Tuesday 4 August 2020

Dr. Henry Bating Biodata

Wartawan, penterjemah, jurufoto dan ahli akademik


Dr Henry Bating

DR. HENRY BATING, ASDK, AMN, BSK merupakan penulis, penyunting, penterjemah dan jurufoto sejak 1997. Bekerja sebagai wartawan sepenuh masa sebelum menyertai Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2007. 

Selaku ahli akademik, Dr. Henry yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melengkapkan kesarjanaan dalam bidang Pendidikan Bahasa dan Sastera Kadazandusun dari peringkat Ijazah Sarjana Muda B.A. (Hons.) Ed., Sarjana (M.Ed) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Dalam kerjaya kewartawanan, beliau menjadi editor, wartawan dan jurufoto ehwal semasa dan ulasan sastera dalam bahasa Melayu, bahasa Kadazandusun dan bahasa Inggeris di akhbar Borneo Mail (1997-2001), Berita Sabah (2001-2003), The Borneo Post (2003-2004) dan Utusan Borneo (2008-2020). 

Dalam bidang akademik, beliau aktif menghasilkan kertas kajian dalam bidang Pendidikan Bahasa dan Sastera (Melayu, Kadazandusun dan Inggeris) untuk pembentangan persidangan akademik tahunan peringkat kebangsaan, antarabangsa dan penerbitan prosiding, jurnal serta buku.

Dr Henry Bating

Beberapa buku yang telah beliau hasilkan ialah ‘Ejaan Bahasa Kadazandusun’ (2001), ‘Nunuk Ragang: Legenda Asal-Usul Kadazandusun’ (2002), penyunting antologi cerpen ‘Pugai Balabak’ (2015) dan menulis buku ‘Ambrose Mudi: Pelopor Seni Muzik dan Seni Suara Etnik Sabah (2017). 

Hasil penulisan di akhbar telah membawa beliau terpilih menerima ‘Hadiah Tinta Sastera Sabah’ DBP Cawangan Sabah (1999) dan pemenang Anugerah Kewartawanan Kinabalu-Shell kategori Bahasa Kadazandusun (2007) dan Bahasa Melayu (2013).

Ketika mula bertugas di UMS, beliau ditempatkan di PPIB UMS KK (2008-2013) lalu dihantar bertugas ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (2013-2022) dan dipanggil balik bertugas ke UMS Kota Kinabalu Oktober 2022. Beliau memberi kuliah kursus Pengajian Malaysia dan Bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa serta kursus Bahasa Kadazandusun untuk pelajar bukan berketurunan Kadazandusun. 

Dr Henry Bating

Sebelum berkhidmat dengan UMS, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (2004-2007).

Dr Henry menempuh pengajian Ph.D di UMS (2013-2020), M.Ed (UMS) 2008-2012 dan Sarjana Pendidikan (S1) Bahasa dan Sastera Indonesia (1994-1997) di Universitas Negeri Jakarta (UN Jakarta). Sebelum berpindah ke UN Jakarta, beliau kuliah setahun bidang yang sama di UN Manado Sulawesi Utara (1993).

Dr Henry menghasilkan tesis B.A. (Hons) Ed. bagi kajian 'Fonologi Bahasa Kadazandusun', M.Ed 'Kurikulum dan Pengajaran Bahasa Kadazandusun' serta Ph.D 'Kurikulum dan Pengajaran Sastera Kadazandusun'.

Bagi memperkembangkan perkongsian ilmu kearifan etnik, Dr Henry bersama rakan-rakan mengasaskan Kelab Penulis KDM (2011) yang kemudian menjadi Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) 2014. Beliau menjadi presiden badan penulis itu yang bernaung di bawah DBP (2014-2016).

Dr Henry Bating

Beliau memperoleh sijil penuh STPM sebagai calon persendirian di Tenom (1992). Menempuh persekolahan di SM St Anthony Tenom (1977-81) dan SRK St Pius Pamilaan, Tenom (1971-76). 

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pembantu Kerani di Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat Tenom (1984-87) setelah lulus Sijil Perkeranian (1983) di Sabah Bumiputera Business Training Centre (SBTC) Likas, Kota Kinabalu. Beliau kemudian menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM Chung Hwa, Tenom (1988-93).

Dr Henry Bating diberi penghormatan dalam tradisi Dayak Kalimantan di Palangkaraya

Dr Henry Bating diwawancara dalam siaran langsung TVRI dari Palangkaraya Kalimantan Tengah

Dr Henry lahir di Kg Pamilaan, Tenom pada Feb 1965 oleh ibu bapa yang berasal dari Kirokot (Kidalamas, Bundusan) Tambunan. Beliau membesar dan berkeluarga di kampung kelahirannya. Dr Henry merupakan anak ketiga dari 10 adik-beradik. Atas penglibatan beliau dalam penulisan, kemasyarakatan dan akademik, beliau dianugerahkan bintang kebesaran Negeri Sabah 'Ahli Setia Darjah Kinabalu' (ASDK) 2023, darjah kebesaran Malaysia ‘Ahli Mangku Negara’ (AMN) dari DYMM Yang Dipertuan Agong (2016) dan ‘Bintang Setia Kinabalu’ (BSK) dari TYT Yang Dipertua Negeri Sabah (2007). 

Dr Henry mendirikan keluarga dengan isteri Kasiah Kasupin beserta anak-anak Reo Rickie, Iera Michelle, Alva Avila dan cucu Lara Giselle, Mason, Jude, Tristan, Gareth Chad dan Preston.

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...