Saturday, 17 September 2016

Rombongan UPSI tempuh perjalanan 17 jam Jakarta-Yogyakarta

Perjalanan penuh lelah lagi mendebarkan dari Jakarta ke Yogyakarta


BERSIAR di Yogyakarta menaiki beca.


Oleh HENRY BATING
Siri II 18/9/16
MISI mengetengahkan hasil karya dan warisan tradisi ke pentas Seminar Sastera Antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016 di Yogyakarta telah membawa perjalanan rombongan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak menempuh perjalanan yang agak melelahkan lagi mendebarkan.
Rombongan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah pengajian bahasa Kadazandusun itu seawal 6.00 pagi sudah bergerak dari kediaman masing-masing untuk berangkat ke stesen keretapi Tanjong Malim untuk menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke Kuala Lumpur Sentral.
Jam 8.00 pagi rombongan tiba di KL Sentral lalu mengambil sarapan dan menukarkan matawang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia di kaunter tukaran wang asing. Ada di antara anggota rombongan merasa teruja memegang matawang rupiah yang melebihi Rp3 juta.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan keretapi menuju KLIA2 dan langsung ‘check-in’ kerana penerbangan antarabangsa mengharuskan para penumpang tiba empat jam lebih awal.
Rombongan bergerak dalam dua penerbangan dengan jadual berbeza di mana kumpulan pertama bertolak 2.55 petang dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk mendarat di Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta. Namun sebaik mendarat, jam setempat menunjukkan 3.55 petang kerana waktu Malaysia awal sejam.
Selesai melengkapkan borang pendaratan yang diwajibkan imigresen, rombongan meneruskan perjalanan menaiki bas Damri menuju terminal Rawamangun untuk kemudian menyambung perjalanan ke Yogyakarta.
Dalam kesempatan mundar-mandir di sekitar Bandara Soekarno-Hatta, anggota rombongan sempat teruja melihat persekitaran yang sungguh teratur di samping menemui orang-orang yang ramah dan penuh perhatian belaka.
Perjalanan dari bandara yang terletak di arah Jakarta Selatan ke Rawamangun yang terletak ke bahagian Jakarta Timur mengambil masa kira-kira sejam dengan kadar tambang Rp40 ribu.
ROMBONGAN pertama mendarat di Bandara Soekarno-Hatta.


Keadaan sepanjang jalan pada ketika itu mulai sesak lantaran masuknya waktu puncak di mana para karyawan sedang pulang dari kantor masing-masing. Rombongan pertama lima orang itu sampai di terminal kira-kira 7.30 malam dan langsung membeli tiket untuk perjalanan panjang menaiki bas ke Daerah Istimewa Yogyakarta yang terletak di bahagian selatan Jawa Tengah.
Sementara menunggu jadual perjalanan bas, rombongan berkesempatan berinteraksi dengan warga kota dan mendapat pengetahuan baharu penggunaan istilah-istilah tertentu seperti bis untuk bas, kamar kecil (tandas), mba (cik) dan banyak lagi.
Masa bertolak 8.30 malam tidak berjalan mulus. Rombongan diberitahu bas yang ditentukan awal berhalangan lalu dicadangkan menaiki van kecil. Tanpa ada pilihan lain, rombongan bersesak dengan penumpang lain hingga menimbulkan kemarahan sepasang suami isteri dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar.
Meski sesak, rombongan mengambil maklum mungkin itulah lumrah kehidupan warga di kota metropolitan itu. Perjalanan ke Yogyakarta yang pada kebiasaan hanya mengambil masa lapan jam menaiki bas antar propinsi berlangsung sehingga 17 jam melewati Solo.

PERJALANAN menaiki bas yang agak melelahkan dari Jakarta ke Yogyakarta.

Selang empat jam meluncur tanpa henti, van berhenti di satu tempat di mana jam pada ketika itu menunjukkan 1.30 pagi. Para penumpang turun untuk meregangkan otot, ke bilik air dan menghangatkan diri dengan minuman di kedai perhentian itu.
Perjalanan seterusnya adalah melayan keletihan dengan melelapkan mata. Kepekatan malam kemudian mulai beransur siang dalam perjalanan itu. Dalam suasana pagi itu, rombongan disajikan hamparan alam di kiri-kanan yang menyejukkan mata memandang.
Kesuburan tanah Jawa menghamparkan pelbagai tanaman seperti jagung, sawah padi, ubi kayu dan sayur-sayuran. Sesekali perjalanan melewati perbukitan dan gunung berapi. Itu merupakan pengalaman pertama rombongan memandang di depan mata gunung berapi yang hidup.
Pada jam 9.00 pagi, rombongan sampai di Terminal Solo untuk melanjutkan lagi perjalanan ke Yogyakarta menaiki bas lain. Dari Solo perjalanan masih mengambil masa tiga jam untuk sampai ke terminal utama Yogyakarta di Giwangan.
Di terminal itu rombongan menyempatkan diri menikmati pelbagai hidangan yang tersedia di gerai-gerai. Sampai di tempat itu pun debaran masih terasa kerana rombongan tidak biasa dengan cara komunikasi warga setempat termasuk berhubungan dengan urus setia penganjur.
BERADA di salah satu sudut Kota Yogyakarta.

Namun atas bantuan beberapa abang teksi, komunikasi kepada urus setia dapat dijalin yang kemudian membawa rombongan sampai ke Hotel Universitas Gadjah Mada (UGM).
Kelelahan dalam perjalanan merupakan pengalaman tersendiri kepada para peserta rombongan. Namun kepenatan itu terubat juga dengan keindahan dan keselesaan tempat tinggal di Hotel UGM.
Manakala rombongan kedua hanya mendarat di Bandara Soekarno-Hatta sekitar jam 1.00 pagi ketika mana rakan-rakan yang mengikuti penerbangan pertama sudah jauh berada di pertengahan perjalanan.
Rombongan kedua turut menempuh laluan perjalanan seperti yang telah dilalui rakan-rakan mereka yang telah bergerak lebih dahulu.  Rombongan kedua itu sampai ke Hotel UGM Yogyakarta sekitar jam 9.00 malam setelah melewati perjalanan sehari-suntuk.

PEMENTASAN warisan tradisi Kadazandusun di Seminar Sastera Antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016.



6 comments:

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...