pangkor 7 sangat jelas di mana pusat-pusat penginapan, hotel dan resort dipenuhi pelancong dari luar melebihi pengunjung dalam negara, malahan ramai delegasi merungut tidak mendapat hotel yang lebih baik,” kata Kathirina yang juga pengurus eksekutif perhotelan.
Kathirina menambah, bagi pihak Momogunsia, festival itu telah memberi pengetahuan tentang penyelenggaraan program bertaraf antarabangsa dengan menjadikan kekuatan dan kelemahan yang berlaku sebagai pengetahuan.
Sempena festival itu, Dr Rosliah yang juga Naib Presiden Momogunsia turut diwawancara pemberita tv selepas bersama rombongan membuat persembahan tarian dan lagu etnik Kadazandusun.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pencinta dan penggiat puisi untuk mempelajari puisi merentasi benua melalui pembentangan kertas kerja, pementasan puisi serta penjualan buku daripada penulis-penulis terkenal dengan diskaun yang sangat menarik,” kata Dr Rosliah yang juga Pensyarah Kanan, UPSI.
Menurut Dr Rosliah, festival itu memberi ruang untuk menjalin hubungan dengan para delegasi pelbagai negara untuk mengantarabangsakan sastera etnik yang diperjuangkan Momogunsia.
“Pengalaman menyertai aktiviti yang begitu padat dapat dijadikan panduan untuk melaksanakan program bertaraf dunia. Pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak terhadap buah pena pengkarya wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia untuk mendorong para penulis menghasilkan karya bermutu, berideologi dan bernilai pendidikan sesuai dengan zaman terkini,” katanya lagi.
Siri berikut akan memaparkan tentang perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan pelajar UPSI di Pulara 7 Pangkor.

MENTERI Besar Dr Zambry (kiri) memerhati tag nama Kathirina.




Wednesday, 26 October 2016

Muzium Mini Etnik Rungus & Galeri Penulisan Raymond Majumah

Muzium Mini Etnik Rungus 
& 
Galeri Penulisan Raymond Majumah
(MMER dan GPRM)
Kampung Inukiran,
Daerah Kecil Matunggong,
Kudat,
Sabah, Malaysia



Pengenalan

Muzium ini terletak di Tanah Kampung, Kampung Inukiran, di hulu Sungai Maradhazo (muaranya Sungai Matunggong), kira-kita lima kilometer daripada jalan raya utama Kota Kinabalu – Kudat. Selain aset sejarah Matunggong yang berkaitan langsung dengan legenda Sharif Osman dan Mat Salleh, serta pahlawan Rungus seperti Langkap dan Palhavan, dan tokoh Rungus seperti Mukai dan Lhuqa, Kampung Inukiran sendiri, yang dipilih sebagai lokasi muzium ini, mempunyai legenda batu bersurat (inukiran), bagai mana kampung ini mendapat nama. Batu bersurat (inukiran) dipercayai telah digunakan sebagai penanda kubur pada masa silam. Jalan ke muzium ini akan melalui Lhivotung Dhunggoon (dasar Sungai Matunggong-Madhazo) yang mempunyai legenda Si Anak Muda Kedapatan Banjir Kiamat (Nokosupan Lhisuvon). Anak muda tersebut, seladang yang diburu serta anjing buruannya telah menjadi batu. Anjing batu itu masih terdapat sehingga ke hari ini yang diletakkan di rumah Ketua Kampung Guomon. Anjing batu ini dipercaya menggigit (mongiit). Sentiasa saja ada yang cedera jika anjing ini diusik atau dipindahkan kedudukannya.


Muzium ini mula dibuka kepada umum untuk dilawati bermula pada tahun 2013, tetapi hanya setahun selepas itu, menerima pelawat pertama. Sehingga sekarang, muzium ini belum dikenali dalam kalangan masyarakat setempat kerana promosi belum diusahakan secara bersungguh-sungguh kerana masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk meningkatkan persembahan dan pameran. Usaha mengumpul peralatan dan hasilan budaya Rungus dan bahan penulisan serta hasil karya Raymond Majumah (RM) bermula sejak 2010. Raymond Majumah adalah penulis Rungus yang menghasilkan buku berkaitan budaya dan kesusasteraan Rungus, di samping karya kreatif seperti puisi, cerpen, sajak, novel, skrip drama dan artikel yang berkaitan dengan budaya dan cara hidup etnik Rungus.



Antara koleksi yang terdapat dalam MMER ini ialah seramik seperti tempayan pelbagai saiz. Tempayan paling besar dikenali sebagai Gundolhon. Iaitu antara tempayan yang paling besar dan tertua di Matunggong. Tempayan ini digunakan untuk membuat minuman tradisional Rungus. Tempayan lain digunakan juga untuk mengisi minuman tradisional Rungus, membuat jeruk dan sebagai bekas menyimpan air. Turut dipamerkan ialah molhigun, iaitu piring besar paling berharga dalam penilaian masyarakat Rungus.

Koleksi lain ialah peralatan menenun dan hasil tenunan seperti kain tenunan (tinongkupan, rinugadhing, inuva kazu dan sebagainya), pakaian lelaki (bhadhu). Manik pelbagai jenis gubahan seperti togkol, pinakol, ingot, orot dan sulhaw. Hiasan di bahagian kepala wanita Rungus seperti titimbok, singal dan sebagainya. Barangan tembaga untuk hiasan wanita di bahagian kaki (lhungkaki), di pinggang (orot), di leher (ganggalhung), dan di tangan (saring). Barangan tembaga lain ialah sumbul, lhongguvai, tinompok, kampil (tepak sirih) dan gong. Semua jenis gong yang digunakan dalam set paluan gong Rungus ada di dalam koleksi muzium mini ini. Barangan daripada perak dan besi yang dicenai turut ditempatkan dalam muzium ini.


Semua jenis barangan kraf daripada bambu (poring, vulhu dan sumbilhing), kayu dan besi boleh didapati dalam muzium mini ini. Termasuk alat bunyian seperti urudhing, uralhi, sundatang, dan lhinazang serta ungkovung. Begitu juga dengan peralatan menimba dan mengangkat air seperti tangga, sangit dan togizok. Barangan kraf daripada kelapa dan keperluan dapur serta alat menyimpan barang turut disimpan di sini. Barangan keperluan harian dan ritual daripada bambu, yang dipamerkan dalam muzium ini, antaranya ialah saging, lhikahan, bharazit, gozong, saup, solhupi, tinokin, tinangabhan, rinago, sisizud, bhubhu, bhangkalha, dan kukurangan.

Koleksi istimewa yang terdapat dalam muzium ini ialah barangan dan peralatan ritual etnik Rungus. Barangan dan peralatan ini tidak boleh dipamer atau digunakan secara sebarangan kerana melibatkan adat bhobholhizan dalam kepercayaan Bhiruhui (agama rakyat etnik Rungus). Koleksi istimewa ini ditempatkan di dalam ruang khas (sebuah bilik) supaya tidak terusik secara sebarangan.



GPRM pula menempatkan semua hasil karya Raymond Majumah dalam bentuk buku, majalah, jurnal dan pelbagai stensilan. Karya-karya Raymond Majumah meliputi puisi (sajak), cerpen, drama, novel dan esei-kritikan, serta pelbagai kertas kerja yang telah dibentangkan di dalam dan di luar negara. Semuanya mempunyai kaitan dengan budaya, bahasa dan kesusasteraan etnik Rungus, termasuk CD nyanyian rakyat Rungus, mengandungi lagu tradisional seperti ondi, dhihohoi, sovolhi, kolhigasai dan bhahul yang dipersembahkan sendiri oleh Raymond Majumah. Semua koleksi ini disimpan dalam satu lagi ruang khas (bilik) supaya tidak terusik secara sebarangan.

Aktiviti Muzium
Antara aktiviti yang dijalankan oleh muzium ini ialah menerima pelawat pada setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Muzium juga mempersembahkan lagu rakyat Rungus dan persembahan nyanyian ritual Rungus. Persembahan power point budaya Rungus dan tayangan video ritual dan cara hidup masyarakat Rungus pada masa dahulu. Sebuah tadika yang mengajarkan bahasa Rungus turut didapati di muzium ini.


Aktiviti Akan Datang
Pada masa akan datang, muzium ini akan mengadakan tiga pertandingan tahunan, iaitu misaap mongolhinazang (pertandingan kemerduan bunyi ungkovung [potongan buluh yang mengeluarkan bunyi apabila diputarkan oleh tiupan angin] yang diikat pada lhinazang [kipas tradisional yang diputarkan oleh angin yang terbuka] dan Kecantikan Lhinazang); kedua, pertandingan nyanyian rakyat Rungus; ketiga pertandingan menghafal rinait Rungus.

Disediakan oleh: Azlan Shafie Abdullah@Raymon b. Majumah,Pustaka Penulis Rungus,

Pemilik  dan  Pengurus,  Muzium Mini Etnik Rungus (MMBR) dan Gelari Penulisan Raymond Majumah (GPRM), Kg. Inukiran, Matunggong, Sabah.










Friday, 30 September 2016

RTFM buka penyertaan Rombituon KDM

Radio Tambunan FM buka penyertaan Rombituon Lagu-lagu KDM
DJ Stanza

Oleh HENRY BATING
TAMBUNAN: Radio Tambunan FM (RTFM) menawarkan hadiah lebih RM1000 kepada pemenang Pertandingan Rombituon Tambunan FM yang akan diadakan di 29 Oktober 2016 di perkarangan studion radio online itu di sini yang terletak di Highway Sulap Kalangadan Cafe Tambunan.
Pengerusi penganjur, DJ Stanza @ Stanly Leo berkata pihaknya mempelawa bakat-bakat seni suara menyertai saringan suku akhir pada 8 Oktober jam 7.00 malam untuk menempah tempat ke separuh akhir 15 Oktober 2016.
“Pertandingan meletakkan pilihan bebas lagu-lagu Kadazan Dusun Murut sahaja secara solo untuk penyertaan berumur 16 tahun ke atas,” kata Stanly.
Bagaimanapun, penyertaan bagi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian peringkat negeri dan atau telah mempunyai lagu rakaman dalam album tidak akan diterima.
Tarikh tutup penyertaan adalah 5 Oktober 2016 iaitu pada Rabu depan manakala yuran penyertaan adalah RM100.
Hadiah-hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil disediakan kepada semua pemenang yang meliputi tiga pemenang utama dan tujuh penerima saguhati.
Di samping hadiah trofi dan sijil, johan bakal menerima RM1000, naib johan RM500, ketiga RM250 dan tujuh pemenang saguhati menerima RM100 setiap seorang.
Keterangan lanjut bakat seni suara RTFM yang menggunakan slogan ‘RTFM Memang OK Bah’ boleh ditanyakan kepada Dj Stanza 0198120553 atau 0168067383, Dj Maslee 0138745698 atau Wendy Rudolf 0198101411.




Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...