Monday 5 September 2016

PBS Labuan Usul ADUN Sabah Dilantik

PBS Labuan lulus usul memberlaku semula keanggotaan DUN Sabah dilantik

 MARVIN (kedua kiri) selepas membentang usul keanggotaan Adun Sabah dilantik.

Oleh HENRY BATING
LABUAN: 5/9/16 - Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan dalam mesyuarat agung tahunan ke-31 bahagian itu pada Ahad meluluskan sebulat suara usul memberlakukan semula keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dilantik dan salah satunya hendaklah diisi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) berpusat di Kota Kinabalu yang bermestautin di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketika membentangkan usul itu, Setiausaha Bahagian, Marvin Chong memaklumi bahawa Pulau Labuan secara perundangan dan pentadbiran sudah diletakkan dalam Wilayah Persekutuan di mana sekali pandang, Labuan tidak lagi terkait dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Bagaimanapun, bila dipandang secara teliti, Negeri Sabah kekal memiliki kepentingan awam di Pulau Labuan,” kata Marvin.

Menurut Marvin yang juga lulusan bidang undang-undang, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Sabah masih wujud di Labuan. Perkhidmatan feri, bot dan perkapalan antara tanah besar Sabah dan Pulau Labuan masih berkait rapat.

“Sebahagian daripada perkhidmatan pengangkutan laut antara daratan Sabah dan Labuan masih berkaitan dengan Sabah. Jambatan antara daratan Sabah dan Labuan yang sering diuar-uarkan tetap berkaitan dengan kepentingan Negeri Sabah,” jelas Marvin.

Seterusnya Marvin menegaskan bahawa penjawat awam khususnya dalam Mahkamah Anak Negeri di Labuan tetap berpaut dengan penyelarasan perundangan adat-istiadat Kerajaan Negeri Sabah. Malahan, sebahagian daripada penduduk Labuan, masih terdaftar sebagai pengundi di pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Menurut Marvin, demi mewakili kepentingan Kerajaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan pengurusan Wilayah Persekutuan Labuan, maka wajar sekali seorang pemimpin dari Wilayah Persekutuan Labuan dilantik menduduki salah satu slot Ahli Yang Berhormat (dilantik) dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Senario seperti ini bukanlah perkara baru kerana pelantikan seumpama itu pernah berlaku suatu masa dahulu,” tegas Marvin.

Keratan Akhbar Utusan Borneo 6 Sept 2016

Mesyuarat agung yang dipengerusikan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Ali Zaman menerima sebulat suara usul tersebut untuk dibawa ke mesyuarat agung tahunan PBS pusat tahun ini untuk dibahas dan diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri Sabah.

Mesyuarat agung tersebut dirasmikan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Bahagian PBS Labuan, Datuk Peter Mak.

Dua lagi usul dibentangkan Ketua Pemuda, Sheiron Chang di terima sebulat suara. Satu dari usul itu ditujukan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengutamakan pemimpin bermestautin di Labuan menduduki jawatan pengurusan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Sabah yang beroperasi di Labuan.

Usul yang satu lagi ditujukan kepada pengurusan BN Labuan untuk memperkenalkan mekanisme mengutamakan kontraktor berdaftar di Labuan melaksanakan kerja kontrak awam atau swasta di Labuan.

MAXIMUS, Rosman, Peter, Sheiron (kiri) ketika perasmian mesyuarat agung tahunan PBS Labuan.



No comments:

Post a Comment

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...