Banggi: Pulau indah, tenang dan kaya tradisi
Oleh
HENRY BATING
Siri 1- 5/4/16
BANGGI
tiada apa-apanya dalam cerita kalangan orang-orang kaki melancong. Bagi yang
pernah sekali dua menyeberang lautan Kudat – Banggi, cerita mereka juga tiada
yang lengkap. Gambar-gambar yang mereka ambil hanya berligar di sekitar ruang
penumpang kapal ekspress yang mereka naiki.
Sebaik
mendarat, pandangan mereka hanya berligar di sekitar Karakit, pekan utama di
Pulau Banggi. Meski pekannya kecil, Karakit menjadi nadi gugusan pulau-pulau bersebelahan.
Pulau Banggi secara keseluruhannya lebih besar daripada Wilayah Persekutuan
Labuan. Jika dibandingkan dengan pulau bebas cukai Langkawi pun, Banggi masih lebih
besar. Juga masih jauh lebih besar berbanding Negeri Pulau Pinang. Malahan
masih luas berbanding Negara Republik Singapura.
Bagi
kalangan pencinta alam dan penggemar warisan tradisi berbilang etnik, Banggi
adalah tempat yang istimewa. Pulau utama Banggi yang berpusat di Karakit tidak
akan habis dijelajahi sehari suntuk. Pengunjung memerlukan beberapa malam lagi
untuk menginap di pusat-pusat homestay atas air, atas tanah atau rumah rehat. Itu
belum termasuk aturcara menjelajah pulau-pulau penting lain seperti
Balambangan.
Kunjungan
semalaman rombongan Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) ke Pulau
Banggi 2 April lalu hanya sempat menyentuh sebahagian kecil luaran alam dan
manusia Banggi.
PANDANGAN pelabuhan Banggi dari atas bukit Klinik Kesihatan.
Rombongan
itu melibatkan penulis selaku presiden, Raymond Majumah (Timbalan Presiden),
Kathirina Susana Tati (Setiausaha Agung), Sofie Clara (Bendahari Agung), Monsu
Godon (Penolong Ketua Penerangan), Almiey Ali (Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka - DBP) dan Alexander
Bungkak (ahli).
Di
Banggi, aturcara kunjungan dikendalikan Ketua Urusetia Perhubungan Momogunsia
Banggi, Arra Larra Qristine dengan rakanya Rose Hastiah. Rombongan menginap di
Homestay Maliangin, suatu penginapan atas air di Karakit yang mesra pengunjung.
Di
Karakit, panorama indah jeti dengan lalu-lalang pengangkutan air pelbagai jenis
dapat dilihat dengan indah dari perkarangan Klinik Kesihatan yang bertapak di
tanah tinggi. Di bawah klinik itu tersergam indah rumah kedai Perkasa Realty
empat pintu yang menempatkan bilik-bilik hotel di tingkat atas.
JETI Karakit yang menjadi laluan sibuk di Banggi.
Di hadapan rumah kedai yang tinggal menunggu waktu pembukaan itu adalah jeti Karakit, tempat yang paling sibuk dengan lalu-lalang manusia di kepulauan itu. Di jeti itu juga bersusun deretan gerai makan dan minum yang hanya dibuka pada siang hari. Di sisi kedai berdiri kukuh balai polis yang dioperasikan para pegawai yang ramah kepada masyarakat. Di pesisiran tebingan laut Karakit berdiri megah masjid, perkampungan atas air, homestay dan SK Karakit.
Namun
kunjungan ke Banggi dalam rangka menyusun karya Antologi Puisi ‘Bayu Banggi’ tidak
sekadar berligar di Karakit. Rombongan itu juga mahu mengaitkan realiti
kehidupan tradisi suatu masyarakat Banggi dengan karya cerpen ‘Pugai Balabak’
yang menjadi tajuk antologi yang sedang diterbitkan.
HOMESTAY Maliangin penginapan di atas air.
Arra
dan Ros telah menempah pengangkutan model Unser untuk rombongan bergerak lebih
ke pedalaman. Pergerakan untuk menguak rahsia alam dan manusia Banggi
dipermudahkan lagi oleh pengalaman Raymond yang pernah berkhidmat hampir 10
tahun di pulau itu.
Pergerakan
rombongan pada awal pagi keesokannya telah diunjurkan sampai ke Kapitangan.
Lokasi menghampiri Pulau Balambangan itu disasarkan sebagai destinasi
penghujung sebelum balik menyeberang 2.00 petang mengikut jadual kapal
ekspress. Namun perjalanan tidak sempat sampai ke Kapitangan. Rombongan hanya
mampu sampai ke Nusa Nusa di mana sebuah resort tradisi sudah dibangunkan dan
hanya menunggu masa untuk dibuka kepada pengunjung.
PENYAMPAIAN hadiah buku kepada Arra Larra Qristine oleh Almiey.
Begitupun,
perjalanan yang tidak sampai ke destinasi sasaran itu sempat melewati
tempat-tempat yang sarat dengan keindahan, ketenangan dan keaslian tradisi.
Bermula dari Karakit, perjalanan melewati Kobong, kemudian Limbuak, Padang,
Maliyu, Damaran, Kalangkama dan berakhir di Nusa Nusa.
Pada
laluan ini, Air Terjun Bungga di Kalangkama dan Bukit Sinambung tidak sempat
didatangi lantaran setiap satunya menuntut seharian untuk berkunjung. Rombongan
juga sempat singgah di projek agropolitan sawit Felcra.
Rombongan
menyusuri laluan itu dengan melewati perkampungan dan penduduk yang amat
terbuka menerima kehadiran pengunjung. Malahan rata-rata penduduk amat sudi
melambaikan tangan setiap kali rombongan melewati mereka.
SAWIT Agropolitan Banggi.
Amat
banyak fakta alam, sejarah dan tradisi yang belum dipetik dari setiap satu
persinggahan pada laluan itu. Namun setiap satu fakta itu wujud bukan dengan tanpa
konflik. Sungguh mendalam konflik yang terkuak. Konflik itulah yang merisaukan
dan melemaskan hati menurut sudut pandangan pencinta alam dan warisan tradisi.
Ikuti
konflik antara pemodenan dan pelestarian warisan hidup Banggi dalam bahagian
akhir dari dua siri tulisan ini yang menyusul kemudian. Dua siri tulisan ini
merupakan paparan pengamatan penulis yang berasal dari luar lingkungan
masyarakat Pulau Banggi.
No comments:
Post a Comment