Wednesday 24 May 2017

Bahasa Kadazandusun tidak akan pupus, kata KDM Malaysia

Pengajaran Bahasa Kadazandusun di sekolah kekalkan bahasa ibunda terus hidup


MUDI DUBING
"Tinjauan KDM Malaysia menunjukkan bahasa Kadazandusun alami perkembangan positif dan mengagumkan menjelang 2050"

Kopisanangan om Kotobian Tadau do Kaamatan.

Wujud ketakutan segelintir etnik Dusun berhubung penularan media sosial menyatakan bahasa ibunda mereka bakal pupus tidak lama lagi. (Rujuk penularan media sosial – Bahasa Dusun pupus tahun 2045: Rantisan Pungkit)

Tahun 2045 sebagai garis permulaan kepupusan bahasa Dusun adalah dalam tempoh 28 tahun dari sekarang. Jadi, pada waktu itu, menurut ramalan berkenaan, tiada lagi siaran bahasa Kadazan Dusun Murut di radio. Tiada lagi edisi bahasa Kadazandusun di surat khabar. Pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah, IPG, kolej dan universiti pun tiada lagi.

Kenapa merasa begitu takut sehingga menambahkan lagi ketakutan rakan-rakan lain dengan menularkan lagi pernyataan kepupusan bahasa ibunda mereka?

Saya pernah melawat Kg Pamilaan, Tenom beberapa kali. Penduduk kampung itu merupakan penghijrah dari mukim Kirokot, Tambunan sebelum dan selepas musim Jepun. Saya dapati, 70 peratus daripada anak-anak umur bawah 5 tahun di kampung itu masih bertutur bahasa Dusun sesama mereka. Maka 28 tahun dari sekarang, anak-anak itu baru berumur 33 tahun. Adakah pada masa itu, generasi berkenaan serta-merta tidak lagi pandai bercakap bahasa Dusun?

Berdasarkan tinjauan rambang, berikut diperkirakan penggunaan bahasa ibunda di kalangan generasi Kadazandusun sekarang (2017) berumur bawah 30 tahun.

  1. Pandai bertutur 30 peratus
  2. Bertutur separuh-separuh 20 peratus
  3. Mengerti tapi tidak biasa bertutur 30 peratus
  4. Mengerti sedikit tapi tidak pandai bertutur 10 peratus
  5. Tidak mengerti dan tidak pandai bertutur 10 peratus

Sekarang ini bahasa Kadazandusun diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah dengan pengajian guru di Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak di samping diajar sebagai kursus elektif di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS).

Apabila belajar di sekolah, semua kategori 1-5 di atas mampu mencapai kemahiran bahasa Kadazandusun dengan baik.

Bagi kemasukan ke IPG dan UPSI untuk menjadi guru terlatih bahasa Kadazandusun sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, kategori 1-3 di atas memiliki peluang yang sama untuk diterima.

Setiap tahun kira-kira 45-50 guru terlatih bahasa Kadazandusun dihasilkan di negara ini. Diperkirakan 25-30 guru keluar dari IPG dan 20-25 lagi keluar dari UPSI. Dalam tempoh 10 tahun, kira-kira 500 guru bahasa Kadazandusun terlatih mampu dikeluarkan di Malaysia.

Apabila ditempatkan ke sekolah-sekolah, setiap seorang guru mampu mengajar kira-kira 50 murid setahun. Setiap tahun, 500 guru itu mampu mengajar 5,000 murid.

Maka dari setahun ke setahun, bilangan generasi yang menguasai bahasa ibunda bertambah dan bertambah, BUKANNYA PUPUS.

Demi memastikan bahasa ibunda terus berkembang, adalah menjadi agenda dan urusan utama KDM Malaysia untuk mengambil pendekatan-pendekatan yang relevan mengenai isu ini di samping menangani kekhuatiran yang ditularkan.

MUDI DUBING,
Naib Presiden KDM Malaysia.


Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...