Tuesday, 18 October 2016

Rungus berbeza dari etnik-etnik serumpun Momogun

Rungus: Peribumi Momogun Sabah



Henry Bating
Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB),
Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL)

 Abstrak
Rungus adalah etnik tersendiri dalam konteks kepelbagaian etnik Sabah yang diklasifikasikan dalam kategori Kadazan Dusun Murut. Namun etnik Rungus adalah serumpun dengan etnik-etnik dalam kategori itu di bawah rumpun Momogun. Nama ‘Momogun’ sudah digunakan lebih awal berbanding nama ‘Dusun’ dan ‘Kadazan’. Berbanding dengan nama ‘Dusun’ dan ‘Kadazan’, nama ‘Momogun’ lebih tulen dan asli. Momogun berasal daripada perkataan bahasa etnik-etnik serumpun. Manakala nama Dusun dan Kadazan diangkat berdasarkan pengaruh luaran. Etnik Rungus menempati wilayah geografi di bahagian Utara Sabah, Malaysia. Etnik ini memiliki sistem bahasanya sendiri yang sudah dikaji secara linguistik. Warisan ketamadunan, kesenian, kesusasteraan, kepercayaan dan adat-istiadat etnik Rungus memiliki keunikan tersendiri. Di sinilah letaknya keberbezaan etnik Rungus dengan etnik-etnik serumpunnya yang lain. Buku ‘Rungus: Peribumi Momogun Sabah’ (RPMS) merupakan karya anak Rungus, Raymond Majumah yang berasal dari Matunggong, Kudat. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2015 ini berukuran A5 dengan kandungan 285 halaman. Terdapat sembilan bab dalam buku RPMS yang menghuraikan secara lengkap pelbagai aspek identiti etnik Rungus. Buku ini sesuai dibaca oleh khalayak pencinta warisan bangsa dan bermanfaat sebagai rujukan ahli akademik dan penjawat awam Mahkamah Anak Negeri Sabah.

Henry Bating, AMN, BSK yang membentangkan ulasan buku ini bertugas di PPIB, UMSKAL, mengajar bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa dan bahasa Kadazandusun untuk pelajar bukan berketurunan Kadazandusun. Beliau merupakan calon Ph.D (UMS), lulusan M.Ed (UMS) dan Sarjana Pendidikan (S1/Drs) Pengajian Bahasa dan Sastera Indonesia (UNJakarta).



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...