Bakal guru pelajari hidangan sinamu, manik vinusak
JIWA dan minda pendidik menyatu bersama murid-murid. |
Oleh HENRY BATING
KHIDMAT Masyarakat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Tanjong Malim, Perak di Matunggong, Kudat baru-baru ini memberi ruang kepada
kalangan pelajar mempelajari tradisi etnik Rungus menyedia hidangan ‘sinamu’
dan membuat manik ‘vinusak’.
Pengarah Program, Telmah Tahmeh menyifatkan setiap minit dalam program
tiga hari itu merupakan pengalaman berharga mengenali warisan etnik di
tengah-tengah penduduk kampung yang masih meneruskan warisan budaya
nenek-moyang mereka.
“Walaupun terasa agak singkat namun banyak elemen kemasyarakatan sempat
dipelajari dan sangat bermanfaat untuk melengkapkan pelbagai teori pendidikan
bahasa etnik yang dipelajari di ruang kuliah,” kata Telmah.
BERSAMA ibubapa dan murid-murid Tadika Aura Didik Kg Inukiran, Matunggong. |
Turut menjadi golongan sasar dalam khidmat masyarakat itu ialah 19 murid
Tadika Tadika
Aura Didik di Muzium Mini Etnik Rungus dan Galeri
Raymond Majumah Kg Inukiran, Matunggong.
Atas pengalaman yang ditimba rombongan pelajar, penasihat program, Dr
Rosliah Kiting amat berterima kasih di atas kesudian penduduk kampung khususnya
penyelenggara Tadika Aura Didik menampung kehadiran mereka selama pelaksanaan
program itu.
Dr Rosliah yang juga pensyarah kanan UPSI turut mengucapkan terima kasih
atas kesudian penduduk Kampung terutamanya Tadika Aura Didik menerima kehadiran
rombongan pelajar itu.
Khidmat masyarakat yang diadakan sepanjang 29 Januari hingg 1 Februari
itu merupakan sebahagian daripada aktiviti program pengajian minor bahasa Kadazandusun
di universiti berkenaan.
PELAJAR UPSI belajar membuat manik dari penduduk kampung. |
Kalangan pelajar dalam rombongan itu amat menghargai peluang yang mereka
nikmati selama program itu terutamanya sambutan ramah mesra pemilik muzium dan
tadika, Raymond Majumah yang mereka sifatkan sebagai amat berbekas di hati.
Ketua publisiti program, Heidya John memberitahu program itu bertujuan
berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat dan juga murid-murid pra-sekolah.
“Kami berkesempatan mendalami budaya dan sastera lisan masyarakat
Matunggong melalui interaksi dengan penduduk setempat sekali gus memantapkan
kemahiran insaniah pelajar dalam kerja berpasukan,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, kalangan pelajar turut menabur bakti
melakukan kerja amal menceriakan persekitaran belajar dan halaman tadika dengan
melukis mural dan membersihkan mini muzium dan galeri.
RAYMOND menerima cenderahati dari Dr Rosliah diiringi jawatankuasa pelajar. |
Khidmat masyarakat itu telah meletakkan kalangan pelajar dalam situasi realiti
pengajaran dan pembelajaran bahasa dengan mengidentifikasi kemahiran berbahasa
murid-murid pra-sekolah.
“Memandangkan belum semua murid mampu membaca dan menulis dengan baik maka
aktiviti diubahsuai kepada aspek yang lebih kepada pertuturan lisan dan merangsang
keaktifan murid-murid berinteraksi,” kata Heidya.
Dalam aktiviti bersama ibu bapa murid, Puan Rosnah selaku wakil ibu bapa
mengungkapkan rasa kesyukuran dan terima kasih di atas kesudian pihak UPSI
memilih Matunggong sebagai lokasi program.
INTERAKSI dalam kelas antara pelajar UPSI dan murid-murid Tadika Aura Didik Kg Inukiran, Matunggong. |
“Kami amat bersyukur kerana Tadika Aura Didik yang terletak di Kg
Inukiran ini dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan
menabur bakti,” katanya.
Kg Inukiran di Pekan Lama Matunggong yang terletak di puncak sebuah bukit
terpencil, tenang dan mendamaikan dapat dijangkau dengan semua jenis kenderaan
dengan menempuh perjalanan kira-kira tiga kilometer dari jalan besar.
MELUKIS mural di dinding Tadika Aura Didik. |
BELAJAR membuat hidangan ‘sinamu’. |
LUKISAN mural yang dihasilkan dalam khidmat masyarakat pelajar UPSI. |
No comments:
Post a Comment