Tuesday, 4 October 2016

Apakah Sastera Etnik? Ikuti pembentangan Prof Madya Dr Ramzah Dambul di Matunggong 22/10/16

Sejauh mana Penulis Momogun Malaysia mampu mengangkat konsep sastera etnik?

 Oleh
PROF MADYA DR RAMZAH DAMBUL
Pembimbing Akademik Penulis Momogun Malaysia
(MOMOGUNSIA)

Sastera etnik sudah lama berakar umbi di Sabah sebenarnya. Tapi levelnya hanya pada 1 dan 2, sekadar bermain dengan ‘ethnic marker and reference’. Persoalannya, MOMOGUNSIA mahu memartabatkan semula jenama sastera etnik dengan pendekatan baru yang lebih dinamik. Tapi adakah kita mahu mengulangi level rendah yang telah lama diteroka penulis lain itu; atau kita perlu berganjak ke level lebih tinggi? Ini satu cabaran untuk MOMOGUNSIA. Cabaran ini akan diulas dengan lebih rinci pada konteks yang lebih jelas di Matunggong (Seminar Penulis Etnik Serantau BIMP-EAGA) 22 Oktober 2016 nanti semasa membuat bedah-sastera untuk Antologi Cerpen ‘Pugai Balabak’.


Saya baca ulasan Sdra YA (Yatim Ahmad) tentang keputusan HCM (Hadiah Cerpen Momogunsia – New Sabah Times) bulan September. Saya setuju dengan beberapa poin yang diangkat. Di samping itu, saya sendiri juga ada sedikit komen tambahan untuk dikongsi.

Pertama, pemahaman majoriti penulis cerpen pada sastera etnik seperti belum berganjak dari takuk lama. Mereka masih terikat kepada definisi lama sastera etnik iaitu karya: 'yang mengandungi RUJUKAN ETNIK, sama ada dari segi latar dan watak cerita mahu pun penggunaan istilah-istilah khusus'.

Definisi ini, sungguhpun masih sah dan relevan, ia telah lama dikritik serta diperluaskan. Sastera etnik bukan lagi semata-mata dicirikan oleh 'penanda atau rujukan etnik' (ethnic marker or reference), tetapi genre ini harus menggalas roh sastera yang lebih besar.

Sastera etnik sepatutnya berperanan memberi dan memperkasa suara masyarakat marginal yang diwakili. Sebab itu 'sastera etnik', dalam konteks Malaysia, hanya dirujuk kepada karya-karya bercitrakan pribumi Sabah/Sarawak dan Orang Asli. Sastera berpaksikan komuniti Melayu, Cina dan India tidak digolongkan dalam kategori sastera etnik sekalipun karya tersebut mengandungi reference/marker berciri etnik bagi ketiga-tiga kaum tersebut.

Kenapa begitu? Sebab Melayu-Cina-India dianggap kaum 'mainstream' di Malaysia, dan suara mereka telah lama diarusperdanakan dalam pelbagai bidang, termasuk persuratan dan kesusasteraan. Jadi sastera mereka sudah dirujuk sebagai sastera nasional, bukan lagi marginal.

Apa maksudnya memberi dan memperkasa suara kaum marginal? Ini merujuk kepada bentuk sastera yang mengangkat nilai-nilai PERGELUTAN sesuatu komuniti. Bukan setakat membawa cerita tentang adat-resam dan budaya mereka; tetapi yang lebih penting adalah mengetengahkan kemelut sosioekonomi, sosiobudaya dan sosiopolitik yang didepani oleh etnik-etnik pinggaran. Jika ada naratif songsang tentang mereka, sastera etniklah yang akan memberi naratif baru yang lebih tepat dan tulen.

Perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah dari sudut pendekatan apabila menghasilkan dan mempromosikan sastera etnik. Kita tidak boleh memartabatkan sastera etnik hanya dengan bergantung kepada tarikan 'label etnik' itu sendiri. Misalnya, kita ke sana-sini menjaja: "Sokonglah sastera etnik kami kerana ia memperkasa suara komuniti yang tertindas!"

Tidak boleh ada mentaliti begitu, sebab itu seperti satu manipulasi kepada 'label etnik'. Memartabatkan genre ini perlu disertai dengan tuntutan kualiti teknikal dan merit artistik yang sepatutnya kepada produk sastera yang disajikan.

Ibaratnya kita mahu menjual linopot turu rinukut. Tidak boleh kita bermain sentimen saja: "Bah, tolong beli ini rinukut kami. Kamu sokong bah makan tradisional tempatan. Bukan boleh dapat lagi begini di mana-mana!" Ndak boleh begini.

Kalau kita mahu orang sokong pemartabatan makanan tradisional, kita mesti pastikan linopot itu sama sedap dari nasi lemak. Dan turu rinukut-nya pula harus lebih giur dari lauk sambal bilis nasi lemak. Kan?


Nanti saya akan ulas kedua-dua saranan ini dengan lebih rinci pada konteks yang lebih jelas di Matunggung nanti semasa membuat bedah-sastera untuk Pugai Balabak.

Antologi Cerpen Pugai Balabak (kanan)

Mengapa 'Gong' jadi cerpen terbaik HCM-NST Sept 2016?

Hadiah Cerpen Momogunsia - New Sabah Times untuk September 2016 diumumkan



Oleh YATIM AHMAD
Ketua Penerangan Penulis Momogun Malaysia

Dalam tempoh empat minggu pada September, empat buah cerpen yang telah dipilih untuk disiarkan di New Sabah Times bagi Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA ialah ‘Gong’ (Sofie Clara @ Sofia Talib), ‘Legenda Teluk Mengkabong’ (Jakaria Dasan), ‘Antara Dua Budaya’ (Jemmy Markus) dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ (Ramlee Jalimin Jainin).
            Menurut panel hakim HCM-NST, cerpen ‘Gong’ menggunakan ilmu bantu sosiologi bagi membina latar belakang kisah. Dari awal, pengarang telah menonjolkan konflik yang wujud antara  watak Antong dan Ayyas. Ayyas, pemuda kaya dari kota  telah memilih Andas, gadis desa anak Orang Tua Taran sebagai bakal isteri. Elemen cinta tiga segi ditenun rapi dalam kemelut yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu Antong terhadap Ayyas. Ayyas telah menghantar hantaran perkahwinannya termasuk gong yang diletakkan di beranda rumah Andas.
Malangnya, menjelang perkahwinan gong itu hilang. Ayyas bersetuju untuk mencari pengganti gong. Apabila gong itu muncul semula, gong itu menimbulkan kekecohan kerana tidak dihantar secara beradat oleh Ayyas. Ini menghina resam masyarakat. Penduduk kampung juga tertanya-tanya sebab Ayyas telah menghilangkan diri.
Kehilangan Ayyas bertambah misteri apatah lagi apabila didapati ada darah pada gong yang tiba-tiba muncul semula di beranda rumah Orang Tua Taran itu.  Akhirnya, majlis perkahwinan dibatalkan. Gong digantung di beranda rumah, isyarat Andas kini bebas.  Takdir Andas terbuka semula, bebas dimiliki kepada yang ingin berbuat demikian.
            Cerpen ‘Legenda Teluk Mengkabong’, ‘Antara Dua Budaya’ dan ‘Cerita Sebuah Perjuangan’ pula memanfaatkan ilmu bantu sejarah dalam mengembangkan plot cerita.
            Cerpen ‘Legenda Teluk Mengkabong’,  cuba menonjolkan sejarah persaudaraan penduduk nelayan di Teluk Mengkabong dengan para pembesar Brunei. Penduduk nelayan di situ telah menjadi tentera yang telah membantu Tok Sakam yang mewakili kerabat kesultanan Brunei menumpaskan ancaman Bengingi yang cuba memberontak terhadap Sultan Brunei di Sungai Limbang.

Muka Akhbar New Sabah Times  Isnin 3 Okt 2016

Persaudaraan itu dipegang kukuh oleh keturunanTok Sakam iaitu Tok Mirul yang telah menggantikannya sebagai pemimpin masyarakat di Teluk Mengkabong. Dalam cerpen ini, pengarang menonjolkan unsur magis sebagai kearifan tempatan dalam masyarakat Brunei-Bajau. Ini dapat dilihat pada watak Tok Mirul yang digambarkan mempunyai gimbaran. Peristiwa magis juga jelas dalam peristiwa Untong menggunakan ilmu batin berbantukan beras untk menukar kawasan rumah menjadi kawasan paya bakau.
Peristiwa lain termasuklah penggunaan ilmu batin bagi dalam peperangan misalnya dalam membantu angkatan Tok ‘kelihatan seperti tiga buah bahtera besar, dan jumlah pahlawan yang 100 orang itu meningkat jumlahnya kepada 10 kali ganda’. Turut ditonjolkan ialah penggunaan racun damar semasa perang. Tali-tali bersalut damar beracun telah menyebabkan kekalahan angkatan Bengingi.
Cerpen ini telah ditamatkan oleh pengarang dengan imbas kembali oleh Tok Mirul terhadap pesanan Tok Sakam terhadap Tok Mirul tentang harapan munculnya pemimpin sejati yang merupakan kacukan keturunan orang Brunei dan masyarakat Bajau yang menjadi nelayan di Teluk Mengkabong itu.
Berbantukan sejarah Perang Dunia II, Jemmy dalam cerpen “Antara Dua Budaya” menonjolkan tema kasih sayang seorang anak terhadap ibunya sebagai fokus penceritaan. Melalui watak Francis,  pembaca dibawa menyelami konflik diri Francis yang kehilangan ibu yang sangat disayanginya. Perasaan kehilangan itu mendatangkan nostalgia terhadap ibunya semasa hayat. Ibunya adalah seorang karayuki-san pada zaman perang, dan telah berhijrah ke Sandakan sejak berusia 12 tahun ketika perang sedang berlaku antara China dan Jepun.
Kematian ibunya itu adalah satu tamparan kepada kehidupannya yang juga telah kematian bapa. Bapa Francis yang merupakan bekas anggota polis North Borneo Armed Constabulary dan pernah bertugas di Sandakan pada zaman sebelum merdeka telah lama meninggal dunia.
Cerpen ini menggabungkan banyak maklumat budaya tempatan yang ditambah indah dengan penyelitan maklumat tentang masyarkat Jepun. Cerpen ini, kalau diperhalusi mungkin menjadi lebih menarik. Jika suatu masa nanti, Jemmy mencari-cari cerpennya untuk dikompilasikan dalam kumpulan cerpennya sendiri, ini adalah satu pilihan yang baik. Dari segi yang lain, pada tahun-tahun akan datang, jika Jemmy tekal dalam usahanya menukangi dunia penulisan cerpen, dia boleh membuat kejutan dalam dunia penulisan cerpen di Sabah.
            Ramlee Jalimin Jainin dalam “Cerita Sebuah Perjuangan” menonjolkan kisah Mat Salleh melalui dialog antara Azli dan Hisyam, dua orang guru,  ketika di ruang legar Arkib Negeri Sabah bagi tujuan mengkaji seorang tokoh pejuang Sabah bagi memenuhi tugasan mereka tentang perjuangan Paduka Mat Salleh. Sekali lagi, ilmu bantu Sejarah menjadi latar belakang masyarakat dalam cerpen. Pengarang mempersembahkan cerpen ini dalam bentuk cerita berbingkai.
Kisah yang menjadi bingkai itu ialah perbualan antara watak Azli dan Hisyam. Sementara kisah sebenar yang ingin disampaikan ialah kisah Mat Salleh, tokoh tempatan Sabah pada zaman sebelum Perang Dunia II dahulu. Cerpen ini banyak bermain dengan fakta sejarah tentang Mat Salleh, dan terutama konfliknya dengan pihak Syarikat Borneo Utara. Mungkin dari segi kreativiti penceritaan, masih banyak yang perlu dibaiki dalam cerpen ini namun dari segi usaha untuk memartabatkan tokoh sejarah tempatan, ini dapat dianggap berjaya. 
Keempat-empat cerpen ada keistimewaan tersendiri. Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan dengan saksama dari semua aspek yang dinilai terutama dari segi perbezaan kejelasan muatan etnik dan struktur penukangan, panel  sebulat suara memilih cerpen “Gong” karya Sofie Clara @ Sofia Talib sebagai cerpen terbaik bagi bulan September.
Cerpen “Gong” yang dipilih sebagai cerpen terbaik bulan September ini, dilihat lebih berjaya dalam semua aspek yang dinilai. Pengalaman mungkin telah memberikan kelebihan kepada Sofie Clara untuk lebih berjaya menonjolkan gejolak isu dalam masyarakat etnik Murut.
Sofie Clara, dengan cermat, bermain dengan sudut ‘kuasa’.   Contohnya,  kuasa memilih jodoh bagi golongan wanita. Nasib Andas jelas ditentukan oleh ibu bapanya.  Dapat dilihat juga kuasa adat dan budaya. Adat dan budaya ini melingkari kehidupan masyarakat. Watak Ayyas, sebagai orang luar yang ingin berkahwin dengan Andas, perlu juga menghormati adat itu bermula daripada peringkat merisik, sehinggalah kepada meminang tanpa banyak kerenah. Dia juga nekad menyanggupi syarat perkahwinan yang perlu dipenuhi seperti gong,  sumpitan, mas kahwin RM10000, dua ekor kerbau, tajau tilauan, tajau minukul, tajau belaying dan tajau manila.
Maklumat budaya dari segi adat peminangan masyarakat Murut telah dicerna dgn kreatif oleh Sofie Clara bagi mempermantap cerpen ini. Kelebihan peribadi penulis  berasal dari Keningau yang intim dengan masyarakat Murut juga mungkin memberi kelebihan maklumat sosiologi kepada pengarang.
Antong pula telah menggunakan kuasa pengetahuannya terhadap adat apabila gong yang menjadi kemestian semasa hari langsung perkahwinan itu hilang. Orang Tua Taran yang enggan membenarkan perkahwinan itu berlangsung sebelum gong itu ditemui pula jelas menonjolkan kuasanya sebagai ketua etnik masyarakat Murut yang ‘mempertahankan adat dan budaya’. Hilang bermakna tidak akan berlaku perkahwinan.
 Apabila Ayyas turut menghilang, itu hanya memperkukuh kuasa cengkaman Antong terhadap Andas yang memang dicintainya. Dalam usaha memburukkan Ayyas, Antong juga memanipulasi kedudukan Ayyas sebagai orang kota. Menurut Antong, kuasa kekayaan itu menjadikan pemuda kota seperti Ayyas sebagai pemuda yang kejam dan hanya mendekati wanita seperti Andas dengan kepentingan. Dengan licik, Antong mengaitkan hal itu dengan kononnya niat Ayyas ingin mengeksploitasi kayu balak di kampung mereka.
Watak Antong inilah juga yang telah bercakap tentang adat dan budaya seolah-olah dia ini wira tentang adat dan budaya sedangkan sebenarnya dia sendiri ada agenda tersirat  yakni untuk menjadi pemenang ke atas perebutan cinta terhadap Ayyas. Dia masih gagal memiliki cinta Ayyas namun kelicikannya menyebabkan orang menganggap Ayyas jahat, menghina adat dan budaya masyarakat di situ.
Pengarang tidak pernah mengatakan Antonglah pelaku kepada kekecohan itu namun kemahiran Sofie Clara membuat pembaca dapat menyimpulkan sendiri bahawa dia sebenarnya si jahat itu. Antong muncul sebagai ‘watak hitam’ yang mengambil kesempatan dengan menonjolkan dirinya sebagai hero gadungan yang meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Ayyas. Di hujung cerita, daripada gerak gerik Antong, dengan kreativiti pengarang, pembaca dibantu membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kekecohan itu adalah atas kelicikan Antong yang ada hati untuk memperisteri Andas.
            Cerpen ini berbeza daripada gaya penulis yang lebih berpengalaman, misalnya Azmah Nordin. Azmah memang terkenal dengan kecenderungannya menjadikan budaya peribumi Sabah sebagai bahan pengkaryaan. Hanya dalam karya Azmah, gambaran watak wanitanya selalu ‘lebih dominan’ dalam menentukan nasibnya berbanding watak lelaki. Dalam cerpen ini, hal yang berbeza dapat kita lihat. Sofie Clara masih menggambarkan betapa lelaki adalah pihak yang lebih berperanan dalam mempengaruhi hidup wanita dalam masyarakat Murut.
Barangkali yang jarang kita nampak ialah unsur misteri dalam cerpen ini. Ini jarang dalam cerpen kita. Unsur ini memberikan unsur saspens dan tegangan kepada pembaca.  Tiba di titik akhir cerpen ini, pembaca tertanya-tanya masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas Ayyas sehingga dia tidak muncul-muncul. Siapa empunya darah pada gong? Mengapa ada senyuman jahat di bibir Antong?  Tanpa campur tangan sebagai pengarang, Sofie Clara tidak memberikan kepada kita jawapan. Pembaca sendirilah yang perlu mentafsir dan membuat andaian dengan pertimbangan masing-masing.  Konflik jelas ditonjolkan dan Sofie Clara mengawal mood cerita itu sehinggalah ke titik akhir cerpen.
Empat cerpen yang tersiar dari segi kosa kata etnik, semuanya berjaya menyelitkan kosa kata etnik. Hal ini memberikan citra tempatan kepada cerpen-cerpen yang telah disiarkan. Bagaimanapun, memenuhi syarat ini seharusnya dilakukan dengan sangat berhati-hati.  Kita mahukan karya sastera etnik yang tidak sekadar bermain dengan bahasa namun juga menonjolkan kekuatan isu dan budaya masyarakat  etnik itu sendiri sebagai muatan karya.
Penulis perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan sewenang-wenangnya menggunakan kosa kata itu hanya untuk mahu ‘dianggap sebagai sastera etnik’.
Satu kelemahan terutama dalam cerpen
“Legenda Teluk Mengkabong” dan “Cerita Sebuah Perjuangan” ialah dari segi teknik naratifnya. Kedua-dua cerpen ini masih sangat jelas campur tangan pengarang. Contoh dalam “Legenda Teluk Mengkabong” dituliskan ‘(Mungkin itulah sebabnya mengapa sehingga kini tidak ada ancaman dari orang-orang sulu di pantai barat Sabah)’. Hal yang sama juga dikesan dalam “Cerita Sebuah Perjuangan”. Contohnya dalam petikan berikut: ‘Kehadiran kuasa Inggeris ke Borneo Utara untuk mengaut keuntungan dari hasil mashyul di Borneo Utara ketika itu selain dari penjajahan sebagai matlamat  kedua mereka yang menyebabkan peribumi Borneo Utara yang di ketuai oleh Paduka Mat Salleh bangkit memberontak.
Pegawai-pegawai Chartered Company, menganggapnya tidak bertamadun, ganas dan tidak bertanggungjawab, namun keadaan sebenarnya yang wujud dalam diri Mat Salleh adalah disebaliknya, seorang yang luhur, bertimbang rasa dan ada prinsip dalam kehidupannya.’
Dalam dua contoh yang diberi di atas, kalaulah ayat-ayat itu timbul dalam fikiran watak atau dialog watak itu tidak menjadi masalah. Dengan menuliskan ayat-ayat itu di luar watak, hal itu jelas menjadi suara pengarang sendiri.
Akhir sekali, usaha semua pengarang untuk menggunakan ilmu bantu harus dipuji. Mereka berjaya membuktikan bahawa ilmu bantu ternyata ladang yang subur bagi menyemai kreativiti. Pengarang mesti bijaksana memanfaatkan ilmu bantu dalam karyanya. Bagaimanapun, selain ilmu bantu, pengarang tidak boleh lupa bahawa kejayaan sesebuah karya itu juga ditunjangi oleh kemahiran seseorang pengarang menyatukan ilmu bantu itu dengan cerita dalam cerpen.
Semoga karya-karya untuk Sayembara Hadiah Cerpen NST-MOMOGUNSIA bagi bulan Oktober lebih baik dan mencabar supaya hasrat kita untuk mengarusperdanakan cerpen-cerpen bernuansakan etnik menjadi kenyataan.
Sebagai tambahan, menurut Sheldon Norman Grebstein, “The literary work can’t be fully or truly understood apart from the milieu or culture or civilization in which it was produced. It must be studied in the widest possible context rather than by itself. Every literary work is the result of a complex interaction of social and cultural factors and is itself a complex cultural object.”
Kata-kata Grebstein itu jelas menonjolkan kepentingan peranan ilmu bantu dalam penghasilan karya kreatif.  Hal ini tampaknya disedari oleh penulis cerpen yang bertuah dipilih karyanya bagi Sayembara Hadiah Cerpen New Sabah Times-MOMOGUNSIA bagi September 2016.


Friday, 30 September 2016

RTFM buka penyertaan Rombituon KDM

Radio Tambunan FM buka penyertaan Rombituon Lagu-lagu KDM
DJ Stanza

Oleh HENRY BATING
TAMBUNAN: Radio Tambunan FM (RTFM) menawarkan hadiah lebih RM1000 kepada pemenang Pertandingan Rombituon Tambunan FM yang akan diadakan di 29 Oktober 2016 di perkarangan studion radio online itu di sini yang terletak di Highway Sulap Kalangadan Cafe Tambunan.
Pengerusi penganjur, DJ Stanza @ Stanly Leo berkata pihaknya mempelawa bakat-bakat seni suara menyertai saringan suku akhir pada 8 Oktober jam 7.00 malam untuk menempah tempat ke separuh akhir 15 Oktober 2016.
“Pertandingan meletakkan pilihan bebas lagu-lagu Kadazan Dusun Murut sahaja secara solo untuk penyertaan berumur 16 tahun ke atas,” kata Stanly.
Bagaimanapun, penyertaan bagi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian peringkat negeri dan atau telah mempunyai lagu rakaman dalam album tidak akan diterima.
Tarikh tutup penyertaan adalah 5 Oktober 2016 iaitu pada Rabu depan manakala yuran penyertaan adalah RM100.
Hadiah-hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil disediakan kepada semua pemenang yang meliputi tiga pemenang utama dan tujuh penerima saguhati.
Di samping hadiah trofi dan sijil, johan bakal menerima RM1000, naib johan RM500, ketiga RM250 dan tujuh pemenang saguhati menerima RM100 setiap seorang.
Keterangan lanjut bakat seni suara RTFM yang menggunakan slogan ‘RTFM Memang OK Bah’ boleh ditanyakan kepada Dj Stanza 0198120553 atau 0168067383, Dj Maslee 0138745698 atau Wendy Rudolf 0198101411.




Tuesday, 27 September 2016

Miss Senorita ratu peragaan, pelancongan Keningau

Miss Senorita cungkil bakat peragaan, perkenal pelancongan Keningau

15 FINALIS berentap merebut gelaran Miss Senorita.

Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Buat pertama kali 23 jelitawan berentap merebut mahkota Miss Senorita dan enam gelaran sampingan lain yang dianjurkan bersama MG Photography & Bridal House, Make-up Artist (MUA) Keningau Pedalaman dan Janet Bridal Tambunan.
Pengarah Urusan MG Photography & Bridal House, George Minsun Uradat berkata enam lagi gelaran sampingan lain ialah Miss FB, Miss Photogenik, Miss Natural Beauty, Miss Friendly, Miss Popular dan Best Dress.
GEORGE MINSUN

“Dari 23 penyertaan yang diterima saringan telah dijalankan di mana 15 peserta bakal tampil di hadapan khalayak hadiran peringkat akhir yang diadakan di sebuah hotel terkenal di Keningau 29 Oktober depan,” kata George sambil menjelaskan acara itu bermula 7.00 petang.
Menurut George, Miss Senorita bakal menerima hadiah bernilai lebih daripada RM2,500 di mana pengadilan dilakukan berdasarkan kriteria kecantikan, kebijakan, catwalk dan disiplin.
George seterusnya menjelaskan bahawa pertandingan itu dijalankan bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam dunia peragaan khususnya di kawasan pedalaman Keningau yang turut melibatkan daerah Tambunan, Sook, Nabawan dan Tenom.

PARA peserta mendengar sesi taklimat.

“Kita juga mahu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kalangan artis make-up, pereka fesyen dan jurufoto di seluruh kawasan pedalaman Keningau melalui peserta yang mereka hantar,” kata George.
Beberapa aktiviti telah disusun untuk diikuti oleh 15 peserta peringkat akhir meliputi pendakian ke Bukit Tirig Apin-Apin, lawatan ke beberapa tempat seperti tamu Apin-Apin, Taman Bersatu Nuntunan, Tamu Ground Keningau dan Muzium Keningau.
Melalui rentetan aktiviti yang disusun, pihak penganjur berharap dapat memperkenalkan tempat-tempat berkaitan sebagai destinasi kunjungan kepada para pelancong yang melawat kawasan Keningau.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir sesi pemilihan.

Keratan akhbar Utusan Borneo 28 Sept 2016


Monday, 26 September 2016

Beganu, Ngajat, artis Dayak di Matunggong 22 Oktober


 Puisi ‘Beganu’, Tarian ‘Ngajat’ dan penampilan khas artis Sarawak
 Di Malam Semarak Puisi Etnik - Bulan Bahasa Kebangsaan 2016
sempena Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES-2016) BIMP-EAGA di Matunggong 22 Okt 2016

CLEMENCE JOY'S

Puisi Beganu merupakan puisi rakyat Iban yang berbentuk hiburan. Puisi ini dideklamasikan bertujuan untuk memuji seseorang atau sesuatu perkara. Dalam persembahan di Matunggong nanti, puisi ini mahu membawa mesej memuji perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan seminar. Puisi ini dijangka dipersembahkan selama seminit atau dua minit. Kemudian disambung dengan tarian Ngajat masyarat Iban. Tarian Ngajat juga dijangkakan mengambil masa selama satu hingga dua minit. Persembahan diakhiri dengan nyanyian khas seorang penyanyi dari Sarawak, Clement Joy’s. ini adalah rangka persembahan yang tertakluk kepada kehendak dan kesesuaian pengurusan pentas.

Puisi Beganu akan dideklamasikan oleh Dr Patricia Ganing, diiringi 2-3 penari dan diserikan kemuncak persembahan Clemence Joy’s. Clemence merupakan seorang penyanyi berbangsa Iban yang cukup dikenali di Sarawak.        Selain berkecimpung dalam seni suara, beliau juga merupakan seorang guru dan bertugas di sebuah sekolah di luar bandar Sibu. Clemence pernah memenangi pelbagai anugerah. Antaranya penyanyi lelaki Dayak terbaik dalam Dayak Music Award (DAMA) 2010, lagu Dayak terbaik 2010, lagu Iban paling popular 2010, Johan pertandingan lagu Iban Sibu fm (RTM Sibu) dan banyak lagi pencapaian lain. 

Thursday, 22 September 2016

Pembentangan HIIS:TST di SPES2016 Matunggong 22 Oktober


Puisi Tradisional (HIIS: TST) dalam
Pengajaran Pembelajaran Bahasa Kadazandusun



Oleh 
Linah Bagu
Pensyarah Kanan Pengajian Kadazandusun IPG Kent, Tuaran

Abstrak
Hiis merupakan karya kesusasteraan masyarakat Kadazan Dusun yang hampir dilupakan oleh pemiliknya sendiri. Hiis adalah himpunan sastera tradisi dalam bentuk puisi yang diwarisi daripada leluhurnya secara turun temurun. Hiis telah diperkenalkan dalam kurikulum Bahasa Kadazandusun sebagai salah satu elemen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun sejak di sekolah rendah ke sekolah menengah hingga ke institut pendidikan tinggi seperti institut pendidikan guru (IPG) dan universiti. Hiis sangat signifikan dan sesuai digunakan sebagai satu pendekatan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih kreatif, aktif dan efektif berdasarkan model The Learning Pyramid. Model tersebut menjelaskan bahawa kaedah pengajaran secara penglibatan aktif lebih berkesan. Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mengenal pasti kesan penggunaan tiga jenis Hiis Tinungkusan Tinaru Kadazan Dusun iaitu Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi (Hiis:TST) dalam pengajaran dan pembelajaran kebudayaan dan kesusasteraan Bahasa Kadazandusun di kalangan pelajar PPISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Jun 2015. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sebagai kaedah utama dengan menggunakan teknik temubual dan pemerhatian kepada beberapa pelajar terpilih. Analisis terhadap respon temubual pelajar secara transkripsi dan rekod pemerhatian digunakan. Dapatan kajian tentang  keberkesanan Hiis:TST ini menunjukkan bahawa Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi telah berjaya memudahkan pembelajaran mereka terhadap elemen-elemen sastera dan budaya tradisi warisan masyarakat Kadazan Dusun serta meningkatkan kemahiran  dalam aspek keindahan bahasa ibunda mereka. Hiis:TST juga telah merangsang minat dan kecintaan pelajar untuk mendalami estetika warisan tradisi budaya leluhur mereka yang hampir dilupakan.
Kata Kunci: Hiis (TST), Puisi Tradisional, Kadazan Dusun, Taala-ala, Sudawil dan Tandi-adi.




IPG Kent persembah Hiis dan Sumirid di SPES2016 Matunggong

Persembahan Hiis Tinungkusan 
Tinaru Dusun dan Tarian Tradisi Sumirid


Kumpulan Hiis Tinungkusan IPG Kent, Tuaran

menampilkan persembahan di
Malam Semarak Puisi Etnik sempena
Seminar Penulis Etnik Serantau (SPES2016) BIMP-EAGA di Matunggong, 22 Oktober 2016


Persembahan ini menggabungkan puisi lisan tradisi masyarakat Dusun yang terdiri daripada Taala-ala, Sudawil dan Tudodoi serta Andayayong. Puisi lisan ini biasanya digunakan ketika melakukan aktiviti pertanian seperti mananam padi, mengetam padi dan juga semasa keramayan yang bertujuan untuk menghilangkan rasa penat sambil menghiburkan hati.

Tarian Sumirid pula merupakan tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau. Pada asalnya tarian ini merupakan pergerakan satu perlakuan meleraikan padi daripada tangkainya dengan memijak-mijak tangkai padi. Apabila pada satu ketika, daerah ini tidak aman kerana gangguan musuh, penduduk kampung menghantar pahlawan mereka pergi berjuang. Apabila pahlawan mereka kembali membawa kemenangan, mereka disambut dengan tarian “Sumirid” sebagai tanda kesyukuran, kegembiraan dan penuh kebangaan.


(Persembahan selama 8 – 10 minit ini diketuai oleh Cik Cynthiana John dan dibimbing oleh Puan Linah Bagu iaitu Pensyarah Kanan bahasa Kadazandusun juga selaku Mentor pelajar kumpulan ini)

Isu kurikulum, buku teks dan profesionalisme guru bahasa Kadazandusun

  Dr Henry Bating, Dr Rosliah Kiting, Dr Patricia Ganing, Dr Nurjietta Taisin bersama pelajar UPSI dalam satu tinjauan kajian 2018. Siri I...