Tuesday, 27 September 2016

Miss Senorita ratu peragaan, pelancongan Keningau

Miss Senorita cungkil bakat peragaan, perkenal pelancongan Keningau

15 FINALIS berentap merebut gelaran Miss Senorita.

Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Buat pertama kali 23 jelitawan berentap merebut mahkota Miss Senorita dan enam gelaran sampingan lain yang dianjurkan bersama MG Photography & Bridal House, Make-up Artist (MUA) Keningau Pedalaman dan Janet Bridal Tambunan.
Pengarah Urusan MG Photography & Bridal House, George Minsun Uradat berkata enam lagi gelaran sampingan lain ialah Miss FB, Miss Photogenik, Miss Natural Beauty, Miss Friendly, Miss Popular dan Best Dress.
GEORGE MINSUN

“Dari 23 penyertaan yang diterima saringan telah dijalankan di mana 15 peserta bakal tampil di hadapan khalayak hadiran peringkat akhir yang diadakan di sebuah hotel terkenal di Keningau 29 Oktober depan,” kata George sambil menjelaskan acara itu bermula 7.00 petang.
Menurut George, Miss Senorita bakal menerima hadiah bernilai lebih daripada RM2,500 di mana pengadilan dilakukan berdasarkan kriteria kecantikan, kebijakan, catwalk dan disiplin.
George seterusnya menjelaskan bahawa pertandingan itu dijalankan bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam dunia peragaan khususnya di kawasan pedalaman Keningau yang turut melibatkan daerah Tambunan, Sook, Nabawan dan Tenom.

PARA peserta mendengar sesi taklimat.

“Kita juga mahu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kalangan artis make-up, pereka fesyen dan jurufoto di seluruh kawasan pedalaman Keningau melalui peserta yang mereka hantar,” kata George.
Beberapa aktiviti telah disusun untuk diikuti oleh 15 peserta peringkat akhir meliputi pendakian ke Bukit Tirig Apin-Apin, lawatan ke beberapa tempat seperti tamu Apin-Apin, Taman Bersatu Nuntunan, Tamu Ground Keningau dan Muzium Keningau.
Melalui rentetan aktiviti yang disusun, pihak penganjur berharap dapat memperkenalkan tempat-tempat berkaitan sebagai destinasi kunjungan kepada para pelancong yang melawat kawasan Keningau.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir sesi pemilihan.

Keratan akhbar Utusan Borneo 28 Sept 2016


Monday, 26 September 2016

Beganu, Ngajat, artis Dayak di Matunggong 22 Oktober


 Puisi ‘Beganu’, Tarian ‘Ngajat’ dan penampilan khas artis Sarawak
 Di Malam Semarak Puisi Etnik - Bulan Bahasa Kebangsaan 2016
sempena Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES-2016) BIMP-EAGA di Matunggong 22 Okt 2016

CLEMENCE JOY'S

Puisi Beganu merupakan puisi rakyat Iban yang berbentuk hiburan. Puisi ini dideklamasikan bertujuan untuk memuji seseorang atau sesuatu perkara. Dalam persembahan di Matunggong nanti, puisi ini mahu membawa mesej memuji perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan seminar. Puisi ini dijangka dipersembahkan selama seminit atau dua minit. Kemudian disambung dengan tarian Ngajat masyarat Iban. Tarian Ngajat juga dijangkakan mengambil masa selama satu hingga dua minit. Persembahan diakhiri dengan nyanyian khas seorang penyanyi dari Sarawak, Clement Joy’s. ini adalah rangka persembahan yang tertakluk kepada kehendak dan kesesuaian pengurusan pentas.

Puisi Beganu akan dideklamasikan oleh Dr Patricia Ganing, diiringi 2-3 penari dan diserikan kemuncak persembahan Clemence Joy’s. Clemence merupakan seorang penyanyi berbangsa Iban yang cukup dikenali di Sarawak.        Selain berkecimpung dalam seni suara, beliau juga merupakan seorang guru dan bertugas di sebuah sekolah di luar bandar Sibu. Clemence pernah memenangi pelbagai anugerah. Antaranya penyanyi lelaki Dayak terbaik dalam Dayak Music Award (DAMA) 2010, lagu Dayak terbaik 2010, lagu Iban paling popular 2010, Johan pertandingan lagu Iban Sibu fm (RTM Sibu) dan banyak lagi pencapaian lain. 

Thursday, 22 September 2016

Pembentangan HIIS:TST di SPES2016 Matunggong 22 Oktober


Puisi Tradisional (HIIS: TST) dalam
Pengajaran Pembelajaran Bahasa Kadazandusun



Oleh 
Linah Bagu
Pensyarah Kanan Pengajian Kadazandusun IPG Kent, Tuaran

Abstrak
Hiis merupakan karya kesusasteraan masyarakat Kadazan Dusun yang hampir dilupakan oleh pemiliknya sendiri. Hiis adalah himpunan sastera tradisi dalam bentuk puisi yang diwarisi daripada leluhurnya secara turun temurun. Hiis telah diperkenalkan dalam kurikulum Bahasa Kadazandusun sebagai salah satu elemen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun sejak di sekolah rendah ke sekolah menengah hingga ke institut pendidikan tinggi seperti institut pendidikan guru (IPG) dan universiti. Hiis sangat signifikan dan sesuai digunakan sebagai satu pendekatan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih kreatif, aktif dan efektif berdasarkan model The Learning Pyramid. Model tersebut menjelaskan bahawa kaedah pengajaran secara penglibatan aktif lebih berkesan. Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mengenal pasti kesan penggunaan tiga jenis Hiis Tinungkusan Tinaru Kadazan Dusun iaitu Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi (Hiis:TST) dalam pengajaran dan pembelajaran kebudayaan dan kesusasteraan Bahasa Kadazandusun di kalangan pelajar PPISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Jun 2015. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sebagai kaedah utama dengan menggunakan teknik temubual dan pemerhatian kepada beberapa pelajar terpilih. Analisis terhadap respon temubual pelajar secara transkripsi dan rekod pemerhatian digunakan. Dapatan kajian tentang  keberkesanan Hiis:TST ini menunjukkan bahawa Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi telah berjaya memudahkan pembelajaran mereka terhadap elemen-elemen sastera dan budaya tradisi warisan masyarakat Kadazan Dusun serta meningkatkan kemahiran  dalam aspek keindahan bahasa ibunda mereka. Hiis:TST juga telah merangsang minat dan kecintaan pelajar untuk mendalami estetika warisan tradisi budaya leluhur mereka yang hampir dilupakan.
Kata Kunci: Hiis (TST), Puisi Tradisional, Kadazan Dusun, Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi.




IPG Kent persembah Hiis dan Sumirid di SPES2016 Matunggong

Persembahan Hiis Tinungkusan 
Tinaru Dusun dan Tarian Tradisi Sumirid


Kumpulan Hiis Tinungkusan IPG Kent, Tuaran

menampilkan persembahan di
Malam Semarak Puisi Etnik sempena
Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES2016) BIMP-EAGA di Matunggong, 22 Oktober 2016


Persembahan ini menggabungkan puisi lisan tradisi masyarakat Dusun yang terdiri daripada Taala-ala, Sudawil dan Tudodoi serta Andayayong. Puisi lisan ini biasanya digunakan ketika melakukan aktiviti pertanian seperti mananam padi, mengetam padi dan juga semasa keramayan yang bertujuan untuk menghilangkan rasa penat sambil menghiburkan hati.

Tarian Sumirid pula merupakan tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau. Pada asalnya tarian ini merupakan pergerakan satu perlakuan meleraikan padi daripada tangkainya dengan memijak-mijak tangkai padi. Apabila pada satu ketika, daerah ini tidak aman kerana gangguan musuh, penduduk kampung menghantar pahlawan mereka pergi berjuang. Apabila pahlawan mereka kembali membawa kemenangan, mereka disambut dengan tarian “Sumirid” sebagai tanda kesyukuran, kegembiraan dan penuh kebangaan.


(Persembahan selama 8 – 10 minit ini diketuai oleh Cik Cynthiana John dan dibimbing oleh Puan Linah Bagu iaitu Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun juga selaku Mentor pelajar kumpulan ini)

Wednesday, 21 September 2016

Kearifan lokal talaala dalam SPES2016 di Matunggong

Kearifan Lokal Kadazandusun dalam Talaala dan Pelestariannya 

 Dr. Rosliah Kiting
 Dr. Rosy Talin
Prof Madya Dr. Saidatul Nornis Haji Mahali

Kearifan lokal (local wisdom) merupakan kebijaksanaan atau nilai-nilai luhur yang terkandung  dalam  budaya lokal.                Nilai-nilai budaya lokal  yang berkaitan dengan etika, estetika, moral, agama, sosial dan world view menggambarkan jati diri sesuatu bangsa.  Manakala talaala merupakan sastera dalam rumpun hiis (puisi)  tradisi masyarakat Kadazandusun yang menyerupai pantun Melayu. Sebagai puisi tradisi, talaala menggambarkan kehalusan dan keprihatinan masyarakat Kadazandusun  pada waktu itu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya.  Semua perkara dimasukkan dalam satu bentuk pemikiran yang tersusun dan dijelmakan dalam pengucapan yang indah melalui rangkap-rangkap talaala. Khazanah yang sangat bernilai ini perlu dilestarikan agar kepada generasi seterusnya agar kebijaksanaan dan nilai-nilai yang terkadung dapat diwariskan. Penulisan ini akan menghuraikan nilai-nilai  kearifan lokal yang telah dimuatkan oleh kebijaksanaan pemikiran tradisi masyarakat Kadazandusun melalui rangkap talaala dengan menumpukan perhatian kepada nilai-nilai lokal yang luhur, positif dan arif.  Beberapa cadangan turut dikemukakan sebagai usaha pelestarian genre terutamanya menjadikan warisan ini sebagai bahan  pengajaran di sekolah, memenafaatkan teknologi sebagai penyebaran dan galakan pengunaan dalam kehidupan seharian.
Rosliah merupakan Pensyarah Kanan Pengajian Bahasa Kadazandusun di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak. Beliau yang berasal dari Tamparuli, Sabah memperoleh B.A. (Hons) dari Universiti Malaya, M.Ed (UTM) dan Ph.D (UMS). Kajiannya meliputi bidang pendidikan, bahasa, budaya dan kesusasteraan tradisional Kadazandusun.


Monday, 19 September 2016

Borobudur: Jiwa dan amalan penduduk menyatu

Borobudur: Di candi itu jiwa dan amalan masyarakat Magelang menyatu
ROMBONGAN 14 pelajar UPSI di kaki tangga menaiki candi Borobudur.


Oleh HENRY BATING
KEAJAIBAN Borobudur tidak perlu diperkatakan lagi. Keagungan binaan dan kesucian candi Mahayana Buddha itu sudah tercatat berabad lamanya dalam pelbagai sumber. Namun falsafah hidup bangsa yang melestarikan warisan dunia itu tidak akan pernah pudar untuk dipelajari.
“Jiwa dan amalan hidup penduduk desa Borobudur menyatu memancarkan keagungan candi yang didirikan abad ke-9 itu tetap bersinar serta memberi hidup lahiriah dan rohaniah kepada masyarakat sekeliling”.
Demikian antara lain kesan rasa dan minda rombongan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak yang berkampung kira-kira seminggu di Yogyakarta - kota pelajar, bermula 15 September lalu.


MEMULAKAN langkah menaiki candi warisan dunia.

Rombongan 14 orang diiringi Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr Rosliah Kiting itu melibatkan dua pelajar pascasiswazah pengajian bahasa Kadazandusun, Florina Jumil dan Januin Jainis serta 11 pelajar prasiswazah pengajian minor bahasa Kadazandusun.
Program menghadiri seminar sastera antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016 dikendalikan di bawah pengarah program, Lesah Kuangin. Pelajar lain terdiri daripada Ana Fiuna Dansun, Melida Simon, Roseanne Nelson, Feria Sulip Felix, Felicia Vung, Alexander Joanes, Janne Maradius, Allen Sarah Damianus, Ellysia Richard, Siti Wadinih Saili.


MENGAMBIL latar stupa terbesar candi Borobudur.

Allen, Ana dan Feria secara spesifik menyebutkan betapa kesucian Borobudur dijaga rapi sehinggakan tidak ada pengunjung dibenarkan memasuki candi itu tanpa berpakaian menutupi aurat.
“Jika ada pelancong berpakaian tidak menutupi bawah paras lutut, mereka diminta mengenakan sarung demi menghormati dewa-dewi di candi itu dan sarung boleh dibeli dekat pintu masuk,” jelas mereka.
Begitupun rata-rata anggota rombongan kagum dengan suasana semulajadi yang tetap terpelihara di sekitar candi yang terletak di Kabupaten Magelang, Jawa Tengah itu.


BERADA di bumbung candi Borobudur.

Lebih mengagumkan apabila berada di atas candi Borobudur, sekelilingnya menampakkan pemandangan perkampungan semulajadi dengan kesuburan pepohonan, tebaran sawah padi, tanaman ubi kayu, sayur-sayuran dan rumah-rumah yang damai dan menyatu dengan alam.
“Persekitaran seumpama itu serta-merta menggamit kerinduan kepada kampung halaman di Sabah,” jelas mereka.
Menambah unik persekitaran candi Borobudur ialah kewujudan muzium, bioskop informasi, Kapal Samudra Raksa, seni ukir hidup pada dinding batu dan gajah hidup yang boleh ditunggangi pengunjung, pastinya dengan kadar bayaran tertentu.
Malahan terdapat keretapi dalam taman yang boleh dinaiki sekiranya pengunjung tidak memilih untuk berjalan kaki.
Lagi mengagumkan ialah kecintaan penduduk setempat sekitar candi itu yang mengutamakan warisan bangsa sendiri seperti mengenakan pakaian tradisional batik dan kebaya dalam kehidupan sehari-hari.
Perjuangan hidup kalangan penjaja barangan cenderakenangan terserlah dari kecekalan mereka memujuk rayu setiap pengunjung candi itu. Pelbagai barangan ditawarkan meliputi ‘key chain’, baju-t, kemeja batik, gelang, topi, monopod, kacamata dan banyak lagi.
Dalam kecekalan penjual menjaja barangan mereka, seperkara yang perlu diketahui pengunjung, mereka sendiri harus cekal melakukan tawar-menawar harga kerana pada kebiasaan harga boleh dikurangkan sehingga 50 peratus.


MENGHAMPIRI halaman candi Borobudur.


Bagi sebahagian anggota rombongan, situasi itu sendiri merupakan sesuatu yang unik kerana hakikatnya keadaan tawar-menawar secara sopan dan beradab seperti itu jarang kelihatan di Sabah.
Melihat kepada barangan cendera yang dijaja di Borobudur, kalangan pelajar dalam rombongan itu memikirkan bahawa kreativiti barangan kraf itu boleh diwujudkan di Sabah untuk mempelbagai jualan di kalangan peniaga kecil.
Umpamanya kemeja atau baju-t boleh direka atau disulam berasaskan corak pelbagai etnik asal Sabah kerana kelihatannya pelancong gemar mendapatkan cenderahati yang menggambarkan identiti setempat.
Kesempatan berkunjung di Borobudur membuka keinsafan betapa masyarakat desa Borobudur dalam kabupaten Magelang di mana candi itu berdiri megah, dapat melangsungkan kehidupan hanya bersumberkan penghasilan menjaga kesucian dan keajaiban candi terbesar Buddha itu.

PERJALANAN menuju tangga menaiki candi Borobudur.


Saturday, 17 September 2016

Rombongan UPSI tempuh perjalanan 17 jam Jakarta-Yogyakarta

Perjalanan penuh lelah lagi mendebarkan dari Jakarta ke Yogyakarta


BERSIAR di Yogyakarta menaiki beca.


Oleh HENRY BATING
Siri II 18/9/16
MISI mengetengahkan hasil karya dan warisan tradisi ke pentas Seminar Sastera Antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016 di Yogyakarta telah membawa perjalanan rombongan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak menempuh perjalanan yang agak melelahkan lagi mendebarkan.
Rombongan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah pengajian bahasa Kadazandusun itu seawal 6.00 pagi sudah bergerak dari kediaman masing-masing untuk berangkat ke stesen keretapi Tanjong Malim untuk menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke Kuala Lumpur Sentral.
Jam 8.00 pagi rombongan tiba di KL Sentral lalu mengambil sarapan dan menukarkan matawang Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia di kaunter tukaran wang asing. Ada di antara anggota rombongan merasa teruja memegang matawang rupiah yang melebihi Rp3 juta.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan keretapi menuju KLIA2 dan langsung ‘check-in’ kerana penerbangan antarabangsa mengharuskan para penumpang tiba empat jam lebih awal.
Rombongan bergerak dalam dua penerbangan dengan jadual berbeza di mana kumpulan pertama bertolak 2.55 petang dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk mendarat di Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta. Namun sebaik mendarat, jam setempat menunjukkan 3.55 petang kerana waktu Malaysia awal sejam.
Selesai melengkapkan borang pendaratan yang diwajibkan imigresen, rombongan meneruskan perjalanan menaiki bas Damri menuju terminal Rawamangun untuk kemudian menyambung perjalanan ke Yogyakarta.
Dalam kesempatan mundar-mandir di sekitar Bandara Soekarno-Hatta, anggota rombongan sempat teruja melihat persekitaran yang sungguh teratur di samping menemui orang-orang yang ramah dan penuh perhatian belaka.
Perjalanan dari bandara yang terletak di arah Jakarta Selatan ke Rawamangun yang terletak ke bahagian Jakarta Timur mengambil masa kira-kira sejam dengan kadar tambang Rp40 ribu.
ROMBONGAN pertama mendarat di Bandara Soekarno-Hatta.


Keadaan sepanjang jalan pada ketika itu mulai sesak lantaran masuknya waktu puncak di mana para karyawan sedang pulang dari kantor masing-masing. Rombongan pertama lima orang itu sampai di terminal kira-kira 7.30 malam dan langsung membeli tiket untuk perjalanan panjang menaiki bas ke Daerah Istimewa Yogyakarta yang terletak di bahagian selatan Jawa Tengah.
Sementara menunggu jadual perjalanan bas, rombongan berkesempatan berinteraksi dengan warga kota dan mendapat pengetahuan baharu penggunaan istilah-istilah tertentu seperti bis untuk bas, kamar kecil (tandas), mba (cik) dan banyak lagi.
Masa bertolak 8.30 malam tidak berjalan mulus. Rombongan diberitahu bas yang ditentukan awal berhalangan lalu dicadangkan menaiki van kecil. Tanpa ada pilihan lain, rombongan bersesak dengan penumpang lain hingga menimbulkan kemarahan sepasang suami isteri dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar.
Meski sesak, rombongan mengambil maklum mungkin itulah lumrah kehidupan warga di kota metropolitan itu. Perjalanan ke Yogyakarta yang pada kebiasaan hanya mengambil masa lapan jam menaiki bas antar propinsi berlangsung sehingga 17 jam melewati Solo.

PERJALANAN menaiki bas yang agak melelahkan dari Jakarta ke Yogyakarta.

Selang empat jam meluncur tanpa henti, van berhenti di satu tempat di mana jam pada ketika itu menunjukkan 1.30 pagi. Para penumpang turun untuk meregangkan otot, ke bilik air dan menghangatkan diri dengan minuman di kedai perhentian itu.
Perjalanan seterusnya adalah melayan keletihan dengan melelapkan mata. Kepekatan malam kemudian mulai beransur siang dalam perjalanan itu. Dalam suasana pagi itu, rombongan disajikan hamparan alam di kiri-kanan yang menyejukkan mata memandang.
Kesuburan tanah Jawa menghamparkan pelbagai tanaman seperti jagung, sawah padi, ubi kayu dan sayur-sayuran. Sesekali perjalanan melewati perbukitan dan gunung berapi. Itu merupakan pengalaman pertama rombongan memandang di depan mata gunung berapi yang hidup.
Pada jam 9.00 pagi, rombongan sampai di Terminal Solo untuk melanjutkan lagi perjalanan ke Yogyakarta menaiki bas lain. Dari Solo perjalanan masih mengambil masa tiga jam untuk sampai ke terminal utama Yogyakarta di Giwangan.
Di terminal itu rombongan menyempatkan diri menikmati pelbagai hidangan yang tersedia di gerai-gerai. Sampai di tempat itu pun debaran masih terasa kerana rombongan tidak biasa dengan cara komunikasi warga setempat termasuk berhubungan dengan urus setia penganjur.
BERADA di salah satu sudut Kota Yogyakarta.

Namun atas bantuan beberapa abang teksi, komunikasi kepada urus setia dapat dijalin yang kemudian membawa rombongan sampai ke Hotel Universitas Gadjah Mada (UGM).
Kelelahan dalam perjalanan merupakan pengalaman tersendiri kepada para peserta rombongan. Namun kepenatan itu terubat juga dengan keindahan dan keselesaan tempat tinggal di Hotel UGM.
Manakala rombongan kedua hanya mendarat di Bandara Soekarno-Hatta sekitar jam 1.00 pagi ketika mana rakan-rakan yang mengikuti penerbangan pertama sudah jauh berada di pertengahan perjalanan.
Rombongan kedua turut menempuh laluan perjalanan seperti yang telah dilalui rakan-rakan mereka yang telah bergerak lebih dahulu.  Rombongan kedua itu sampai ke Hotel UGM Yogyakarta sekitar jam 9.00 malam setelah melewati perjalanan sehari-suntuk.

PEMENTASAN warisan tradisi Kadazandusun di Seminar Sastera Antarabangsa Indonesia-Malaysia 2016.



Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...