Monday 23 November 2020

PPBM sokong etnik KDM anggotai Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

JEROME MIJIN

LABUAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) WP Labuan menyokong penuh semakan semula ke atas komposisi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang dikatakan tidak menggambarkan perwakilan masyarakat niaga dan penduduk pulau ini.

Ahli Jawatankuasa Bahagian PPBM Labuan Jerome Mijin berkata pihaknya juga  telah menyuarakan tentang cadangan perkara ini kepada Ketua Bahagian PPBM Datuk Suhaili Abdul Rahman  untuk memberi ruang etnik KDM di Labuan menganggotai senarai Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.

“Kita perlu mengambil kira perwakilan semua parti sekutu Perikatan Nasional (PN) termasuk kepelbagaian etnik yang ada di Labuan,” kata Jerome yang juga Ketua Cawangan PPBM Victoria Selatan.

Jerome berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Peter Mak yang menyifatkan Ahli Majlis Penasihat Penasihat Labuan yang baru mengangkat sumpah tidak mencerminkan representasi etnik masyarakat niaga dan politik di sini.

Jerome menegaskan, tiada sebab mengapa wakil dari etnik Kadazan Dusun Murut (KDM) dipinggirkan dari menganggotai majlis tersebut kerana sebelum PRU14 etnik berkenaan mempunyai wakil selama tiga penggal berturut-turut.

Majlis Penasihat Perbadanan Labuan tidak mencerminkan
komposisi etnik niaga dan penduduk Labuan

Jelas Jerome lagi, seharusnya tiada parti politik sekutu PN di peringkat Persekutuan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat Negeri Sabah yang dipinggirkan menduduki majlis berkenaan.

Menurut Jerome, sebelum menyertai PPBM, pihaknya dengan kerjasama parti-parti komponen lain termasuk PBS telah menjadi sebahagian kekuatan calon Barisan Nasional (BN) – UMNO yang memenangi kerusi Parlimen Labuan.

“Kerjasama itu akan terus menjadi kekuatan kepada calon PN atau Muafakat Nasional (MN) pada PRU15 yang bakal diadakan kurang dua tahun dari sekarang,” katanya.

Justeru, jelas Jerome adalah penting semua sekutu parti politik dalam kerajaan sekarang diwakili dalam majlis pengambilan keputusan seperti Perbadanan Labuan yang menjadi pihak berkuasa tempatan di sini.

Etnik KDM dalam Majlis Penasihat Perbadanan Labuan sebelum ini diwakili Datuk Peter Mak dari PBS selama dua penggal dan seterusnya mantan Ketua Bahagian UPKO Datuk Ronald James Majaing selama satu penggal.

Dalam kenyataan Peter sebelum ini, beliau menegaskan, meskipun Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berhak membuat keputusan namun komposisi ahli majlis penasihat seharusnya mengambil kira kepelbagaian kaum yang menjadi entiti perniagaan dan politik di Labuan.

“Masyarakat KDM perlu mempunyai wakil kerana etnik itu membentuk kira-kira 15,000 penduduk Labuan yang terlibat dalam perniagaan, baik sebagai usahawan, peniaga, penjaja mahupun pekerja pelbagai sektor,” katanya.

Anggota majlis penasihat yang mengangkat sumpah ialah pengerusi Senator Datuk Bashir dari UMNO bersama enam anggota yang terdiri daripada Haji Hamid Zahri (PAS), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PPBM), Dayang Raynie Datuk Mohd. Din (NGO), Datuk Wong Kii Yii (Dewan Perniagaan Tionghua), Datuk Dhalif Singh (Dewan Perniagaan India) dan Ghani Yunos (Pegawai Khas Menteri Wilayah).

No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...