Thursday, 26 January 2017

Momogunsia delegasi luar negara Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia 2015

Momogunsia hadiri Kongres Nasional Pemuda Dayak Indonesia di Palangka Raya Kalimantan Tengah
 
ROMBONGAN Momogunsia di Festival Budaya Dayak Borneo di Palangka Raya.

Oleh HENRY BATING 

Foto Gazali Suhaili
Siri l

PALANGKA RAYA ibukota provinsi Kalimantan Tengah, Republik Indonesia dari segi geografi tidaklah berjauhan dengan tanah Sabah, Malaysia. Malahan Sarawak, Malaysia lagi dekat kerana hanya terletak bersebelahan.
Tapi kerana jalur penerbangan yang telah ditentukan di antara negara dengan negara serta antara provinsi dengan provinsi maka perjalanan menjadi jauh. Dekat dalam peta geografi tapi jauh untuk sampai, baik melalui penerbangan mahupun jalan darat.
Di kota Palangka Raya yang terletak di tengah-tengah bumi Kalimantan, rombongan Kelab Penulis Kadazandusun Murut atau Monunurat Momogun Malaysia (Momogunsia) bertandang. Rombongan diketuai Pengerusi, Henry Bating dengan disertai Raymond Majumah (Timbalan), Kathirina Susanna Tati (Setiausaha), Sofie Clara (Bendahari) dan ahli jawatankuasa, Gazali Suhaili dan Rosliah Kiting.
Badan penulis etnik Sabah itu memenuhi undangan yang telah disampaikan panitia untuk menghadiri Festival Budaya Dayak Borneo yang bersempena dengan Kongres Nasional Pemuda Dayak Pertama 2-5 Ogos 2015. Rombongan Momogunsia disambut sebagai salah satu delegasi festival dan kongres sekali gus hadir sebagai satu-satunya delegasi dari luar negara.
ROMBONGAN Momogunsia melawat kampus Unpar.
Sebelum keberangkatan ke festival dan kongres itu, badan penulis etnik Sabah ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau. Dalam kunjungan itu Madius melahirkan harapan agar Momogunsia dapat membantu usaha kerajaan menjalin kerjasama budaya serantau dengan pelbagai pihak di samping terlibat aktif membantu memperkasakan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Turut memberi sokongan terhadap keberangkatan rombongan Momogunsia ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), OKK William Majimbun dan Datuk Peter Mak yang juga Ahli Lembaga Penasihat Perbadanan Labuan.
Momogunsia memilih Kalimantan Tengah sebagai destinasi kunjungan bilateral budaya kerana di provinsi itu wujud beberapa etnik Dusun yang berkongsi sebahagian perbendaharaan kata dengan bahasa Kadazandusun.
Penerbangan pertama bermula dari Kota Kinabalu ke Jakarta dengan mengambil masa kira-kira tiga jam. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki penerbangan lain dari Jakarta ke Palangka Raya kira-kira sejam 30 minit. Perjalanan tidak dapat bersambung terus lantaran jurang waktu yang panjang sehingga melebihi 12 jam antara penerbangan pertama dengan penerbangan kedua.
BERKUNJUNG ke rumah Pak Marthin Ludjen (kanan) berketurunan Dusun Manyan Witu.
Keberadaan rombongan Momogunsia di Palangka Raya 2-4 Ogos dikendalikan secara berprotokol oleh Ketua Lembaga Kebudayaan Kalimantan Tengah, Dr Kusni Sulang dan Sektretaris Jenderal lembaga itu, Dra Andriani S. Kusni. Ketibaan di lapangan terbang Palangka Raya telah disambut dua buah kenderaan pacuan empat roda oleh panitia kongres dan festival. Rombongan terus dibawa ke Hotel Barito Sweet Shinta, penginapan yang telah disediakan pihak penganjur.
Rombongan yang tiba kira-kira jam 15.00 Waktu Indonesia Barat (WIB) mulai berhadapan jadual padat sebaik memasuki bilik hotel. Kesempatan yang sedikit petang itu telah dimanfaatkan untuk mengunjungi beberapa kedai di sekitar ibukota, dipandu oleh Roy Marthin untuk membeli keperluan penting. Sebelum balik ke hotel, rombongan sempat singgah di kediaman Bapak Marthin Ludjen, seorang pengusaha berjaya berketurunan Dusun Manyan.
HOTEL Barito Sweet Shinta Palangka Raya milik Pak Marthin tempat menginap rombongan Momogunsia
Petangnya, mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Pak Kusni. Menyusul kemudian ialah diskusi ilmiah tentang teori-teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan Tengah. Perkongsia ilmu itu telah disampaikan oleh Dr Sidik Usop, pensyarah sains sosial di Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Palangka Raya (Unpar).
Menjelang tengah malam, rombongan saling mohon izin untuk masuk ke bilik hotel masing-masing dengan penegasan Pak Kusni, keesokannya semua harus sudah siap 6.30 pagi WIB. Rombongan Momogunsia bersama rombongan-rombongan lain dari pelbagai provinsi di Kalimantan bergerak menaiki bas yang disediakan.
Turut disediakan untuk rombongan Momogunsia ialah dua pengiring mahasiswa tahun akhir iaitu Elvin dan Nevi. Kedua-dua mereka adalah mahasiswa jurusan bahasa Inggeris tahun akhir di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Unpar yang ternyata amat fasih berbahasa Inggeris.
SALAH satu lorong di Kota Palangka Raya.
Pagi itu kira-kira 1500 anggota delegasi sudah berkumpul di Palampang Tarung dengan persiapan sambutan penuh istiadat kepahlawanan, tari penuh tradisi sambut tamu dan istiadat masuk ke dalam dewan. Kira-kira jam 9.30 pagi WIB tetamu utama, Direktorat Jenderal Politik dan Pemerintahan Umum, Soedomo yang mewakili Menteri Dalam Negeri sampai.
Turut menunggu ialah Wakil Gubernur Achmad Diran, Sekretaris Daerah, Siun Jarias, Wakil Wali Kota Palangka Raya, Mofit Saptomo dan Gubernur, Sugianto Sabran yang juga Ketua Dewan Adat Kota Waringin.
Selesai upacara perasmian lewat tengahari, rombongan bergerak ke studio Televesi Radio Republik Indonesia (TVRI) Palangka Raya untuk sesi dialog bahasa, sastera dan budaya Kalimantan bagi siaran langsung selama sejam bersama pewawancara Sony K Mahat. Tamu undangan wawancara diisi oleh Henry selaku Pengerusi Momogunsia.
DR SIDIK memberi perkongsian tentang teori sosial berasaskan masyarakat Dayak Kalimantan.
Ketika siaran langsung ke udara, rombongan diberitahu bahawa giliran untuk sesi penyampaian pembentangan sudah sampai untuk rombongan Momogunsia. Raymond, Rosliah dan Kathirina berangkat ke dewan persidangan untuk menyempurnakan pembentangan itu.
Menjelang petang kira-kira jam 17.00 WIB, majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dijalankan antara Momogunsia dan Lembaga Kembudayaan Kalimantan Tengah. Malamnya dijadual untuk bertemu badan penulis Kota Palangka Raya tapi kerana kekangan tertentu, pertemuan tidak dapat dijalankan lalu memberi laluan kepada rombongan untuk berehat.
Hari terakhir di Palangka Raya, jam 9.00 WIB keesokan harinya, pertemuan diadakan antara Momogunsia dan dua ahli akademik FKIP Unpar. Seorang ialah timbalan dekan FKIP, Prof Dr Petrus Poerwadi dan Dr Arnusianto Mage, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Bersambung Siri ll (akhir).
 
PERTEMUAN dengan ahli akademik FKIP Unpar, Prof Poerwadi dan Dr Arnus dipengerusikan Dr Kusni.




No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...