Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. |
Siri IV
KOTA KINABALU: Kalangan guru bahasa Kadazandusun berhadapan tugas berat menggunakan sastera dalam pembelajaran Bidang Estetika (BE) bahasa itu di sekolah peringkat menengah atas.
Pensyarah Kanan Bahasa Kadazandusun Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Henry Bating berkata, tugas berat itu memerlukan keterlibatan pihak perancang kurikulum, panel penyusun buku teks, ahli akademik institusi latihan guru dan kehendak umum masyarakat untuk mencapai keselarasan pendekatan yang dapat diterima bersama.
“Realiti guru bahasa Kadazandusun sekarang setelah mata pelajaran ini diperkenalkan di sekolah sejak 1997 menunjukkan pengajaran dilaksanakan kalangan guru yang belum terlatih sepenuhnya dalam opsyen berkenaan,” katanya.
Dengan menyebut hasil tinjauan Dr Minah Sintian dan Dr Nurjieta Taisin (Prof Madya), Henry berkongsi maklumat bahawa kalangan guru adalah terlatih dalam pelbagai opsyen lain seperti geografi, sejarah, matematik, bahasa Melayu, sains sukan dan bahasa Inggeris.
Kota Marudu 2019 - Dr Henry Bating, Dr Andreas Totu, Dr Jeannet Stephen dan para penolong penyelidik dalam kajian lapangan UMS. |
Sumber kepustakaan itu juga menyebutkan kalangan guru yang ditugaskan mengajar bahasa Kadazandusun sekadar memperoleh latihan jangka pendek kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan IPG Kent serta IPG Keningau.
Bilangan guru terlatih pengajian minor sekolah menengah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pengajian sekolah rendah dari IPG Kent dan IPG Keningau belum mampu mengisi sepenuhnya permintaan sekolah-sekolah.
Data JPNS 2018 menunjukkan bahasa Kadazandusun diajar di 374 sekolah rendah yang melibatkan 40,862 murid, sekolah menengah 45 dengan 5,868 pelajar, dikendalikan 1194 guru dengan pecahan 1100 guru di sekolah rendah dan 94 guru di sekolah menengah.
Kalangan murid yang mengambil bahasa Kadazandusun terdiri dari penutur dialek Bundu, Liwan, Tangaa’, Dusunik, Murutik, Paitanik dan bukan berketurunan Kadazandusun.
Dr Henry Bating (tengah) bersama panel penyusun buku teks Kadazandusun DBP Kota Kinabalu. |
“Guru memerlukan perancangan kurikulum dan penyusunan buku teks yang memenuhi kesesuaian pelbagai etnik pelajar untuk menyampaikan serta berinteraksi secara kontekstual dengan golongan pelajar setempat,” katanya.
Henry menjelaskan, guru juga perlu memiliki kesediaan mengajar bahasa menggunakan karya sastera pelbagai genre termasuk tangon, sundait, Tudodoi, sudawil, kiaton, tukadan dan hiis.
Seterusnya Henry menegaskan, secara khusus guru perlu memiliki kemahiran menerapkan pelbagai elemen sastera dalam pembelajaran bahasa yang merangkumi unsur intrinsik – tema, amanat, watak dan perwatakan, persoalan, alur, latar, persekitaran dan sudut pandang.
Unsur ekstrinsik yang terdiri daripada biografi, psikologi, pandangan hidup, nilai-nilai murni dan pengajaran.
Struktur fizik yang merangkumi diksi seperti denotatif, konotatif, ambiguiti, homonim, asosiasi, pengimajian, perspektif, tifografi; verifikasi – rima (musikalisasi orkestra), ritma (pertentangan bunyi, tinggi rendah, panjang pendek, kuat senyap), metrum (perulangan kata: statis, irama tetap) dan majas – lambang, metafora.
Juga struktur batin yang terdiri dari tema, nada (suasana, perasaan) dan amanat.
Dr Henry Bating (berdiri tengah), Dr Ramzah Dambul, Dr Andreas Totu, Datin Dr Veronica P Atin, Dr Jeannet Stephen selepas perbincangan UMS dengan USDA |
Pengajaran bahasa Kadazandusun merangkumi permintaan kalangan penutur dialek Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Ida’an, Kadayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Nabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungai, Tatana, Tangaa, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon dan Tutung.
Isu perancangan kurikulum, penyusunan buku teks dan cabaran guru dinyatakan Henry ketika mempertahankan kajian bertajuk ‘Pemilihan Karya Sastera Untuk Pembelajaran Bidang Estetika Bahasa Kadazandusun Sekolah Peringkat Menengah Atas’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.
Henry sejak penghujung 1990-an merupakan penyelidik, penterjemah, editor dan wartawan bahasa Kadazandusun di radio dan surat khabar serta pengulas sastera Melayu di akhbar yang memiliki kesarjanaan bidang Pendidikan Bahasa Kadazandusun peringkat B.A. (Hons) Ed., M.Ed., dan Ph.D.