Friday, 7 December 2018

Kolej SIDMA pelopori sektor IPTS perluas bahasa Kadazandusun


Kolej SIDMA rintis usaha sektor IPTS lestari bahasa ibunda


Oleh HENRY BATING

KOLEJ SIDMA Sabah yang telah melancarkan Pertandingan Merekacipta Aplikasi Bahasa Kadazandusun 30 Nov lalu telah menjadi perintis sektor Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini untuk melaksanakan program pengembangan budaya dan bahasa etnik Sabah.

MADIUS dan Morni melancarkan pertandingan rekacipta aplikasi bahasa Kadazandusun.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika menyempurnakan pelancaran berkenaan menyatakan aplikasi media sosial itu dirancang memuatkan pelbagai informasi budaya dan pembelajaran bahasa Kadazandusun (BK).

“Saya bersetuju kiranya aplikasi itu memuatkan informasi tentang bahasa, budaya, pemakanan, kosakata dan keusahawanan,” kata Madius sambil mengalu-alukan perasmian aplikasi itu yang diunjur disempurnakan Mei 2019.

Madius berkata demikian ketika merasmikan ‘Sodop Pisompuruan’ Kolej SIDMA - Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Shangri-La's Tanjung Aru Resort and Spa 30 Nov lalu. Majlis itu turut menjadi medan akhir pertandingan pidato (roisol) bahasa Kadazandusun sekolah menengah peringkat negeri Sabah.

MADIUS menyampaikan hadiah johan kepada Rudolf.
Pertandingan itu dimenangi Rudolf Yuson dari SMK Limbanak, Penampang disusuli Abbylaylena Sitibon dari SMK Kemburongoh, Ranau di tempat kedua, Asliana Kaling dari SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu (ketiga), Da Resty Gundang dari SMK Narinang, Kota Belud (keempat), dan Jessy Ginus dari SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang (kelima).

Menurut Madius, komitmen Kolej Sidma telah menjadikan IPTS itu sebagai peneraju kepada bidang pengembangan bahasa etnik yang pada kebiasaannya dikendalikan sektor awam.

URUS Setia penjurian pidato Kadazandusun.
Madius menyifatkan komitmen itu sebagai sesuatu yang bukan mudah kerana melibatkan penggemblengan tenaga, penggunaan masa yang banyak, sumber logistik dan juga kewangan.

Terdahulu pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Sidma Sabah dan Sarawak Dr Morni Kambrie menyatakan usaha merekacipta aplikasi itu dikendalikan oleh Kelab Bahasa Kadazandusun Kolej Sidma yang terletak di Jalan Bundusan, Penampang. Kelab itu dipengerusikan Salumah Nain.

Pertandingan merekacipta aplikasi itu menjadi sebahagian daripada enam program yang diusahakan bermula Januari 2018. Enam program itu dimulakan Oktober 2018 hingga Mei 2019.

PERTANDINGAN Koir bahasa Kadazandusun di ITCC.
Jajaran program itu bermula dengan ‘Belajar Bertutur BK’ (Ogos 2018), ‘Hari BK Kolej Sidma’ dan ‘Separuh Akhir Pidato BK’ (24 Okt), ‘Pertandingan Koir BK’ (16 Nov), ‘Sodop Pisompuruan’ (30 Nov), ‘Pertandingan Merekacipta Aplikasi BK’ dan ‘Kaamatan Sekolah Peringkat Negeri’ (Mei 2019).

Dua tahun sebelumnya, kelab tersebut memulakan aktiviti dengan mengadakan ‘Pertandingan Menulis Cerpen Bahasa Kadazandusun 2016’ yang disertai kalangan pelajar sekolah dari seluruh negeri. Aktiviti itu menghasilkan dua jilid buku cerpen dengan cetakan pertama ditaja oleh Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun.

Menurut Morni, kelab itu ditubuhkan bertujuan untuk mengekalkan dan menggalakkan masyarakat tempatan memperkembangkan penggunaan bahasa ibunda. Pelaksanaan pelbagai program kebahasaan diharapkan dapat meningkatkan kualiti penguasaan dan perkembangan bahasa ibunda khususnya di kalangan pelajar sekolah menengah.

PEMENANG pidato Kadazandusun Rudolf, Abbylaylena dan Asliana.
Catatan Kolej Sidma menyebutkan penduduk Sabah terdiri dari 33 etnik pribumi yang berkomunikasi dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik. Dari keseluruhan kelompok itu, etnik Kadazandusun merupakan komuniti bumiputera terbesar.

Langkah progresif Kolej Sidma memperluaskan penggunaan bahasa Kadazandusun beriringan dengan inti syarahan awam Tan Sri Bernard Dompok di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari yang sama bertajuk ‘The Kadazandusun: In the New Malaysia’.

“Dengan mengambil contoh usaha yang telah dilakukan pelbagai komuniti di dunia, kita akan menyaksikan kelestarian budaya dan bahasa Kadazandusun yang diinstitusikan dan dimasukkan dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

SELINGAN ‘sodop pisompuruan’ Kolej Sidma.
Rekod rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia mencatatkan bahasa Kadazandusun mula diajarkan di sekolah-sekolah sejak 1996. Sejak itu bahasa berkenaan telah berkembang ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bahasa Kadazandusun diduduki dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ditawarkan sebagai kursus elektif, minor dan major di IPTA. Pengajian ditawarkan pada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Pelaksanaan pelbagai program mendapat tajaan pelbagai pihak. Selain Kolej Sidma dan JPNS sebagai peneraju, program berkenaan mendapat naungan dan sumbangan dari Madius, KKIP, ITCC Shopping Mall Penampang, Datuk Frankie Poon, Jennifer Lasimbang, Shangri-La Tanjung Aru, Breaktime Bundusan, Yu Sang, Chantek Borneo, Zenithway, Lions Club Penampang, Zip Borneo dan The Adventure Centre Kiulu.

ABIDIN dan Sitiamah (kanan) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Turut hadir Ketua Sektor Akademik JPNS Abidin Marjan yang mewakili pengarah, pengerusi bersama JPNS, Sitiamah Sahat, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, I.R Melvin Disimond dan johan Sidma Idol, Nurliyana Safina Ramli.

Sodop Pisompuruan diserikan kumpulan seni Prima Dansa, artis tempatan Rudy Banabas, johan sugandoi peringkat negeri Francisca Juingki dan koir Kadazandusun DBKK.

Sidang juri tujuh peserta akhir pertandingan pidato bahasa Kadazandusun sekolah menengah negeri Sabah dianggotai Ketua Sektor Kualiti JPNS, Aslie Sahat, Ketua Jabatan Bahasa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Linah Bagu dan Henry Bating dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

SIDANG juri dari kanan Aslie, Linah dan Henry.
Utusan Borneo 8 Dis 2018



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...