Persatuan Penulis Momogun Malaysia
Monunurat Momogun Malaysia
(MOMOGUNSIA)
Oleh Henry Bating
Pengenalan
MOMOGUNSIA tercetus kewujudannya hasil Seminar Sastera
Pelbagai Kaum Malaysia 2011. Seminar anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka
dengan Akademi Seni Warisan Negara di Kuala Lumpur itu disertai para pembentang
yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia.
Semua kaum pada ketika itu sudah memiliki badan
penulis masing-masing. Bermula daripada badan penulis Melayu yang sudah mapan
kemudian badan penulis Cina, Tamil, Iban dan keturunan Siam. Badan penulis
etnik Sabah sahaja yang belum wujud pada ketika itu.
Dalam satu perbualan ringkas, SN Dato’ Dr Anwar
Ridhwan membayangkan adanya keperluan mewujudkan badan penulis etnik Sabah.
Sekembali ke Kota Kinabalu, inspirasi itu telah disampaikan kepada pihak DBP
Cawangan Sabah.
Henry Bating (kiri) bersama SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan (tengah)
di Dewan Orkestra ASWARA Kuala Lumpur
|
Badan penulis ini kemudian beroperasi bernaung di
bawah DBP Sabah dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti yang diperoleh
badan-badan penulis lain di Bumi Bawah Bayu ini.
Pelopor Kelab Penulis KDM yang kemudian menjadi Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) - Henry Bating (duduk dua kiri) |
Aktiviti pengkaryaan Momogunsia berpaksikan nilai
untuk melestarikan dan mengarusperdanakan sastera etnik di bawah jenama
Momogunsia. Aktiviti pengkaryaan ini berteraskan dua nilai utama iaitu
mengangkat jati diri etnik dan mengubah naratif etnik ini dari perspektif
kurang tepat penulis luar.
Dua teras nilai itu diambil agar kalangan penulis
etnik Sabah dapat membina citra etnik yang bermartabat, bertamadun dan
progresif. Sastera etnik bukan terletak pada ‘medium’ bahasa karyanya atau
wadah. Melainkan sastera etnik terletak pada ‘substance’ atau intipati karya
yang dihasilkan.
‘Core Ethnic’ itu diterjemahkan dalam karya-karya
bernilai positif, yang berlatarkan fakta yang betul (tradisi, budaya, adat,
legenda, kearifan lokal dan seumpamanya) serta memperkasakan nilai etnik yang
dapat diteladani.
Gerakan Awal
Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2011 di Kuala Lumpur
dihadiri oleh Henry Bating sebagai pembentang mewakili etnik Sabah. Beliau
membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sastera Kadazandusun Dalam Perspektif
Integrasi Nasional: Tinjauan Karya Puisi Cosmas Abah’.
Henry Bating membuat pembentangan |
Cetusan inspirasi mewujudkan badan penulis etnik Sabah
dibincangkan bersama Clif Kamijan di pejabat DBP Sabah. Clif telah memanggil
beberapa penulis kalangan berbilang etnik bertemu di Sudut Penulis DBP Sabah.
Hasilnya satu badan diberi nama ‘Kelab Penulis Kadazandusun Murut (KDM)’
dibentuk.
Jawatankuasanya terdiri daripada Daniel Jebon Janaun
(Pengerusi), Henry Bating (Timbalan), Rita Robert Rawantas (Setiausaha) dan
Angela Engkuan (Bendahari). Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Clif, Witer
Gunik, Welin Ebal, Anthonia Kunia Gilung, Kathirina Tati Sitaim dan Ony
Latifah. Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin menjadi penasihat.
Kewujudan badan penulis itu kemudian dimaklumkan
secara rasmi kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas (Allayarham). Dalam satu
pertemuan selepas itu, Pak Zubaidi dalam ucapannya menegaskan bahawa Kelab
Penulis KDM akan diberi kemudahan sama seperti kemudahan yang dinikmati
badan-badan penulis lain di Sabah.
Pertemuan Penulis KDM di Kota Marudu September 2011
telah memperlihatkan komitmen DBP kepada badan penulis ini. Pak Zubaidi sendiri
hadir dalam majlis perasmian itu yang disempurnakan Datuk Dr Maximus Johnity
Ongkili. DBP sendiri telah menghulur sumbangan ribuan ringgit yang telah
disampaikan dalam bentuk cek. Turut menghulur sumbangan kewangan, Dr Max dan
kalangan usahawan Kimaragang.
Pertemuan Penulis Kadazandusun Murut di Kota Marudu. Dirasmikan Datuk Dr Maximus Johnnity Ongkili |
Perjalanan yang kelabu
Badan penulis ini telah menghadapi masa hadapan suram dan
perjalanan yang kelabu oleh ketibaan pilihan raya umum ke-13. Penasihat dan
pengerusi badan penulis ini bertanding dalam pilihan raya. Mereka menjadi calon
pembangkang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Meski meraih ribuan
undi dan tidak hilang deposit pencalonan, kedua-dua pemimpin tertinggi badan
penulis ini tidak berjaya mengatasi jumlah undi yang diperoleh calon parti
pemerintah.
Sekitar dua tahun selepas pilihan raya, badan penulis
ini menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Pengerusi menghadap Ilahi dalam
satu pemergian mengejut. Timbalan pengerusi bertukar tugas dari Kota Kinabalu
ke Labuan. Yang tinggal hanya Welin dan Anthonia sering menghantar mesej
kepadan timbalan.
Perjumpaan di Gaya Street
Suatu masa, timbalan menerima mesej dari Welin
menyatakan satu cadangan. Cadangan itu rupanya telah dibincangkan bersama
Anthonia. “Tuan, kita jumpalah di KK, saya sudah kasih tau Kath (Kathirina) dan
Raymond (Majumah), mereka datang juga itu,” katanya.
Ketika sampai masa temu janji, timbalan menyeberang
dari Labuan ke Kota Kinabalu. Perjumpaan santai berlaku di Restoran McDonald,
Gaya Street. Lima orang itu bertemu dan seakan kerinduan amat mendalam kerana
tanpa sedar sudah hampir dua jam berborak.
Perbincangan dirumuskan dan bersetuju badan penulis
itu didaftarkan di bawah RoS. Nama badan ditambah terjemahan ‘Monunurat Momogun
Malaysia’ (MOMOGUNSIA). Nama jawatankuasa penaja disusun.
Henry jadi pengerusi, Raymond Majumah (timbalan),
Kathirina Susana Tati Sitaim (Setiausaha), Anthonia (Penolong Setiausaha),
Welin (Bendahari) dan dua ahli jawatankuasa, Yatim Ahmad dan Sofie Clara.
Datuk Dr Janathan Kandok menjadi Penasihat dan Prof
Madya Dr Ramzah Dambul menjadi Pembimbing Akademik.
Hasil usaha setiausaha, badan penulis berjaya
didaftarkan. Akaun bank badan penulis berjaya dibuka di Bank Islam. Senarai
kepimpinan baharu dimaklumkan kepada DBP Sabah.
Pertemuan di Gaya Street. Dari kiri Raymond Majumah, Henry Bating, Welin Ebal, Anthonia Gilung dan Kathirina Susana Tati |
Momogunsia mengorak langkah
Nama badan penulis ini mulai mekar. Kumpulan dalam
Facebook, Whatsapp dan Telegram dibuka. Kolum-kolum mingguan Yatim Ahmad di New
Sabah Times hampir setiap minggu mengangkat konsep pergerakan Momogunsia. Dalam
setiap tulisannya, Yatim tidak pernah lupa menonjolkan nama-nama peneraju
Momogunsia.
Menambah hangatkan lagi, karya-karya dari keluarga
Momogunsia mulai memadati ruang-ruang sastera dalam akhbar tempatan di Kota
Kinabalu. Diskusi sastera mulai menghangat melalui pos-pos dalam kumpulan
Whatsapp. Banyak karya muncul melalui diskusi santai itu. Penulis yang telah
menyepi, aktif kembali. Penulis baharu membuat kemunculan.
Diskusi hangat itu telah dimungkinkan oleh komitmen
Yatim Ahmad untuk menjadi ‘Pengetua’ Diskusi. Yang malas berkarya ‘dirotan’.
Yang kurang serius berkarya juga ‘dirotan’. Deadline memperbaiki karya juga
diberikan, jika tidak siap pasti ‘dirotan’.
Hasilnya setiap hari ada saja karya yang tuntas
didiskusikan. Kemudian karya-karya itu tersiar di akhbar. Hari Minggu menjadi
harinya bagi Keluarga Momogunsia bergembira meraikan karya-karya yang tersiar.
Gerakan Ekstensif
Momogunsia bergerak menggunakan pendekatan
‘adventurous’. Setiap kembaranya menghasilkan karya. Bermula daripada kunjungan
hormat kepada penasihat. Melalui kunjungan itu, penasihat memberikan tiga tema
penting pengkaryaan yang dapat mendukung penyempurnaan dasar-dasar kerajaan.
Pelancongan, kebudayaan dan keselamatan. Turut diberi penekanan ialah
penyusunan lirik lagu.
Kembara Simpang Mengayau dilaksanakan. Di situ, penasihat
mengajak kalangan penulis mendalami teknik penulisan biografi. Penggubah lagu
penyanyi-penyanyi terkenal, Datu Bad memberikan perkongsian mengenai penciptaan
lagu dan penyusunan lirik. Karya mengenai asal mula sejarah Simpang Mengayau
didiskusikan.
Beberapa pertemuan diadakan di Rumah Pangi Tuaran,
pusat diskusi wacana milik Dr Ramzah. Di rumah itu tercetus inspirasi
penerbitan Antologi Cerpen Pugai Balabak dan Antologi Puisi Nafas Bumi. Di
samping itu, DBP menawarkan penerbitan dua buah buku karya penulis Momogunsia.
DBP turut menawarkan kepada pengerusi untuk menyusun buku mengenai ‘Sastera
Etnik’.
Persidangan Dayak SeIndonesia Julai 2015 telah membawa
langkah rombongan Momogunsia hadir sebagai delegasi ke Palangka Raya,
Kalimantan Tengah. Kehadiran rombongan ini diterima baik dan mesra serta
mendapat liputan meluas dalam media cetak dan elektronik negara republik itu.
Rombongan Momogunsia diidentifikasikan dengan nama
‘Dayak Sabah’. Hasil perantaraan Dr Kusni Sulang, rombongan memperoleh layanan
istimewa pihak penganjur. Disediakan protokol sambutan di airport, hotel,
pengangkutan, pengiring yang terdiri dari mahasiswa akhir jurusan bahasa
Inggeris Universitas Palangka Raya (UNPAR), temu tokoh Dusun Witu, pembentangan
dalam forum, dialog budaya serantau selama sejam di TVRI yang dipancarkan
secara langsung ke seluruh Indonesia, pertemuan dengan ilmuan UNPAR dan
penandatanganan MoU dengan Lembaga Kebudayaan Kalteng menerusi sekretarisnya,
Dra Andriani.
Rombongan Momogunsia di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia. Dari kanan Gazali Suhaili, Raymond Majumah, Henry Bating, Rosliah Kiting, Sofie Clara dan Kathirina Tati |
Sekembali ke Kota Kinabalu, rombongan ini terus ke
Seminar Sastera Pelbagai Kaum di DBP Sabah. Ahli-ahli badan penulis ini menjadi
pembentang dan moderator dalam seminar dua hari peringkat kebangsaan itu.
Penghujung Ogos 2015, rombongan ini bertolak
menghadiri Minggu Linguistik di University of The Philippines, Diliman, Quezon
City. Universiti itu terletak kira-kira 20km dari Manila Metro.
Selepas pembentangan, diskusi dengan Ketua Jabatan Linguistik,
Prof Dr Aldrin Lee diadakan. Dr Aldrin sempat menyebutkan tentang masyarakat
‘Mohlbog/ Balabak’ seperti yang terdapat di Pulau Banggi, Sabah. Di Filipina,
masyarakat itu dapat ditemui di utara Palawan.
Rombongan Momogunsia menghadiri Seminar Bulan Linguistik, University of The Philippines dengan membentang kertas kerja. Kelihatan Prof Dr Aldrin Lee (berdiri empat kanan) |
Cerpen Witer Gunik ‘Pugai Balabak’ yang menjadi judul
antologi pertama Momogunsia mengambil latar masyarakat dan bumi Banggi yang
memiliki kaitan asal-usul Filipina. Justeru, Kembara Momogunsia ke Banggi 2-3
April 2016 mempertautkan perjalanan dan pengkaryaan Momogunsia. - bersambung
Antologi Pugai Balabak |
No comments:
Post a Comment