Monday, 19 September 2016

Borobudur: Jiwa dan amalan penduduk menyatu

Borobudur: Di candi itu jiwa dan amalan masyarakat Magelang menyatu
ROMBONGAN 14 pelajar UPSI di kaki tangga menaiki candi Borobudur.


Oleh HENRY BATING
KEAJAIBAN Borobudur tidak perlu diperkatakan lagi. Keagungan binaan dan kesucian candi Mahayana Buddha itu sudah tercatat berabad lamanya dalam pelbagai sumber. Namun falsafah hidup bangsa yang melestarikan warisan dunia itu tidak akan pernah pudar untuk dipelajari.
“Jiwa dan amalan hidup penduduk desa Borobudur menyatu memancarkan keagungan candi yang didirikan abad ke-9 itu tetap bersinar serta memberi hidup lahiriah dan rohaniah kepada masyarakat sekeliling”.
Demikian antara lain kesan rasa dan minda rombongan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak yang berkampung kira-kira seminggu di Yogyakarta - kota pelajar, bermula 15 September lalu.


MEMULAKAN langkah menaiki candi warisan dunia.

Rombongan 14 orang diiringi Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr Rosliah Kiting itu melibatkan dua pelajar pascasiswazah pengajian bahasa Kadazandusun, Florina Jumil dan Januin Jainis serta 11 pelajar prasiswazah pengajian minor bahasa Kadazandusun.
Program menghadiri seminar sastera antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016 dikendalikan di bawah pengarah program, Lesah Kuangin. Pelajar lain terdiri daripada Ana Fiuna Dansun, Melida Simon, Roseanne Nelson, Feria Sulip Felix, Felicia Vung, Alexander Joanes, Janne Maradius, Allen Sarah Damianus, Ellysia Richard, Siti Wadinih Saili.


MENGAMBIL latar stupa terbesar candi Borobudur.

Allen, Ana dan Feria secara spesifik menyebutkan betapa kesucian Borobudur dijaga rapi sehinggakan tidak ada pengunjung dibenarkan memasuki candi itu tanpa berpakaian menutupi aurat.
“Jika ada pelancong berpakaian tidak menutupi bawah paras lutut, mereka diminta mengenakan sarung demi menghormati dewa-dewi di candi itu dan sarung boleh dibeli dekat pintu masuk,” jelas mereka.
Begitupun rata-rata anggota rombongan kagum dengan suasana semulajadi yang tetap terpelihara di sekitar candi yang terletak di Kabupaten Magelang, Jawa Tengah itu.


BERADA di bumbung candi Borobudur.

Lebih mengagumkan apabila berada di atas candi Borobudur, sekelilingnya menampakkan pemandangan perkampungan semulajadi dengan kesuburan pepohonan, tebaran sawah padi, tanaman ubi kayu, sayur-sayuran dan rumah-rumah yang damai dan menyatu dengan alam.
“Persekitaran seumpama itu serta-merta menggamit kerinduan kepada kampung halaman di Sabah,” jelas mereka.
Menambah unik persekitaran candi Borobudur ialah kewujudan muzium, bioskop informasi, Kapal Samudra Raksa, seni ukir hidup pada dinding batu dan gajah hidup yang boleh ditunggangi pengunjung, pastinya dengan kadar bayaran tertentu.
Malahan terdapat keretapi dalam taman yang boleh dinaiki sekiranya pengunjung tidak memilih untuk berjalan kaki.
Lagi mengagumkan ialah kecintaan penduduk setempat sekitar candi itu yang mengutamakan warisan bangsa sendiri seperti mengenakan pakaian tradisional batik dan kebaya dalam kehidupan sehari-hari.
Perjuangan hidup kalangan penjaja barangan cenderakenangan terserlah dari kecekalan mereka memujuk rayu setiap pengunjung candi itu. Pelbagai barangan ditawarkan meliputi ‘key chain’, baju-t, kemeja batik, gelang, topi, monopod, kacamata dan banyak lagi.
Dalam kecekalan penjual menjaja barangan mereka, seperkara yang perlu diketahui pengunjung, mereka sendiri harus cekal melakukan tawar-menawar harga kerana pada kebiasaan harga boleh dikurangkan sehingga 50 peratus.


MENGHAMPIRI halaman candi Borobudur.


Bagi sebahagian anggota rombongan, situasi itu sendiri merupakan sesuatu yang unik kerana hakikatnya keadaan tawar-menawar secara sopan dan beradab seperti itu jarang kelihatan di Sabah.
Melihat kepada barangan cendera yang dijaja di Borobudur, kalangan pelajar dalam rombongan itu memikirkan bahawa kreativiti barangan kraf itu boleh diwujudkan di Sabah untuk mempelbagai jualan di kalangan peniaga kecil.
Umpamanya kemeja atau baju-t boleh direka atau disulam berasaskan corak pelbagai etnik asal Sabah kerana kelihatannya pelancong gemar mendapatkan cenderahati yang menggambarkan identiti setempat.
Kesempatan berkunjung di Borobudur membuka keinsafan betapa masyarakat desa Borobudur dalam kabupaten Magelang di mana candi itu berdiri megah, dapat melangsungkan kehidupan hanya bersumberkan penghasilan menjaga kesucian dan keajaiban candi terbesar Buddha itu.

PERJALANAN menuju tangga menaiki candi Borobudur.


2 comments:

  1. Waaaww..pounsikou. indah bahasa masyhur bangsa.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Gundohing kerana sudi menulis segala pengalaman kami di blog Gundohing...sememangnya semua pengalaman ini tidak dapat kami lupakan..☺

    ReplyDelete

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...