Friday 7 December 2018

Kolej SIDMA pelopori sektor IPTS perluas bahasa Kadazandusun


Kolej SIDMA rintis usaha sektor IPTS lestari bahasa ibunda


Oleh HENRY BATING

KOLEJ SIDMA Sabah yang telah melancarkan Pertandingan Merekacipta Aplikasi Bahasa Kadazandusun 30 Nov lalu telah menjadi perintis sektor Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini untuk melaksanakan program pengembangan budaya dan bahasa etnik Sabah.

MADIUS dan Morni melancarkan pertandingan rekacipta aplikasi bahasa Kadazandusun.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika menyempurnakan pelancaran berkenaan menyatakan aplikasi media sosial itu dirancang memuatkan pelbagai informasi budaya dan pembelajaran bahasa Kadazandusun (BK).

“Saya bersetuju kiranya aplikasi itu memuatkan informasi tentang bahasa, budaya, pemakanan, kosakata dan keusahawanan,” kata Madius sambil mengalu-alukan perasmian aplikasi itu yang diunjur disempurnakan Mei 2019.

Madius berkata demikian ketika merasmikan ‘Sodop Pisompuruan’ Kolej SIDMA - Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Shangri-La's Tanjung Aru Resort and Spa 30 Nov lalu. Majlis itu turut menjadi medan akhir pertandingan pidato (roisol) bahasa Kadazandusun sekolah menengah peringkat negeri Sabah.

MADIUS menyampaikan hadiah johan kepada Rudolf.
Pertandingan itu dimenangi Rudolf Yuson dari SMK Limbanak, Penampang disusuli Abbylaylena Sitibon dari SMK Kemburongoh, Ranau di tempat kedua, Asliana Kaling dari SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu (ketiga), Da Resty Gundang dari SMK Narinang, Kota Belud (keempat), dan Jessy Ginus dari SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang (kelima).

Menurut Madius, komitmen Kolej Sidma telah menjadikan IPTS itu sebagai peneraju kepada bidang pengembangan bahasa etnik yang pada kebiasaannya dikendalikan sektor awam.

URUS Setia penjurian pidato Kadazandusun.
Madius menyifatkan komitmen itu sebagai sesuatu yang bukan mudah kerana melibatkan penggemblengan tenaga, penggunaan masa yang banyak, sumber logistik dan juga kewangan.

Terdahulu pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Sidma Sabah dan Sarawak Dr Morni Kambrie menyatakan usaha merekacipta aplikasi itu dikendalikan oleh Kelab Bahasa Kadazandusun Kolej Sidma yang terletak di Jalan Bundusan, Penampang. Kelab itu dipengerusikan Salumah Nain.

Pertandingan merekacipta aplikasi itu menjadi sebahagian daripada enam program yang diusahakan bermula Januari 2018. Enam program itu dimulakan Oktober 2018 hingga Mei 2019.

PERTANDINGAN Koir bahasa Kadazandusun di ITCC.
Jajaran program itu bermula dengan ‘Belajar Bertutur BK’ (Ogos 2018), ‘Hari BK Kolej Sidma’ dan ‘Separuh Akhir Pidato BK’ (24 Okt), ‘Pertandingan Koir BK’ (16 Nov), ‘Sodop Pisompuruan’ (30 Nov), ‘Pertandingan Merekacipta Aplikasi BK’ dan ‘Kaamatan Sekolah Peringkat Negeri’ (Mei 2019).

Dua tahun sebelumnya, kelab tersebut memulakan aktiviti dengan mengadakan ‘Pertandingan Menulis Cerpen Bahasa Kadazandusun 2016’ yang disertai kalangan pelajar sekolah dari seluruh negeri. Aktiviti itu menghasilkan dua jilid buku cerpen dengan cetakan pertama ditaja oleh Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun.

Menurut Morni, kelab itu ditubuhkan bertujuan untuk mengekalkan dan menggalakkan masyarakat tempatan memperkembangkan penggunaan bahasa ibunda. Pelaksanaan pelbagai program kebahasaan diharapkan dapat meningkatkan kualiti penguasaan dan perkembangan bahasa ibunda khususnya di kalangan pelajar sekolah menengah.

PEMENANG pidato Kadazandusun Rudolf, Abbylaylena dan Asliana.
Catatan Kolej Sidma menyebutkan penduduk Sabah terdiri dari 33 etnik pribumi yang berkomunikasi dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik. Dari keseluruhan kelompok itu, etnik Kadazandusun merupakan komuniti bumiputera terbesar.

Langkah progresif Kolej Sidma memperluaskan penggunaan bahasa Kadazandusun beriringan dengan inti syarahan awam Tan Sri Bernard Dompok di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari yang sama bertajuk ‘The Kadazandusun: In the New Malaysia’.

“Dengan mengambil contoh usaha yang telah dilakukan pelbagai komuniti di dunia, kita akan menyaksikan kelestarian budaya dan bahasa Kadazandusun yang diinstitusikan dan dimasukkan dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

SELINGAN ‘sodop pisompuruan’ Kolej Sidma.
Rekod rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia mencatatkan bahasa Kadazandusun mula diajarkan di sekolah-sekolah sejak 1996. Sejak itu bahasa berkenaan telah berkembang ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bahasa Kadazandusun diduduki dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ditawarkan sebagai kursus elektif, minor dan major di IPTA. Pengajian ditawarkan pada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Pelaksanaan pelbagai program mendapat tajaan pelbagai pihak. Selain Kolej Sidma dan JPNS sebagai peneraju, program berkenaan mendapat naungan dan sumbangan dari Madius, KKIP, ITCC Shopping Mall Penampang, Datuk Frankie Poon, Jennifer Lasimbang, Shangri-La Tanjung Aru, Breaktime Bundusan, Yu Sang, Chantek Borneo, Zenithway, Lions Club Penampang, Zip Borneo dan The Adventure Centre Kiulu.

ABIDIN dan Sitiamah (kanan) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Turut hadir Ketua Sektor Akademik JPNS Abidin Marjan yang mewakili pengarah, pengerusi bersama JPNS, Sitiamah Sahat, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, I.R Melvin Disimond dan johan Sidma Idol, Nurliyana Safina Ramli.

Sodop Pisompuruan diserikan kumpulan seni Prima Dansa, artis tempatan Rudy Banabas, johan sugandoi peringkat negeri Francisca Juingki dan koir Kadazandusun DBKK.

Sidang juri tujuh peserta akhir pertandingan pidato bahasa Kadazandusun sekolah menengah negeri Sabah dianggotai Ketua Sektor Kualiti JPNS, Aslie Sahat, Ketua Jabatan Bahasa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Linah Bagu dan Henry Bating dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

SIDANG juri dari kanan Aslie, Linah dan Henry.
Utusan Borneo 8 Dis 2018



Thursday 6 December 2018

MOMOGUNSIA: Gerakan Sastera Etnik Sabah


Persatuan Penulis Momogun Malaysia 

Monunurat Momogun Malaysia

(MOMOGUNSIA)


Oleh Henry Bating

Pengenalan

MOMOGUNSIA tercetus kewujudannya hasil Seminar Sastera Pelbagai Kaum Malaysia 2011. Seminar anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Akademi Seni Warisan Negara di Kuala Lumpur itu disertai para pembentang yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia.

Semua kaum pada ketika itu sudah memiliki badan penulis masing-masing. Bermula daripada badan penulis Melayu yang sudah mapan kemudian badan penulis Cina, Tamil, Iban dan keturunan Siam. Badan penulis etnik Sabah sahaja yang belum wujud pada ketika itu.

Dalam satu perbualan ringkas, SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan membayangkan adanya keperluan mewujudkan badan penulis etnik Sabah. Sekembali ke Kota Kinabalu, inspirasi itu telah disampaikan kepada pihak DBP Cawangan Sabah.

Henry Bating (kiri) bersama SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan (tengah)
di Dewan Orkestra ASWARA Kuala Lumpur
Hasilnya, sekumpulan penulis etnik Sabah yang telah lama berkecimpung dalam penulisan bertemu di Sudut Penulis DBP Sabah. Maka badan penulis etnik Sabah ini ditubuhkan dan akhirnya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Malayisa pada tahun 2014.

Badan penulis ini kemudian beroperasi bernaung di bawah DBP Sabah dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti yang diperoleh badan-badan penulis lain di Bumi Bawah Bayu ini.

Pelopor Kelab Penulis KDM yang kemudian menjadi 
Persatuan Penulis Momogun Malaysia  (MOMOGUNSIA)
 - Henry Bating (duduk dua kiri)
Aktiviti pengkaryaan Momogunsia berpaksikan nilai untuk melestarikan dan mengarusperdanakan sastera etnik di bawah jenama Momogunsia. Aktiviti pengkaryaan ini berteraskan dua nilai utama iaitu mengangkat jati diri etnik dan mengubah naratif etnik ini dari perspektif kurang tepat penulis luar.

Dua teras nilai itu diambil agar kalangan penulis etnik Sabah dapat membina citra etnik yang bermartabat, bertamadun dan progresif. Sastera etnik bukan terletak pada ‘medium’ bahasa karyanya atau wadah. Melainkan sastera etnik terletak pada ‘substance’ atau intipati karya yang dihasilkan.

‘Core Ethnic’ itu diterjemahkan dalam karya-karya bernilai positif, yang berlatarkan fakta yang betul (tradisi, budaya, adat, legenda, kearifan lokal dan seumpamanya) serta memperkasakan nilai etnik yang dapat diteladani.

Gerakan Awal

Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2011 di Kuala Lumpur dihadiri oleh Henry Bating sebagai pembentang mewakili etnik Sabah. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sastera Kadazandusun Dalam Perspektif Integrasi Nasional: Tinjauan Karya Puisi Cosmas Abah’.

Henry Bating membuat pembentangan
Cetusan inspirasi mewujudkan badan penulis etnik Sabah dibincangkan bersama Clif Kamijan di pejabat DBP Sabah. Clif telah memanggil beberapa penulis kalangan berbilang etnik bertemu di Sudut Penulis DBP Sabah. Hasilnya satu badan diberi nama ‘Kelab Penulis Kadazandusun Murut (KDM)’ dibentuk.

Jawatankuasanya terdiri daripada Daniel Jebon Janaun (Pengerusi), Henry Bating (Timbalan), Rita Robert Rawantas (Setiausaha) dan Angela Engkuan (Bendahari). Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Clif, Witer Gunik, Welin Ebal, Anthonia Kunia Gilung, Kathirina Tati Sitaim dan Ony Latifah. Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin menjadi penasihat.

Kewujudan badan penulis itu kemudian dimaklumkan secara rasmi kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas (Allayarham). Dalam satu pertemuan selepas itu, Pak Zubaidi dalam ucapannya menegaskan bahawa Kelab Penulis KDM akan diberi kemudahan sama seperti kemudahan yang dinikmati badan-badan penulis lain di Sabah.

Pertemuan Penulis KDM di Kota Marudu September 2011 telah memperlihatkan komitmen DBP kepada badan penulis ini. Pak Zubaidi sendiri hadir dalam majlis perasmian itu yang disempurnakan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili. DBP sendiri telah menghulur sumbangan ribuan ringgit yang telah disampaikan dalam bentuk cek. Turut menghulur sumbangan kewangan, Dr Max dan kalangan usahawan Kimaragang.

Pertemuan Penulis Kadazandusun Murut di Kota Marudu. 
Dirasmikan Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili

Perjalanan yang kelabu

Badan penulis ini telah menghadapi masa hadapan suram dan perjalanan yang kelabu oleh ketibaan pilihan raya umum ke-13. Penasihat dan pengerusi badan penulis ini bertanding dalam pilihan raya. Mereka menjadi calon pembangkang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Meski meraih ribuan undi dan tidak hilang deposit pencalonan, kedua-dua pemimpin tertinggi badan penulis ini tidak berjaya mengatasi jumlah undi yang diperoleh calon parti pemerintah.

Sekitar dua tahun selepas pilihan raya, badan penulis ini menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Pengerusi menghadap Ilahi dalam satu pemergian mengejut. Timbalan pengerusi bertukar tugas dari Kota Kinabalu ke Labuan. Yang tinggal hanya Welin dan Anthonia sering menghantar mesej kepadan timbalan.

Perjumpaan di Gaya Street

Suatu masa, timbalan menerima mesej dari Welin menyatakan satu cadangan. Cadangan itu rupanya telah dibincangkan bersama Anthonia. “Tuan, kita jumpalah di KK, saya sudah kasih tau Kath (Kathirina) dan Raymond (Majumah), mereka datang juga itu,” katanya.

Ketika sampai masa temu janji, timbalan menyeberang dari Labuan ke Kota Kinabalu. Perjumpaan santai berlaku di Restoran McDonald, Gaya Street. Lima orang itu bertemu dan seakan kerinduan amat mendalam kerana tanpa sedar sudah hampir dua jam berborak.

Perbincangan dirumuskan dan bersetuju badan penulis itu didaftarkan di bawah RoS. Nama badan ditambah terjemahan ‘Monunurat Momogun Malaysia’ (MOMOGUNSIA). Nama jawatankuasa penaja disusun.

Henry jadi pengerusi, Raymond Majumah (timbalan), Kathirina Susana Tati Sitaim (Setiausaha), Anthonia (Penolong Setiausaha), Welin (Bendahari) dan dua ahli jawatankuasa, Yatim Ahmad dan Sofie Clara.

Datuk Dr Janathan Kandok menjadi Penasihat dan Prof Madya Dr Ramzah Dambul menjadi Pembimbing Akademik.

Hasil usaha setiausaha, badan penulis berjaya didaftarkan. Akaun bank badan penulis berjaya dibuka di Bank Islam. Senarai kepimpinan baharu dimaklumkan kepada DBP Sabah.

Pertemuan di Gaya Street. Dari kiri Raymond Majumah, Henry Bating, Welin Ebal,
Anthonia Gilung dan Kathirina Susana Tati
Momogunsia mengorak langkah

Nama badan penulis ini mulai mekar. Kumpulan dalam Facebook, Whatsapp dan Telegram dibuka. Kolum-kolum mingguan Yatim Ahmad di New Sabah Times hampir setiap minggu mengangkat konsep pergerakan Momogunsia. Dalam setiap tulisannya, Yatim tidak pernah lupa menonjolkan nama-nama peneraju Momogunsia.

Menambah hangatkan lagi, karya-karya dari keluarga Momogunsia mulai memadati ruang-ruang sastera dalam akhbar tempatan di Kota Kinabalu. Diskusi sastera mulai menghangat melalui pos-pos dalam kumpulan Whatsapp. Banyak karya muncul melalui diskusi santai itu. Penulis yang telah menyepi, aktif kembali. Penulis baharu membuat kemunculan.

Diskusi hangat itu telah dimungkinkan oleh komitmen Yatim Ahmad untuk menjadi ‘Pengetua’ Diskusi. Yang malas berkarya ‘dirotan’. Yang kurang serius berkarya juga ‘dirotan’. Deadline memperbaiki karya juga diberikan, jika tidak siap pasti ‘dirotan’.

Hasilnya setiap hari ada saja karya yang tuntas didiskusikan. Kemudian karya-karya itu tersiar di akhbar. Hari Minggu menjadi harinya bagi Keluarga Momogunsia bergembira meraikan karya-karya yang tersiar.

Gerakan Ekstensif

Momogunsia bergerak menggunakan pendekatan ‘adventurous’. Setiap kembaranya menghasilkan karya. Bermula daripada kunjungan hormat kepada penasihat. Melalui kunjungan itu, penasihat memberikan tiga tema penting pengkaryaan yang dapat mendukung penyempurnaan dasar-dasar kerajaan. Pelancongan, kebudayaan dan keselamatan. Turut diberi penekanan ialah penyusunan lirik lagu.

Kembara Simpang Mengayau dilaksanakan. Di situ, penasihat mengajak kalangan penulis mendalami teknik penulisan biografi. Penggubah lagu penyanyi-penyanyi terkenal, Datu Bad memberikan perkongsian mengenai penciptaan lagu dan penyusunan lirik. Karya mengenai asal mula sejarah Simpang Mengayau didiskusikan.

Beberapa pertemuan diadakan di Rumah Pangi Tuaran, pusat diskusi wacana milik Dr Ramzah. Di rumah itu tercetus inspirasi penerbitan Antologi Cerpen Pugai Balabak dan Antologi Puisi Nafas Bumi. Di samping itu, DBP menawarkan penerbitan dua buah buku karya penulis Momogunsia. DBP turut menawarkan kepada pengerusi untuk menyusun buku mengenai ‘Sastera Etnik’.

Pertemuan Momogunsia di Rumah Pangi Tuaran 
milik Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Persidangan Dayak SeIndonesia Julai 2015 telah membawa langkah rombongan Momogunsia hadir sebagai delegasi ke Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Kehadiran rombongan ini diterima baik dan mesra serta mendapat liputan meluas dalam media cetak dan elektronik negara republik itu.

Rombongan Momogunsia diidentifikasikan dengan nama ‘Dayak Sabah’. Hasil perantaraan Dr Kusni Sulang, rombongan memperoleh layanan istimewa pihak penganjur. Disediakan protokol sambutan di airport, hotel, pengangkutan, pengiring yang terdiri dari mahasiswa akhir jurusan bahasa Inggeris Universitas Palangka Raya (UNPAR), temu tokoh Dusun Witu, pembentangan dalam forum, dialog budaya serantau selama sejam di TVRI yang dipancarkan secara langsung ke seluruh Indonesia, pertemuan dengan ilmuan UNPAR dan penandatanganan MoU dengan Lembaga Kebudayaan Kalteng menerusi sekretarisnya, Dra Andriani.

Rombongan Momogunsia di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia.
Dari kanan Gazali Suhaili, Raymond Majumah, Henry Bating,
Rosliah Kiting, Sofie Clara dan Kathirina Tati
Sekembali ke Kota Kinabalu, rombongan ini terus ke Seminar Sastera Pelbagai Kaum di DBP Sabah. Ahli-ahli badan penulis ini menjadi pembentang dan moderator dalam seminar dua hari peringkat kebangsaan itu.

Penghujung Ogos 2015, rombongan ini bertolak menghadiri Minggu Linguistik di University of The Philippines, Diliman, Quezon City. Universiti itu terletak kira-kira 20km dari Manila Metro.

Selepas pembentangan, diskusi dengan Ketua Jabatan Linguistik, Prof Dr Aldrin Lee diadakan. Dr Aldrin sempat menyebutkan tentang masyarakat ‘Mohlbog/ Balabak’ seperti yang terdapat di Pulau Banggi, Sabah. Di Filipina, masyarakat itu dapat ditemui di utara Palawan.

Rombongan Momogunsia menghadiri Seminar Bulan Linguistik, 
University of The Philippines dengan membentang kertas kerja. 
Kelihatan Prof Dr Aldrin Lee (berdiri empat kanan)
Cerpen Witer Gunik ‘Pugai Balabak’ yang menjadi judul antologi pertama Momogunsia mengambil latar masyarakat dan bumi Banggi yang memiliki kaitan asal-usul Filipina. Justeru, Kembara Momogunsia ke Banggi 2-3 April 2016 mempertautkan perjalanan dan pengkaryaan Momogunsia. - bersambung

Antologi Pugai Balabak




Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...